Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Harimau Muda A tetap ke Australia Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST Oleh SUFIAN HADI MOHD. SOJAK Ong Kim Swee KUALA LUMPUR - Segala pelaburan besar dan persediaan rapi yang diatur Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk skuad Harimau Muda bagaikan tidak berbaloi apabila mereka gagal mempertahankan gelaran, ditambah pula pulang dengan tangan kosong pada Sukan SEA Myanmar baru-baru ini. Sehingga kini, episod kekecewaan itu masih lagi menjadi bualan ramai meskipun hampir seminggu peristiwa tersebut berlalu, tidak kurang ramai yang memuji skuad emas itu. Dalam pada itu, mungkinkah babak sedih akan berlarutan sedangkan pelbagai ikhtiar sudah dipergiatkan, dan terbaru skuad Harimau Muda A disahkan bersaing dalam Liga Australia (Liga-A) musim 2014/2015 mulai Oktober tahun depan. Menurut Jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee, inisiatif tersebut wajar diteruskan walaupun skuad kendaliannya sedang meniti detik-detik yang mengecewakan. Memang itu tujuan kita sebenarnya, tidak bermakna sekali kita gagal, kita harus hentikan semua perancangan ini. Kalau tarik diri, bermakna kita pengecut dan kita tidak belajar sesuatu daripada pengalaman. Kita perlu menilai dan padang dari sudut positif. Bagi saya, kalu kita hantar mereka sana (Liga A) maka dari situ banyak pendedahan yang amat berguna dapat diterima. Ini pelaburan jangka masa panjang demi melihat perkembangan bola sepak negara semakin meningkat dan ia akan menguntungkan skuad negara satu hari nanti. Pemikiran di luar kotak perlu berterusan di mana rancangan rapi bukan sahaja pemain berusia 12 hingga 17 tahun sahaja, tapi ia melibatkan keseluruhan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam. Selain Harimau Muda A, turut mendapat tempias ialah Harimau Muda B yang bersaing di Liga Singapura manakala skuad bawah 19 tahun negara akan ke Vion, Slovakia pada Julai hingga November tahun depan selepas bersaing dalam Piala FAM. Spekulasi sama ada Kim Swee mahu terus kekal memacu Harimau Muda A selepas melalui detik pahit itu, beliau mengakui masih belum memikirkannya. Dalam bola sepak, macam-macam boleh berlaku, terutama jurulatih. Di mana-mana ada pilihan terbaik, itu sesuatu perkara yang saya akan fikirkan kemudian. Tapi buat masa ini biarlah saya berehat dulu. Apabila saya balik daripada bercuti nanti saya akan selesaikan semua masalah atau semua kata putus ke mana hala tuju saya selepas ini," katanya. Masa depan jurulatih itu terjawab kelmarin, selepas FAM memutuskan untuk melanjutkan kontrak Kim Swee yang berakhir 31 Disember ini. |
Hassan gesa jurulatih berundur Posted: 25 Dec 2013 10:02 AM PST Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD HASSAN meluahkan pendapatnya mengenai prestasi skuad sepak takraw negara di Sukan SEA Myanmar, 2013. KUALA LUMPUR - Bekas jurulatih negara, Hassan Sulaiman menggesa Jamaluddin Hassan meletakkan jawatan daripada skuad elit berikutan kegagalan anak-anak buahnya mengakhiri kemarau pingat emas lapan tahun Malaysia dalam Sukan SEA Nay Pyi Taw, baru-baru ini. Katanya, jurulatih negara itu terbukti gagal meluahkan ilmu dan taktikal sepaktakraw yang tepat dan berkesan kepada pemain sedangkan dia turut dibantu dua penolong jurulatih yang juga bekas pelibas dan tekong handalan kebangsaan, Iskandar Arshad dan Nordin Sabarudin. Hassan, jurulatih skuad juara Piala Raja Thai 1985, berkata: "Dalam laporan akhbar pun, dia pernah berkata selepas kalah acara berpasukan, sampai setakat itu sahajalah (menyandang jawatan ketua jurulatih negara). Jadi kotakan cakap itu dan berilah peluang kepada orang lain. "Pemain negara tidak boleh dipersalahkan. Mereka masih yang terbaik dan kemahiran serta daya juang pasukan kita tetap hebat seperti mampu mengejar Thailand yang bukan calang-calang lawan dalam perlawanan akhir antara regu Sukan SEA (sebelum kalah 16-21, 8-21). "Apit kanan kita (Mohd. Hanafiah Dolah) juga bagus ketika perlawanan akhir Siri Super 3 Istaf yang tewas 2-3 kepada Thailand (awal bulan lalu) tetapi dia dan regunya masih kekurangan 'senjata tambahan.'' Beliau berkata demikian di ibu pejabat Utusan Malaysia di sini, semalam. "Malang sekali tekong dan pelibas kita hanya terlalu bergantung kepada satu senjata bagi servis mahupun libasan. Sepatutnya apabila mewakili negara, mereka bermain ibarat askar yang berjuang dengan dibekalkan bukan sahaja senapang bahkan pistol, pisau dan bom tangan. "Itulah peranan yang sepatutnya dimainkan jurulatih - kenapa tidak terapkan apit kanan misalnya dengan tiga senjata - libasan kalih, gulung dan berhelah atau tandukan? Apit kiri juga tidak semestinya kerjanya hanya menyambut dan mengumpan bola. Dia juga perlu ada senjata bantuan. "Mana juga keserasian lambungan bola antara apit dengan tekong ketika memburu mata menerusi servis sampai asyik terkandas dan terkeluar? Apa yang Jamaluddin buat ketika Sukan SEA? Latihan pun sepenuh masa. Ke mana juga dua perunding kita dari Thailand (Prawet Intra dan Tawit Wongkluen)," tegasnya. Hassan turut menolak andaian bahawa kenyataannya ini mempunyai hasrat untuk cuba merebut jawatan Jamaluddin sebaliknya semata-mata demi sayangkan dan sedih dengan sepaktakraw Malaysia yang turut diaib Myanmar, Indonesia dan Laos di Nay Pyi Taw. "Saya bukan gilakan jawatan itu. Saya sayangkan permainan tradisi Melayu ini tetapi saya juga sedih apabila kita asyik kalah. Bila kali terakhir kita menang kejohanan antarabangsa atau kalahkan Thailand (sejak Sukan SEA Filipina 2005)," katanya. Sementara itu, deretan kekalahan pasukan negara tidak mematahkan semangat UMNO Bahagian Lembah Pantai untuk membantu mencungkil bakat baharu sukan ini dalam Kejohanan Sepaktakraw Lembah Pantai Piala Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada Sabtu hingga Ahad ini. Hadiah juara hingga pemenang ketiga hampir RM3,000 dalam kejohanan di Taman Angkasa Pantai Dalam, Kuala Lumpur ini menanti pemain bakat baharu tanpa had umur yang tidak pernah bermain semua kejohanan peringkat kebangsaan kecuali Sukan Malaysia dan Kejohanan Belia. Keterangan lanjut mengenainya boleh diperoleh daripada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai, Mohd. Nazri Abd. Rahman, 019-3675975 sebelum pukul 9 pagi Sabtu ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |