Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD Amirulhadi keluar dari bilik jawatankuasa tatatertib FAM selepas mendengar keputusan kes beliau di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. PETALING JAYA - Pemain tengah kontroversi, Amirulhadi Zainal didapati menandatangani kontrak yang sah dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk mewakili Johor Darul Tazim tetapi didenda RM25,000 kerana melanggar Peraturan Status dan Perpindahan Pemain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pemain berkenaan melakukan dua kesalahan di bawah Artikel 2 Perenggan 5(C)(i) dalam Lampiran 3A peraturan iaitu pertama, dia tidak mendedahkan keadaan sebenar kepada pasukan yang baharu ditandatangani (Johor Darul Tazim) tentang kontrak permainan yang terdahulu (Pahang). Kedua, dia tidak membuat pengesahan dengan pasukan Pahang (atau Persatuan Bola Sepak Pahang - PBP) yang dia telah tandatangani terdahulu bagaimana kedudukannya sebelum pergi kepada pasukan baharu dan (menandatangani) kontrak baharu," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam. Kata Takiyuddin, Amirulhadi dikehendaki membayar denda itu kepada FAM, namun mana-mana pihak sama ada pemain, PBP atau PBNJ yang jika tidak berpuas hati dengan keputusan ini, mempunyai tempoh tiga hari bekerja (tidak termasuk cuti umum) untuk membuat rayuan kepada FAM (Jawatankuasa Rayuan). Memandangkan kontrak PBNP tidak sah, maka pendaftaran pemain itu oleh Pahang juga tidak sah. Namun, PBNJ mesti berurusan balik dan merujuk dengan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM kerana ini kes istimewa mengenai sama ada dia sah didaftarkan atau tidak," katanya. Tanpa mahu mendedahkan alasan sebenar kontrak Pahang tidak sah dan didapati meragukan itu, kata Takiyuddin, secara umumnya sesuatu kontrak itu menjadi sah hanya kalau ditandatangani semua pihak berkenaan. Perlu dinyatakan jelas apakah terma dan syarat yang perlu dinyatakan atau dengan kata lain kalau tandatangani kontrak kosong, itu tidak sah. Kami mendapati ada keraguan dalam kontrak ini, justeru (Pahang) tidak berhak pada apa-apa pampasan perpindahan. Perjanjian dengan PBNJ sah kerana ketika (Amirulhadi) menandatangani perjanjian dengan mereka, dia dianggap bebas. Oleh kerana tiada kontrak sah, dianggap tiada kontrak (dengan Pahang). Denda itu kerana dia melanggar peraturan FAM dan dibayar kepada FAM, bukan Pahang atau Johor," katanya. Kata Takiyuddin, kes pemain itu dibuka kerana PBNJ telah menulis surat rasmi untuk meminta rujukan daripada FAM, malah jawatankuasanya memanggil kedua-dua pasukan berkenaan sebelum itu lagi kerana berasa isu kontrak pemain perlu diberikan perhatian serius oleh pasukan atau pemain yang melibatkan dokumen undang-undang dan boleh menjadi tidak sah jika tersilap. Sementara itu, jawatankuasa juga mengarahkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) membayar RM34,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL) berupa kos latihan pemain Harimau Muda A, Ahmad Hazwan Bakri yang sebelum itu mewakili Kuala Lumpur selama 34 bulan mulai 2008 hingga Oktober 2011. Isunya bukan siapa salah, siapa betul atau buat pusingan U tetapi berapa pampasan yang perlu diberikan kepada pasukan KL atas pemergian pemain ini ke Selangor. Formula kami yang berdasarkan peraturan status FAM dan FIFA hanya membenarkan kos latihan, bukan pampasan perpindahan. Pemain ini telah dilatih Kuala Lumpur selama 34 bulan bermula 2008 hingga Oktober 2011. Kos untuk melatih seorang pemain menjadi pemain yang baik tidak termasuk gaji ialah RM1,000 sebulan. PBKL menuntut dibayar RM200,000 manakala FAS menawarkan kurang daripada yang kami kenakan, RM25,000," jelasnya. |
Posted: 27 Dec 2013 11:01 AM PST PETALING JAYA - Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menangguhkan ke 7 Januari depan untuk membuat keputusan mengenai tujuh pemain Kuala Lumpur yang dituduh terlibat mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana 2013. Pengerusinya, Datuk Taufek Razak berkata, keputusan tidak dapat dibuat semalam bagi berlaku adil kepada semua pihak selepas jawatankuasa hanya sempat memanggil dua daripada mereka, Azizon Abdul Kadir dan Benedict Martin untuk memberikan keterangan dan membela diri. Ada lima lagi pemain (tidak sempat dipanggil walaupun hadir di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam). Kami memutuskan untuk memanggil baki mereka untuk dua kali lagi mesyuarat jawatankuasa dengan menangguhkannya ke 3 dan 7 Januari. Pendengaran 3 Januari akan melibatkan Syazwan Mohamed Rani, Mugilan Kartik Jaya Gobi dan Muhammad Azwan Jatin manakala 7 Januari bagi Sivaraj Sadubathi dan Mohamad Amirul Asraf Mohd. Noor. Jawatankuasa tidak dapat menyudahkan prosiding sebab banyak soal jawab dikemukakan dan kes ini dianggap serius jadi kami perlu memberi satu perbicaraan yang benar-benar terbuka dan adil kepada pihak yang kena tuduh dalam mempertahankan (diri) mereka terhadap dakwaan yang dikemukakan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat selama empat jam. Ditanya kemungkinan hukuman yang menanti jika mereka didapati bersalah pada 7 Januari ini, katanya: Hukuman maksimum digantung seumur hidup dan denda RM50,000 tetapi buat masa ini, (hukuman) pemain rendah sikit, minimumnya lima tahun berbanding pegawai, 10 tahun. Namun ada peruntukan hukuman dalam peraturan jawatankuasa tentang kes mengatur keputusan perlawanan atau rasuah yang membenarkan penggantungan seumur hidup dan tidak diberikan peluang merayu." Menurut Taufek, boleh dikatakan kesemua 22 perlawanan Liga Perdana Kuala Lumpur musim 2013 mempunyai kaitan dengan tuduhan mengatur keputusan perlawanan dan kes mereka mulai disiasat sejak kekalahan pasukan itu 5-0 kepada Sime Darby atas daya usaha pihaknya. Bila hujung terlerai, maka yang pangkal juga akan terlerai. (Dalam kes ini) tertuduh mewakili diri sendiri, namun dalam Perkara 16.3 Kod Tatatertib FAM 2012, mereka boleh diwakili Setiausaha Kerja, Agung atau Kehormat persatuan bola sepak negeri atau kelab tetapi peguam tidak dibenarkan langsung. Jika tertuduh didapati bersalah tetapi sudah menandatangani bermain dengan pasukan lain, pasukan itu masih dibenarkan menggantikannya dengan pemain lain," ujarnya. Minggu lalu, jawatankuasa ini mengenakan hukuman penggantungan seumur hidup dan denda RM20,000 setiap seorang ke atas lima pemain (Phoo Kai Lun, Jeremy Danker, Hafizi Roslee, Khairul Anuar Shafie dan Fadhlullah Yunsifar); jurulatih pasukan dari Slovakia, Stanislav Lieskovsky dan dua pegawai, Rosli Omar dan Shaari Jani. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |