Kosmo Online - Pemotoran
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pemotoran |
Posted: Pengganti Kia ForteOleh SHAWKATH AZDE JIKA diamati keseluruhan kategori kenderaan penumpang yang ada dalam industri automotif Malaysia pada tahun ini, satu-satunya yang diunjurkan terus berkembang adalah segmen C. Segmen C ialah kenderaan keluarga saiz sederhana. Boleh dikatakan setiap pengeluar kenderaan dari Jepun, Korea, Amerika Syarikat dan Eropah ada meletakkan produk masing-masing dalam kelas itu. Antara contoh model dimaksudkan ialah Toyota Corolla Altis, Nissan Sylphy, Mazda3, Mitsubishi Lancer, Honda Civic, Chevrolet Cruze, Ford Focus, Peugeot 408, Volkswagen Jetta, Hyundai Elantra, Kia Forte dan Proton Inspira. Berdasarkan senarai tersebut dan kelibat semasa kenderaan itu di atas jalan raya, tafsiran yang dapat diberikan adalah inilah kelas kenderaan paling popular di Malaysia. Dari perspektif pengeluar pula, segmen C adalah medan persaingan yang cukup sengit dan mendapat perhatian daripada konsumer. Senario segmen C mula berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan kehadiran dua jenama Korea iaitu Kia dan Hyundai. Kia Motors Company sebenarnya adalah syarikat subsidiari Hyundai Motor Company di Korea Selatan. Cuma di Malaysia, pengedar rasminya terdiri daripada dua konglomerat berbeza. Hyundai berada di bawah payung Sime Darby Bhd. Kia pula diedarkan oleh Naza Kia Malaysia Sdn. Bhd. (Kia Malaysia). Kia Malaysia ialah anak syarikat Kumpulan Naza. Kelebihan produk Korea berkait rapat dengan pelbagai ciri dan fungsi melebihi produk pesaing lain. Tidak lupa juga konsep rekaan dan keselesaan yang cukup segar dan relevan mengikut peredaran masa. Bagi mengukuhkan kedudukan dalam segmen C Malaysia, Kia Malaysia baru-baru ini tampil dengan model pengganti Forte. Biarpun ia kini dikenali sebagai Kia Cerato, model itu juga masih dikenali sebagai Forte atau K3 di beberapa pasaran lain. Generasi ketiga kereta sedan sederhana itu telah membuat penampilan sewaktu Pameran Motor Los Angeles pada tahun lalu. SUSUN atur butang pada stereng dan papan pemuka Cerato ternyata cukup kemas. Ketua Pegawai Operasi Kia Malaysia, Datuk Syed Abdul Hafiz Syed Abu Bakar memberitahu, Cerato kini menduduki tangga kedua dari segi jualan terbaik model Kia di pasaran global selepas model kompak Kia Rio. Untuk pelanggan tempatan, dua varian Cerato dibawa masuk iaitu 1.6 liter dan 2.0 liter. Tumpuan pembelinya ialah mereka yang berada dalam lingkungan usia 26 hingga 40 tahun. Prospek jualan bagi kedua-dua varian itu kelihatan positif jika dianalisis sasaran pelanggannya. Peringkat umur itu terdiri daripada golongan yang sudah ada karier sendiri dan berkeluarga kecil. Merujuk laman web Jabatan Perangkaan Malaysia, populasi penduduk yang berusia 25 hingga 44 tahun merangkumi hampir sembilan juta orang bagi tahun 2011. Sudah pasti inilah lubuk emas bagi pengeluar kenderaan. Cerato sudah menetapkan penanda aras baharu dalam segmen C dengan pengenalan beberapa ciri baharu. Tiga mode stereng Inovasi pertama ialah stereng kuasa pacuan motor (MDPS) dengan sistem Flex Steer. Sistem itu akan mengubah kawalan stereng dengan hanya menekan butang. Anda dibekalkan dengan tiga mode iaitu Comfort (ringan), Normal (sederhana) dan Sport (berat). Butang penukaran mode berada di bahagian kanan stereng. Saya mendapati mode Comfort memudahkan usaha untuk memarkir kenderaan dan pemanduan di bandar. Normal sesuai bagi pemanduan harian di bandar atau pemanduan biasa. Mode Sport pula sesuai ketika memandu laju di lebuh raya. Bagi varian 2.0 liter, kerusi pemandu dibekalkan dengan sistem pengudaraan tempat duduk. Udara sejuk akan disalurkan pada bahagian belakang badan dan punggung anda. Terasa seperti duduk di atas tuala basah. Kedua-dua varian Cerato turut memiliki ciri Smart Welcome Light. Jika anda menghampiri kenderaan dengan kunci pintar, pocket light dan puddle light akan menyala secara automatik. Pocket light berada di belakang hendal pintu. Sementara puddle light ditempatkan di bahagian bawah perumah cermin pandang sisi yang akan menyala di kawasan lantai sekitar pintu kenderaan. Untuk keselesaan penumpang belakang, kedua-dua varian didatangkan dengan bolong udara pendingin hawa. Reka bentuk kerusi bahagian belakang yang tidak terlalu menegak memberi keselesaan bagi pemanduan jarak jauh. LAMPU utama model Cerato diadun bersama lampu DRL LED. Keseluruhan ruang kabin didominasi dengan tona hitam. Salutan material kulit lembut pada bahagian dalaman menimbulkan rasa eksklusif. Reka bentuk Kia Cerato secara keseluruhan kelihatan lebih moden. Ia tidak seperti model sebelumnya yang mengetengahkan penampilan maskulin. Imej bahagian hadapan diperkukuhkan menerusi gril Tiger Nose dan set lampu utama berserta DRL LED. Jenis lampu digunakan adalah berbeza mengikut varian iaitu halogen untuk 1.6 liter dan HID dengan penyelarasan automatik bagi 2.0 liter. Bahagian belakang nampak kemas dengan set lampu LED besar dan garisan badan but yang lebih sporty. Untuk varian 2.0 liter, beberapa penambahan aksesori diberikan seperti bumbung suria, spoiler belakang, material kulit pada kerusi dan panel instrumen jenis Supervision Cluster. Kia Cerato juga sarat dengan ciri-ciri keselamatan termasuklah ESC, Bantuan Kawalan Brek (BAS), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), enam beg udara, sensor pengesan pelanggaran hadapan dan sisi, ISOFIX dan banyak lagi. Didatangkan dengan lima warna pilihan iaitu putih, kelabu, perak, merah dan emas, Cerato boleh didapati menerusi rangkaian pengedar sah Kia Malaysia di seluruh negara. Harga atas jalan termasuk insurans bagi varian 1.6 liter ialah RM99,888 seunit. Varian 2.0 liter dijual pada harga RM118,888 sebuah. Jaminan diberikan adalah selama lima tahun tanpa had perbatuan. |
Posted: Restorasi lengkap Beetle biruOleh IRWAN ASRI MOHD NOR RESTORASI sebuah Volkswagen Beetle boleh mencecah puluhan ribu ringgit. WALAUPUN penduduk Malaysia kaya dengan lagu dan cerita rakyat, kita masih belum ada kereta rakyat yang sebenar. Mungkin Proton Saga generasi pertama atau Perodua Kancil boleh dikategorikan sebagai kereta rakyat Malaysia. Namun pasarannya tidaklah besar dan memang tak boleh lawan kereta rakyat dari Jerman ini. Kereta rakyat yang dimaksudkan tentulah Volkswagen Beetle. Jika kita baca sejarah, insan bernama Adolf Hitler memang dibenci. Tetapi dialah individu yang bertanggungjawab mengarahkan Dr. Ferdinand Porsche menghasilkan kereta yang mampu dimiliki oleh semua rakyat Jerman ketika itu. Siapa sangka, selepas hampir 70 tahun kereta itu dihasilkan, ia masih popular dan mendapat tempat di hati jutaan peminat di seluruh dunia. Malah musuh utama Jerman masa perang dulu, Amerika pun menggilai kereta Volkswagen tersebut. Sehinggakan boleh hasilkan filem yang heronya ialah kereta itu. Tak percaya, sila tonton filem Herbie. Di Malaysia, kereta rakyat dari Jerman itu sudah lama diterima sebagai kereta pilihan keluarga Malaysia sekitar tahun 1960-an hinggalah ke awal 1980-an. Jadi, kereta Beetle biru muda itu memang mengingatkan saya kepada kenangan zaman kanak-kanak di mana kereta macam ini amat senang dijumpai di jalan raya. Sekarang agak susah nak tengok Beetle sebegini. Buang karat Bukan sebab telah pupus, tetapi ia sudah dijadikan bahan koleksi berharga oleh peminatnya. Saya tidak hairan kalau ada peminat Beetle berbelanja lebih RM80,000 untuk melakukan restorasi dan mengubah suai Beetle mereka. Kos restorasi Beetle biru mungkin tidak setinggi itu. Namun kerja-kerja restorasinya agak lengkap. Ia masih mengekalkan gaya retro dengan menggunakan aksesori yang sememangnya dihasilkan untuk model Beetle. Sebelum apa-apa pengubahsuaian dibuat, badan kereta perlu direstorasi terlebih dahulu. Alasannya mudah, kereta itu sudah berusia hampir 50 tahun, sebagus mana pun sesebuah kereta, masalah karat memang tidak boleh dielakkan. Apatah lagi kalau dipandu di Malaysia yang cuacanya panas dan lembab sepanjang tahun. Segala karat pada badannya dibuang sebelum disembur dengan lapisan cat biru muda yang menyegarkan kembali rupa Beetle klasik itu. Beberapa aksesori krom seperti hiasan lampu dan strip di sisi badan kereta ditambah. Bampar depan dan belakang asal Beetle dibaik pulih, dicelup semula dengan lapisan krom baru yang silau mata memandang di bawah terik matahari. Satu aksesori unik yang dipasang padanya ialah cermin belakang. Kalau anda perasan, cermin ini boleh ditolak keluar untuk membolehkan angin masuk ke ruang penumpang belakang. Inilah aksesori original Beetle yang sekarang hanya boleh dibeli di kedai aksesori Beetle di luar negara (kebanyakannya dari Amerika Syarikat atau Britain). Penambah seri sebenar Beetle ini sudah tentulah rimnya. Rim Beetle ini menggunakan rim Empi Sprintstars berdiameter 15 inci. Empi ialah nama yang cukup terkenal sebagai pembuat aksesori VW Beetle klasik. Saya fikir, tidak ada rim lain yang menjadi pilihan pemilik Beetle di serata dunia selain rim buatan Empi. Tayar BF Goodrich bersaiz 195/60 dipilih untuk digandingkan dengan rim yang masih nampak retro tetapi dengan ciri-ciri keselamatan tayar moden. Beetle ini kemudian direndahkan menggunakan set penyerap hentak Bilstein. Bahagian dalaman Beetle semuanya direstorasi mengikut spesifikasi asal dengan sedikit modifikasi. Apa yang paling ketara ialah pemain cakera padat pada bahagian bawah papan pemuka. Apa yang saya respek, radio AM asal Beetle masih dikekalkan, mungkin untuk mengembalikan nostalgia masa silam. Stereng asal masih dikekalkan. Tetapi disolek sedikit dengan menggantikan butang hon asal kepada butang hon berlogo Wolfsburg - bandar kelahiran Beetle di Jerman. Tuil gear Gene Berg digunakan bagi mengganti tuil gear asal. Tetapi tombol gear tetap menggunakan tombol yang asal. Tempat duduk asal hanya dibalut dengan vinil baru dan mengekalkan rupa aslinya. Anda mesti tertanya-tanya, kenapa saya tak cerita pasal enjin? Sebab enjinnya standard tak buat apa-apa, basuh pun tidak. Cuma ekzos ada buat sikit, guna paip dan peredam bunyi custom yang menyerlahkan bunyi enjin boxer dengan sistem penyejukan udara. Anda ingat Subaru sahaja yang guna enjin boxer? Beetle dah guna enjin boxer sejak Hitler masih hidup lagi tau! |
Posted: Penjelajah urban versatilOleh MUHAMMAD MD TAJUDIN MAMPUKAH EcoSport menjadi pilihan popular seperti Fiesta dan Ranger jika ia ditawarkan di Malaysia? JIKA diperhatikan dengan lebih mendalam populariti segmen kenderaan bandar, ia sebenarnya tidak terhad kepada motosikal atau kereta sahaja. Bahkan ia turut merangkumi SUV kecil. Vakum segmen tersebut terjadi apabila Perodua menghentikan model Kembara. Sebelum itu, segmen tersebut didominasi oleh Daihatsu Feroza, Suzuki Vitara dan Jimny. Pada suatu ketika, Vitara dan Feroza begitu popular hingga mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Begitu juga dengan Jimny yang masih lagi diburu oleh pembeli menyebabkan harganya tidak jatuh-jatuh. Memandu sebuah SUV bandar cukup menyeronokkan kerana sifat fizikalnya yang tinggi dan rugged. Entah kenapa kebanyakan pengeluar masih tidak nampak atau sengaja meninggalkan segmen itu. Pusat pembangunan Ford Walau bagaimanapun, ruang kosong yang lama ditinggalkan itu bakal diisi kembali oleh Ford melalui model SUV bandar yang baharunya iaitu EcoSport. Sejarah EcoSport bermula apabila pertama kali diperkenalkan di Amerika Selatan pada tahun 2003. Pengenalan itu telah membuka segmen baharu di sana dengan jualan lebih 700,000 unit. Projek tersebut diketuai oleh Pusat Pembangunan Ford di Brazil. Pasukan itu kemudiannya menggunakan keupayaan kejuruteraan dan kepakaran Ford global untuk menghasilkan EcoSport generasi baharu yang diyakini dapat membantu perkembangan Ford di pasaran dunia. Pada Mac lepas di Bangkok, Thailand, Ford telah melancarkan EcoSport generasi baharu bagi memenuhi minat yang semakin membesar terhadap SUV urban yang praktikal, mampu milik dan menjimatkan. Dibangun berdasarkan platform segmen B Ford, EcoSport dilihat sebagai alternatif terbaik untuk kereta kompak. Ini kerana jentera tersebut lebih sesuai untuk lima penumpang dan peralatan mereka. EcoSport menggabungkan ciri-ciri versatiliti dan bakal menarik perhatian pelanggan yang mempunyai gaya hidup aktif. Posisi pemanduan yang tinggi, reka bentuk rugged dan penggunaan minyak ekonomikal menjadikan EcoSport kenderaan yang sesuai untuk kegunaan di bandar dan jalan berbukit. EcoSport mampu untuk mengharungi air setinggi 0.55 meter dengan selesa sambil pemandunya dihiburkan dengan sistem multimedia Ford SYNC. Jika pemandu dan penumpang ingin menikmati minuman sejuk pula, simpan sahaja enam tin minuman di dalam kotak papan pemuka (glove box) yang mampu menyejukkan minuman. Di Bangkok, Ford mempamerkan varian paling mewah iaitu EcoSport Titanium yang didatangkan dengan warna merah (Mars Red), bumbung suria, gril krom dan roda aluminium 16 inci. PAPAN pemuka EcoSport meneruskan hala tuju rekaan dalaman kenderaan Ford yang moden. Sekilas pandang, reka bentuk EcoSport yang menonjol nampak seperti hendak menerkam. Sementara bonet lebar yang selari dengan garisan badan memberi efek kuasa dinamik dalam pergerakan. Lampu depan nipis yang mengapit gril pula menonjolkan rupa signatur Ford. Tiang B yang dihitamkan sedondon dengan cermin sisi yang menampakkan lagi garisan maskular yang dibentuk oleh tingkap dan pintu. Garisan itu kemudian bersambung dengan bahagian belakang EcoSport. Bagi menampakkan bonet belakang yang 'bersih', pembuka pintu diletakkan sekali dengan lampu belakang. Tayar simpanan yang disangkut pada bonet belakang pula adalah identiti SUV lama. Ia sebenarnya praktikal supaya lebih banyak ruang kargo dapat digunakan. Selain memudahkan proses mengalihkan barang berat ke dalam EcoSport dengan reka bentuk bamparnya yang rendah. Pada ruang kabin pula, kerusi belakang boleh dilaras untuk lebih keselesaan atau dibaringkan terus untuk lebih ruang kargo. Apabila tempat duduk diturunkan, ruang bonet meningkat kepada 705 liter iaitu saiz yang boleh memuatkan sebuah mesin basuh. Dari segi pemanduan pula, EcoSport didatangkan dengan pelbagai alat bantuan seperti Hill Launch Assist (HLA) yang dapat digunakan semasa kereta mendaki atau menuruni bukit. HLA menahan kereta daripada bergerak selama 2.5 saat untuk memberi kesempatan kepada pemandu mengalihkan kaki dari pedal brek ke pedal minyak. Sterengnya pula menggunakan teknologi kuasa bantuan elektronik (EPAS) untuk tindak balas yang responsif dan menjimatkan minyak. Ciri-ciri keselamatan yang ditawarkan terdiri daripada dua beg udara depan, beg udara sisi, ABS dan ESP. Ford EcoSport dikuasakan oleh enjin 1.5 liter dengan kuasa 108PS dan tork 138Nm. Enjin itu menggunakan teknologi Ti-VCT yang memberi kuasa pada kelajuan enjin rendah, selain daripada penggunaan minyak yang ekonomikal. Bergantung kepada pasaran, terdapat dua jenis transmisi yang boleh dipadankan iaitu enam kelajuan automatik Ford PowerShift atau pun transmisi lima kelajuan manual. Ford EcoSport akan dibina di kilang canggih dan baharu Ford iaitu di Rayong, Thailand yang merupakan pangkalan eksport ke negara ASEAN dan beberapa pasaran lain. SUV tersebut bakal dipasarkan ke lebih 100 pasaran dunia dan mungkin juga termasuk negara kita. Baru-baru ini ada kedengaran Suzuki akan membawa masuk kembali Jimny. Sekiranya itu benar, maka baru ada dua produk dalam pasaran SUV bandar. Jika kena harga dan promosinya, segmen itu merupakan lubuk emas. Namun masalah dengan Ford ialah produknya yang banyak menerima saingan daripada pengeluar Jepun dan Korea Selatan. Tambahan pula syarikat itu berasal dari Amerika Syarikat yang selalu menjadi sasaran boikot rakyat negara kita. Walaupun begitu, dua produk Ford iaitu Fiesta mendapat sambutan hangat. Sementara waktu menunggu trak pikap Ranger pula berbulan-bulan lamanya! |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |