Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Adenan pakar pendamai BN Sarawak Posted: 12 Feb 2014 11:52 AM PST Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng menyerahkan watikah perlantikan sebagai Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak kepada Adenan Satem selepas mengangkat sumpah di Astana, Petra Jaya, pada tahun 2011. SEJAK Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengesahkan pengundurannya pada Sabtu lalu, 'nujum politik' cenderung memilih Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu. Nama Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan juga lebih ke hadapan berbanding Tan Sri Adenan Satem. Walaupun 'nujum politik' mengakui kemampuan Adenan untuk menggalas tugas Ketua Menteri, faktor kesihatan seringkali dijadikan alasan untuk meletakkan Menteri Tugas-Tugas Khas itu sebagai 'calon simpanan'. Namun hari ini, Abdul Taib yang diberikan mandat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk memilih pengganti telah menamakan Adenan yang juga bekas adik iparnya sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima. Pemilihan itu sebenarnya tidak mengejutkan pemerhati politik Sarawak kerana selain pernah hampir menggantikan Abdul Taib pada 2006, Adenan juga merupakan seorang strategis politik kepada Ketua Menteri selama 33 tahun itu. Adenan adalah tulang belakang kekuatan politik Abdul Taib sebagaimana timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang mendapat bantuan daripada Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Bagi yang tidak mengenali Adenan dengan rapat, beliau sering disalah anggap sebagai sombong kerana raut mukanya yang serius. Sedangkan beliau sebenarnya sangat fokus apabila membuat kerja dan wajah yang serius itu menunjukkan otaknya ligat berfikir. Disifatkan sebagai low profile dan tidak banyak cakap, Adenan bukanlah pemimpin yang menunjuk-nunjuk sehingga ada kalanya beliau seperti keseorangan dalam dunia politik. Walaupun tidak mempunyai penyokong yang ramai sebagaimana Abang Johari dan Awang Tengah, taring politik Adenan amat digeruni pembangkang. Pada awal 2011, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian dengan angkuh mencabar Abdul Taib atau mana-mana pemimpin BN Sarawak berdebat tentang isu tanah hak adat bumiputera (NCR) yang merupakan antara modal utama pembangkang. Pantang dicabar, Abdul Taib menamakan Adenan yang pada masa itu Penasihat Khas Ketua Menteri menyahut cabaran itu. Mengetahui kredibiliti Adenan, Baru akhirnya menikus. Melihatkan Baru menikus, Adenan secara bersahaja menyindir kenapa perlu takut kerana beliau bukannya sesiapa malah seorang yang 'straight', bagi mengusik supremo PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terpalit dengan isu moral. Cubaan pembangkang untuk mengganyang BN dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dalam isu NCR sentiasa menemui jalan buntu kerana beliau yang merupakan pakar undang-undang dan banyak membaca sentiasa bersedia dengan fakta dan angka. Adenan juga sering turun padang bagi menyelesaikan isu tanah NCR dengan memberi penjelasan di peringkat kampung dan jika masih ada yang tidak berpuas hati, majlis dialog akan diadakan. Abdul Taib Mahmud (kanan), dipeluk oleh Adenan Satem (kiri) selepas mempengerusi Mesyuarat Komponen BN Sarawak di Ibu pejabat parti itu, di Kuching, Sarawak, baru-baru ini. Seorang bekas wartawan politik kanan yang berkhidmat dengan beberapa agensi berita di Sarawak sewaktu diminta pandangannya mengenai Adenan, secara spontan menjawab: "Dia seorang yang fantastik". Katanya, bakal Ketua Menteri itu seorang yang bijak mengawal emosi malah tetap ceria walaupun berdepan dengan masalah besar. "Pada 1998, berlaku masalah jerebu yang teruk akibat pembakaran hutan di Kalimantan. Apabila saya minta komen, dia berseloroh apa kata kita buat kipas yang besar dan tiup balik asap ke Indonesia, ini projek besar," katanya. Mengulas lanjut, beliau memberitahu Adenan juga bijak berdiplomasi walaupun hanya dengan wartawan. Sikap itu dikagumi kerana layanan ahli politik kepada wartawan di Sarawak tidak menyamai layanan yang diterima rakan-rakan sejawatan mereka di Semenanjung. "Masa itu ada isu panas, bila minta reaksi, dia ajak makan dahulu. Selepas makan, dia sambil ketawa beri alasan mengantuk sebab kenyang dan minta datang esok. "Kalau tunggu di kereta pula, dia dari jauh lagi akan kata, dah lama saya tunggu di pejabat tadi, sekarang kena balik sebab ada hal penting. "Tanyalah apa sahaja isu, dia tidak akan menengking. Kalau dia kurang gemar, jawapannya bernada sarkastik. Tetapi kalau muka dia masam, itu jangan dikacau," katanya. Beliau turut berkongsi kisah bagaimana Adenan pernah fobia untuk menaiki helikopter kerana amat terkesan dengan kematian seorang rakan baiknya yang juga banyak membantu dalam mendamaikan konflik dalaman BN Sarawak iaitu Dr. Judson Tagal. Judson yang merupakan Menteri Muda Sarawak, maut dalam nahas helikopter pada Julai 2004 sewaktu dalam perjalanan ke Ba'Kelalan daripada Bario. Kebimbangan Adenan berasas apabila pada September tahun yang sama, beliau nyaris menjadi mangsa nahas helikopter di Asajaya yang mengorbankan lima nyawa. "Dia sepatutnya menaiki helikopter itu tetapi Jabu minta Adenan naik helikopter bersamanya yang lebih besar. Jika tidak, dia mungkin sudah tiada dan tidak berpeluang menjadi Ketua Menteri," katanya. Dalam aspek politik pula, Adenan diiktiraf ramai sebagai individu belakang tabir yang bekerja keras mendamaikan pergolakan dalaman komponen BN Sarawak seperti krisis Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP). Lantaran itu, banyak pihak melihat pelantikan Adenan dibuat di atas faktor pendamai yang dimilikinya. Dikhuatiri berlaku pertembungan di antara kem Abang Johari dan Awang Tengah jika salah seorang daripada mereka dipilih sebagai pengganti Abdul Taib. "Walaupun Adenan tiada penyokong seramai Abang Johari atau Awang Tengah, beliau dihormati oleh mereka. Itu kelebihan Adenan walaupun sedikit uzur. "Ramai yang beranggapan Adenan adalah 'care taker' bagi meredakan suasana panas sebelum menyerahkan tampuk kepimpinan kepada salah seorang daripada dua tokoh ini. Bila? Itu terpulang kepada percaturan dan perkembangan politik Sarawak selepas ini," kata seorang pemerhati. Kebimbangan itu amat relevan kerana masa depan BN di Putrajaya amat bergantung kepada kestabilan politik Sarawak. Adenan bukan sahaja berdepan tugas berat untuk menjaga perpaduan dalam PBB malah perlu menyelesaikan masalah dalaman parti komponen BN Sarawak iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sebelum pilihan raya negeri akan datang. Justeru, pelantikan Adenan perlu diterima secara positif oleh semua pihak. Kematangan politik dan kerjasama penuh amat diperlukan kerana peralihan kuasa tidak sepatutnya menjadi bom jangka yang akan meranapkan struktur politik nasional. Hormatilah pengorbanan Adenan yang memikul tanggungjawab besar walaupun beliau sendiri mempunyai masalah kesihatan. Terima kasih Pehin Sri, selamat bersara. Tahniah Tan Sri Denan, selamat bertugas. |
Kontroversi KRI Usman-Harun perlu selesai secara baik Posted: 12 Feb 2014 11:52 AM PST Oleh Azmi Hassan AGAK memeranjatkan apabila ketegangan hubungan diplomatik di antara Jakarta dan Singapura masih berlarutan ekoran kontroversi penamaan kapal perang tentera laut Indonesia (TNI-AL) kerana pada dasarnya isu panas antara dua negara jiran itu lazimnya akan menjadi kendur setelah masa berlalu. Tetapi setelah dua minggu berlalu keadaan menjadi lebih rumit apabila kerajaan Singapura membatalkan mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara berhubung kerjasama dalam sektor pertahanan. Bukan setakat itu, Singapura juga menarik balik jemputan kepada 100 pegawai Tentera Indonesia untuk menghadiri Pertunjukan Udara yang baru bermula dua hari lepas di Pusat Pameran Changi. Kontroversi bermula apabila TNI-AL menamakan salah satu dari tiga kapal perang baharu mereka sebagai KRI Usman-Harun 359 sempena mengambil nama dua anggota askar marin Indonesia iaitu Sarjan Kedua Usman bin Haji Muhammad Ali dan Koperal Kedua, Harun bin Said. Penamaan kapal tersebut menjadi isu sensitif kerana kedua-dua marin tersebut terlibat dalam satu peristiwa pengeboman di Orchard Road, Singapura pada tahun 1965 yang mengakibatkan tiga terbunuh sementara 33 lagi rakyat Singapura cedera. Pada 1968 kedua-duanya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah Singapura. Tetapi bagi Indonesia askar marin tersebut dianggap sebagai wira dari era konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia pada 1960-an. Kedua-dua askar marin tersebut juga telah disemadikan di Taman Makam Pahlawan Kalibata, Jakarta. Penamaan nama kapal milik tentera laut dengan mengambil nama wira atau pahlawan sesebuah negara adalah satu perkara lazim. Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga mempunyai peruntukan yang serupa. KD Hang Tuah umpamanya adalah sebuah kapal perang frigat TLDM sempena mengambil nama pahlawan Melayu zaman Kesultanan Melaka. Perlu ditekankan selain daripada penamaan kapal perang KRI Usman-Harun, dua lagi kapal baharu yang bakal dimiliki oleh TNI-AL juga diberi nama wira Indonesia iaitu KRI John Lie 358 dan KRI Bung Tomo 357. John Lie umpamanya dianggap wira Indonesia kerana bertanggungjawab membekalkan senjata yang diseludup dari Malaysia (Malaya pada ketika itu) kepada pemberontak Indonesia yang menentang penjajahan Belanda pada 1940-an. Menyingkap kembali sejarah konfrontasi, hubungan Singapura-Indonesia sememangnya tegang selama beberapa tahun sebaik sahaja Usman dan Harun dijatuhkan hukuman mati pada 1968. Tetapi episod ini dianggap berakhir apabila pada 1973 Perdana Menteri Singapura ketika itu Lee Kuan Yew melawat dan menabur bunga ke atas makam kedua-dua anggota marin tersebut. Bukan satu perkara yang pelik apabila Singapura membuat bantahan penamaan kapal perang tersebut kerana isu itu masih dianggap sensitif walaupun telah lama berlalu. Bagi Indonesia pula adalah tidak adil untuk memaksa mereka menarik balik penamaan kapal tersebut kerana pada dasarnya itu adalah hak mereka. KRI Usman-Harun adalah sebahagian daripada Armada Kawasan Timur TNI-AL dan akan berpengkalan di Surabaya. Tetapi sebagai kapal perang besar kemungkinan aktivitinya tidak terhad di perairan berdekatan seperti Laut Jawa sahaja tetapi juga boleh mencakupi Selat Melaka dan juga Selat Singapura. Sebab itu dapat difahami mengapa Singapura membantah kerana KRI Usman-Harun mampu membangkitkan kembali sejarah hitam era Konfrontasi. Salah satu dalil yang digunakan oleh kerajaan Singapura dalam membuat bantahan adalah kerana mengambil kira perasaan dan pendapat umum rakyat mereka. Walaupun tidak dinyatakan secara spesifik apakah pandangan umum tersebut, tidak sukar untuk memahami maksud yang cuba disampaikan. Singapura sebenarnya amat memahami maksud tersurat penamaan kapal adalah di atas dasar menghargai jasa wira Indonesia. Tetapi apa yang lebih penting apakah wujud maksud tersirat dari pihak Indonesia? Tetapi seperti yang ditegaskan oleh Menteri Luar Indonesia, Marty Natalegawa bahawa Indonesia tidak pernah bermaksud untuk menyinggung perasaan Singapura berhubung penamaan KRI Usman-Harun. "Kami ingin sampaikan bahawa kami sama sekali tidak ada maksud mahu bermusuhan. Tidak sama sekali," tegas Marty lagi. Hubungan diplomatik antara kerajaan Singapura dan Indonesia telah melalui berbagai fasa dan begitu penting hubungan sihat ini dikekalkan demi kemakmuran rantau Asia Tenggara. Malah sebagai ahli ASEAN sepatutnya episod ini dapat diselesaikan dengan baik supaya hubungan antara rakyat, perdagangan dan tentera tidak turut terjejas. Singapura dan Indonesia banyak kali melalui peristiwa yang membuatkan hubungan kedua-dua negara menjadi tegang. Umpamanya pada lewat 1990-an ketika krisis kewangan melanda Asia Tenggara, Presiden Indonesia, B.J. Habibie telah melabelkan Singapura sebagai negara titik merah yang kecil kerana tuduhan negara pulau yang kaya itu bukan sahaja enggan membantu tetapi mengambil kesempatan terhadap jiran-jiran berdekatan yang dilanda masalah kewangan. Walaupun Singapura telah membuat bantahan diplomatik dan Indonesia pula bertegas dengan keputusan asal mereka, hubungan antara negara ASEAN sebenarnya adalah begitu unik kerana pertalian sejarah yang begitu rapat. Apa sahaja isu yang melibatkan hubungan diplomatik antara kerajaan empat negara iaitu Singapura, Indonesia, Brunei dan Malaysia sudah pasti turut melibatkan hubungan antara rakyat negara berkenaan. Sebab itu diandaikan walaupun isu KRI Usman-Harun di atas landasan rasmi dilihat begitu kontroversi dan amat sukar untuk diselesaikan, tetapi bersandarkan sejarah lampau hubungan antara keempat-empat negara ASEAN ini, sudah pasti episod ini mampu diselesaikan secara baik. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |