Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
- Suratan takdir Cory Monteith
- Judika hadiahkan bakal isteri kereta sport
- Artis edar juadah buka puasa
Posted: Suratan takdir Cory MonteithSEJAK insan yang dikenali di seluruh dunia sebagai Finn Hudson iaitu karakter lakonannya dalam Glee meninggal dunia pada Ahad, 13 Julai lepas, rakan-rakan artis dan para peminat aktor Cory Monteith meluahkan kesedihan masing-masing menerusi Twitter. Namun, tiada insan yang paling terkesan dengan kematian Monteith seperti yang dialami Lea Michele. Sebagai tonggak utama Glee, Monteith, 31, dan Lea, 26, cukup sukses dalam merealisasikan karakter pasangan kekasih Finn dan Rachel menerusi drama muzikal bersiri popular itu. Meskipun mula berkenalan di set penggambaran Glee sejak tahun 2009, Monteith dan Lea ditakdirkan benar-benar bercinta di alam realiti pada November 2011. Percintaan agung mereka itu sebenarnya mahu diakhiri dengan sebuah perkahwinan dan seterusnya membina sebuah keluarga. Itu pengakuan sumber rapat Lea secara eksklusif kepada Hollywoodlife.com baru-baru ini. Malangnya, kematian Monteith telah menghancurkan impian Lea. "Sekarang Lea seperti berada di dalam neraka. Dia sudah merancang masa depannya dengan hidup bersama Cory (Monteith). "Walaupun Cory belum melamarnya, Lea positif mereka akan berkahwin dan membina keluarga suatu hari nanti," ujar sumber tersebut. Tambahnya: "Ketika Cory memasuki pusat pemulihan (dadah), Lea dihimpit dilema sama ada mahu meneruskan atau menamatkan hubungan mereka. "Namun, tekad hati Lea mengatakan dia tidak akan meninggalkan Cory. Lea malah tidak mampu membayangkan bagaimana dia boleh hidup tanpa Cory. "Sejak Cory keluar dari pusat pemulihan dia kelihatan sihat. Lea fikir Cory sudah pulih. Saya tidak tahu bagaimana Lea menghadapi perkara (kematian) ini." Di sebalik wajah naif Monteith, dia sebenarnya sudah berdepan dengan dilema ketagihan dadah sejak usia 13 tahun dan enam tahun kemudian dia dimasukkan ke pusat pemulihan. Pada tahun ini, dia secara sukarela memasuki pusat pemulihan dari 31 Mac hingga 26 April lalu. Sebuah majalah antarabangsa, Parade, pernah menyifatkan kehidupan Monteith bagaikan diberi peluang kedua dengan kejayaan yang diraihnya dalam Glee. CINTA sejati. Kematian Cory Monteith menghancurkan harapan dan impian Lea Michele untuk melangkah ke gerbang perkahwinan bersama lelaki itu. Namun, peluang itu jelas sekali telah disia-siakannya. Takdir yang tersurat kini menempatkan Monteith sebaris dengan nama-nama popular dalam dunia hiburan seperti mendiang Amy Winehouse, Whitney Houston, Heath Ledger dan Michael Jackson - kesemuanya meninggal dunia dengan cara yang sama iaitu akibat pengambilan dadah dan alkohol secara berlebihan. Bagi peminat Glee, kematian Monteith itu cukup mendukacitakan kerana bedah siasat pihak berkuasa Kanada menunjukkan kandungan dadah jenis heroin dan alkohol yang tinggi dalam tubuh pelakon itu. "Hasil bedah siasat yang membabitkan autopsi dan analisis toksikologi mendapati Cory Monteith mati disebabkan keracunan campuran dadah jenis heroin dan alkohol. "Harus dinyatakan juga, kematiannya tiada hubung kait atau bukti membabitkan kemalangan tragik," lapor badan penyiasatan terkemuka dunia, Perkhidmatan Koroner British Columbia pada Selasa lalu. Monteith atau nama sebenarnya Cory Allan Michael Monteith dijumpai telah meninggal dunia oleh kakitangan Hotel Fairmont Pacific Rim selepas dia gagal mendaftar keluar dari hotel itu. Pihak polis Vancouver, Kanada memberitahu, disebabkan kematiannya secara bersendirian di dalam bilik hotel penginapannya itu, tidak akan ada siasatan lanjut untuk mengenal pasti atau memburu pengedar dadah yang membekalkan dadah kepada Monteith. "Risiko penyalahgunaan dadah secara haram adalah tinggi dan tiada asas yang kukuh untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini. "Malangnya campuran alkohol dan heroin boleh menyebabkan organ dalaman gagal berfungsi. Siasatan ini secara rasminya sudah mendapat kata putus," ujar wakil polis, Konstabel Brian Montague. Monteith dilahirkan di Calgary, dibesarkan di Victoria sebelum berpindah ke Nanaimo dan kemudiannya Vancouver bersama ibunya, Ann McGregor. Sebelum bergelar pelakon, Monteith pernah menlakukan pelbagai pekerjaan antaranya pemandu teksi, pemandu bas sekolah dan penyambut tetamu. Selain Glee, Monteith pernah mencuri tumpuan menerusi beberapa watak sampingan dalam filem Deck the Halls, Final Destination 3 dan Urban Legend: Bloody Mary selain membintangi drama bersiri The Cleveland Show, Kyle XY, Smallville, Supernatural, Stargate Atlantis dan Kraken: Tentacles of the Deep. Mayat Monteith telah dibakar dan disemadikan di Vancouver Selasa lalu. Takziah buat Monteith. | |
Judika hadiahkan bakal isteri kereta sport Posted: Judika hadiahkan bakal isteri kereta sportOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
DI SEBALIK jadualnya yang cukup padat demi memenuhi undangan nyanyian dan mempromosikan album terbaharunya, Judika Mencari Cinta, penyanyi yang dikenali dengan nama Judika ini tetap memberi tumpuan kepada persiapan menjelang pernikahannya. Selepas enam tahun menyulam cinta, Judika mengumumkan bakal mengahwini kekasihnya, Duma Riris Silalahi pada 31 Ogos ini. Namun, belum pun tarikh itu tiba, Judika telah mengejutkan Duma dengan menghadiahkannya sebuah kereta sport mewah. Seperti yang dilaporkan Kapanlagi.com, bagi membuktikan lagi cintanya, Judika telah membelikan bakal isterinya itu sebuah kereta sport jenis Maserati yang mencecah harga RM117,000 sebagai hadiah perkahwinan mereka. Menurut Judika, keputusan untuk membeli kereta berkenaan dibuat kerana dia dan Duma sama-sama meminati kereta sport. Justeru, dia merasakan pembelian kereta itu merupakan hadiah yang paling sesuai buat Duma. "Sudah lama kami merancang mencari kereta yang akan digunakan semasa majlis perkahwinan nanti. "Secara kebetulan saya ada rakan yang bekerja di kedai menjual kereta jenama Maserati buatan Itali, jadi kami terus memilih kereta yang sesuai. "Sebenarnya, kereta yang baru dibeli ini tidak termasuk sebahagian daripada hantaran kahwin untuk Duma. "Saya membelinya kerana kereta ini akan digunakan semasa sesi fotografi untuk acara praperkahwinan kami nanti," jelasnya. Bagaimanapun, Judika menegaskan, pembelian kereta tersebut langsung tidak mengganggu perbelanjaan untuk persiapan perkahwinan mereka yang akan diadakan secara besar-besaran di Medan dan Jakarta. "Tentang duit, saya tidak kisah kerana saya sudah lama membuat simpanan untuk perkahwinan. "Dengan menghadiahkan kereta ini pastinya ia akan menjadi salah satu kenangan paling indah semasa majlis perkahwinan kami serta menjadi bukti cinta saya kepada Duma," ujarnya. BUKTI cinta. Judika membelikan sebuah kereta sport mewah pada harga mencecah RM117,000 khusus buat Duma. Lagu untuk bakal mertua Bertemu Judika yang hadir di Kuala Lumpur baru-baru ini bersempena rakaman program Judika & Friends dan Akustik Judika, pelantun lagu Aku Yang Tersakiti itu mengakui agak berdebar menjelang hari perkahwinannya. "Setakat ini, persiapan perkahwinan kami berjalan lancar, cuma jadual harian saya agak padat kerana sibuk mempromosikan album Judika Mencari Cinta. "Segala urusan persiapan saya serah kepada Duma yang dibantu oleh perancang perkahwinan kami. "Kalau ada masa terluang saya akan turut membantu," jelasnya yang akan melangsungkan perkahwinan di Danau Toba, Medan, Indonesia. Bercerita lebih lanjut mengenai album terbaharunya yang dilancarkan pada 22 Mei lalu, Judika memberitahu, ia lebih istimewa berbanding dua albumnya yang terdahulu. Ujarnya, kali ini dia diberi sepenuh kepercayaan oleh Sony Music Entertainment Indonesia untuk menjadi penerbit albumnya sendiri di samping menghasilkan beberapa buah lagu. "Untuk album Judika Mencari Cinta ini ada beberapa buah lagu yang saya hasilkan sendiri serta tiga buah lagu yang dinyanyikan secara duet iaitu Aku Yang Tersakiti (Kotak), Ku Tak Mampu (Janet Glow) dan Sampai Akhir (Duma). "Menerusi lagu Ku Tak Mampu, saya berduet dengan Janet yang merupakan pemenang sebuah pertandingan yang dianjurkan khusus untuk mencari pasangan duet saya untuk lagu ini," jelasnya. Selain ketiga-tiga lagu tersebut, terdapat 12 lagu lain yang terkandung dalam album berkenaan. Menurut Judika, untuk lagu Sampai Akhir yang dinyanyikan secara duet dengan bakal isterinya itu, mereka berdua akan menyanyikan lagu tersebut semasa berlangsungnya majlis perkahwinan nanti. Menariknya, penyanyi yang pernah muncul sebagai naib juara program realiti Indonesian Idol 2 itu mendedahkan bahawa salah sebuah lagu iaitu Mama Papa Larang dihasilkan khusus buat bakal ibu dan bapa mertuanya. "Rasanya sudah ramai yang tahu tentang kisah percintaan saya dan Duma yang penuh ranjau dan berliku apabila mendapat tentangan daripada keluarga Duma yang pada mulanya tidak suka anak mereka bercinta dengan penyanyi. "Bagaimanapun, sepanjang kami bercinta saya telah berusaha untuk membuktikan bahawa nyanyian merupakan satu pekerjaan yang hebat. Segala suka dan duka yang dilalui itu saya luahkan menerusi lagu tersebut," jelasnya. Kini, pasangan itu bakal mendirikan rumah tangga setelah mendapat restu keluarga masing-masing. Program Judika & Friends yang turut menampilkan dua penyanyi Malaysia iaitu Klangit dan Alif Satar akan disiarkan pada 10 Ogos manakala Akustik Judika pada 17 Ogos. Kedua-dua rancangan tersebut disiarkan pukul 12 tengah hari menerusi saluran Bintang 141 Astro Indopek. | |
Posted: Artis edar juadah buka puasaPROFESIONAL. Emma Maembong tidak kekok mengedarkan juadah raya kepada pemandu kereta. SEMPENA bulan Ramadan yang mulia ini, golongan artis buat kali kedua turun padang mengedarkan 300 bungkus juadah berbuka puasa kepada pengguna jalan raya di hadapan bangunan PNB Darby Park, Kuala Lumpur. Antara artis popular yang terlibat ialah Fahrin Ahmad, Julia Ziegler, Irma Hasmie, Bob AF, Amran Ismail dan Emma Maembong. Menurut Pemangku Penolong Pengurus Eksekutif PNB Darby Park, Yatie Omar, program amal itu diadakan bagi menyemai semangat saling membantu antara sesama insan. "Usaha ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada pemandu yang tidak sempat sampai ke destinasi mereka untuk berbuka puasa akibat kesesakan lalu lintas. "Ia adalah sumbangan kecil daripada keluarga PNB Darby Park untuk orang ramai. Kami berharap dapat menganjurkan lebih banyak aktiviti yang bermanfaat kepada masyarakat pada masa akan datang," ujarnya. Turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Pemasaran PNB Darby Park, Farizan Farees. Sementara itu, menurut pelakon cantik Emma Maembong, dia yang pertama kali terlibat dalam program amal itu berasa teruja dapat menyumbang sesuatu kepada masyarakat. "Ini pengalaman baharu buat saya apabila berpeluang mengagihkan juadah berbuka puasa kepada pengguna jalan raya. Terpancar kegembiraan di wajah mereka apabila menerima juadah tersebut," jelasnya. YATIE (tiga dari kiri) dan Farizan (tengah) pada program pengedaran juadah berbuka puasa di hadapan bangunan PNB Darby Park, Kuala Lumpur baru-baru ini. Dalam pada itu, jelas Yatie, sempena Ramadan tahun ini, PNB Darby Park menerusi dua restorannya, iaitu The 39 Restaurant dan 10Binjai sekali lagi menghidangkan 100 jenis juadah terbaik untuk dinikmati pengunjung. Mengulas lanjut, katanya, sebanyak 100 juadah berkonsepkan tradisional dan moden disajikan di The 39 Restaurant. "Antara juadah yang sentiasa dinantikan ialah kari kepala ikan, nasi minyak, siakap tiga rasa, beriani kambing dan ketam tiga rasa yang boleh dinikmati pada harga RM99++ untuk dewasa sementara kanak-kanak RM49++. Anda boleh menghubungi nombor 03-7490 3838 untuk tempahan. "Selain itu, sekiranya anda menggemari suasana restoran yang lebih kasual dan kontemporari, boleh ke restoran 10Binjai. "Antara juadah yang disediakan di situ adalah shawarma, nasi arab, sup gear box, roti john dan lain-lain. "Juadah tersebut boleh dinikmati pada harga RM79++ untuk dewasa manakala RM39++ untuk kanak-kanak. Sebarang tempahan boleh dibuat menerusi 03-7490 3838," ujarnya lagi. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |