Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Suami terharu bomba buat penerbangan ihsan
- Wiba beri bantu 150 peserta E-Kasih
- RM27,000 dikutip dalam majlis amal
Suami terharu bomba buat penerbangan ihsan Posted: 28 Dec 2013 09:32 AM PST Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia membuat penerbangan ihsan membawa Chai Mi Chin yang bakal bersalin anak kembar di Hospital Sultanah Nur Zahirah semasa pendaratan di Kuala Terengganu, kelmarin. KUALA TERENGGANU 28 Dis. - Keprihatinan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berpangkalan di Subang yang sanggup melakukan penerbangan ihsan terhadap seorang wanita yang bakal bersalin bayi kembar membuatkan suaminya berasa begitu terharu. Khoo Ken Lian, 30, berkata, isterinya, Chai Mi Chin, 30, terpaksa diterbangkan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) disebabkan pusat itu kekurangan doktor pakar yang boleh menangani kes kelahiran bayi kembar. Beliau berkata, disebabkan masalah itu, HSNZ dipilih kerana merupakan lokasi paling hampir, selain mempunyai doktor pakar yang berkaitan. "Kandungan isteri saya mengalami masalah tekanan darah sehingga mengakibatkan doktor terpaksa mengesyorkan kepada saya dan isteri untuk melakukan pembedahan. Saya harap semuanya berjalan dalam keadaan selamat," katanya di sini semalam. Penerbangan ihsan yang memakan masa selama hampir dua jam selamat mendarat di padang bola ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Terengganu kira-kira pukul 4.30 petang semalam sebelum pesakit tersebut dikejarkan ke HSNZ dengan sebuah ambulans. Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba dari Pangkalan Udara JBPM Subang, Faridullahamin Mohd Noh, pihaknya berpuas hati kerana penerbangan tersebut berjalan lancar tanpa sebarang masalah cuaca. |
Wiba beri bantu 150 peserta E-Kasih Posted: 28 Dec 2013 09:32 AM PST Sebahagian peserta E-Kasih menghadiri Program Seminar Hidup Luar Biasa anjuran Wiba di Kota Bharu, Kelantan, semalam. KOTA BHARU 28 Dis. - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Wanita Dalam Bisnes Malaysia (Wiba) menganjurkan Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan bagi membantu 150 peserta E-Kasih di negeri ini untuk menambah pendapatan, seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan. Pengerusi Wiba, Nor Faizah Mohd. Nor berkata, melalui program tersebut, pihaknya diberi tanggungjawab oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk melatih peserta E-Kasih dalam tiga bidang iaitu spa dan kecantikan, peruncitan serta jahitan. Beliau berkata, peserta pada permulaannya mengikuti Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan berdasarkan kecenderungan masing-masing selama 10 hari dan kemudiannya dipantau secara bulanan oleh pembimbing Wiba. "Sasaran kita adalah menambah pendapatan asal golongan miskin, sekurang-kurangya RM300 sebulan dan program ini tidak khusus kepada golongan wanita sahaja. "Setakat ini, 75 peratus daripada peserta kita sudah melepasi sasaran itu dan hasil kegiatan perniagaan ataupun peluang pekerjaan terbuka selepas mempunyai kemahiran," katanya kepada pemberita selepas Program Seminar Hidup Luar Biasa anjuran Wiba di Hotel Perdana, di sini hari ini. Sementara itu, seorang peserta, Mohd. Yusuf Hassan, 47, berkata, melalui program tersebut, dia mendapat pendedahan mengenai perniagaan melalui dalam talian. "Saya hanya peniaga pasar malam. Saya tidak tahu dan tidak pernah menggunakan komputer. Kursus peruncitan Wiba telah mendedahkan kepada saya cara mengembangkan perniagaan melalui dunia internet dan saya juga telah diberi bantuan kemudahan komputer riba oleh kementerian ini. "Saya membuka akaun Facebook dengan nama 'Jubah Lelaki Mekah', di samping turut menggunakan kemudahan laman sesawang mudah.my dan sekarang dalam proses mengadakan laman web sendiri," katanya. Katanya, melalui cara perniagaan tersebut, dia dapat menambah pendapatan daripada RM600 kepada lebih RM1,000 sebulan. Mohd. Yusuf yang berasal dari Pasir Mas berkata, dahulunya dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya mula berniaga kecil-kecilan sejak empat tahun lalu tanpa sebarang ilmu perniagaan khusus sehinggalah mendapat peluang setelah berdaftar sebagai peserta E-Kasih. Seorang lagi peserta E-Kasih, Nik Nor Shafarah Long Mazalan, 22, berkata, dia menjalani latihan spa dan kecantikan dan kini berupaya menawarkan perkhidmatan itu secara sambilan dari rumahnya di Pasir Tumbuh di sini. "Saya bekerja sebagai kerani dengan gaji RM600 sebulan sahaja tetapi dengan kemahiran baharu ini, pendapatan saya mula bertambah secara purata RM300 sebulan," katanya. |
RM27,000 dikutip dalam majlis amal Posted: 28 Dec 2013 09:32 AM PST KOTA BHARU 28 Dis. - Lebih 500 orang hadir pada Majlis Malam Amal Rumah Seri Kenangan - Rock Kapak Ali XPDC di Pusat Dagangan Kelantan, di sini malam tadi. Majlis yang dianjurkan oleh A&A Success Event Management dengan kerjasama De' Glitz Event Management itu memberi peluang kepada orang ramai berhibur sambil menderma melalui penjualan meja untuk makan malam. Bertemakan Rock Kapak, majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan oleh penyanyi rock terkenal termasuk Ali XPDC, Aju Success, Izam EYE dan Afee U-topia. Ia dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Aziz Derashid. Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kelantan, Md. Noor Chik. Sementara itu, Abdul Aziz ketika berucap pada majlis tersebut berkata, majlis tersebut diadakan khusus untuk mengumpul dana bagi membantu mereka yang memerlukan. "Ia juga bertujuan meningkatkan sumbangan dalam memberi keselesaan kepada penghuni Rumah Seri Kenangan serta komuniti orang kurang upaya (OKU). "Saya amat berterima kasih kepada penyumbang yang telah bersama-sama menjayakan kutipan derma ini bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik ini," katanya. Beliau berkata, program kebajikan seperti itu perlu diteruskan bagi menarik lebih ramai masyarakat di luar sana untuk tampil memberi sumbangan. "Pada majlis ini kita telah mengutip sebanyak RM27,000 hasil daripada penjualan meja, namun ia masih lagi tidak mencapai sasaran yang diinginkan. "Walau bagaimanapun, kita akan memastikan lebih banyak program sebegini dilaksanakan untuk membantu mereka," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |