{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Horizon

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Horizon


Tarikan hidupan malam di Kemaman

Posted:

Tarikan hidupan malam di Kemaman

Tarikan hidupan malam di Kemaman

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my

MENTARI perlahan-lahan membenamkan diri di ufuk barat tanda senja sudah bermula. Langit biru laut berubah warna kepada jingga. Begitu indah pandangan saat itu, semuanya atas kebesaran Maha Esa. Sayup-sayup azan Maghrib berkumandang memanggil jemaah untuk pulang ke rumah atau menuju ke masjid berhampiran. Ketika ini juga, seorang demi seorang nelayan kembali ke daratan selepas hampir seharian menebar jala mencari hasil laut.

Di jeti kecil Sungai Yak Yah yang terletak kira-kira 30 minit dari bandar Chukai, Kemaman, Terengganu, senja merupakan antara waktu tersibuk di kawasan itu. Nelayan yang pulang daripada menangguk udang disambut penduduk setempat yang mahu membeli terus hasil tangkapan tersebut.

Urus niaga antara pembeli dan penjual berlaku dengan pantas. Dialek Terengganu menjadi perantara utama dalam sesi jual beli. Jadi harga yang diberikan juga sesuai untuk taraf penduduk asli negeri Darul Iman itu.

Kawasan jeti kemudiannya dibanjiri kenderaan dengan nombor plat dari negeri-negeri lain. Tidak ketinggalan van dari hotel dan resort berhampiran berisi penumpang yang kebanyakannya pelancong asing.

Kumpulan orang luar itu kemudiannya bertemu seorang lelaki tempatan yang baru selesai membersihkan bot miliknya. Pada bot tersebut tertera perkataan bahasa Inggeris fireflies watching bersama nombor telefon lelaki tersebut.

Usai enjin bot dihidupkan, lelaki berusia 47 tahun itu menyerahkan jaket keselamatan kepada kumpulan tadi sebelum mereka melangkah naik ke dalam bot. Selepas berpuas hati dengan kedudukan penumpang, Che Ghani Che Mohd. Nor pun memandu botnya menyusuri Sungai Yak Yah.

Harapan yang dibawa kumpulan pelancong itu untuk menyaksikan keindahan cahaya kelip-kelip kian kuat dirasakan. Saat bot Che Ghani menghampiri dahan pohon yang hampir mencecah permukaan air, kerlipan malap beberapa ekor kelip-kelip mula kelihatan.

"Malam ini bulan terang, jadi kelip-kelip tidak banyak yang keluar. Cahaya merupakan gangguan kepada mereka termasuklah asap," jelas Che Ghani yang menggerakkan botnya menggunakan enjin bateri bagi mengelakkan pembentukan asap dan bunyi bising.


TELUR-TELUR penyu dikutip oleh renjer pantai dan kemudiannya dihantar ke pusat santuari berhampiran.


Daripada puluhan jenis pokok yang memagari tebing sungai itu, Che Ghani memberitahu, pokok putat, bebaru dan berembang menjadi tiga pohon kegemaran kelip-kelip. Pada siang hari, serangga daripada keluarga kumbang itu akan berlindung di bawah daun-daun kering.

Mengawan

Perjalanan merentasi sungai yang terletak di Kampung Ibok itu memakan masa selama 45 minit sehingga satu jam. Sepanjang tempoh itu, para penumpang dibawa menyusuri kawasan sungai yang gelap-gelita. Timbul sedikit kerisauan apabila masing-masing tidak dapat melihat keadaan keliling dengan jelas.

Namun perasaan itu lenyap selepas terlihat panorama indah yang bergemerlapan di hadapan. Jutaan kawanan kelip-kelip memenuhi hampir setiap ceruk pohon. Ia ibarat berpesta dan berkelip mengikut formasi yang unik.

Ujar Che Ghani: "Nak tahu jantina kelip-kelip, tengok keterangan cahayanya. Kerlipan jantan lebih terang berbanding betina tetapi cahaya yang paling terang itu datangnya daripada dua kelip-kelip yang sedang mengawan.

"Selepas proses mengawan, kelip-kelip jantan akan mati manakala sang betina mati selepas bertelur. Sebelum berubah menjadi kelip-kelip dewasa, ia perlu melalui tiga kitaran bermula daripada telur, larva dan pulpa. Proses ini memakan masa selama tiga bulan tetapi selepas menjadi dewasa, ia hanya boleh hidup selama 10 hari."


PENYU agar naik untuk bertelur sebanyak lapan hingga 10 kali dalam setahun.


Pengalaman Che Ghani selama 12 tahun membawa pelancong menikmati keindahan kelip-kelip di Sungai Yak Yah banyak memberi ilmu kepadanya. Bapa kepada lima cahaya mata itu mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik dan menerangkan spesifikasi kelip-kelip di kawasan itu secara saintifik dengan cemerlang.

Suhaili Shamsudin, 39, antara pelancong tempatan yang pertama kali merasai pengalaman menyaksikan kelip-kelip di kawasan itu. Wanita dari Klang, Selangor itu mengetahui lokasi pelancongan itu daripada internet dan tidak menyangka wujud tempat menarik sebegitu di Kemaman.

"Selalunya kalau bercakap pasal kelip-kelip orang akan terfikir tentang Kuala Selangor. Tidak saya jangka Terengganu memiliki pusat pembiakan kelip-kelip yang menakjubkan dan wajar dilawati lebih ramai orang," tambah Suhaili yang ditemani suami dan empat anaknya.

Penyu bertelur

Tamat sesi bersama kelip-kelip, Che Ghani membawa kumpulan pelancong itu menuju ke Pantai Teluk Mak Nik yang juga terletak di dalam daerah Kemaman. Selepas mendapat maklumat daripada renjer pantai itu, Che Ghani terlebih dahulu memberi taklimat ringkas tentang lawatan penyu bertelur.

Setiap pelancong diingatkan supaya tidak membuat pergerakan yang banyak ketika berada di sepanjang pesisir pantai. Kata Ghani: "Penyu sangat sensitif terhadap pergerakan. Sebab itu sebelum ia naik ke darat untuk bertelur, ia akan meninjau dahulu kawasan yang ingin dinaiki. Walaupun telah separuh perjalanan di atas pasir pantai, penyu tidak teragak-agak untuk berpatah balik ke dalam air jika terlihat pergerakan yang mencurigakan.

"Cahaya lampu suluh juga telah ditetapkan ketika melihat penyu bertelur. Paling penting adalah untuk tidak berdiri di depan muka penyu ketika bertelur. Ia akan mengganggu kelancaran bertelur, malah boleh membuatkan penyu 'merajuk' dan tidak mahu kembali ke pantai yang sama."

Nasib kumpulan pelancong pada malam itu sangat baik. Menjelang tengah malam, dilaporkan terdapat kira-kira lapan ekor penyu agar naik mendarat untuk bertelur. Che Ghani memilih seekor penyu betina yang sedang bertelur di bawah sebatang pokok.

Dalam kekaguman menyaksikan momen indah itu, tumpuan pasti terarah kepada mata ibu penyu yang seakan-akan mengalirkan air mata. Seorang kanak-kanak lingkungan umur 10 tahun yang turut sama dalam kumpulan itu mengadu kepada bapanya: "Ayah, kesian penyu itu sakit sampai menangis."

Begitu murni pemahaman seorang anak kecil terhadap pengorbanan ibu yang melahirkan anak. Biarpun ia haiwan, masih terbit bibit kasihan terhadap penyu tersebut dalam diri kanak-kanak itu. Namun, renjer itu memberitahu, air mata ibu penyu itu bertujuan melindungi matanya daripada dimasuki pasir.

Selepas bertelur, ibu penyu itu perlu mengambus pasir mengikut arah lawan jam. Ia menggunakan kedua-dua belah kaki hadapannya bagi menguis pasir yang telah dikorek sebelum bertelur. Keseluruhan proses bertelur boleh memakan masa mencecah tiga jam.

Mungkin ada yang menyifatkan aktiviti tersebut seperti melanggar hak kebebasan spesies yang sedang diancam kepupusan itu. Bagaimanapun, ia masih menjadi antara tarikan pelancongan utama di Terengganu.

Melihat penyu bertelur memberikan satu pendidikan bermanfaat kepada pengunjung. Ia menjadi pengalaman berilmu yang tidak dapat diperoleh di sekolah mahupun menerusi buku atau internet.

"Kami sangat tegas ketika membawa pelancong melihat penyu bertelur. Dalam satu kumpulan, kira-kira 20 orang sahaja dibenarkan melihat seekor penyu yang sedang bertelur.

"Pelancong juga tidak dibenarkan mengambil gambar penyu menggunakan kamera dengan flash. Cahaya itu boleh menjejaskan mood penyu dan membuatkan mereka berasa terancam. Orang ramai juga tidak dibenarkan sama sekali naik di atas badan penyu atau menghalang laluannya ketika ia kembali ke air," panjang lebar penerangan Che Ghani.

Tambah Che Ghani, telur-telur penyu yang dipungut oleh renjer pantai perlu dihitung dan dimasukkan ke dalam plastik sebelum dihantar ke pusat santuari penyu berdekatan.

Menyingkap sejarah Pulau Robben

Posted:

Menyingkap sejarah Pulau Robben

Menyingkap sejarah Pulau Robben


PEMANDANGAN Gunung Meja yang diambil dari atas feri.


SEWAKTU melawat Cape Town di Afrika Selatan, penulis berkesempatan melawat Pulau Robben yang merupakan salah satu daripada enam destinasi percutian yang mesti dilawati di bandar tersebut.

Perkataan Robben berasal daripada bahasa Belanda yang membawa maksud singa laut. Menurut sejarah, pada masa dahulu pulau tersebut ialah tempat memburu singa laut, penguin dan kura-kura untuk dijadikan makanan.

Di sana, penulis membeli tiket feri berharga ZAR220 (RM100) di Nelson Mandela Gateway yang terletak berhampiran menara jam di Victoria and Alfred Waterfront.

Feri tersebut diberi nama Sikhululekile yang bermaksud kami merdeka dalam bahasa Xhosa iaitu bahasa utama Afrika Selatan. Tiket berkenaan merangkumi perjalanan pergi dan balik ke Pulau Robben, lawatan ke Penjara Kawalan Maksimum, sesi soal jawab bersama bekas tahanan politik dan lawatan bas selama 45 minit mengelilingi pulau yang bentuk muka buminya rata.

Perjalanan menaiki Sikhululekile dari Nelson Mandela Gateway ke Jeti Teluk Murray, Pulau Robben mengambil masa selama setengah jam. Sewaktu di atas feri, kami sempat mengabadikan gambar kenangan pemandangan Cape Town dari Selat Meja.

Penulis teruja menyaksikan pemandangan indah Gunung Meja yang menjadi kebanggaan penduduk Cape Town.

Kawasan penjara

Bahkan, ketika berlabuh di Pulau Robben, penulis turut terpesona dengan kehadiran sekumpulan burung bangau dan camar yang hinggap di batu-batu laut. Ia seakan-akan memerhati dan mengalu-alukan kedatangan penulis untuk meneroka sejarah pulau tersebut.

Sesampainya di sana, penulis tertarik dengan bait-bait kata yang terpampang di dada bas iaitu 'Perjalanan tidak terasa jauh bila kemerdekaan ialah destinasinya'.

Maksud ayat tersebut sangat mendalam kerana ia menggambarkan sejarah ahli politik yang ditahan di pulau tersebut demi membebaskan negara daripada cengkaman penjajah asing.


PENULIS merakam gambar sebagai tanda kenangan berkunjung ke Pulau Robben.


Penulis cukup bertuah kerana ketika berkunjung ke kawasan penjara, penulis berkenalan dengan seorang mantan tahanan politik yang juga pemandu pelancong kami iaitu Itumeleng Makwela.

Menurut Itumeleng, pada mulanya dia sukar membuat keputusan untuk kembali ke pulau yang menyimpan pelbagai kenangan silam itu.

Namun, berbekalkan semangat kental untuk berkongsi cerita sebenar di sebalik kisah-kisah yang dilalui di penjara, dia mencekalkan hati dan menganggap apa yang dilakukan kini adalah satu terapi untuk mengurangkan kesedihan dan keperitan yang menghantui dirinya.

Pulau Robben yang terletak kira-kira 11 kilometer dari pesisir pantai Cape Town ialah bekas tapak sebuah penjara dengan keluasan 507 hektar. Pulau berkenaan juga merupakan pusat latihan dan pertahanan askar pada Perang Dunia Kedua.

Selain itu, terdapat hospital untuk pesakit kusta, pesakit jiwa dan pesakit kronik di pulau tersebut.

Lebih menarik, penjara tersebut melakar sejarah besar dunia apabila dihuni oleh pemenang Anugerah Nobel Keamanan 1993 merangkap pejuang antiaparteid dan mantan Presiden Afrika Selatan iaitu Nelson Mandela. Beliau ditahan selama 18 tahun di Penjara Kawalan Maksimum sebelum dipindahkan ke Penjara Pollsmoor dan Penjara Victor Verster.

Kuari batu kapur

Antara tahanan politik lain yang dipenjarakan di pulau tersebut ialah Robert Sobukwe, Kgalema Motlanthe dan Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma.

Semasa melawat kawasan penjara, penulis berjaya menjejakkan kaki ke dalam sel penjara awam yang boleh memuatkan seramai 50 hingga 60 tahanan pada satu-satu masa. Beberapa katil yang pernah digunakan banduan dikekalkan untuk tujuan pameran.

Kemudian penulis dibawa melawat ke kawasan Penjara Kawalan Maksimum, tempat Mandela pernah ditahan. Sel yang didiaminya sangat kecil dan cuma ada alas kain untuk tidur, dua bantal kecil, sehelai selimut, sebuah meja kecil dan sebuah tong kosong yang digunakan sebagai tandas.


SEKILAS pandang, pasti tiada siapa menyangka tempat ini merupakan kawasan penjara di Pulau Robben.


Selepas meninggalkan kawasan penjara, perjalanan diteruskan dengan lawatan menaiki bas mengelilingi kawasan pulau. Penulis dan pelancong lain dibawa melalui kawasan kuari batu kapur, rumah api, kawasan perkuburan pesakit kusta, Pantai Long Bay, sekolah dan Kramat Moturu.

Kawasan kuari tersebut ialah tempat tahanan kawalan maksimum seperti Mandela bekerja selama 13 tahun. Batu-batu kapur itu dipecahkan secara manual kepada ketulan kecil untuk dibuat batu jalan raya, bangunan penjara dan Istana Good Hope di Cape Town.

Walaupun jauh dari kawasan tumpuan penduduk, kemudahan sekolah untuk kanak-kanak setempat turut disediakan. Sekolah tersebut mempunyai empat guru tetap yang mengajar anak-anak pekerja muzium yang berumur antara enam hingga 11 tahun.

Kunjungan ke Pulau Robben meninggalkan kesan yang mendalam kepada penulis kerana berpeluang mengetahui secebis kisah berharga tentang sejarah tokoh pemimpin dunia dan perjuangannya mendapatkan kemerdekaan.

Pulau Robben sudah pasti akan kekal sebagai simbol perjuangan menentang penjajahan dan dasar aparteid yang boleh dijadikan peringatan serta pengajaran kepada generasi akan datang. Ia bukan sekadar pedoman untuk rakyat Afrika Selatan malah masyarakat dunia.

Fantasi gunung-gunung terapung

Posted:

Fantasi gunung-gunung terapung

Fantasi gunung-gunung terapung


DUA orang pengunjung berhenti merakamkan gambar kenangan mereka menggunakan kamera segera yang disediakan.


JIKA anda penggemar filem fantasi sains fiksyen Avatar (2009), anda pasti boleh membayangkan pemandangan menakjubkan gunung-gunung terapung di Planet Pandora.

Kecanggihan teknologi imej janaan komputer (CGI) yang digarap oleh pengarah berpengaruh Hollywood, James Cameron berjaya menjadikan filem tersebut kelihatan seperti sebuah dunia nyata.

Gambaran tersebut sebenarnya sebuah fantasi yang direka oleh Cameron setelah mendapat inspirasi daripada pergunungan batu berbentuk tiang gergasi di wilayah Hunan, China. Ia persis seperti yang anda lihat dalam filem berkenaan.

Gunung yang terletak di Taman Negara Zhangjiajie terbentuk selepas mengalami hakisan selama beribu-ribu tahun.


TAMAN Negara Zhangjiajie berkeluasan 4,816 hektar.


Cuaca di kawasan tersebut lembap sepanjang tahun menyebabkan kehidupan flora tumbuh padat di atas permukaan gunung itu.

Taman negara tersebut terletak kira-kira 32 kilometer (km) dari kawasan bandar Zhangjiajie dan 28km dari kawasan indah Wulingyuan. Ia digambarkan seperti sebuah destinasi pelancongan yang berdiri megah, mendamaikan dan aneh.

Keseluruhan hakisan yang membentuk tiang batu tersebut adalah hasil daripada pengembangan ais pada musim sejuk dan tumbuh-tumbuhan yang hidup di atasnya.

Ia dianggap proses pembentukan landskap China yang berbeza dan sering dijadikan subjek lukisan Cina purba.

Pada tahun 1982, taman negara yang seluas 4,816 hektar tersebut mendapat pengiktirafan sebagai taman negara hutan yang pertama di China.


LALUAN udara untuk pejalan kaki yang diperbuat daripada kaca setebal enam sentimeter berada pada ketinggian 61 meter.


Sedekad berikutnya, destinasi pelancongan tersebut disenaraikan dalam Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ia kemudiannya diluluskan oleh Kementerian Tanah dan Sumber kerajaan China sebagai Puncak Hutan Batu Pasir Geopark Negara (Zhangjiajie) pada 2001.

Malangnya, tidak banyak lokasi sehenti disediakan untuk pengunjung menikmati pemandangan keseluruhan taman negara tersebut.

Pada 25 Januari 2010, gunung tersebut secara rasminya dinamakan Hallelujah sebagai penghormatan terhadap kejayaan filem Avatar.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat