Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR zainal Eran (tengah) selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang program Johor International Treasure Hunt 2013 yang berlangsung penuh meriah di Mersing, Johor Bahru, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 24 Julai - Pelbagai usaha giat dijalankan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Johor, Jabatan Pelancongan negeri dan Tourism Malaysia Johor dalam usaha mempromosi produk pelancongan yang ada di negeri ini. Selain menjalankan aktiviti promosi melalui program-program rasmi, pihak jabatan turut menganjurkan Johor International Treasure Hunt 2013 baru-baru ini sebagai usaha mewujudkan kepelbagaian dalam memperkenalkan Johor serta produk pelancongannya. Acara yang melibatkan perjalanan sejauh 198 kilometer melibatkan laluan dari Johor Bahru ke Mersing itu membabitkan sebanyak 250 peserta dengan penggunaan 60 kenderaan. Program yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM15,000. Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Johor, Mohammad Isa Abd. Halim berkata, matlamat utama penganjuran program itu adalah untuk menjadikannya platform mempromosi destinasi, produk pelancongan, sejarah dan warisan yang menarik yang terdapat di negeri ini. "Selain itu, program tersebut bertujuan membentuk jaringan sosial dan profesional antara agensi berkaitan kerajaan dengan peserta serta masyarakat setempat. "Kita melihat aktiviti rekreasi seperti ini dapat menguji tahap intelektual selain fizikal dan mental serta semangat berpasukan dalam usaha melahirkan generasi yang lebih berdaya saing," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Johor International Treasure Hunt 2013 turut mendapat kerjasama Johor Corporation Berhad (JCorp), Institut Pembangunan Pengurusan Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Daerah Kota Tinggi dan Majlis Daerah Mersing. Program itu turut mendapat sokongan daripada beberapa rakan strategik termasuk Jabatan Taman Laut, Felcra Sungai Ara, Homestay Air Papan, Medini Mall dan Hotel Seri Malaysia Mersing. Mohammad Isa berkata, program itu turut menyelitkan beberapa elemen tradisional melalui kepelbagaian tugasan yang disediakan di setiap 'check point' malah disesuaikan dengan lokasi serta mampu memperkenal dan memberi nilai komersial kepada lokasi tersebut selain memberi pengalaman menarik kepada peserta. "Aktiviti seperti memetik sawit dan memancing di sawah yang menjadi sebahagian dari tugasan peserta ini mungkin tidak pernah dilakukan atau dilalui peserta sebelum ini dan ini pastinya menjadi sesuatu yang baru yang mungkin akan dikenang sepanjang hayat mereka. "Selain itu kita juga memperkenalkan destinasi pelancongan terbaru di Johor seperti Legoland Malaysia yang terletak di Nusajaya dan beberapa tempat bersejarah seperti makam Sultan Mahmud di Kampung Makam, Kota Tinggi," katanya. Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Zainal Eran berharap aktiviti tersebut akan terus menjadi acara tahunan dan melibatkan daerah-daerah lain yang terdapat di negeri ini sebagai langkah mempromosikan produk-produk yang ada di negeri ini. "Kita percaya pendekatan seperti ini adalah sesuatu yang sangat baik tambahan pula Johor sememangnya memiliki keunikan serta keindahannya tersendiri yang mampu menambat hati para pengunjung," katanya dalam majlis penutup program itu. Johan bagi Johor International Treasure Hunt 2013 ialah kumpulan 4WD yang membawa pulang wang tunai RM4,000 manakala tempat kedua dan ketiga dimenanangi Crazy Hunters (RM3,000) serta The Lucky One (RM2,000). |
Posted: 24 Jul 2013 11:33 AM PDT Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR ABDUL Latiff Bandi (kanan) bersama pihak pengurusan SWM mengangkat kerusi buruk sebagai gimik Pelancaran Perkhidmatan Kutipan Sampah Pukal Percuma sempena Hari Raya Aidilfitri di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, kelmarin. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI JOHOR BAHRU 24 Julai - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) sedang menyiapkan lima kertas siasatan terhadap syarikat yang menjalankan aktiviti pembuangan sampah haram di negeri ini. Pengarahnya, Zainal Fitri Ahmad berkata, lima syarikat yang terlibat merangkumi pengusaha kilang serta pemilik industri kecil dan sederhana (IKS). Beliau berkata, aktiviti pembuangan sampah haram seperti itu sukar dikesan kerana kebiasaan mereka yang terlibat melakukan kegiatan tersebut pada lewat malam. "Syarikat-syarikat ini akan dihadapkan ke mahkamah dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 dan ini merupakan kes pertama seumpamanya di negeri ini. "Kita akan meneruskan usaha ini dengan lebih agresif bagi mengesan mereka yang terlibat dalam usaha menjadikan bandar raya ini lebih bersih," katanya selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Kutipan Sampah Pukal Percuma sempena Hari Raya Aidilfitri di Kampung Melayu Majidee, di sini semalam. Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abdul Latiff Bandi dan turut dihadiri Pengarah Eksekutif SWM Environment Sdn. Bhd., Dr. Uzir Abdul Malik. Sementara itu, Uzir memberitahu, pihaknya menyediakan perkhidmatan kutipan sampah pukal secara percuma bermula semalam hingga 9 Ogos ini selain turut menyediakan perkhidmatan tong sampah Roll On Roll Off (RORO) di beberapa lokasi yang ditetapkan. Beliau berkata, bagi kawasan Mersing dan Labis, pungutan sampah pukal dijalankan berdasarkan panggilan telefon dan permintaan daripada penduduk. "Perkhidmatan ini merupakan tanggungjawab sosial dan aktiviti tahunan SWM yang diberikan khas kepada orang ramai secara percuma khususnya kepada penduduk yang ingin melupuskan barangan lama yang sudah rosak seperti televisyen, almari, tilam, kerusi, meja dan sebagainya. "Diharap aktiviti ini akan dapat mengurangkan aktiviti pembuangan sampah haram oleh segelintir masyarakat yang tidak mempunyai kesedaran sivik selain mewujudkan persekitaran yang lebih bersih," katanya. Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan boleh menghubungi talian bebas tol SWM di 1-800-88-7472 atau menghantar e-mel kepada info_jhr@swmsb.com. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |