Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
- Awi enggan dilabel kasanova
- 'Poyo' perlu atas pentas - Hazama
- Madagascar 3: Europe's Most Wanted versi Melayu
Posted: Awi enggan dilabel kasanova
NAMA Awi Rafael tidak pernah sunyi daripada kontroversi sejak mula dikenali ramai. Terbaharu, isu putus cintanya dengan pelakon Hanez Suraya, 28, menjadi perhatian. Bagaimanapun tidak lama selepas isu putus cinta itu terpampang di media, Awi atau nama sebenarnya Muhammad Nabawi Gunawan, 27, dikaitkan dengan beberapa artis wanita termasuk penyanyi Shila Amzah yang merupakan kenalan lamanya. Awi yang ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Hotel Royal Bintang, Damansara baru-baru ini memohon maaf kepada mereka yang turut terkena tempias kerana kontroversi putus cintanya. "Kami berdua putus cinta atas persetujuan bersama, tidak ada kena mengena dengan orang ketiga. Saya minta maaf kepada mereka yang terkena tempias gara-gara saya putus cinta," ujarnya. Tegas Awi, dia tidak mahu kerana kisah putus cinta dan gosip dia bercinta dengan artis lain membuatkannya dilabel sebagai lelaki kasanova atau playboy. "Biarlah orang nak kata apapun tentang saya, tetapi saya tidak mahu imej playboy itu melekat pada saya kerana hakikatnya saya bukan begitu," katanya serius. Luah Awi lagi, dia sedar dia popular dan semakin dikenali ramai kerana kisah cintanya dengan Hanez, selain lagunya yang sering diputarkan di radio. Bagaimanapun, dia bukan sengaja mahu meraih publisiti dengan cerita cinta. "Saya tidak salahkan sesiapa yang membesarkan isu cinta kami berdua kerana saya faham kerja media. Saya mencari rezeki dengan isu cinta tetapi saya tidak cari publisiti menggunakan cara ini, sebaliknya ia berlaku tanpa sengaja. "Kalau boleh saya mahu dikenali kerana lagu-lagu saya, yang lain hanyalah tambahan sahaja," ujarnya.
Berkembang Bercerita tentang kontroversinya yang tidak berkesudahan, Awi meluahkan rasa syukurnya kerana dia masih diminati dan kerjayanya semakin berkembang. "Jika difikirkan balik, sejak saya jadi artis, banyak betul kontroversi. Selepas isu senikata lagu, keluar gambar saya bersama Hanez, isu tatu dan sekarang putus cinta. "Kalau perkara yang sama terkena pada orang lain, mungkin kerjaya sebagai artis sudah berkubur tetapi saya tidak. Memang saya ada kontroversi, tetapi pada masa yang sama lagu-lagu saya diterima dengan baik. "Saya agak bertuah kerana sentiasa disokong peminat, mungkin penerimaan pendengar terhadap lagu saya yang menyelamatkan kerjaya saya buat masa ini," luahnya jujur. Mengakui sejak putus cinta dengan kekasihnya selama setahun itu kehidupannya bertambah sunyi. Namun, sudah tiada jodoh antara mereka, Awi pasrah kerana itu merupakan keputusan terbaik buat mereka berdua. "Sejak kami berpisah saya belum pernah bersemuka dengannya. Memanglah rasa sunyi tetapi kehidupan harus diteruskan. Sekarang masing-masing terlalu sibuk dengan kerjaya dan sebelum putus kami jarang dapat berjumpa kerana jadual kerja yang padat," katanya. Disoal mengapa sebelum ini Awi lebih banyak mengambil sikap mendiamkan diri berbanding Hanez yang bersuara terlebih dahulu tentang keretakan hubungan mereka, ini jawapan Awi. "Sebagai lelaki saya rasa lebih baik mendiamkan diri daripada bercerita dan saya juga harus menghormati Hanez kerana dia wanita yang pernah hadir dalam hidup saya. "Tidak adil untuknya jika saya bercakap terlebih dahulu tentang keretakan hubungan kami kerana keputusan itu diambil secara bersama. Saya perlukan masa yang sesuai, jadi selepas Hanez mengeluarkan kenyataan barulah saya berbuat demikian. "Walaupun begitu, kami tidak bermasam muka kerana kami masih baik sebagai kawan dan tidak ada sebarang masalah jika terserempak dalam mana-mana majlis hiburan." AWI kerap berulang-alik antara Malaysia dan Indonesia dalam usaha memasarkan karier seni suaranya. Ditebak mungkinkah hatinya telah dicuri mana-mana wanita, Awi hanya menggeleng dan memberitahu fokusnya hanya pada kerjaya muziknya sahaja. "Memang sekarang saya tidak ada sesiapa tetapi jodoh kita tidak boleh ramal. Namun setakat hari ini, saya tidak mahu terlibat dalam sebarang hubungan cinta dengan sesiapa kerana saya tidak mahu memberi harapan kepada wanita itu. "Fokus saya hanyalah kerjaya, itulah kehidupan saya sekarang. Jika saya bercinta, saya bimbang saya hanya akan melukai hati orang lain. Soal berkahwin juga saya belum fikir lagi kerana saya harus stabilkan diri dan ekonomi terlebih dahulu," tuturnya jujur. Tembusi pasaran Indonesia Jadual harian Awi semakin padat. Selain sibuk dengan persembahan pentas di Malaysia dan negara kelahirannya Singapura, Awi juga sibuk berulang-alik ke Jakarta, Indonesia. Bukan hatinya sudah tertambat di sana, sebaliknya, Awi kini sibuk dengan persiapan untuk menembusi pasaran muzik negara seberang dengan karya muziknya. "Memang sibuk, sebulan saya akan berada di tiga negara, Malaysia, Singapura dan Indonesia. Sekarang saya kerap terbang ke Jakarta kerana berjumpa dengan pengurusan di sana untuk melebarkan lagi kerjaya saya. "Bagi saya, untuk masuk ke pasaran Indonesia, kita harus jadi seperti mereka. Bukan mudah, selain pertuturan, gaya lagu juga harus sesuai dengan jiwa orang Indonesia," balasnya. Bagaimanapun, tidak sukar buat Awi kerana bapanya sendiri merupakan orang Indonesia yang kini menetap d Bali. Selain mempunyai keluarga, Awi juga mempunyai ramai rakan di republik itu. "Jika di sini saya telah dikenali tetapi di Indonesia saya merupakan artis baharu, jadi banyak kerja dan persiapan yang harus dilakukan. Sekarang baru di peringkat perbincangan, doa-doakan semuanya berjalan lancar buat saya di sana," pintanya. | ||
'Poyo' perlu atas pentas - Hazama Posted: 'Poyo' perlu atas pentas - HazamaOleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA
PENYANYI kelahiran Akademi Fantasia musim kesembilan, Hazama Ahmad Azmi atau Hazama pernah dituduh sebagai penyanyi 'poyo' (berlagak bagus) apabila dia sering menunjukkan aksi yang berlebih-lebihan di atas pentas. Enggan berterusan dilabel sebagai 'poyo', Hazama berani mempertaruhkan judul album sulungnya sebagai Penglipur Lara. Ia bagi membuktikan dirinya seorang penghibur biarpun dia boleh dianggap masih lagi 'hijau' dalam dunia nyanyian. Seiring dengan kemunculan album sulungnya itu, Hazama turut mengadakan persembahan mini, sekali gus melancarkan album sulungnya itu di Wisma Bentley Music, Mutiara Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini. Dalam persembahan mininya itu dia menyampaikan lapan buah lagu termasuk lagu popular Tanya Sama Pokok dan Simetri serta lagu ciptaannya sendiri iaitu Dengarlah. Hazama turut meniru gaya dan vokal penyanyi Amy (Search) dan juga Ramli Sarip bagi menghiburkan peminat-peminatnya pada malam itu. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Hazama selanjutnya. Kosmo!: Sebelum ini ada yang melabelkan Hazama sebagai 'poyo' tetapi tidakkah risau label tersebut akan terus dikaitkan dengan anda, lebih-lebih lagi selepas nekad meletakkan judul Penglipur Lara sebagai judul album sulung? HAZAMA: Ada yang salah faham dengan karakter saya. Saya fikir, kita harus 'poyo' di atas pentas untuk menghibur dan menggembirakan orang ramai. Sebaliknya, orang salah faham pula. Saya harap tiada lagi salah faham dan melabelkan saya 'poyo' selepas kemunculan album Penglipur Lara ini. Sebab, niat saya hanya untuk menghiburkan orang. Berapa buah lagukah yang terkandung dalam album Penglipur Lara? Antara lagu yang dimuatkan dalam album itu termasuklah Majnum, Semalam, Akhir Ceritera, Ulik Mayang, Penglipur Lara, Noktah, Simetri (duet dengan Amy Search), Relakan Jiwa serta sebuah lagu ciptaan saya sendiri iaitu Dengarlah. Boleh kongsikan cerita mengenai lagu ciptaan anda itu? Saya dapat inspirasi untuk menghasilkan lagu Dengarlah melalui pengalaman diri sendiri seperti cinta, selain perjalanan susah dan senang kehidupan saya selama ini. Setelah tujuh tahun menyanyi kini Hazama sudah memiliki album. Bagaimanakah perasaan anda? Tujuh tahun lalu saya hanya mampu berangan untuk memiliki album sendiri. Akhirnya, impian saya itu menjadi kenyataan. Sebelum ini saya hanya menyanyikan lagu-lagu orang. Kini, saya memiliki lagu yang dimahukan. Kalau boleh, saya mahu jadi penyanyi versatil.
Siapakah komposer yang mencipta lagu-lagu Hazama? Album berkonsepkan pop rock ini mempertaruhkan komposer dan penulis lirik terkenal seperti Audi Mok, Omar K, Manusia Putih, Mike Chan, Zel Hadauan dan Cat Farish. Tahniah atas persembahan mini anda. Apakah yang Hazama harapkan melalui persembahan mini tersebut? Tujuan saya adakan persembahan mini ini bukan sahaja untuk melancarkan album tetapi juga untuk memperkenalkan kumpulan saya. Bila ada persembahan secara langsung saya akan buat persembahan dengan mereka. Kenapakah anda perlu mempunyai sebuah kumpulan sendiri untuk mengadakan persembahan secara langsung? Sebenarnya, saya sudah bosan menyanyi secara minus one. Saya lebih puas bila menyanyi menggunakan muzik secara langsung iaitu secara berkumpulan. Ketika di atas pentas tadi Hazama ada meniru gaya dan suara penyanyi otai Amy Search dan juga Ramli Sarip, malah ia dibuat secara lawak. Tidakkah anda rasa perbuatan itu seperti menyindir atau memperbodoh-bodohkan mereka? Saya tidak berniat untuk menyindir mahupun memperbodoh-bodohkan Amy Search dan Ramli Sarip. Mereka adalah idola saya. Saya membesar dengan lagu-lagu Amy, Zamani, Ramli Sarip dan juga Nash. Saya sekadar ambil mood untuk memberikan persembahan yang mantap. Saya juga lakukannya sebagai suatu penghormatan kepada mereka. Adakah anda turut meniru suara penyanyi-penyanyi tersebut ketika menyanyikan lagu-lagu anda? Mereka sekadar inspirasi. Saya tidak pernah mahu berada dalam industri dengan menjadi orang kedua atau orang lain. Hazama tidak pernah merahsiakan mengenai percintaan dengan seorang gadis. Bilakah anda dan kekasih bakal berkahwin? Album sulung saya baru muncul, jadi saya mahu fokus kepada kerjaya dahulu. Saya juga belum begitu kukuh dalam industri seni. Mujur si dia sangat memahami. Ramadan baru menjelma, jadi apakah aktiviti anda sepanjang bulan ini? Saya akan sibuk sepanjang Ramadan dengan rangka promosi album dan juga penggambaran filem Hantu Nan Sempit. Saya juga terlibat dengan program televisyen Sampaikan Salam Raya di Astro tetapi saya tetap akan pulang berhari raya di Ipoh, Perak. | ||
Madagascar 3: Europe's Most Wanted versi Melayu Posted: Madagascar 3: Europe's Most Wanted versi MelayuOleh RONI HIDAYAT RIDWAN BARISAN peminjam alih suara versi bahasa Melayu animasi Madagascar 3: Europe's Most Wanted bergambar sewaktu majlis pelancaran animasi tersebut baru-baru ini. PADA pertengahan tahun lalu, filem animasi Madagascar 3: Europe's Most Wanted mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan apabila berhasil mengutip lebih RM2 bilion setelah ditayangkan di pawagam seluruh dunia. Berdasarkan kepada sambutan hangat filem berkenaan, saluran HBO Asia mengambil keputusan untuk menayangkannya dengan versi yang dialih suara dalam bahasa Melayu. Ketua Jualan Dan Pemasaran Bersama HBO Asia, Jacelyn Kek berkata, penayangan tersebut dibuat berdasarkan kesinambungan kepada langkah yang sama mereka lakukan untuk filem The Smurf pada tahun lalu. "Sebelum ini kami telah memilih The Smurf untuk dialih suara ke dalam bahasa Melayu, khusus buat penonton di Malaysia. "Ternyata langkah sedemikian mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. "Pada tahun ini pula filem Madagascar 3: Europe's Most Wanted telah dipilih dan akan ditayangkan ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti," ujarnya pada majlis pelancaran yang berlangsung di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini. Menurut Jacelyn, untuk program alih bahasa berkenaan pihaknya telah mendapatkan kerjasama ramai artis popular yang akan menyumbangkan suara mengikut watak-watak dalam filem animasi itu. Ujarnya, berbanding dengan filem The Smurf dahulu, kali ini mereka telah menggunakan khidmat suara artis dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei. "Sebelum ini kami hanya memilih artis popular dari Malaysia untuk melakukan alih suara tetapi dengan gabungan ketiga-tiga negara, pastinya membuatkan ia menjadi lebih menarik," ujarnya. Antara barisan artis yang telah menjayakan alih suara filem berkenaan seperti Hafiz Suip, Lisa Surihani, Fahrin Ahmad, Hazama, Didie Alias, Zahid dan Adifashla serta Najib Ali, Taufik Batisah (Singapura) dan Jazz Hassan (Brunei).
Filem tersebut mengisahkan tentang empat sekawan iaitu Alex The Lion, Marty The Zebra, Melman The Girrafe dan Gloria The Hippo berusaha untuk ke New York, Amerika Syarikat. Dalam perjalanan ke sana, keempat-empat haiwan berkenaan berhadapan dengan ugutan seorang Pegawai Kawalan Haiwan Perancis iaitu Kapten Chantel DuBois. HBO Asia akan menyiarkan tayangan perdana Madagascar 3: Europe's Most Wanted pada Aidilfitri pertama iaitu 8 Ogos depan di saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431) pada pukul 8 malam. Cabaran Pelakon Lisa Surihani yang ditemui semasa majlis pelancaran berkata, dia sangat berterima kasih kerana pihak HBO Asia masih memberi kepercayaan kepadanya untuk sama-sama terlibat dengan program alih suara tersebut. Ujarnya, sebelum ini dia pernah terlibat dengan alih suara untuk filem The Smurf dan terbabit dalam projek sedemikian memberi pengalaman yang cukup bermakna buat dirinya. "Sebagai seorang peminat rancangan animasi, dapat terbabit dengan program-program alih suara sebegini pastinya membuatkan saya teruja, apatah lagi untuk filem yang hebat seperti Madagascar 3: Europe's Most Wanted. "Mungkin orang menyangka melakukan kerja alih suara ini mudah. Sebenarnya ia memberi cabaran yang agak besar apabila perlu menggunakan cara tersendiri dan tidak boleh terikut-ikut dengan suara versi asal," ujarnya yang menyumbang suara untuk watak Gloria The Hippo. Sementara itu, penyanyi Hafiz Suip yang menyumbang suara untuk watak Alex The Lion turut mempunyai pandangan yang sama dan menyatakan bukan mudah untuk melakukan proses alih suara berkenaan. "Selain perlu berjaga-jaga dengan kawalan suara dan membuat gaya tersendiri, pergerakan bibir dengan watak animasi yang dibawa juga perlu selari supaya filem animasi tersebut kelihatan lebih kemas," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |