Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST Oleh Muhammad Zikri Faridulatrash Md. Mokri (tengah) menyampaikan insentif Kukuh kepada seorang petani di Dewan Mesyuarat PPK Pontian Selatan, Pontian baru-baru ini. PONTIAN 27 Dis. - Bekalan sayur-sayuran dan bahan makanan lain di negeri ini dijamin mencukupi walaupun berlaku sedikit kenaikan harga disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini. Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Faridulatrash Md. Mokri berkata, pengguna tidak perlu panik dan bimbang kerana bekalan masih diterima walaupun berlaku banjir di beberapa negeri baru-baru ini. Beliau berkata, masalah kenaikan harga barangan juga masih terkawal dan pengguna dinasihatkan tidak membeli barangan melebihi keperluan bagi mengelakkan kekurangan bekalan. "Antara barangan yang menunjukkan peningkatan harga ketara adalah cili serta sayur-sayuran hijau seperti kacang buncis, kacang panjang dan sawi," katanya. Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Insentif Kukuh dan Program Ladang Kontrak kepada petani dan peserta pasar tani di Dewan Mesyuarat PPK Pontian Selatan di sini baru-baru ini. Pada majlis itu sebanyak 10 petani dan dua peniaga pasar tani menerima bantuan berjumlah RM5,000 di bawah Skim Insentif Kukuh bagi meningkatkan pengeluaran sayur- sayuran dan bahan makanan. Yang turut hadir, Penyelaras Ladang Kontrak FAMA negeri, Farid Abu; Pegawai FAMA Daerah Pontian, Daud Mohd. Nor dan PPK Pontian Selatan, Azahari Abdullah. Faridulatrash berkata, FAMA sentiasa memantau perkembangan tersebut supaya isu kenaikan harga tidak membebankan orang ramai dengan memperkenalkan skim harga istimewa di pasar tani. "Skim tersebut membolehkan peniaga menjual barangan keperluan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan dengan harga berpatutan, sekali gus memberikan keuntungan kepada pembeli," katanya. Mengenai ladang kontrak beliau memberitahu, setakat ini sebanyak 700 petani telah menyertai skim tersebut bagi memberikan mereka peluang untuk memasarkan pengeluaran menerusi FAMA. "Kedua-dua insentif kukuh dan ladang kontrak mampu menambah nilai para petani di negeri ini yang tidak lagi perlu bergantung kepada orang tengah bagi memasarkan pengeluaran mereka," katanya sambil berharap aktiviti pertanian akan terus menjadi sumber utama sesuai dengan slogan 'Pertanian adalah perniagaan' yang boleh memberikan pulangan lumayan kepada pengusahanya. |
300 murid terima beg sekolah, alat tulis Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST Adham Baba (tengah) menyampaikan beg sekolah kepada seorang kanak-kanak sempena Program Back To School di Balai Raya Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor, kelmarin. KOTA TINGGI 27 Dis. - Sebanyak 300 murid daripada keluarga kurang berkemampuan di kawasan Tenggara menerima bantuan beg sekolah dan alat tulis sumbangan Biro Mahasiswa Pergerakan Pemuda UMNO Tenggara, di sini semalam. Majlis penyerahan bantuan yang diadakan di Balai Raya Taman Kota Jaya itu turut mendapat kerjasama Sekretariat Anak Johor Darul Takzim (Sejati) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Kolej Komuniti Pasir Gudang dan Kelab Berkereta Royal Star Johor. Pengerusi program itu, Nor Hasrul Akmal Ngadiman berkata, sumbangan tersebut bertujuan meringankan beban yang ditanggung ibu bapa bagi menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka tahun depan. "Kami mengenal pasti penerima dalam kalangan keluarga yang berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan. Sumbangan ini diharap dapat menyuntik semangat mereka supaya belajar dengan lebih tekun dan seronok untuk memulakan sesi persekolahan minggu depan," katanya. Beliau juga berharap murid-murid berkenaan dapat memanfaatkan bantuan itu dan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah nasib dan masa depan keluarga masing-masing. Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Dr. Adham Baba yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja. Yang turut hadir timbalannya, Datuk Suhaimi Khalid dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Tenggara, Nor Adibah Safar. Program itu turut dimeriahkan dengan bengkel motivasi dan perkhidmatan menggunting rambut secara percuma oleh mahasiswa Sejati UTM dan pelatih Kolej Komuniti Pasir Gudang manakala Kelab Berkereta Royal Star Johor berkonvoi menghantar peralatan sekolah tersebut ke rumah murid-murid yang terpilih. Sementara itu Adham Baba berkata, pihaknya akan memperhebatkan lagi program seperti itu dalam usaha mendekati golongan muda supaya terus menyokong perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada masa hadapan. "Sokongan golongan muda amat diperlukan kerana mereka merupakan generasi pewaris kepada kepimpinan negara pada masa depan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |