{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Keluarga

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Keluarga


Suami taksub Internet

Posted: 17 Dec 2013 08:52 AM PST

PEMILIKAN gajet atau telefon-telefon pintar memang menjadi satu gaya dan keperluan hidup masa kini. Bukan sahaja orang dewasa dan remaja, malah kanak-kanak seawal usia setahun pun telah diperkenalkan dengan gajet-gajet ini.

Akibat terlalu taksub dengan permainan dalam gajet atau telefon pintar menyebabkan ramai dalam kalangan remaja dan kanak-kanak sudah tidak seperti dahulu lagi.

Mereka lebih suka menyendiri daripada beramah mesra apabila bertemu dengan saudara-mara dek terlalu asyik menghadap permainan yang tersedia di dalam gajet-gajet berkenaan.

Kisah ini bukannya berkenaan telefon pintar, namun ketaksuban pemiliknya bersama alat ini menyebabkan isteri tidak berpuas hati dan rasa terbeban.

Cerita bermula di sebuah hospital swasta ketika saya sedang menunggu giliran untuk bertemu doktor, apabila melihat pasangan suami isteri ini yang masih muda bersama empat orang anak-anak yang masih kecil memasuki kaunter pendaftaran.

Apa yang menjadi kemusykilan, daripada mengambil borang, menulis dan kemudian menyerahkannya kepada petugas di kaunter pendaftaran, semua si isteri yang bereskan.

Si suami hanya terus duduk sambil menghadap telefon pintarnya tanpa memandang kepada si isteri yang bersusah payah mendukung bayi mereka mungkin berusia beberapa bulan.

Sesekali mata si isteri menjeling ke arah suami yang dilihat tekun bermain dengan telefon pintar tanpa mengendahkan tiga lagi anak-anaknya yang sedang berlari-lari di ruang menunggu hospital berkenaan.

Sambil memanggil-manggil lembut nama anak-anaknya menyuruh mereka duduk dan diam sebentar, si isteri yang berusia lewat 20-an itu akhirnya melabuhkan punggungnya di sebuah kerusi di sebelah saya.

Raut wajah isteri yang keletihan jelas kelihatan sambil mengawasi ketiga-tiga anak lelakinya yang berlari-lari dan memanjat kerusi di ruang berkenaan.

Rasanya wanita muda itu juga mungkin berasa agak malu kerana melihat keletah anaknya yang mungkin akan menganggu pesakit lain yang juga sedang menunggu di ruang berkenaan.

Dia cuba meredakan keadaan anak-anaknya di samping anak kecil dalam pangkuannya merengek-rengek kecil, sedangkan si suami terus fokus dengan telefon pintarnya.

Dalam suasana demikian, saya terus mengucapkan salam dan bertanya kepada wanita muda itu siapakah yang sedang sakit dan perlu berjumpa doktor.

Setelah salam dijawab sambil memperkenalkan diri sebagai Ida (bukan nama sebenar), dia berkata, dirinya dan anaknya yang kecil itu sedang demam panas.

Sambil cuba mengawal anak-anaknya menerusi ekor matanya, Ida sesekali menjeling ke arah suaminya yang tetap duduk mendiamkan diri bermain dengan gajetnya.

Apabila ada anak-anaknya yang memegang kaki seluar atau memanggil ayahnya, si suami hanya membatukan diri. Tidak semena-mena si suami bingkas bangun dan terus keluar dari ruang menunggu sambil memegang telefon bimbit dan tangan kirinya pula memegang tangan salah seorang anaknya seraya menariknya keluar hospital.

"Ha dah naik anginlah tu," tutur Ida perlahan.

Mengetahui perasaan ingin tahu saya, Ida terus bercerita, suaminya itu memang amat taksub dengan telefon pintarnya apatah lagi terlalu ketagih dengan Internet dan aplikasinya.

Biar apa yang dia lakukan, malah baru terbangun dari tidur pun, telefon pintarnya yang dia akan pegang dahulu.

"Pernah beberapa kali kami ke pasar raya tetapi balik semula mengambil telefon bimbitnya yang tertinggal biarpun pemergian kami itu tidaklah lama.

"Saya pun tidak tahu kenapa, suami saya tidak boleh berenggang dengan telefon pintarnya. Waima apa yang dibuat telefon mesti ada di tangan seolah alat itu lebih penting berbanding saya dan anak-anak," ujar Ida jujur.

Biarpun agak lega kerana suaminya tidak menggunakan telefon tersebut untuk berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan wanita lain, tetapi berbekas juga rasa geram dan sakit hati.

Kata Ida, akibat terlalu 'berkepit' dengan telefon banyak kerja-kerja di rumah tertangguh. Hubungannya dengan anak-anak juga semakin renggang sebab dia lebih suka menghadap telefon atau gajet-gajetnya yang lain daripada melayan anak-anak.

"Perangainya itu bukan hanya di sini sahaja, kalau di rumah lagi teruk. Asyik bermain dengan telefon bimbit atau gajet-gajetnya, sedangkan saya tidak menang tangan menguruskan rumah dan anak-anak," katanya.

Malah kata Ida, suaminya pernah diberi surat amaran oleh ketuanya kerana terlalu kerap bermain dengan telefon bimbit sehingga cuai dengan kerja-kerja di pejabat.

Ida mengakui, sejak mula berkahwin suaminya memang seorang yang agak malas untuk mencampuri urusan rumah tangga kerana baginya, menjaga anak dan rumah diserahkan bulat-bulat pada tangan isteri.

Kini selepas terjebak dengan pengaruh telefon bimbit, perangainya bertambah teruk.

Suaminya akan berhabis duit untuk mendapatkan telefon pintar yang terbaharu di pasaran walaupun telefon yang ada masih elok lagi.

Dia juga sanggup berhabis duit untuk mendapatkan pelbagai aplikasi bagi membolehkan dia mengakses laman-laman yang diingini.

Begitu juga dengan peralatan canggih lain. Ida mengakui suaminya juga membeli gajet-gajet lain untuk simpanan dan digunakan sepanjang waktu terluang.

Menurut Ida, setiap hari suaminya akan menghabiskan masa berjam-jam menghadap gajet-gajet berkenaan sehinggalah ke awal pagi sebelum tidur sekejap dan kemudian pergi kerja.

Keadaan itu menyebabkan dia sering mengantuk di pejabat dan kerap ditegur oleh ketuanya.

"Kadang-kadang saya ada juga beri dia nasihat agar jangan terlalu obses dengan penggunaan Internet dan telefon bimbit, namun nasihat saya sedikit pun tidak dihiraukan.

"Saya rasa dia kena jumpa dengan pakar psikiatri kerana terlalu taksub dengan telefon bimbit," katanya separuh bergurau.

Tidak mengiakan, tidak juga menidakkan, saya hanya mampu tersenyum. Di dalam kepala saya terfikir sejenak berkenaan obses terhadap penggunaan Internet dalam gajet yang tidak mendatangkan kebaikan kepada si pemiliknya.

Seingat saya obses terhadap penggunaan Internet dalam gajet ini hanya berlaku pada remaja dan kanak-kanak, rupa-rupanya lelaki yang sudah beranak-pinak juga tidak terkecuali.

Biarpun diketahui gaje-gajet berkenaan digunakan sebagai alat untuk memudahkan perhubungan tetapi jika keterlaluan dalam penggunaan pasti mendatangkan kemudaratan.

Apabila ditanya sampai manakah tahap kesabaran Ida terhadap suaminya itu, dia menjawab selagi dia boleh bersabar dia akan cuba bertahan sambil itu dia juga akan cuba berdoa agar suaminya sedar dengan kesilapannya itu.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat