Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Bangkitkan semangat keusahawanan Posted: 05 Dec 2013 10:55 PM PST Oleh NOOR FAZRINA KAMAL KATA-kata dari wanita hebat yang digelar Iron Lady (Wanita Besi) ini harus difikirkan kerana ia sarat dengan nasihat, motivasi serta pengisian yang bermanfaat. Bagi Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce, Datuk Maznah Hamid, setiap individu yang dilahirkan ke dunia, telah dibekalkan dengan bakat dan potensi tersendiri, cuma sayangnya ia masih terpendam tanpa dibangunkan. Perkara ini menurut Maznah, sesuatu yang boleh dianggap tragik kerana Allah SWT telah melengkapkan kejadian manusia dengan pancaindera yang sempurna. Semuanya bertujuan untuk mencipta kejayaan demi kejayaan. "Kita bertanggungjawab untuk melakukan yang terbaik serta menjadi yang terbaik kerana itu adalah amanah Allah kepada kita. "Sebagai seorang manusia, ciri usahawan memang ada dalam diri setiap daripada kita. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan ciri usahawan itu? "Bagi saya, usahawan adalah seorang yang pandai merancang, mengurus serta melaksanakan transaksi ekonomi. " Usahawan juga mempunyai minda perintis, kreatif dan inovatif, cuma ramai individu tidak mahu dan tidak berani mengambil risiko serta memanfaatkan bakat yang ada dalam diri masing-masing," ujar Maznah yang ditemui selepas Forum Wanita Luar Biasa (Women Extraordinaire Forum) yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Menurut Maznah, aktiviti-aktiviti perniagaan merupakan nadi dunia, nadi pembangunan dan punca kekuatan, kekayaan dan kuasa. Bandar-bandar utama di dunia telah membangun, hasil daripada aktiviti perniagaan, malah agama turut berkembang melalui perniagaan dan perdagangan. Selain itu, dahulu perkahwinan juga merupakan satu bentuk ikatan pengukuhan perniagaan. Peperangan juga berlaku untuk memperluaskan empayar perniagaan ataupun percanggahan isu berkaitan dengan perjanjian perniagaan yang dimeterai. "Maka itu membangkitkan semangat keusahawan adalah penting untuk kemajuan, perkembangan dan pemilikan kuasa oleh diri individu, keluarga, masyarakat, bangsa, agama, negara dan dunia secara keseluruhannya. "Sama ada kita sedar atau tidak, dunia ini berlegar dan berfungsi melalui aktiviti ekonomi. "Kita mesti ingat, segala-galanya melibatkan proses 'jual beli'. Sebenarnya setiap daripada kita 'menjual diri' kita melalui imej diri, bakat, idea, kemahiran dan kepintaran yang kita miliki. "Malangnya ramai yang tidak menyedari hal-hal sedemikian. Akibatnya, seringkali segala urusan dan aktiviti ekonomi tidak berpihak kepada mereka dan kesempatan ini diambil oleh orang lain yang mempunyai kesedaran keusahawanan. "Di situlah kita wajib menyedari hakikat betapa pentingnya menyuntik dan membangunkan semangat keusahawanan di jiwa setiap insan yang inginkan kehidupan yang terjamin," tegas beliau panjang lebar. Kata Maznah lagi, bagi mereka yang bekerja makan gaji sama ada dengan kerajaan mahupun sektor korporat, mereka sepatutnya menjadikan diri sebagai 'usahawan dalaman' di dalam institusi mereka bekerja. Apabila mereka memiliki ciri-ciri usahawan, mereka akan sentiasa bersemangat dan bertenaga untuk membangunkan jabatan, syarikat atau organisasi yang diduduki. Semangat keusahawanan "Apa yang paling menyedihkan ialah mereka tidak lansung mempunyai semangat keusahawanan dan merasai nikmat keseronokan bekerja, serta tidak mengambil kesempatan mencari pengalaman berharga di samping membangunkan kepintaran, kemahiran dan mengaktifkan urat saraf mereka. Akibatnya, jadilah mereka golongan yang tidak dinamik, tidak progresif dan kurang maju. "Semangat keusahawan adalah satu semangat yang wajib ada pada setiap diri individu yang inginkan kecemerlangan kerana ia menjadikan diri seorang yang dinamik, lebih produktif, kreatif, aktif dan pastinya lebih bertanggungjawab. "Apa yang lebih utama, semangat keusahawanan adalah semangat yang memberi satu kekebalan pada diri dalam mengharungi apa jua cabaran hidup. "Ingin saya nyatakan bahawa tidak ada banyak perbezaan antara saya dan orang lain kecuali satu perbezaan kecil di mana perbezaan ini mewujudkan jurang yang amat jauh dan telah membuahkan hasil serta ganjaran yang sangat besar di dalam hidup saya. "Bezanya saya dengan orang lain bukanlah kerana saya dilahirkan lebih cerdik atau lebih bernasib baik tetapi semangat kegigihan yang memberikan saya daya ketahanan, kekuatan dalaman, mental, emosi dan kekebalan diri untuk terus berjuang di medan perniagaan!," ujar beliau lagi. Maznah menegaskan setiap daripada wanita perlu membangkitkan semangat keusahawanan dan cuba menjadikan diri sendiri yang terbaik. Dalam pada itu sebagai seorang usahawan, Maznah telah membawa syarikatnya, Securiforce, yang 30 tahun dahulu tidak dikenali langsung, menjadi sebuah syarikat kawalan keselamatan yang terbesar di negara ini dan berjaya menyaingi lebih 600 buah syarikat lain seumpamanya. Beliau kini mengepalai lebih 65 buah cawangan dengan lebih 6,000 kakitangan, dan dikelilingi dengan ratusan senjata api dan puluhan van kalis peluru. Apa yang lebih membanggakan, van kalis peluru tersebut telah direkacipta dan dihasilkan oleh Securiforce sendiri. Securiforce bukan terhad kepada membekal pengawal keselamatan (static guard) sahaja malah turut merangkumi logistik, cash-in-transit, pengurusan tunai, high - tech cargo management, perkhidmatan armoured trucking, dan pelbagai perkhidmatan lain. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |