{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Selatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Selatan


Ambang 2014 dijangka meriah

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

MELAKA 24 Dis. - Sambutan ambang tahun baharu 2014 yang akan diadakan di Dataran Pahlawan dijangka meriah apabila pelbagai acara menarik diatur pada malam tersebut.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BBP), pejabat Ketua Menteri, Abd. Kadir Md. Idris berkata, sambutan kali ini dijangka lebih meriah kerana turut melancarkan sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM 2014) peringkat negeri yang akan disempurnakan Yang Dipertua negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Menurutnya, konsep sambutan kali ini akan menyerlahkan lagi produk-produk pelancongan terkini, persembahan kebudayaan pelbagai etnik, pertunjukkan bunga api dan persembahan artis yang dicungkil menerusi Bintang Melaka FM.

"Sambutan kali ini akan melibatkan orang ramai dan pelancong dari dalam serta luar negara untuk membanjiri Dataran Pahlawan sekali gus menyerlahkan kehebatan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama di dunia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Abd. Kadir berkata, dua kumpulan pemuzik dari Kombo Briged Seni dan Kombo Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan memeriahkan persembahan hiburan mengiringi artis-artis anak kelahiran negeri ini.

Menurutnya, majlis tersebut akan bermula pukul 9 malam hingga detik 12 malam tahun baharu yang akan dimeriahkan pertunjukkan bunga api selama lebih 20 minit.

Katanya, kerajaan negeri akan turut melancarkan Kalendar Acara Pelancongan 2014 sempena TMM 2014 menampilkan 96 acara sepanjang tahun depan, pelancaran Cuti-Cuti 1Malaysia Countrysite Melaka Bike Ride dan Pertandingan Fotografi Melaka.

Justeru katanya, pelancaran TMM 2014 peringkat negeri menyasarkan kedatangan 14 juta pelancong ke negeri ini tahun depan dapat direalisasikan dengan 96 acara diatur melibatkan pelbagai pihak yang terlibat dalam industri pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, sambutan tahun baharu 2014 akan menjadi titik tolak mengajak rakyat daripada pelbagai kaum dan etnik di negeri ini bersama-sama membantu kerajaan negeri sepanjang TMM 2014.

Sehubungan itu, Abd. Kadir mengajak orang ramai datang memeriahkan sambutan ambang tahun baharu 2014 di Dataran Pahlawan nanti.

Pemandu penting diri punca jalan sesak

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Sikap tidak bertanggungjawab pemandu meletakkan kereta di garisan kuning sambil bersembang dengan rakan adalah antara punca kesesakan di Jalan Bunga Raya, Melaka, semalam.

MELAKA 24 Dis. - Sikap mementingkan diri sendiri kalangan pengguna jalan raya terutama pemandu kereta yang meletakkan kenderaan mereka di tepi-tepi jalan merupakan antara punca berlakunya kesesakan teruk di bandar raya ini.

Pemandu yang mengambil langkah mudah meletakkan kenderaan mereka sesuka hati untuk berurusan di bank, pejabat pos mahupun pusat beli-belah itu jelas memberi kesan buruk kepada para pengguna jalan raya lain.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Jalan Laksamana, Jalan Bunga Raya, Jalan Temenggong dan Jalan Banda Kaaba di sini mendapati ramai pemandu memberhenti dan meletakkan kenderaan mereka di sisi jalan yang mengundang kesesakan di kawasan tersebut.

Seorang pengguna jalan raya, Hafis Helmi, 42, berkata, keadaan sesak di kawasan itu sering terjadi terutama pada waktu tengah hari dan petang.

"Kebanyakan pemandu sengaja memberhentikan kereta mereka untuk singgah di mana-mana tempat tanpa memikirkan kesan kesesakan yang boleh berlaku.

"Oleh itu, saya harap pihak berkuasa dapat sentiasa memantau kawasan ini terutamanya pada waktu puncak bagi menghalang orang ramai terus mengamalkan sikap buruk tersebut. Ini penting bagi menjaga nama baik Melaka dalam kalangan pelancong," katanya yang menetap di Alor Gajah.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Negeri Sembilan, Noor Azura Mohd. Amri, 29, memberitahu, dia dan keluarga sering berkunjung ke negeri ini walaupun keadaan jalan semakin sesak dari hari ke hari.

Jelasnya, kesesakan itu berlaku disebabkan sikap pengguna sendiri yang gemar memberhentikan kenderaan mereka terutamanya di kawasan sibuk dan dikunjungi ramai orang walaupun terdapat kawasan tempat letak kereta disediakan.

"Jadi, sikap pengguna itu sendiri perlu diubah demi kebaikan bersama seterusnya dapat mengelak masalah kesesakan ini daripada terus berlarutan," ujarnya.

Seorang peniaga di Jalan Temenggong, J. Kumar, 63, berkata, kesesakan di kawasan itu sering berlaku sejak lebih 20 tahun lalu.

"Masalah kesesakan jalan ini semakin teruk disebabkan pertambahan pengguna jalan raya serta pengunjung dari luar yang suka melawat tempat bersejarah di sekitar kawasan ini.

"Namun, ia menjadi lebih teruk apabila ada pengguna yang mementingkan diri berhenti untuk membeli-belah atau singgah di bank di kawasan tumpuan pengunjung ini.

"Walaupun tindakan diambil pihak berkuasa, orang ramai tetap terus melakukan kesalahan tersebut," jelasnya.

MyLesen bantu golongan muda dapatkan lesen motosikal

Posted: 24 Dec 2013 10:22 AM PST

Mohd. Fadhil Hassan

MELAKA 24 Dis. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri akan menganjurkan program MyLesen bermula tahun hadapan dalam usaha membantu pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal untuk mendapatkan lesen.

Pengarahnya, Mohd. Fadhil Hassan berkata, program yang memfokuskan golongan muda itu bakal diadakan pihak JPJ dengan kerjasama sekolah memandu bagi menggalakkan golongan tersebut mendapatkan lesen motosikal.

Menurutnya, melalui program yang turut diadakan di seluruh negara itu, para pengguna berpeluang untuk mendapatkan lesen motosikal kelas B2 dengan bayaran sebanyak RM198 seorang, jauh lebih murah berbanding biasa.

"MyLesen diharap dapat menarik serta menggalakkan lagi golongan muda yang masih tidak mempunyai lesen untuk mendapatkannya di samping turut memperoleh khidmat tunjuk ajar dan nasihat daripada pihak JPJ.

"Program ini juga secara tidak langsung diharap dapat menghindarkan golongan muda daripada terus melakukan kesalahan menunggang tanpa lesen yang membahayakan keselamatan," katanya dalam sidang akhbar selepas Operasi Motosikal di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) arah selatan dekat Bukit Piatu, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ negeri, Jaafar Yaakob dan Penolong Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Abdullah Kechut.

Jelas Mohd. Fadhil, walaupun program MyLesen memfokuskan golongan muda, ia turut dibuka kepada setiap peringkat umur pengguna yang masih belum mendapatkan lesen motosikal.

"Program ini akan dilakukan berterusan pada 2014 dalam usaha sasaran yang diletakkan JPJ Pusat untuk mencapai matlamat 1Rakyat 1Lesen," ujarnya.

Sementara itu katanya lagi, JPJ negeri turut akan memperkenalkan Skuad Muda 1JPJ bermula tahun hadapan yang akan memberi tumpuan bagi mengumpul seramai mungkin pengguna jalan raya terutamanya golongan muda sebagai ahli.

"Penubuhan skuad ini bertujuan membantu JPJ memberi kesedaran tentang keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya lain.

"Skuad ini akan terlibat sama dengan pelbagai program yang akan dilaksanakan JPJ bagi melibatkan orang ramai dalam memastikan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya dapat diserap kepada semua golongan tidak hanya oleh pihak penguat kuasa sahaja," tambahnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat