Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Jaminan UMNO ibarat balas budi Posted: 04 Dec 2013 10:54 AM PST Oleh ZULKIFLEE BAKAR UMNO membuka tirai perhimpunan agungnya dengan satu jaminan akan terus membela nasib dan masa depan orang Melayu dan bumiputera. Jaminan yang dilafazkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri boleh dianggap satu balasan terhadap kesetiaan golongan itu yang terus bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu. Sememangnya itulah balasan paling wajar yang harus diberikan kepada golongan tersebut kerana atas sokongan merekalah UMNO terus menjadi tonggak kekuatan BN dan BN pula terus memerintah negara ini. Dalam mempertegaskan jaminan ini, UMNO tidak harus bimbang dan khuatir terhadap golongan tertentu yang mungkin berasa mereka dipinggirkan. Tetapi persoalannya, siapakah yang meminggirkan siapa? Selama ini UMNO dan BN cuba memberi keadilan dan membela semua kaum. Tiada sesiapa pun yang dikecualikan. Kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO melaksanakan pelbagai program, dasar dan tindakan atas matlamat memberikan kesejahteraan kepada rakyat secara keseluruhannya. Malangnya, apabila PRU-13 berlangsung, ada sebahagian besar daripada mereka lebih mempercayai pakatan pembangkang dan begitu yakin masa untuk menukar kerajaan sudah tiba. Bagaimanapun orang Melayu dan bumiputera masih kekal bersama BN, mereka tidak terpengaruh dengan agenda merebut kekuasaan yang diuar-uarkan oleh pakatan pembangkang. Biar pun pakatan itu turut disertai oleh Pas yang kononnya memperjuangkan Islam, namun orang Melayu tidak mahu terpedaya dengan mainan politik parti tersebut. Ia memandangkan biar pun dianggap salah satu parti yang menguatkan pakatan pembangkang namun Pas tidak memiliki kekuatan dalam kata sebenar. Pas sehingga ke hari ini tidak pernah secara terbuka menyatakan akan terus membela nasib dan masa depan orang Melayu. Malah satu ketika pemimpin mereka berkata, tidak bangga menjadi orang Melayu dan mereka dilihat begitu bimbang untuk mengetengahkan soal perjuangan orang Melayu demi menjaga hubungan dengan PKR dan DAP. Tetapi UMNO tidak perlu mempunyai keadaan sedemikian kerana memahami kekuatan yang ada kepada parti itu. Ia bukanlah bermaksud UMNO meminggirkan kaum lain, sebaliknya yakin kekuatan UMNO dan kekukuhan membela nasib orang Melayu serta bumiputera akan mampu membawa limpahan kesejahteraan kepada kaum-kaum lain. Penegasan dan jaminan yang diberikan oleh UMNO melalui Muhyiddin sudah jelas membuktikan bahawa dalam apa keadaan sekali pun, UMNO tidak pernah berganjak setapak pun dalam membela orang Melayu dan menjaga kesucian Islam. Ia selaras dengan ketegasan Muhyiddin yang menyatakan, ''UMNO akan terus mendukung tugas besar ini selagi UMNO wujud dan mendapat sokongan rakyat. ''Justeru, kepada mereka yang meragui ketegasan UMNO mempertahankan agenda bumiputera, katakan kepada mereka UMNO bukan parti picisan yang mudah tenggelam dalam arus perubahan.'' Sememangnya, kenyataan ini tepat sekali jika rentetan perjuangan UMNO dalam BN dikaji sejak dahulu. UMNO telah membuktikan dalam keadaan apa sekali pun, parti itu tidak pernah mempertaruhkan dasar perjuangan semata-matanya untuk mengekalkan kuasa. UMNO juga jauh sekali menggunakan pendekatan populariti bagi meraih undi, sebaliknya UMNO melalui kerjasama dan kesepakatan dalam BN sentiasa mengutamakan pendekatan berhemah dengan memastikan apa yang dijanji atau akan dilaksanakan adalah berdasarkan realiti. Ini berbeza dengan Pas dan PKR yang turut disertai oleh pemimpin dan ahli-ahli Melayu, dasar mereka boleh diubah, matlamat mereka boleh berubah dan perjuangan mereka sering tidak tentu arah. Berikutan keadaan itu, orang Melayu dan bumiputera seharusnya berasa lega dengan jaminan yang diberikan oleh UMNO kerana mereka kini mengetahui bahawa parti keramat orang Melayu tidak pernah hanyut dalam usaha mengekalkan kuasanya. Apa yang lebih penting, UMNO juga semakin menyerlahkan perjuangan parti itu bukan sahaja dalam soal kepentingan orang Melayu tetapi juga mempertahankan kesucian Islam khususnya dalam soal akidah Islam. Perkara itu terbukti apabila Muhyiddin menegaskan bahawa UMNO tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan yang mengancam akidah umat Islam di negara ini. ''UMNO sebagai benteng kepada agama Islam mengambil pendirian tegas menolak sekeras-kerasnya segala tuntutan yang bertentangan dengan hukum Islam, apatah lagi di sebalik kesedaran wujud cubaan tersusun merungkai institusi dan asas-asas Islam. '' UMNO juga tidak akan sesekali tunduk kepada tuntutan yang bercanggah dengan Perlembagaan seperti menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, menghina Islam, institusi raja, bahasa Melayu dan sebagainya,'' tegas Muhyiddin. Sekali lagi, ia membuktikan keberanian UMNO untuk menyatakan sesuatu yang benar biar pun, parti itu tidak pernah melaung-laungkan soal perjuangan Islam apatah lagi menguar-uarkan slogan berkaitan Islam berderet-deret. Namun jika dikaji telatah Pas, sekali lagi kita ingin bertanya apakah mereka secara lantang bercakap atau memberi jaminan seperti mana yang dilakukan oleh UMNO. Apa yang sering kita saksikan, parti itu biar pun mempunyai Dewan Ulama dan Majlis Syura namun tiada penegasan yang dibuat dalam soal ini. Ia bukan salah alim ulama dalam parti itu tetapi disebabkan oleh pengaruh politik PKR dan DAP yang meresap dalam kalangan sesetengah pemimpin Pas. Atas keadaan itu jugalah Pas dilihat teragak-agak dalam membantah tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) baru-baru ini ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya Malaysia mengiktiraf hak-hak individu untuk murtad dan mengamalkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Pas bukannya tidak tahu bahawa apa yang dilakukan oleh kumpulan tersebut adalah salah, tetapi Pas tidak seperti UMNO. Jika UMNO berani menyatakan yang benar itu benar yang batil itu batil, tetapi Pas membuat apa juga tindakan berdasarkan perhitungan politik. Justeru adalah diharapkan jaminan UMNO yang diberikan oleh Muhyiddin mengenai soal orang Melayu dan Islam ini akan memberi pemahaman kepada golongan itu untuk terus bersama-sama parti keramat tersebut. Kini apa yang lebih penting ialah bagaimana hendak menguruskan supaya mesej yang disampaikan oleh UMNO melalui Timbalan Perdana Menteri itu sampai ke peringkat akar umbi. Oleh itu, adalah wajar sebaik-baik sahaja perhimpunan agung ini selesai, seluruh jentera UMNO perlu bergerak agresif untuk bertemu dan memberi penerangan kepada rakyat khususnya kepada orang Melayu dan bumiputera. Berilah penjelasan dan penegasan kepada mereka bahawa UMNO sentiasa bersama mereka, akan membela nasib mereka, akan memperjuangkan masa depan mereka, mempertahankan akidah Islam mereka dan memartabatkan agama Islam. Semoga jaminan yang diberikan oleh UMNO dalam soal membela nasib orang Melayu dan bumiputera akan juga memberi isyarat bahawa parti itu tahu budi siapa yang perlu dibalas dan siapa pula yang perlu diajar bagaimana hendak membalas budi. |
Posted: 04 Dec 2013 10:54 AM PST Oleh NIZAM YATIM BARU-BARU ini umat Islam dikejutkan dengan tuntutan melampau Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang secara terbuka melobi negara-negara asing supaya mendesak kerajaan Malaysia mematuhi prinsip hak asasi tanpa batas. Antara tuntutan Comango itu adalah supaya kerajaan mengiktiraf hak individu termasuk orang Islam untuk menukar agama atau murtad dan juga memberi kebebasan kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk mengamalkan tabiat songsang mereka. Gabungan NGO terbabit turut mendesak dimansuhkan undang-undang yang menjadikan hubungan seks luar tabii seperti liwat sebagai satu kesalahan jenayah serta dihapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan undang-undang syariah serta menuntut kebebasan penyebaran fahaman Syiah. Mereka juga mendesak supaya enakmen-enakmen mengenai kesalahan jenayah syariah seperti khalwat, meminum arak, berjudi dan mengamalkan ajaran sesat dipinda atau dimansuhkan atas alasan mengganggu hak peribadi orang Islam. Keberanian Comango tersebut adalah berpunca kerana mereka turut mendapat sokongan daripada beberapa NGO Islam yang berfahaman sekular dan liberalisme yang menggunakan nama Islam sebagai topeng sahaja. NGO Islam yang bersekongkol dengan Comango ini cuba menyisihkan kehidupan beragama kepada satu amalan bersifat peribadi dan ia jelas sekali bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadikan Islam sebagai satu cara hidup yang perlu dilaksanakan secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Berikutan wujudnya ancaman daripada Comango ini, UMNO yang menjadi parti tonggak kepada Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara sudah pasti perlu melakukan bagi menghalang tuntutan yang bersifat cukup melampau itu. Sehubungan itu, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Selasa mencadangkan supaya dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan satu jaminan bahawa aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah pegangan umat Islam di Malaysia. Dalam erti kata lain, pegangan Ahli Sunnah yang berasaskan kepada al-Quran, hadis dan perkara yang dibawa oleh para sahabat, yang dilaksanakan di negara ini, tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa pun. Nama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dipopularkan oleh Abu Hasan Al-Asy'ari dan Abu Mansur Al-Maturidi setelah berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam ekoran kewafatan Rasulullah SAW terbukti telah berjaya membawa keamanan dan keharmonian di negara ini dan ia seharusnya terus dipertahankan. Keharmonian penduduk berbilang kaum dan agama di negara ini dapat dikekalkan kerana Ahli Sunnah Wal Jamaah mempunyai pegangan yang bersifat sederhana dan tidak mencela serta mengkafirkan orang yang tidak sealiran dengan mereka seperti Syiah. Dalam ucapannya, Muhyiddin menegaskan, pindaan Perlembagaan itu adalah selaras dengan prinsip UMNO yang tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan untuk mengancam akidah umat Islam. "Kita tahu bahawa sekarang ini terdapat satu bentuk cubaan yang tersusun untuk merungkai institusi dan asas-asas Islam di negara kita. Kerana itu, UMNO sebagai benteng Islam mengambil pendirian tegas menolak sekeras-kerasnya segala tuntutan yang bertentangan dengan hukum Islam. "UMNO tidak akan sekali-kali menghalalkan sebarang perbuatan dosa besar kononnya atas dasar menghormati hak peribadi. Yang haram di sisi Islam tetaplah haram. Tidak ada sesiapa yang boleh mengubah hukum Allah atas apa jua alasan sekalipun. "Kerana itu, UMNO mengalu-alukan pertubuhan-pertubuhan Melayu dan Islam yang lain untuk berganding bahu bersama-sama kita mempertahankan akhlak, moral dan akidah umat Islam," katanya. Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad yang mengulas cadangan Muhyiddin itu berkata, perkara itu adalah selaras dengan pandangan banyak NGO Islam di negara ini yang mahukan penegasan bahawa aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah pegangan umat Islam Malaysia dimasukkan dalam Perlembagaan tertinggi negara. "Bagi saya ucapan Timbalan Presiden UMNO yang bertajuk 'Menyambung Risalah Perjuangan Suci' adalah yang paling terbaik berbanding ucapan perasmian perhimpunan ketiga-tiga sayap sebelum ini. "Setelah lebih 60 tahun UMNO ditubuhkan, saya melihat wujud kesungguhan di pihak kepimpinan parti berkenaan untuk memartabatkan Islam secara lebih serius dan praktikal, bukan setakat retorik semata-mata. "Ucapan ini telah membuka satu dimensi baharu dalam usaha memartabatkan Islam yang sangat dialu-alukan oleh semua NGO Islam termasuk Muafakat," ujarnya. Menurut beliau, langkah seterusnya yang perlu dibuat adalah untuk mengemukakan usul secara formal di Parlimen bagi membolehkan Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan persetujuan dua pertiga wakil rakyat. "Kita mendesak semua ahli Parlimen pembangkang yang beragama Islam supaya turut sama menyatakan sokongan terhadap pindaan ini bagi memastikan Malaysia terus aman. "Kita juga berpendapat ahli Parlimen bukan Islam perlu sama menyatakan sokongan mereka kerana pindaan ini tidak menjejaskan kebebasan beragama di negara ini sebaliknya lebih bersifat mempertahankan formula keamanan negara yang telah terbukti berjaya," katanya. Menurut Ismail Mina, langkah meminda Perlembagaan Persekutuan yang kemudiannya disusuli dengan tindakan penguatkuasaan yang tegas mampu menyekat ajaran mungkar dan batil yang cuba dikembangkan oleh pihak tertentu di negara ini. "Ia bulan sahaja akan menyekat puak-puak liberal seperti Comango malah juga dapat mengelak berkembang subur fahaman-fahaman Syiah, Murjiah dan Mujassimah. "Saya yakin langkah terbaharu ini akan turut menyekat kemunculan kumpulan ajaran sesat seperti Ilmu Tajalli Ahmad Laksamana di Kelantan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |