Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: Memperkasakan peranan PGAOleh ZAKI SALLEH TANGGUNGJAWAB menjaga keamanan negara dipikul bersama PGA dan Angkatan Tentera Malaysia. NAMA Pasukan Gerakan Am (PGA) cukup besar dalam sejarah kepolisian negara dengan rentetan perjuangan selama 66 tahun sejak ditubuhkan pada 1948. Pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM) semasa Darurat menyebabkan sebuah pasukan polis khas yang mahir peperangan hutan perlu ditubuhkan. Sehubungan itu, pasukan Jungle Squad diwujudkan di setiap balai polis. Anggotanya diberi latihan ketenteraan untuk menggempur sarang komunis di belantara sebelum diperbesarkan lalu dikenali sebagai Jungle Company. Sebuah sekolah latihan peperangan hutan pula ditubuhkan di Kem PPH Ulu Kinta, Perak bagi melatih bakal pegawai dan anggota pasukan ini. Selepas berakhir Darurat pada 1960, pasukan ini disusun semula dan dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (PPH) atau Police Field Force (PFF) dengan kekuatan batalion. Apa yang membezakan PPH dengan pasukan polis biasa ialah kemahiran peperangan hutan yang mereka miliki. Fungsi PPH yang fleksibel membolehkan pasukan ini ditugaskan dalam masa yang singkat termasuk melaksanakan operasi cegah rusuhan (PORU) sama seperti Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU). Struktur pemerintahan, kelengkapan serta persenjataannya juga sama seperti sebuah batalion infantri tentera termasuk mempunyai platun mesingan dan mortar. Peranan PPH teruji apabila turut terbabit dalam memerangi penyusupan Tentera Republik Indonesia (TRI) semasa Konfrontasi pada tahun 1963 hingga 1966. PPH melalui fasa baharu apabila PKM melancarkan pemberontakan kedua atau Insurgensi pada 1968 yang menyaksikan pembesaran pasukan berkenaan. Beberapa buah batalion baharu diwujudkan antaranya Batalion (BN) 8 di Simpang Renggam, Johor, BN 9 PPH (Muar, Johor) dan BN 10 (Pengkalan Chepa, Kelantan). TRANSFORMASI perlu dilakukan termasuk melengkapkan PGA mengikut keperluan operasinya yang semakin mencabar. Kesemua BN PPH ditadbir mengikut formasi masing-masing iaitu Briged Utara, Tengah, Tenggara, Sabah dan Sarawak. Setiap briged PPH pula mempunyai sebuah skuadron kereta perisai. Keperluan operasi turut menyaksikan PPH mewujudkan sebuah pasukan khasnya sendiri yang terlatih dalam tugas-tugas perisikan gempur iaitu 69 Komando yang ditubuhkan pada tahun 1969. Terdapat juga lain-lain pasukan yang merupakan sebahagian daripada cawangan PPH iaitu Pengakap Sempadan (Sarawak dan Sabah), Unit Kawalan Kawasan (UKK) dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP). Bagaimanapun, Pengakap Sempadan dan UKK telah dibubar pada tahun 1990 dan diserap ke dalam perkhidmatan pasukan polis, manakala UPP dijadikan sebuah pasukan penguat kuasa tunggal. Operasi Perletakan senjata PKM pada 1989 menyaksikan berakhirnya operasi PPH di hutan belantara. Ini membawa kepada penyusunan semula pasukan ini menjadi PGA pada 1997. Kekuatan PGA dikecilkan menjadi 20 buah batalion. Sepanjang tempoh 16 tahun lalu, walaupun dengan kekuatan yang terhad tetapi PGA masih mengekalkan peranannya sebagai infantri polis. Antaranya terlibat dalam Ops PATI, Ops Pasir di perairan pantai timur Sabah termasuklah dalam insiden pertempuran di Lahad Datu pada tahun lalu. Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM, Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata, PGA memerlukan perubahan menyeluruh untuk menghadapi ancaman keselamatan semasa dalam negara. "Ini supaya dapat memberi inspirasi kepada negara dan rakyat. Semasa era 60-an dan 70-an, PGA dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (PPH), mungkin kita perlu nama seperti itu juga ketika ini," katanya. Menurut Salleh, PGA yang dikenali sebagai pasukan separa tentera penting diperkasakan kerana mampu melaksanakan tugas polis dan pada masa sama berkebolehan melakukan tugas tentera. Tegas beliau, kekuatan asal PGA perlu dikembalikan dengan menambah bilangan anggota serta kelengkapan kerana pasukan tersebut kekal relevan sebagai barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM). | ||
Posted: Inspirasi daripada wanita OKUOleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
BERSEMPENA sambutan Hari Wanita Sedunia yang bertemakan Inspiring Change tahun ini, Gleneagles Kuala Lumpur menganjurkan satu forum khas bersama wanita daripada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang telah mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing. Ia bertujuan memberi peluang kepada wanita OKU berkenaan berkongsi pengalaman mereka dalam menjalani kehidupan, seterusnya menjadi inspirasi buat semua. Antara ahli panel wanita OKU yang dijemput ialah Senator Bathmavathi Krishnan; atlet paralimpik negara, Norisah Bahrom; aktivis OKU, Christine Lee; pensyarah Universiti Malaya, Dr. Naziaty Mohd. Yaacob dan pelakon Ida Nerina. Mereka menceritakan kisah hidup yang dilalui dan kebanyakannya melahirkan rasa kesal kerana suatu ketika dahulu golongan ini tidak dihargai oleh masyarakat. Bagi Norisah, keperitan yang dialami sewaktu zaman remaja apabila hilang keupayaan untuk berjalan pada usia 15 tahun sukar diungkap dengan kata-kata. Namun, berbekalkan semangat untuk menjalani kehidupan yang lebih bermakna, dia nekad memasuki Pusat Pemulihan Orang Cacat Cheras melalui permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Potensi diri Dari situlah, dia mula meneroka potensi diri apabila menyertai sukan tenis berkerusi roda hingga berjaya mewakili negara di pentas dunia. "Memang pada awalnya saya rasa amat sedih apabila menjadi orang cacat pada usia muda. Namun, lama-kelamaan saya reda dengan apa yang berlaku dan yakin ada hikmah di sebalik semuanya. "Jika saya tidak bergelar OKU, mungkin saya tidak mengecapi kejayaan seperti hari ini yang dapat mewakili negara dalam pelbagai acara sukan di seluruh dunia," ungkap Norisah sambil memberitahu, sabar dan solat merupakan kunci kekuatan dirinya menempuh segala cabaran. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gleneagles Kuala Lumpur, Datuk Amir Firdaus Abdullah berkata, cabaran wanita OKU amat besar, namun mereka berjaya melaksanakan tanggungjawab yang dipikul dengan cemerlang selain mampu memberi inspirasi kepada masyarakat. "Atas sebab itulah, kami melaksanakan program ini bagi menyediakan platform kepada golongan wanita OKU menyuarakan rasa hati mereka. "Jujurnya, saya mengagumi wanita- wanita hebat ini dan kami di Gleneagles Kuala Lumpur berbangga kerana dapat melaksanakan tanggungjawab korporat sosial dengan meraikan pencapaian serta sumbangan mereka," ujar beliau yang juga merupakan CEO Serantau Hospital Gleneagles.
Harapan Forum tersebut turut dihadiri 50 wanita OKU selain wakil pelajar dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan. "Harapan kami adalah apabila pelajar-pelajar ini memasuki alam pekerjaan dan menjadi majikan, mereka akan lebih sensitif dengan keperluan golongan OKU dan tidak mengetepikan mereka kerana status yang dimiliki," tambah Amir Firdaus. Pada majlis itu juga, Pakar Perunding Perubatan Pemulihan Gleneagles, Datin Paduka Dr. Tuanku Taayah Tunku Zubir telah menyampaikan syarahan bertajuk Kesihatan dan Kesejahteraan Dalam Kalangan Wanita OKU. Menurut Tunku Taayah, terdapat banyak sebab seseorang individu atau wanita itu menjadi OKU. Kebanyakan wanita yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an menjadi OKU kerana terbabit dengan kemalangan. Katanya, ada juga yang menjadi OKU disebabkan serangan penyakit tertentu selain faktor usia. Hakikatnya, bilangan mereka yang tergolong sebagai individu OKU semakin meningkat saban tahun. "Masih banyak perubahan yang perlu dilakukan di peringkat komuniti dan tempat kerja bagi memudahkan golongan OKU melalui kehidupan yang lebih mesra OKU. "Statistik juga menunjukkan hampir 80 peratus daripada pesakit mengalami kehilangan upaya masih sukar diterima di tempat kerja. "Lantaran itu, apabila berstatus OKU, banyak majikan memutuskan untuk tidak meneruskan perkhidmatan mereka. Ini adalah antara isu yang masih membelenggu golongan OKU," tegasnya. Beliau berharap, melalui forum itu masyarakat akan sedar bahawa golongan OKU tidak memerlukan simpati, sebaliknya memahami bahawa golongan ini juga mampu membawa perubahan dan menyumbang kepada negara. Selain forum, para tetamu diraikan dengan upacara pemotongan kek serta persembahan daripada kumpulan Carefree dan Michael Jackson OKU Malaysia. Majlis ini telah disempurnakan oleh Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim. | ||
Posted: Kempen kembalikan senyumanKEMPEN SENYUM membantu pesakit sumbing mendapatkan kemudahan dan rawatan di PHKL dengan dana daripada Dana Bantuan Penjagaan Kesihatan oleh IHH. SELEPAS bertahan selama sembilan bulan membawa perut yang membusung, pasti setiap ibu bapa mengharapkan bayi mereka dilahirkan sempurna. Bagaimanapun, bagi seorang ibu, Nur Hayati Omaryah, 47, harapannya itu sama sekali berkecai apabila anak keempatnya, Nur Aimuni Musfirah, 8, dilahirkan dalam keadaan sumbing lelangit. Pada awalnya dia tidak dapat menerima ketentuan takdir kerana terlalu terkejut dengan kekurangan tersebut dan hanya akur selepas menyedari kasih seorang ibu dan anak tidak dapat diseka walau senyuman bayinya terbatas. Tidak pernah berputus asa, Nur Hayati dan suaminya, Mustafa Mat Arshad, 44, terus mencari mana pertubuhan atau badan bukan kerajaan yang dapat membantu keluarga kelas pertengahan ini untuk membiayai kos pembentukan semula lelangit. "Ketika umurnya 10 bulan, seorang jururawat telah memperkenalkan kami kepada Kebajikan Kanak-kanak Ronald McDonald (RMCC) dan dari situlah Nur Aimuni diberi peluang untuk senyum kembali. "Kami telah dibiayai dan diberikan rawatan terbaik di Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL). Namun, rawatan pembentukan semula perlu dijalankan secara berperingkat," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Senyum di PHKL baru-baru ini. Tambahnya, sempena Kempen Senyum itu, kini Nur Aimuni dapat meneruskan rawatan selanjutnya menerusi Dana Bantuan Penjagaan Kesihatan oleh IHH Healthcare Bhd. (IHH), syarikat milik Khazanah. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PHKL, Anwar Anis berkata, kempen tersebut dilancarkan sempena menyambut ulang tahun ke-40 PHKL. "Setelah empat dekad memberikan perkhidmatan, PHKLsangat komited untuk memberi sokongan kepada kelompok yang kurang bernasib baik untuk menjalani kemudahan dan rawatan di sini. "Sehubungan itu, PHKL telah menyasarkan masalah Anomali Muka menerusi Kempen Senyum ini dan dua tahun akan datang kami merancang untuk mengenalpasti masalah kesihatan lain yang boleh dibantu," jelasnya ketika majlis perasmian kempen tersebut di PHKL. Turut hadir dalam pelancaran tersebut adalah Pengerusi PHKL, Datuk Khairil Anuar dan Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif, Dr. Kim K. Tan. Kini adik Nur Aimuni mampu tersenyum bersama ibu dan ayahnya. Kerjasama Anwar memberitahu, kempen tersebut akan mengenalpasti 40 pesakit dengan masalah Anomali Muka menerusi kerjasama dengan badan bukan kerjaan (NGO). Pesakit kemudian akan menjalani rawatan di PHKL untuk memulihkan senyuman mereka. Antara kriteria permohonan dana tersebut adalah kewangan individu mesti disemak oleh NGO berdaftar, pemohon dicadangkan oleh doktor PHKL atau Hospital Gleneagles dan pendapatan isi rumah tidak lebih daripada RM5,000 sebulan. Selain itu, pemohon, ibu bapa atau penjaga perlu menyediakan beberapa dokumen dan membenarkan penilai mengambil gambar keadaan kehidupan harian pesakit. Dalam pada itu, K. Tan berkata, pembedahan membina semula bentuk bibir dan lelangit bukan mudah dan memakan masa bertahun. Antara peringkat penting termasuklah membetulkan struktur gigi dan rahang pesakit. Dianggarkan kos untuk rawatan sumbing tersebut adalah RM10,000 setiap orang dengan nilai rawatan pembedahan untuk bahagian rahang mencecah RM30,000. Nur Aimuni merupakan salah seorang pesakit yang mendapatkan rawatan daripada K. Tan sejak bayi. Sehingga kini Nur Aimuni telah menjalani tiga kali pembedahan untuk memulihkan senyumannya. Terdahulu, Dana Bantuan Penjagaan Kesihatan oleh IHH membekalkan sebanyak RM50 juta untuk membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos rawatan pesakitnya, termasuklah di 11 buah Pusat Perubatan Pantai dan Gleneagles. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |