{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Mahkamah

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Mahkamah


Rayuan kes liwat tangguh

Posted: 12 Feb 2014 11:52 AM PST

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 12 Feb. - Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira memberi keterangan bagi membolehkan beliau mencabar kredibiliti saksi pendakwaan itu dalam kes liwat yang dihadapinya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Aziah Ali memutuskan demikian sebulat suara selepas mendapati Ketua Pembangkang itu gagal memenuhi kesemua syarat yang diperlukan bagi membolehkan bukti atau keterangan baharu dimasukkan sebagai bahan bukti dalam kes tersebut.

Berikutan itu, rayuan kes liwat membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang dijadualkan didengar hari ini dan esok ditangguhkan atas permohonan pihak pembelaan yang ingin mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini.

Mahkamah menetapkan 28 Februari ini untuk pengurusan kes bagi mengetahui status rayuan pihak pembelaan itu.

Peguam, Karpal Singh yang mewakili Anwar sebelum itu memohon penangguhan rayuan kes liwat itu kerana pihaknya akan memfailkan rayuan tetapi dibantah oleh peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai barisan pendakwaan.

Tegas Muhammad Shafee, rayuan kes liwat telah mengambil masa yang lama dan masih belum didengar sehingga hari ini.

Hakim Aziah yang bersidang bersama Hakim Datuk Rohana Yusuf dan Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh bagaimanapun membenarkan penangguhan itu.

"Kami telah membuat pertimbangan iaitu walaupun kami inginkan rayuan kes liwat ini didengar namun kami enggan dianggap sebagai telah memprejudiskan hak pemohon (Anwar) dalam membuat rayuan.

"Bagaimanapun, saya ingatkan bahawa rayuan kes liwat ini akan tetap didengar satu hari nanti. Disebabkan terlalu banyak permohonan dan usul dibuat, rayuan kes liwat ini masih belum dapat didengar sehingga hari ini," tegas Hakim Aziah.

Terdahulu, dalam keputusan menolak permohonan memanggil semula Judy, Hakim Aziah berkata, syarat-syarat yang diperlukan itu ialah bukti tersebut tidak diperoleh pada waktu perbicaraan, memberi impak yang besar kepada keputusan perbicaraan selain bukti itu adalah kredibel dan perlu atau sesuai demi kepentingan keadilan.

Menurut beliau, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan petisyen penerimaan masuk Judy sebagai peguam bela dan peguam cara adalah berdasarkan laporan inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam kes penahanan lima peguam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields kerana terlibat dalam perhimpunan haram.

Inkuiri yang dipengerusikan oleh Muhammad Shafee pada 2009 itu mendapati Judy merupakan saksi yang tidak boleh dipercayai kerana 'secara sedar atau tidak telah tidak bercakap benar atau menghidap penyakit hilang ingatan yang serius'.

Oleh itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaleha Yusuf telah menyifatkan Judy sebagai seorang yang 'tidak layak dan sesuai' untuk diterima masuk sebagai peguam.

Bagaimanapun, hasil inkuiri yang menjadi asas kepada penghakiman Hakim Zaleha bukan sesuatu yang baru diperolehi kerana perkara itu telah pun disoal kepada Judy sewaktu perbicaraan oleh pihak pembelaan.

Selain itu, ujar Hakim Aziah, hakim yang mendengar perbicaraan kes liwat itu, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah telah mengambil kira keterangan kesemua saksi selain Judy terutamanya pengadu, dua doktor dan dua ahli kimia dalam menentukan kes prima facie.

Oleh itu, kemasukan laporan Suhakam itu dilihat tidak akan mempengaruhi keputusan Hakim Mohamad Zabidin.

"Permohonan ini ketandusan alasan. Oleh itu, permohonan ini ditolak," ujar Hakim Aziah.

Sementara itu, Muhammad Shafee ketika ditemui selepas tamat prosiding menyifatkan rayuan berhubung permohonan itu hanyalah taktik untuk melengah-lengahkan rayuan kes liwat itu.

Muhammad Shafee juga mendakwa, tindakan pihak pembelaan yang hanya memberikan jawapan kepada hujahan pihak pendakwa dalam rayuan kes liwat pada hari ini juga adalah tindakan melengah-lengahkan kes.

"Saya akan menulis surat rasmi kepada pendaftar Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan agar kedua-dua rayuan dipercepatkan," katanya.

Rayuan kes liwat itu telah ditangguhkan sebanyak tiga kali sejak Disember 2013.

Anwar, 67, dilepas dan dibebaskan pada awal 2012 daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

'Kenapa kacau keluarga saya'

Posted: 12 Feb 2014 11:52 AM PST

Oleh MARZITA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

Muhamad Safwan Muhamad (kiri), Azizi Aizat Ibrahim (tiga dari kiri), Mohamad Sharafe Matt Noh (empat dari kiri) dan Mohamad Zul Shahril Suhaimi (kanan), diringi anggota polis keluar dari Mahkamah Tinggi, Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 12 Feb. - Ibu pensyarah Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics (KTAC), Zara Eleena Omar Peter yang mati dibunuh bersama bapanya, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini barang kemas miliknya yang disimpan di rumah diserahkan kepada Ustaz Shah bagi tujuan 'pembersihan' tanpa pengetahuannya.

Normaliah Mahmood berkata, barangan tersebut diserahkan sendiri oleh Zara Eleena kepada ustaz itu yang merupakan tertuduh pertama, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, atau dikenali sebagai Shah yang juga teman lelaki anaknya itu.

Katanya, perkara tersebut diberitahu oleh suaminya, Omar Peter Abdullah dari Kuala Lumpur melalui telefon pada 8 Mac 2012 kerana ketika itu dia berada di kampungnya, Gelang Cincin, Segamat, Johor setelah diminta oleh Zara Eleena untuk pulang ke kampung bagi mengelak 'hantu' mengikutinya.

Normaliah, 53, yang merupakan saksi pendakwaan keempat turut memberitahu, amat kecewa dengan kejadian itu kerana telah mengingatkan anaknya banyak kali agar tidak membawa keluar barangan itu dari rumahnya di Taman Kinrara.

Malah sebelum kejadian itu berlaku, dia diberitahu oleh Zara Eleena, barang kemas berkenaan direndam air zam-zam setiap hari untuk membersihkannya daripada 'hantu'.

Ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin siapa ustaz berkenaan, saksi itu memberitahu, hanya seorang yang dia panggil ustaz iaitu tertuduh pertama.

Pada ketika ini, Normaliah mula menangis teresak-esak dan mendakwa Shah cuba mencampuri urusan keluarganya.

''Kenapa dia (Shah) sibuk nak masuk dalam keluarga saya, kenapa dia bunuh mereka, kenapa dia campur keluarga saya, dia pisahkan saya dengan Zara, kenapa dia kacau my family (keluarga saya),'' katanya.

Akibat kejadian tersebut, saksi berkata, dia bergaduh dengan suaminya dan mendesak barangan kemas itu dipulangkan kepadanya, namun suaminya memberitahu Zara Eleena pergi menemui Shah untuk bertanya mengenai barangan tersebut.

Katanya, itu merupakan perbualan terakhirnya bersama-sama suami iaitu pada pukul 11 malam, 8 Mac 2012.

Shah, Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, atau Mat Rof, Azizi Aizat Ibrahim, 22, atau Boy dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, atau Chap didakwa membunuh Zara Eleena, 23, di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, antara pukul 1.30 dan 2.30 pagi, 9 Mac 2012.

Kesemua mereka juga menghadapi tuduhan kedua, membunuh Omar Peter, 56, di tempat sama, antara pukul 11.30 malam, 8 Mac 2012 dan pukul 1.30 keesokan paginya.

Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu Normaliah memberitahu, dia ada menghubungi kedua beranak tersebut selepas kejadian berkenaan tetapi tiada jawapan namun menyifatkan ia perkara biasa kerana menganggap mereka merajuk dengannya.

Namun, dia membuat laporan polis di Segamat berhubung kehilangan kedua beranak itu pada 11 Mac 2012 setelah panggilannya masih tidak berjawab selain meminta bapa saudara Omar Peter yang dikenali sebagai Paul untuk membuat laporan polis di Kuala Lumpur.

Menurutnya, pada hari sama, dia dihubungi oleh anggota polis bernama Sarjan Amathi yang meminta dia pulang ke ibu kota kerana pihak berkuasa tidak dapat memasuki rumahnya.

Normaliah berkata, dia pulang ke Kuala Lumpur menaiki keretapi dan dijemput oleh anak saudara Omar Peter, dikenali Pedro di KL Sentral pada pukul 8 malam hari yang sama kemudian terus ke rumahnya.

Setibanya di rumah, menurut wanita itu, dia menyerahkan anak kunci kepada anggota polis yang menunggu, namun mereka tidak membenarkannya masuk ke dalam dan dia terpaksa menunggu di tepi rumah.

Prosiding pada ketika ini terpaksa ditangguhkan beberapa kali berikutan Normaliah tidak dapat mengawal perasaan ketika menceritakan kejadian di rumahnya itu.

Ketika menyambung keterangannya, dia berkata, telah bertanya kepada Amathi keadaan sebenar namun diminta menunggu sehingga dia melihat trak polis berwarna hitam tiba di hadapan rumahnya dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku di dalam rumahnya.

Ketika inilah dia diberitahu oleh Pedro, Omar Peter telah tiada menyebabkan dia terus terduduk di atas tanah dan tidak mampu untuk bangun.

''Saya bertanya di mana Zara, saya tidak boleh berjalan dan saya tidak tahu dibawa ke mana,'' katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdul Halim Aman bersambung esok.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat