Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- RM1.459 juta laksana NBOS-7
- TMM 2014 : Melaka destinasi pelancongan berbasikal
- Suami isteri rayu bantuan kewangan biayai anak hidap ketumbuhan di kepala
Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST Oleh FADZLY IZAB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, kementerian juga telah memilih dua kawasan sebagai projek perintis di negeri ini iaitu Rumah Pangsa Ujong Pasir dan Rumah Awam Kos Rendah Pulau Gadong 1. Menurutnya, program dua dalam satu itu adalah untuk mempertingkatkan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat melalui projek-projek kerjasama antara kementerian, jabatan atau agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan swasta. "Projek berimpak tinggi ini bertujuan untuk memastikan rakyat di sesuatu tempat merasai sendiri faedah dengan penggunaan perbelanjaan minimum dan dilaksanakan dalam tempoh masa singkat," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Rakan Taman dan Penyerahan Projek Strategi Lautan Biru Negara 7 (NBOS-7) di Rumah Awam Pulau Gadong, di sini semalam. Yang hadir sama Timbalannya, Sazali Muhd. Din; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Lim Ban Hong dan Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Mansor Sudin. Jelas Ismail, jumlah peruntukan yang diperoleh itu dibahagi kepada dua kawasan tersebut dengan Rumah Pangsa Ujong Pasir menerima RM744,000 manakala selebihnya RM715,000 bagi Rumah Awam Kos Rendah Pulau Gadong 1. "MBMB sebagai agensi pemantau telah memastikan beberapa projek di Rumah Awam Kos Rendah Pulau Gadong 1 dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan termasuk menaik taraf jalan masuk utama dengan kos RM25,000, menaik taraf longkang (RM190,000) dan membina sebuah dewan satu tingkat dengan gelanggang badminton bernilai RM500,000," ujarnya. Menurut beliau, program seumpama itu juga telah diadakan di Rumah Pangsa Ujong Pasir beberapa bulan lepas yang dilihat memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk di kawasan berkenaan terutama dalam mendapatkan kemudahan yang baik bagi menjalani kehidupan. Katanya lagi, segala pelaksanaan projek ini dipantau sepenuhnya oleh MBMB dari segi pelaksanaan dan kualiti kerja. ''Justeru, orang ramai diharap agar dapat menjaga segala kemudahan yang disediakan dan tidak melakukan kegiatan tidak berfaedah seperti vandalisme pada bangunan serta dewan demi kemudahan orang ramai,'' katanya. ''Semangat kerjasama di kalangan penduduk juga harus sentiasa dilaksanakan termasuk mengadakan gotong royong dan program keramaian melibatkan pelbagai kaum bagi menyemarakkan suasana muhibah di kalangan masyarakat," tambahnya. |
TMM 2014 : Melaka destinasi pelancongan berbasikal Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST GHAZALE Mohamad (dua dari kiri) melepaskan peserta Program Siri Kayuhan Basikal Pinggiran Bandar Melaka di Melaka, semalam. - UTUSAN/ Gaie Uchel MELAKA 22 Dis. - Tourism Malaysia Melaka memilih Kayuhan Basikal Pinggiran Bandar Melaka - Melaka Bike Ride Series sebagai ikon pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM 2014) di negeri ini. Pengarahnya, Jeffry Munir berkata, pemilihan basikal sebagai ikon pelancongan bertujuan membangkitkan nostalgia selain dapat mendorong rakyat mengamalkan gaya hidup sihat. Menurutnya, program Kayuhan Basikal Pinggiran Bandar Melaka dijangka mampu menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke negeri ini dan melawati beberapa produk dengan hanya berbasikal. ''Aktiviti pelancongan berbasikal adalah satu produk baharu yang berpotensi dipasarkan dan mampu menjana keuntungan. ''Sehubungan itu Melaka dilihat mampu menjadi salah satu destinasi pelancongan berbasikal yang menjanjikan kelainan bukan sahaja berkayuh di kawasan bandar tetapi beberapa kawasan tarikan sejarah dan warisan. ''Laluan di sekitar bandar dan luar bandar akan memberi pengalaman menarik kerana dapat menikmati gaya hidup kampong, nelayan, pantai, laut, pertanian dan dusun serta penternakan," katanya kepada pemberita pada program Kayuhan Basikal Pinggiran Bandar Melaka - Melaka Bike Ride Series di Pantai Puteri sempena Pesta Pantai 2013 di Pantai Puteri di sini hari ini. Program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad. Sebanyak 1,400 peserta menyertai kayuhan basikal sejauh 14.1 kilometer dan disertai beberapa kelab berbasikal bukan sahaja dari negeri ini tetapi juga dari luar. Antara peserta dari luar yang turut serta pada program tersebut ialah dari Shah Alam, Klang, Tampin, Seremban, Muar dan Segamat. Jeffry berkata, bagi tujuan tersebut pihaknya menyediakan pakej tersebut dengan harga serendah RM159 ke atas merangkumi penginapan dan sebagainya. Beliau menambah, program tersebut adalah usaha berterusan yang dilaksanakan Tourism Malaysia dalam mempelbagaikan aktiviti promosi dan pemasaran produk bagi tarikan pelancong di negeri ini. Jelasnya, aktiviti pelancongan berbasikal mampu menarik ramai pelancong domestik dan antarabangsa. Sehubungan itu katanya, bagi mereka yang berminat ingin menyertai pakej tersebut boleh mendapatkan maklumat melalui ejen pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Di samping itu ujarnya, mereka juga boleh melayari FaceBook, Tourism Malaysia Melaka bagi mendapat maklumat lanjut. |
Suami isteri rayu bantuan kewangan biayai anak hidap ketumbuhan di kepala Posted: 22 Dec 2013 10:18 AM PST N. Laakeshanash Kutty yang mengidap ketumbuhan di kepala kini dirawat di Hospital Melaka. MELAKA 22 Dis. - Sepasang suami isteri di sini merayu bantuan orang ramai bagi mengurangkan bebanan menampung kos rawatan penyakit dihidapi bayi lelaki mereka yang menderita ketumbuhan di kepala. Bapa kepada bayi itu, R. Nathan, 40, berkata, penyakit yang dihidapi anak bongsunya itu, N. Laakeshanash Kutty, berusia dua bulan, mula dikesan selepas tiga hari dilahirkan. Bayi tersebut kemudian terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka selepas doktor mendapati dia turut mengalami masalah paru-paru, pernafasan dan darah. "Pihak hospital akan membuat rawatan susulan biasa sekiranya keadaan anak saya bertambah baik namun jika keadaannya masih tidak berubah, doktor menasihatkan supaya dia menjalani pembedahan besar di bahagian otaknya. "Pembedahan tersebut pasti memerlukan kos yang tinggi dan saya risau tidak dapat membiayainya disebabkan saya hanya bekerja sebagai tukang gunting manakala isteri tidak bekerja," katanya yang tinggal di Rumah Awam Sri Siantan, Durian Tunggal di sini. Dia berkata demikian ketika ditemui dalam sidang akhbar di Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) di sini semalam. Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Wahab Latif serta Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Ab. Aziz. Sementara itu, Abdul Wahab berkata, pihaknya bersama Pembela BN telah mewujudkan satu tabung khas bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan. "Kami memahami penderitaan yang ditanggung ibu bapa kepada bayi malang ini dan amat berharap agar orang ramai turut sama dapat membantu menghulurkan bantuan serta sumbangan ikhlas kepada mereka," katanya. Sumbangan boleh dihulurkan terus kepada ibu bayi berkenaan, G. Santhi, 31, menerusi akaun Maybank miliknya 104022025001. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |