Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Anggota tentera hilang masih pelatih, bukan komando
- Jambatan taktikal di Sg Limbong dibuka petang tadi
- Banjir: Bas RapidKuantan kembali beroperasi hari ini
Anggota tentera hilang masih pelatih, bukan komando Posted: 09 Dec 2013 03:33 AM PST KUALA LUMPUR 9 Dis. - Sebanyak 13 anggota tentera yang hilang ketika menjalani latihan mendayung di perairan Selat Melaka kelmarin bukan anggota komando tetap sebaliknya merupakan pelatih bagi Kursus Asas Komando yang belum disahkan jawatan tersebut. Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertahanan memberitahu, kesemua 11 pelatih kursus berkenaan sedang mengikuti latihan mendayung di perairan tersebut sebagai salah satu daripada kaedah menilai keupayaan dan kesesuaian mereka sama ada layak menjadi anggota komando atau sebaliknya. "Turut bersama 11 pelatih ketika kejadian itu adalah seorang jurulatih dan jurumudi bot. "Latihan bermula dari Kem Sungai Udang menuju ke Pulau Nangka, Melaka itu keseluruhannya melibatkan seorang pegawai, 10 orang jurulatih dan 35 penuntut Kursus Asas Komando dengan menggunakan empat buah bot sebelum berlaku kejadian ribut berdekatan Pulau Upih yang mengakibatkan ketiga-tiga bot yang dinaiki penuntut berada dalam kesulitan dan hampir karam," kata kenyataan itu. Tambah kenyataan itu, tindakan segera telah dilakukan oleh bot keselamatan untuk menyelamatkan ketiga-tiga bot berkenaan. "Sebuah bot telah diselamatkan dan ditarik ke Pantai Klebang sementara sebuah bot lagi ditarik ke Pulau Upih namun apabila kembali untuk selamatkan bot ketiga, mereka gagal dikesan. "Sehubungan itu, operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan oleh Markas Tentera Darat dan tumpuan pencarian adalah di sekitar persisiran pantai termasuk melalui penggunaan pesawat udara `Beach Craft dan usaha menyelamat oleh anggota-anggota tentera," katanya lagi. Jelas kenyataan itu lagi, Pusat Mencari dan Penyelamat Maritim (MSRC) yang beribu pejabat di Johor Bahru juga telah mengarahkan kapal-kapal dagang yang melalui kawasan berkenaan untuk membuat pencarian di kawasan Linggi dan Port Dickson. "Operasi mencari dan menyelamat ini juga telah dilaksanakan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia (PDRM). "Namun, kira-kira pukul 12.50 tengah malam tadi, bot yang hilang dijumpai merapati pantai berhampiran Pantai Puteri dan semua anggota ditemui selamat dan tiada peralatan yang hilang," katanya. - UTUSAN ONLINE |
Jambatan taktikal di Sg Limbong dibuka petang tadi Posted: 09 Dec 2013 03:29 AM PST BEBERAPA anggota tentera membina jambatan taktikal bagi mengantikan jambatan Sungai Limbong yang runtuh akibat banjir di Chukai, Kemaman malam tadi. Jambatan itu kini siap dibina dan boleh digunakan sejak 3 petang ini. - UTUSAN KEMAMAN 9 Dis. - Laluan di pusat bandar Chukai yang terputus akibat Jambatan Sungai Limbong runtuh pada Khamis lepas, kini dibuka semula selepas satu jambatan taktikal siap dibina oleh Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) pada 3 petang tadi. Pegawai Pemerintah RAJD Kem Desa Pahlawan, Kelantan Mejar Nik Amir Nik Yaakob berkata pembinaan jambatan sementara sepanjang 20 meter itu mengambil masa hampir tujuh jam selepas dimulakan seawal pukul 3 pagi. "Jambatan taktikal ini mampu menampung kenderaan seberat 60 tan dalam satu-satu masa melaluinya. "Ia siap sepenuhnya sekitar pukul 9 pagi tadi dan dibuka enam jam kemudian. Kita harap jambatan sementara ini mampu memulihkan semula perhubungan di pusat bandar daerah ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata pembinaan jambatan itu dilakukan seramai 40 anggota tentera dan seorang pegawai RAJD Kem Desa Pahlawan dengan dibantu Unit Ke-11 RAJD Kem Batu Tiga, Temerloh, Pahang. Nik Amir berkata jambatan sementara itu mampu memulihkan aliran trafik di kawasan berkenaan. "Jambatan sementara ini akan digunakan sehingga Jambatan Sungai Limbong yang asal siap dibaiki," katanya. - BERNAMA |
Banjir: Bas RapidKuantan kembali beroperasi hari ini Posted: 09 Dec 2013 03:18 AM PST KUANTAN 9 Dis. - Perkhidmatan bas RapidKuantan yang dihentikan sementara berikutan bencana banjir di Kuantan sejak Selasa lepas, kembali beroperasi mulai hari ini. Menurut Ketua Pegawai Operasi RapidKuantan Zainurul Hakim Mohamad, RapidKuantan yang beroperasi dengan 46 bas di 13 laluan di bandar Kuantan mula beroperasi mulai 6 pagi ini kecuali satu laluan. "Laluan ke hentian Sungai Lembing belum boleh dibuka kerana ada tempat yang masih ditenggelami air, kami akan terus membuat pemantauan untuk tindakan susulan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. Beliau berkata ketika ini semua laluan bas berkenaan dapat mengikuti laluan sebenar kecuali laluan 401 yang terpaksa berakhir di Masjid Cherok Paloh ekoran masalah banjir yang masih belum surut di kawasan berkenaan. Selain itu katanya, RapidKuantan juga sentiasa berhubung dengan pegawai Majlis Perbandaran Kuantan bagi membantu urusan pemindahan mangsa banjir. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |