{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Pesona

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Pesona


Rana Aswad buah tangan Farah

Posted:

Rana Aswad buah tangan Farah

Rana Aswad buah tangan Farah

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR

TREND terkini yang menyaksikan perniagaan dalam talian muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan membuatkan Farah Alwani Johari, 26, tidak mahu ketinggalan untuk turut serta.

Tambahan pula, ilmu yang diperoleh sewaktu mengikuti Diploma Pengurusan dari Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) Ampang ingin dimanfaatkan sebaiknya.

Justeru, gadis muda yang mesra disapa Farah ini mengambil peluang bekerjasama dengan kakaknya, Sinar, 39, dalam mengusahakan jenama Rana Aswad yang menawarkan koleksi jubah moden dan kontemporari berkualiti tinggi sejak tahun 2010.

"Sebenarnya sejak kecil saya sering membantu emak menjual nasi lemak di sekolah. Sebanyak 20 hingga 30 bungkus nasi lemak saya bawa di dalam beg dan kemudian dijual pada kawan-kawan kaum Cina.

"Kemudian, apabila meningkat remaja, saya mula meminati dunia fesyen. Jadi keputusan untuk memulakan perniagaan ini amat bertepatan. Malah, laporan kajian di luar negara yang meramalkan industri fesyen Muslim global akan berkembang pesat dan bernilai melebihi AS$96 bilion (RM308 bilion) turut menjadi pendorong untuk menceburi bidang ini," cerita Farah ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di Bukit Indah, Ampang baru-baru ini.

Selain itu, sebagai wanita Farah juga memahami keperluan wanita lain dalam aspek penampilan khususnya pemakaian. Faktor kualiti, rekaan, keselesaan serta perincian pasti menjadi keutamaan bagi kebanyakan kaum Hawa.

Maka dengan itu, lahirlah Rana Aswad yang kini telah pun mencecah usia tiga tahun penubuhannya. Memulakan perniagaan dengan modal sebanyak RM10,000, anak jati Kuala Lumpur ini sudah boleh tersenyum dengan kejayaan yang dimiliki sekarang.


Antara koleksi Rana Aswad yang berjaya menambat hati pelanggan.


Terbaharu, Farah dan kakaknya berpeluang menyertai Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) Ke-9 yang berlangsung di United Kingdom (UK) pada penghujung bulan Oktober lalu.

Buat julung-julung kalinya forum antarabangsa itu dianjurkan di sebuah negara bukan Islam. Lebih mengujakan ialah sifat keterbukaan negara berkenaan yang amat menggalakkan usahawan-usahawan Muslim untuk menjalankan perniagaan di sana sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di UK.

Diterima pengguna

"Forum itu benar-benar membuka mata dan membakar semangat kami. Insya-Allah, kami akan gunakan ia sebaik mungkin untuk mengintai peluang perniagaan dan kolaborasi di peringkat antarabangsa.

"Kami harap Rana Aswad mampu menjadi platform atau hab kepada pelbagai aktiviti lain yang bakal dikelolakan bersama pelanggan termasuk program komuniti untuk masyarakat setempat," ungkap Farah.

Meskipun masih terlalu hijau dalam bidang ini dan berdepan pelbagai cabaran, sukar untuk menafikan bahawa jenama Rana Aswad semakin meniti di bibir masyarakat terutama pelanggan setia mereka.

"Pada awalnya, memang sukar untuk mendapatkan pelanggan kerana kami tidak dikenali. Malah, cabaran utama ialah dari segi pemasaran.

"Tetapi Alhamdulillah, setiap cabaran dilalui dengan berhati-hati dan dianggap sebagai tiupan semangat untuk mengharungi hari-hari mendatang. Bagi saya, setiap hari banyak perkara baru yang dipelajari dan ia sentiasa mengujakan," terang Farah sambil memberitahu Rana Aswad mempunyai pelanggan tetap bukan sahaja dari Malaysia bahkan sejauh UK, Australia dan Paris.

Potongan longgar

Menggunakan pelbagai jenis fabrik seperti sifon, likra, kapas lembut dan quilt yang diimport dari Guangzhou, Korea, Vietnam dan Indonesia, rekaan jubah Rana Aswad terkenal dengan kemasan jahitan serta potongan yang menepati cita rasa pelanggan.


Rana Jezraa merupakan salah satu koleksi jubah Rana Aswad yang digemari pelanggan.


Antaranya seperti koleksi Rana Elaiza, Jezraa, Faye, Sophiena dan Dianne yang sering menjadi pilihan pelanggan. Selain itu, kebanyakan jubah tersebut mempunyai potongan yang longgar menjadikan wanita tampil sopan apabila memakainya.

Ditanya tentang rekaan fesyen Muslimah yang semakin banyak di pasaran namun tidak menepati kehendak syariah, Sinar mengakui perkara tersebut agak mengecewakan.

"Apabila bercakap tentang pakaian yang menepati kehendak syariah, ia memerlukan kefahaman dan kepercayaan tentang landasan yang ditetapkan oleh Islam itu sendiri. Penilaian yang bijak harus dilakukan oleh pengusaha pakaian dalam mengetengahkan fesyen Muslimah yang bersesuaian.

"Fitrah wanita sentiasa inginkan sesuatu yang cantik. Apatah lagi, wanita zaman ini kebanyakannya bekerjaya dan memerlukan mereka sentiasa berpenampilan kemas.

"Namun, sebagai seorang Islam, kita harus sentiasa beringat untuk bersederhana dan bersopan dalam pemakaian. Jadi, tugas kami sebagai pengusaha pakaian adalah untuk mencari titik keseimbangan antara nilai komersial terhadap koleksi yang ditawarkan dan landasan yang ditetapkan agar ia tidak keterlaluan dan berlebihan," terang Sinar mengenai isu tersebut.

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata itu, jenama Rana Aswad membekalkan seleksi pakaian yang sopan dengan rekaan jubah-jubah moden yang sesuai dipakai oleh setiap lapisan masyarakat dan ia bukan khusus pada wanita Islam sahaja.

"Jangan diletakkan batasan hanya kerana kami menggayakan ia dengan tudung atau selendang dan dianggap untuk golongan tertentu iaitu wanita Islam semata-mata.

"Tidak, sebaliknya kami turut mengalu-alukan pelanggan bukan Islam yang berminat untuk menggayakan pakaian sopan dalam kehidupan mereka sehari-hari," tutur Sinar sambil menegaskan pihaknya sentiasa berusaha untuk memperbaiki kelemahan dari semasa ke semasa.

Untuk perancangan jangka panjang, Rana Aswad bakal membuka butik di kawasan yang lebih strategik seperti Shah Alam dan beberapa cawangan lain dalam tempoh lima tahun akan datang.

FARAH (kanan) bersama kakaknya, Sinar berbincang tentang jenis fabrik seperti sifon untuk disesuaikan dengan rekaan jubah.


Sementara itu, pelanggan setia Rana Aswad, Mahidawati Mahraf, 33, mengakui koleksi jubah yang ditawarkan sangat istimewa.

Tambahan pula, sebagai seorang ustazah di Sekolah Kebangsaan Agama Bintulu, Sarawak, Mahidawati lebih gemar menyarung jubah dan tampil sopan di khalayak.

"Saya mula mengenai jenama tersebut kira-kira tiga tahun lalu melalui internet. Sejak itu, saya terus menjadi pelanggan setia mereka. Hingga kini, sudah lebih 40 pasang jubah Rana Aswad termasuk koleksi terawal telah saya miliki.

"Apa yang pasti, rekaan jubah Rana Aswad sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Biasanya, setiap rekaan saya akan beli beberapa warna. Ia sangat berkualiti dan saya selesa apabila memakainya," tutur Mahidawati ketika di hubungi Kosmo!.

Resipi kerabu bawa Iskandar ke Afrika Selatan

Posted:

Resipi kerabu bawa Iskandar ke Afrika Selatan

Resipi kerabu bawa Iskandar ke Afrika Selatan

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA


JURI turun padang bagi menyaksikan bagaimana peserta menyediakan sajian dengan resIpi istimewa masing-masing.


RIAK wajah mereka jelas menunjukkan debaran untuk menyediakan hidangan istimewa menggunakan ketuhar baharu daripada syarikat LG Electronics (LG).

Kelima-lima finalis Pertandingan Chef Amatur Tempatan berdiri cemas di hadapan stesen memasak masing-masing yang telah disusun rapi dengan peralatan asas memasak. Antara yang disediakan termasuklah bahan-bahan masakan, peralatan memasak seperti pisau, sudip, pengisar makanan, dapur gas dan sebagainya selain perkakas utama acara, ketuhar gelombang mikro lampu pemanas arang keluaran LG.

Dengan kiraan satu, dua dan tiga oleh pengacara majlis, peserta terus bergerak lincah menyediakan hidangan berdasarkan ramuan yang telah disediakan. Segala gerak-geri menunjukkan kesungguhan untuk dinobatkan sebagai juara pertandingan, sekali gus melayakkan diri mewakili Malaysia di Kejohanan LG Home Chef di Afrika Selatan pada 4 Disember lalu.

Kejohanan LG Home Chef yang kini memasuki edisi keenam memberi peluang kepada chef-chef amatur di seluruh dunia menunjukkan kemahiran kulinari masing-masing.

Bagi peringkat tempatan, penganjuran Pertandingan Chef Amatur Tempatan bermula pada 16 September sehingga 1 November lalu dan berjaya menarik sebanyak 40 penyertaan dari seluruh negara.

Gunakan ketuhar LG

Namun, hanya lima peserta peringkat akhir dipilih berdasarkan penghantaran resipi-resipi menarik yang boleh disediakan. Syaratnya, mereka perlu menggunakan ketuhar gelombang mikro lampu pemanas arang keluaran LG di laman rasmi syarikat perkakasan elektrik dan elektronik berkenaan.

Menurut Pengarah Urusan LG Electronic (M) Sdn. Bhd. (LG Malaysia), HK Kwon, tahun ini merupakan kali pertama Malaysia menghantar seorang wakil untuk menyertai kejohanan tersebut.

"Selain berentap dengan peserta-peserta lain, wakil negara juga berkesempatan untuk merasai pengalaman melihat budaya dan sajian makanan negara lain di seluruh dunia," katanya ketika merasmikan pusingan akhir Pertandingan Chef Amatur Tempatan di pasar raya besar Giant Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

SAJIAN ikan panggang dengan sos krim oleh William Sim.


Kwon menambah, pemilihan wakil negara adalah berdasarkan pemarkahan tertinggi yang dikutip sepanjang pertandingan.

"Antara faktor yang diambil kira termasuklah persembahan sajian, resipi, masakan yang mempromosikan gaya hidup sihat, teknik masakan dan kesesuaian penyediaan sajian menggunakan ketuhar gelombang mikro," jelasnya.

Dengan markah keseluruhan sebanyak 464, seorang penolong pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu, Muhd. Iskandar Ishak telah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Chef Amatur Tempatan.

Menurut Muhd. Iskandar, 28, dia tidak sangka sajian dada ayam sumbat kerabu yang direkanya sendiri mampu meraih markah tinggi berbanding peserta lain.

"Hidangan ini adalah cetusan ilham daripada aneka sajian yang saya tonton dalam rancangan masakan di saluran Asian Food Channel.

"Saya mengolah resipi dengan menggabungkan elemen Asia dan Barat. Kerabu menjadi pilihan saya kerana ia merupakan makanan tradisional kaum Melayu di Malaysia," ujarnya sambil memaklumkan hidangan yang dihasilkan turut mengambil kira khasiat makanan.

Selain hidangan utama yang terdiri daripada pelbagai jenis sayur-sayuran, hidangan yang ditampilkan turut menggunakan daun pegaga, buah tomato dan kobis ungu yang dijadikan sos.

Mengulas lanjut kemenangannya, Muhd. Iskandar memberitahu, dia sangat teruja untuk menjejakkan kaki ke Afrika Selatan dan mewakili negara dalam bidang masakan yang cukup diminatinya.

Gaya masakan

"Sebelum ini saya pernah memasuki dua pertandingan memasak pada tahun 2005 dan 2010, namun ini adalah kemenangan pertama saya. Saya belum pernah ke luar negara walaupun ke negara jiran seperti Indonesia dan Singapura.

"Jadi, melawat negara jauh seperti Afrika Selatan adalah hadiah terbesar yang pernah saya terima dan saya tidak sabar untuk ke sana dan menyaksikan gaya masakan peserta-peserta lain dari seluruh dunia," katanya.

Hidangan-hidangan lain yang disediakan finalis terdiri daripada ayam percik gulung, ayam masak mangga, ikan panggang dengan sos krim dan ayam panggang percik.

Menjadi tetamu pasangan Arab

Posted:

Menjadi tetamu pasangan Arab

Menjadi tetamu pasangan Arab


MELALUI makanan, umat Islam boleh merapatkan hubungan meskipun berlainan agama, budaya mahupun negara. - Gambar hiasan


KEHIDUPAN di Madinah berkisar kepada Universiti Taibah iaitu tempat bekerja dan Masjid Nabawi. Alhamdulillah, hampir setiap bulan kami mengunjungi Mekah menunaikan umrah. Sesekali saya dijemput untuk menyampaikan kuliah di Jeddah, Jubail dan Yanbo' di Arab Saudi.

Secara umum, kami sekeluarga tidak mempunyai ramai kawan dalam kalangan penduduk tempatan. Namun setelah lebih dua tahun bermukim di sini, hampir sepanjang tahun kami menerima tetamu terutama dari Malaysia yang mahu berziarah dan melawat kami sekeluarga ketika mereka menunaikan haji atau umrah. Inilah kawan atau kenalan baharu yang muncul dalam hidup kami sekeluarga.

Penghormatan

Melayani tetamu Allah merupakan satu penghormatan yang tidak dapat kami tolak. Malah, secara terbuka saya mempelawa khalayak pembaca buku dan rakan Facebook untuk berkunjung ke rumah kami berdasarkan beberapa peraturan mudah.

Pertama, kami hanya boleh menerima empat atau lima tetamu pada setiap malam. Kedua, mereka perlu mendengar tazkirah yang ingin saya sampaikan sebelum dijamu makanan yang dimasak oleh isteri. Ketiga, ia bergantung waktu senggang kami sekeluarga. Secara keseluruhannya, kami bergembira menerima tetamu dan ia bukanlah satu perkara membebankan.

Hakikatnya, kami mahu memuliakan tetamu Allah seperti satu hadis riwayat Muslim, 'Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah beliau memuliakan tetamunya.' Kami juga mahu menjadikan rumah sebagai taman syurga dengan mengadakan majlis ilmu yang boleh dimanfaatkan oleh tetamu.


SAHABAT Muhd. Kamil, Abu Salleh dan isterinya di laman rumah mereka yang dikelilingi bukit batu.


Namun kisah Nabi Ibrahim meraikan tetamunya yang diceritakan Allah SWT melalui terjemahan ayat 24-27 surah Adz-Zariyat mengaitkan kami dengan adab melayani tetamu.

"Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Ibrahim yang dimuliakan? Tatkala mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: 'Salam sejahtera kepadamu!', Ibrahim menjawab: 'Salam sejahtera kepada kamu!' (sambil berkata dalam hati): 'Mereka ini orang yang tidak dikenali.'

"Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: 'Silakanlah makan."

Namun prinsip memuliakan tetamu ini telah cuba kami amalkan sejak berada di Malaysia dalam konteks yang berbeza. Kenapa tidak? Ia sebahagian daripada sifat mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Namun kami mahu memuliakan tetamu agar mereka dapat menghampirkan diri kepada Allah.

Misalnya, jika mereka berkunjung ke rumah, bila masuk waktu solat akan saya ajak mereka ke masjid untuk sama-sama solat berjemaah. Itu pun jika mereka tidak dihadiahkan dengan jamak dan qasar. Tidak pula saya terpaksa meninggalkan keutamaan solat berjemaah di masjid kerana melayani tetamu.

Sebaliknya, biarlah tetamu pula dapat merasai apa yang sepatutnya dilakukan oleh seorang Muslim walau di mana saja mereka berada. Anak-anak saudara lelaki atau sesiapa sahaja yang bermalam di rumah akan saya kejut untuk solat Subuh di masjid. Ia tidaklah terlalu sukar untuk dilakukan jika berpaksi kepada prinsip melakukan sesuatu semata-mata kerana Allah.

Namun minggu lalu kami pula telah dimuliakan sebagai tetamu. Sungguh, kami dimuliakan sebagai tetamu mengikut adat dan budaya Arab.

Abu Salleh dan isteri merupakan pasangan Arab tempatan yang baru kami kenali. Itupun kerana Abu Salleh fasih berbahasa Melayu Indonesia. Beliau menegur kami ketika menunggu penerbangan pulang Jeddah-Madinah.

Ringkasnya, saya mengajak beliau dan isteri bertandang ke rumah untuk menikmati makanan Malaysia. Benarlah, makanan mempercepatkan proses hubungan antara manusia walaupun asalnya berlainan daerah, budaya dan adat resam.


SARAPAN ala Arab yang dinikmati di kaki gunung ini nampak ringkas tetapi amat istimewa.


Mereka terkejut dengan cara orang Malaysia melayani tetamu walaupun baru dikenali. Ketika beredar beliau berulang-kali menyebut: "Aku mahu bawa kamu sekeluarga ke kampung. Rumah ibu aku di gunung. Udaranya dingin. Kita lihat bulan dan bintang."

Benar, beliau bersungguh. Hampir setiap dua hari beliau menghubungi saya supaya bersetuju untuk ke kampungnya. Akhirnya kami tiba di perkampungan Arab bernama Musaygeed lebih kurang 100 kilometer dari Madinah. Di lokasi inilah, Baginda SAW berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan ke Badar bagi menghadapi kaum Musyrikin.

Udara segar

Rumah Abu Salleh terletak di kaki gunung. Penduduknya tidak sampai 1,000 orang. Rumah-rumah ala Arab (rumahnya tidak pernah siap) sudah banyak ditinggalkan. Anak-anak meninggalkan kampung halaman berhijrah ke kota.

Masya-Allah, dua hari di sini kami menikmati udara gunung yang sungguh segar. Kami berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat Subuh. Kemudian beliau memaksa saya, isteri dan anak memanjat bukit batu di sebelah rumah. Sayup pemandangan melihat pemandangan kampung yang mendamaikan.

Benar cerita orang. Tradisi bangsa Arab sememangnya berbangga menerima tetamu. Tambah-tambah lagi tetamu dari luar yang sanggup bertandang ke rumah mereka di kampung. Ia tergambar melalui hidangan makanannya, bahasa tubuh dan tutur kata.

Buktinya, kami hanya bercadang untuk tidur semalam tetapi terpaksa akur dengan kata-kata beliau: "Jika kamu pulang kita putus saudara." Tetamu menjadi saudara.

Hakikatnya, kami sekeluarga damai di sini. Di kaki gunung ini kami membayangi kesukaran perjuangan Baginda SAW yang telah memberi manfaat kepada kita semua.

Bertemu lagi minggu hadapan. Salam hormat dari Madinah.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat