{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Berita Harian: Mutakhir

Posted by Tanpa Nama

Berita Harian: Mutakhir


Saya hanya spontan tunjuk kertas undi - Tengku Zaihan

Posted: 25 Jul 2013 02:19 AM PDT

KUALA BESUT: Insiden menunjukkan kertas undi oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman adalah satu tindak balas spontannya selepas diminta bertalu-talu oleh jurufoto.

Tengku Zaihan, 37, atau dikenali 'Abe Ku' (Abang Ku) oleh penduduk setempat berkata beliau tiada niat untuk menunjukkan kertas undi itu disebabkan keadaannya yang agak letih berkempen selama 12 hari sejak 12 Julai lepas.

Bekas jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Putrajaya itu antara pengundi yang awal mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut pada hari pengundian semalam.

"Maklumlah saya ni tidak cukup tidur berbelas hari, badan pun letih. Keadaan itulah menyebabkan tindakan saya jadi spontan.

"Masa nak lipat kertas undi itu masuk ke dalam kotak undi, jurugambar tidak henti-henti panggil saya dan saya pun tidak sengaja menunjukkan kertas undi sebab mahu memberi respons," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu yang dibangkitkan pihak pembangkang kononnya beliau telah melanggar peraturan pilihan raya apabila menunjukkan kertas undinya kepada jurufoto pada hari mengundi semalam.

Pada pilihan raya kecil DUN Kuala Besut semalam, Tengku Zaihan mengalahkan calon PAS Endot@Azlan Yusof, 48, dengan majoriti 2,592 undi setelah Tengku Zaihan memperoleh 8,288 undi manakala Azlan mendapat 5,696 undi.
Tengku Zaihan berterima kasih kepada penduduk Kuala Besut yang mengundinya dan masih mengekalkan jiwa 'Gelombang Biru' hingga berjaya mengelakkan DUN Terengganu daripada tergantung 16:16 seperti yang dicanangkan oleh PAS mengenai 16:16 Terengganu Baharu.

"Saya bukanlah penyelamat tetapi pengundi Kuala Besut yang sebenarnya memainkan peranan utama dalam menentukan kemenangan BN dan meneruskan kesinambungan BN memastikan penduduk sini mendapat pembangunan berterusan.

"Selain daripada sokongan setempat, saya lihat pengundi muda mula beri sokongan kepada BN... mungkin juga ia ada kaitan dengan faktor calon muda diketengahkan BN," katanya.

Terdahulu, Tengku Zaihan memulakan tugas hari pertamanya sebagai wakil rakyat dengan bertemu penduduk di sekitar kawasan itu seawal 10 pagi.

Beliau bermula dengan mengunjungi bapanya, Che Ku Abdul Rahman Che Ku Abdullah, 74, di Kampung Gertak Seratus untuk memohon restu sebelum memulakan tugas pertamanya.

Tengku Zaihan yang ditemani isteri, Siti Salbiah Osman, 34, turut bertemu golongan peniaga di Pasar Tani Kuala Besut kira-kira 30 minit sebelum melawat rumah penyokong BN yang meninggal dunia pagi tadi akibat penyakit lelah sejak lapan tahun lalu di Kampung Kayu Kelat di sini.

Dalam pada itu, Tengku Zaihan berkata untuk permulaan beliau akan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan melihat kembali perancangan yang telah dibuat oleh wakil rakyat terdahulu.

Tengku Zaihan turut mengakui skop tanggungjawabnya kini lebih luas berbanding pekerjaannya sebelum ini yang juga harus turun bertemu rakyat. - BERNAMA

Terima ugutan bunuh, guru besar SK Pristina buat laporan polis

Posted: 25 Jul 2013 02:14 AM PDT

KUALA LUMPUR: Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh, hari ini, membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh berikutan isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sekolah itu untuk pelajar bukan Islam, dua hari lalu.

Mohd Nasir Mohd Noor, 57, berkata laporan polis itu dibuat bagi melindungi dirinya yang menerima ugutan bunuh dan cacian daripada beberapa pihak termasuk melalui akaun Facebooknya.

"Dua hari lepas, setelah gambar itu tersebar, saya menerima panggilan talefon kira-kira 10 pagi dari seorang lelaki yang mendakwa dia dari Badan Bukan Kerajaan (NGO).

"Selain memaki hamun saya dan menghamburkan kata-kata kesat, dia juga mengeluarkan perkataan 'If I meet you, i will kill you' (Jika saya jumpa awak, saya akan bunuh awak)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu dengan ditemani enam anggota Badan Kebajikan Guru sekolah itu di pondok Polis Saujana Utama dekat sini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan bilik persalinan di sekolah itu digunakan sebagai kantin sementara bagi 28 pelajar bukan Islam sepanjang Ramadan ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan yang mengadakan lawatan ke sekolah itu semalam berkata isu lokasi kantin sementara yang didakwa kurang sesuai di sekolah itu, tiada kena mengena dengan isu agama dan bangsa.

Mengulas isu itu, Mohd Nasir berkata beliau kesal dengan usaha yang mahu menjatuhkan nama baiknya dan sekolah itu, yang baru dibuka tiga tahun lepas itu.
"Sebelum ini, memang tidak ada aduan daripada ibu bapa mengenai isu bilik persalinan ini kerana mereka faham masalah kantin di sekolah ini yang dalam proses ubah suai bagi menampung kira-kira 600 pelajar sedangkan sekolah ini mempunyai 1,300 pelajar," katanya.

Ekoran isu itu, beliau kini bercuti selepas diarahkan berehat untuk sementara waktu bagi meredakan keadaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang mengesahkan menerima laporan daripada Mohd Nasir berhubung tohmahan terhadap dirinya berhubung isu itu.

Di PETALING JAYA, Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata polis akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dalam menyelesaikan isu itu.

Beliau berkata walaupun isu itu bukan di bawah bidang kuasa polis, namun ia sedia membantu dalam menyelesaikannya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat penghargaan kepada 54 anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang atas kejayaan menyelesaikan beberapa kes jenayah di sekitar negeri itu.

Pada majlis sama, Thaiveegan mengagihkan sebanyak 268 sarung siku kepada anggota polis yang bertugas di bahagian Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi mengelakkan kecederaan ketika bertugas. - BERNAMA

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat