{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


4,000 bantu mangsa banjir

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Sebahagian mahasiswi membersihkan sebuah sekolah agama di Sungai Isap 2, Kuantan, kelmarin.

KUANTAN 12 Dis. - Kejadian banjir di daerah ini minggu lalu yang dianggap bencana terbesar sejak beberapa dekad lalu bukan sahaja menduga mangsa terlibat malah turut menguji tahap keprihatinan anggota masyarakat.

Daripada apa yang dapat dilihat, kesungguhan rakyat negara ini untuk membantu mangsa banjir memang terserlah dengan bantuan demi bantuan terus dihulurkan kepada mangsa-mangsa terlibat.

Ini termasuk daripada syarikat korporat, parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), artis, orang perseorangan malah tidak terkecuali golongan pelajar.

Bagi yang berkemampuan, mereka menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan dan material manakala tidak kurang juga yang tampil menyumbang tenaga membantu mangsa banjir.

Apatah lagi, ketika ini ialah fasa pasca banjir yang memerlukan kudrat ramai untuk membantu mangsa banjir membersihkan rumah dan persekitaran.

Usaha ini termasuk yang dilakukan oleh 4,000 penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara yang menyertai Program Sukarelawan Siswa anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa bagi membantu mangsa banjir di sekitar daerah ini yang terjejas teruk.

Sukarelawan tersebut termasuk 2,000 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang digerakkan ke 60 pusat pemindahan di sini bagi membantu mengagihkan sumbangan seperti bekalan makanan, pakaian dan keperluan lain seperti tikar serta tilam nipis.

Menurut Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, UMP dilantik sebagai penyelaras program berkenaan dengan mewujudkan pusat pengumpulan yang akan berperanan mengumpul dan mengagihkan sumbangan dari seluruh negara.

"Selain UMP, IPTA yang terlibat ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Politeknik Sultan Ahmad Shah (Polisas) di sini.

"Selain bantuan membersihkan rumah dan pusat pemindahan, mahasiswa perubatan daripada UPM juga menawarkan khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Sungai Isap 2 di sini semalam.

Yang turut hadir, Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa, Datuk Zuraidah Atan.

Tambah Idris, UMP turut membatalkan kuliah semua mahasiswanya selama sehari bagi memberi laluan kepada mereka membantu mangsa-mangsa banjir.

"Pelantikan UMP sebagai pusat pengumpulan bantuan yang datang dari seluruh negara juga bertujuan melancarkan urusan pengagihan untuk mengelakkan berlakunya sebarang ketirisan," jelasnya sambil memberitahu sumbangan dapur memasak dan tilam nipis amat dialu-alukan.

Sementara itu, seorang pelajar, Muhammad Khir Tajul Ariffin, 23, berkata, dia bersama pelajar lain menerusi Kelab Sivil, Fakulti Kejuruteraan Awam UMP, turun padang membantu mangsa banjir sejak Sabtu lalu.

"Pada mulanya kelab kami bergerak sendiri membantu berdasarkan kemampuan. Saya bersyukur kerana pihak universiti menganjurkan program seperti ini agar kami turut sama membantu mereka yang terjejas.

"Saya berpuas hati apabila dapat menyumbangkan tenaga dalam menceriakan insan lain," kata mahasiswa tahun akhir yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam.

Bagi anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan, Noor Hasmida Mat Jahari, 20, dia berharap sumbangan yang tidak seberapa itu dapat mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh mangsa banjir.

"Saya sendiri berasa sebak apabila melihat kemusnahan harta benda akibat banjir. Saya harap mereka yang terlibat melalui ujian ini dengan sabar dan cekal.

"Selagi terdaya saya dan rakan- rakan akan membantu membersihkan rumah-rumah mereka yang terlibat," katanya mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri, UMP.

Sementara itu, seorang mangsa banjir, Fatimah Mohd. Idris, 72, dia berterima kasih kepada sukarelawan yang datang ke rumahnya untuk membantu membersihkan lumpur.

"Tiada apa yang dapat saya katakan melainkan jutaan terima kasih kepada sukarelawan yang membantu untuk membersihkan rumah. Jika hendak melakukan sendiri pastinya tidak termampu dilakukan dengan segera," jelasnya.

Buat kajian terperinci elak banjir

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang mangsa banjir di Taman Cenderawasih, Kuantan, Pahang, kelmarin.

KUANTAN 12 Dis. - Kajian terperinci perlu dilakukan pihak berkuasa bagi mencari mekanisme terbaik untuk mengatasi fenomena banjir agar tidak berulang.

Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkata, kajian tersebut perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk risiko yang bakal dihadapi untuk jangka masa yang panjang.

"Kajian ini perlu meliputi pelbagai aspek untuk jangka panjang termasuk punca-punca berlakunya banjir yang boleh diatasi.

"Saya sarankan sedemikian kerana melihat kesan fenomena ini kepada mangsa amat besar dan menyentuh hati.

"Dalam masa yang sama, saya berbangga dengan ketabahan mangsa banjir yang reda dengan ujian ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan di perkampungan Cenderawasih di sini semalam.

Tengku Abdul Rahman menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai, peralatan persekolahan dan kelengkapan solat kepada 500 mangsa banjir dari rumah ke rumah.

Yang turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Zulkifli Yaakob.

Sementara itu, seorang penerima, Nor Arshad Yahya, 55, amat berterima kasih kepada pemberi sumbangan termasuk Tengku Muda Pahang yang sanggup datang menyerahkan sendiri ke rumahnya.

"Saya lihat penyerahan sumbangan dari rumah ke rumah lebih efisien dan memenuhi hasrat para penyumbang.

"Selain sumbangan sampai terus ke tangan penerima, usaha ini dapat mengelakkan mereka yang layak tercicir," katanya yang merupakan Setiausaha Masjid Saidina Ummar Al-Khatab, Cenderawasih di sini.

Tambahnya, beliau banyak memerhatikan kebanyakan sumbangan tidak sampai kepada penerima jika diadakan di satu-satu tempat seperti dewan.

"Kita perlu menyedari hakikat bahawa dalam kalangan mangsa banjir terdapat mereka yang uzur dan kurang upaya.

"Ada juga yang trauma dengan kemusnahan harta benda dalam sekelip mata sehingga menyukarkan mereka untuk bergerak ke sana-sini menerima sumbangan," jelasnya.

Lapor segera keperluan mangsa banjir

Posted: 12 Dec 2013 10:08 AM PST

Mohd. Ariffin Awang Ismail (kiri) menyerahkan bantuan makanan kepada mangsa banjir di Kampung Chenor Seberang, Maran, kelmarin.

MARAN 12 Dis.- Ketua-ketua kampung perlu segera melaporkan kepada pemimpin setempat jika terdapat mangsa banjir yang memerlukan bantuan khususnya sumbangan makanan daripada agensi kerajaan terlibat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mohd. Arifin Awang Ismail berkata, ini berikutan tidak semua penduduk yang terjejas banjir memilih berpindah ke pusat pemindahan atas sebab-sebab tertentu.

Menurut beliau, di Chenor sendiri, banyak penduduk di kampung- kampung tradisional yang enggan berpindah dan mereka ini perlu diberi perhatian khususnya daripada segi keselamatan selain keperluan seperti ubat dan makanan.

"Walaupun rumah mereka masih boleh didiami, namun jalan perhubungan sudah terputus. Ini mengakibatkan penduduk yang tidak berpindah berhadapan masalah mendapatkan bekalan makanan dan kita harap ketua kampung dapat pantau perkara ini sebaik mungkin," katanya.

Mohd. Ariffin berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa banjir di Chenor Seberang di sini.

Sementara itu, beliau berkata, walaupun cuaca semakin baik tetapi paras air Sungai Pahang masih tinggi berikutan hujan di kawasan hulu sungai dan ini sekali gus boleh mengundang risiko banjir.

Sehubungan itu, beliau mahu penduduk khususnya yang tinggal di kampung-kampung pinggiran Sungai Pahang terus berwaspada dengan gelombang kedua banjir yang mungkin berlaku.

Beliau seterusnya mengingatkan penduduk mengutamakan kebersihan kediaman dan tempat tinggal bagi mengelakkan penyakit bawaan air.

"Untuk makluman, skuad bantuan yang menggunakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat adakalanya menghadapi kesukaran sampai ke lokasi kerana terdapat jaring menangkap ikan yang berselirat sekali gus boleh membahayakan mereka.

"Jadi saya harap penduduk dapat ambil kira semua situasi ini kerana yang penting adalah usaha memberikan bantuan," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat