{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Berita Harian: Nasional

Posted by Tanpa Nama

Berita Harian: Nasional


Selising kekal milik BN

Posted: 10 Jul 2013 07:22 PM PDT

Kota Bharu: Kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising, Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu kekal selepas Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen yang difailkan oleh PAS.

Hakim Pilihan Raya Datuk Zamani Abdul Rahim, ketika membacakan keputusannya semalam, berkata petisyen ditolak kerana pihak pempetisyen gagal mematuhi peraturan penyampaian petisyen.

"Petisyen itu tidak disampaikan dengan sempurna dan dengan ini petisyen ini tidak sah dan ditolak dengan kos," katanya yang turut mengarahkan pihak yang memfailkan petisyen membayar kos RM30,000.

Petisyen tidak lengkap

Berikutan keputusan itu, Zulkiflie Ali kekal sebagai ADUN Selising. Pada PRU-13, Zulkifle menewaskan calon PAS, Saipul Bahrim Mohamad dan calon Bebas, Ibrahim Ismail dengan majoriti 107 undi.

Petisyen difailkan Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Selising, Semsudin Muhammad. Bagaimanapun, mengikut Seksyen 36A Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954, pempetisyen boleh memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Pilihan Raya.

Datuk Mohd Hafarizam Harun mengetuai barisan peguam BN, manakala Hisham Fauzi mewakili barisan peguam PAS dan PKR.
Pada pilihan raya umum lalu, PAS memenangi 32 kerusi DUN di Kelantan untuk membentuk kerajaan negeri, berbanding BN 12 kerusi, manakala PKR satu kerusi.

Petisyen pilihan raya DUN Selising yang pertama didengar selepas PRU-13. Sebanyak 60 petisyen difailkan BN dan pakatan pembangkang.

Pada prosiding sama, Zamani turut menolak bantahan awal oleh defendan PAS bagi membatalkan petisyen Parlimen Bachok, DUN Jelawat dan DUN Gaal yang difailkan BN.

Zamani juga mengarahkan defendan membayar kos RM30,000 bagi setiap bantahan awal yang ditolak itu.

Beliau kemudian menetapkan 12 hingga 15 Ogos dan 18 hingga 22 Ogos depan untuk perbicaraan bagi petisyen Parlimen Bachok dan DUN Jelawat, manakala DUN Gaal pada 1 hingga 5 September.

Bagi Parlimen Machang pula, Zamani menetapkan 16 Julai untuk mendengar bantahan awal dan jika ditolak, beliau menetapkan 8 hingga 12 September sebagai tarikh perbicaraan.

Di Parlimen Bachok, calon BN, Datuk Dr Awang Adek Hussin tewas kepada calon PAS, Ahmad Marzuk Shaary dengan majoriti 201 undi; DUN Jelawat Datuk Ilias Husain (BN) tewas kepada Abdul Aziz Kadir (PAS) dengan majoriti 102 undi dan DUN Gaal - Redzuan Stapha (BN) tewas kepada Tuan Mazlan Tuan Mat (PAS) dengan majoriti 302 undi. Bagi Parlimen Machang pula, calon PKR, Wan Zawawi Wan Ismail kalah kepada calon BN, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub majoriti 805 undi.

Prosiding semalam turut menyaksikan Mohd Hafarizam membantah kehadiran tiga peguam, iaitu R Sivarasa, Lateefa Koya dan Mohammad Afiq untuk mewakili pempetisyen Parlimen Machang.

Zamani membenarkan bantahan itu selepas Mohd Hafarizam menyatakan peguam berkenaan tidak boleh mewakili pempetisyen kerana mereka bukan peguam bela dilantik pempetisyen di bawah Kaedah 9 Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954.

Celup jari ganti calit

Posted: 10 Jul 2013 07:22 PM PDT

Putrajaya: Pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut tidak lagi menggunakan kaedah mencalit dakwat kekal, sebaliknya dikehendaki mencelup jari telunjuk kiri ke dalam dakwat kekal.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata peraturan tambahan itu bertujuan mengelakkan sebarang percubaan mengundi dua kali oleh pengundi yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, kaedah itu digunakan untuk pengundian awal pada 20 Julai dan pengundian biasa pada 24 Julai ini.

Kaedah baru itu dipercayai diperkenalkan berikutan kontroversi kaedah mencalit dakwat ketika PRU-13 pada Mei lalu, yang mendapat bantahan parti pembangkang kerana dakwat dikatakan kekal sehingga tujuh hari boleh dibasuh sejurus selepas mengundi.

Abdul Aziz juga berkata, SPR hanya membenarkan 100 wakil parti masuk ke tempat penamaan calon esok di Kompleks Rakan Muda Kampung Raja, Besut.

Miliki pas khas

Semua wakil parti mestilah mempunyai pas khas yang dikeluarkan dan SPR akan menyediakan khemah untuk parti sepanjang tempoh penamaan calon selama sejam bermula jam 9 pagi, katanya dalam satu kenyataan semalam.
Abdul Aziz juga mengingatkan penyokong jangan datang dengan jumlah yang ramai bagi memastikan semua prosedur berjalan lancar dan aman.

Beliau turut merujuk kepada Seksyen 24A, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang menggariskan perkara yang tidak boleh dilakukan pada hari penamaan calon.
Antaranya larangan pembekalan alat muzik/pembesar suara atau menggunakannya bagi tujuan dakyah politik dengan apa-apa cara atau digunakan di dalam atau di atas vesel, binatang atau apa-apa kenderaan.

Kita juga mahu mengingatkan calon memastikan simbol parti berdaftar dengan SPR dan membawa surat kebenaran daripada pegawai kanan parti untuk menggunakan simbol parti.

Selain itu, penyokong tidak boleh menunggu atau berdiri dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya sekali, katanya.

Calon yang hendak membayar deposit pilihan raya RM5,000 juga dinasihat berbuat demikian menggunakan deraf bank atau tunai. Mereka boleh membuat bayaran sebelum penamaan calon dan hanya membawa resit bayaran pada hari berkenaan sebagai bukti.

Bagi tujuan memantau kempen, SPR menubuhkan satu Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) selaras peruntukan Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

SPR pantau kempen

Pasukan itu membuat rondaan dan memantau kempen, menurunkan bahan kempen yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan meminta bantuan polis bagi menghentikan ceramah tanpa permit.

Bagi memudahkan urusan pengundian, Abdul Aziz mengesyorkan pemilih berdaftar membuat semakan pusat mengundi, nombor siri dan nombor saluran mengundi mereka terlebih dulu.

Ia boleh dilakukan dengan menelefon ibu pejabat SPR di Putrajaya talian 03-88856565 pada waktu pejabat atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Terengganu 09-622 1218.

Selain itu, pengundi boleh merujuk menerusi laman web SPR di www.spr.gov.my dengan memasukkan nombor kad pengenalan dalam ruang semakan yang disediakan dan maklumat pendaftaran pemilih akan dipaparkan.

Pemeriksaan juga boleh dibuat menerusi SMS dengan menaip SPRRSEMAKNO KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat