Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT Mohd. Fahmi Idris membuang pelepah pisang yang kering di kebun pisangnya di Pekan Air Panas, Labis Johor, baru-baru ini. LABIS 8 Mei - Kekurangan bekalan pisang dan kenaikan harga secara mendadak melebihi 100 peratus sejak lebih sebulan lalu menjejaskan pendapatan para peniaga pisang goreng di daerah ini. Seorang peniaga, Mohd. Salleh Misnan, 50, mendakwa, pendapatannya menyusut hampir 50 peratus berbanding sebelum ini akibat tidak dapat menjual pisang goreng kerana tidak mampu mendapatkan bekalan komoditi itu. "Sejak berniaga lebih 10 tahun lalu, pisang goreng merupakan jualan utama dan kesukaran mendapatkan bekalan pisang sekarang menyebabkan pendapatan saya terjejas teruk kerana terpaksa bertukar kepada jualan keledek goreng dan keropok lekor buat sementara waktu. "Saya terpaksa mencari pisang di Muar, Batu Pahat dan Pontian, namun bekalan yang diperoleh sedikit dan tidak mampu menampung bekalan setiap hari," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini. Akibat kekurangan bekalan, harga pisang dalam pasaran turut melambung bagi beberapa jenis se-perti pisang tanduk, nangka dan awak berbanding sebelum ini. Seorang lagi peniaga, Topari Kuani, 50, turut mengakui harga pisang tanduk sebelum ini antara RM2.50 hingga RM3 sekilogram (kg), tetapi kini melonjak hingga RM6 kg, manakala pisang nangka dan awak pula kira-kira RM3.50 berbanding hanya RM1.50. "Saya berharap masalah ini mendapat perhatian daripada pihak yang berkenaan untuk mencari punca yang menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan, seterusnya masalah itu diatasi segera," katanya yang telah menjual pisang goreng sejak lebih 20 tahun lalu. Sementara itu, seorang pekebun, Mohd. Fahmi Idris, 58, berkata, banyak faktor yang menyebabkan bekalan pisang berkurangan dalam pasaran termasuk tanaman itu dimusnahkan oleh monyet dan babi hutan serta pe-nyakit pisang. Selain itu, tidak ramai yang berminat menanam pisang di-sebabkan gangguan musuh tanaman dan musim kemarau yang melanda negara ini baru-baru ini. "Saya sendiri serik untuk menanam pisang disebabkan tidak mampu mengawal monyet dan babi hutan yang memusnahkan tanaman seawal anak benih sehinggalah menuai hasil. "Pagar dawai duri digunakan tidak mampu menghalang babi hutan yang sering datang pada waktu malam memusnahkan tanaman," katanya. |
Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT Oleh Haniza Hassan Jeanne Abdullah JOHOR BAHRU 8 Mei - Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini disaran menanam lebih banyak pokok atau tumbuhan hijau terutama yang mempunyai kaitan dengan negeri ini supaya identitinya tidak ditelan zaman. Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah berkata, banyak kawasan di luar negeri ini mempunyai pokok atau tumbuhan yang melambangkan asal usul daerah tersebut. Beliau berkata, pokok-pokok tersebut juga sepatutnya tidak ditanam di dalam satu kawasan sahaja, malah diperluaskan ke kawasan tumpuan dan strategik seperti sekolah, taman atau tepi jalan. "Seperti Ipoh, kita ada pokok ipoh, di Pulau Pinang kita ada pokok pinang. Jadi negeri Johor kita ada pokok pulai, kempas dan tampoi, maka kita perbanyakkan pokok-pokok sebegini. "Pokok berkenaan bukan sahaja membantu dalam mengurangkan intensiti karbon di udara tetapi turut membantu dalam mencantikkan landskap sesebuah kawasan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hutan Kita@Pasir Gudang di sini hari ini. Yang turut hadir bekas Perdana Menteri yang juga Penasihat Landskap Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim. Hutan Kita@Pasir Gudang merupakan program penanaman pokok hutan yang dijayakan oleh Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan IRDA dengan kerjasama Landskap Malaysia. Sebanyak 1,000 pokok hutan di taman di beberapa lokasi seperti Laman Rekreasi Sungai Buluh dan kawasan sudut padang bola sepak Pasir Gudang. Pokok-pokok yang ditanam seperti merbau, balau pasir, pupor, peling licin, keriat, kelam gelam, rampai istana dan mentega itu akan menjadi hak milik MPPG serta diselenggara dengan sebaiknya. Dalam pada itu, Jeanne turut menyeru semua pihak bekerjasama dalam meningkatkan kesedaran kepada masyarakat berhubung kepentingan menanam pokok dan menghijaukan bumi. "Pokok-pokok ini akan membantu dalam memerangkap karbon dan membersihkan udara. Jadi kita boleh membantu mengelak masalah jerebu, yang penting kita kena sayangi pokok," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |