Kosmo Online - Pesona
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pesona |
Posted: Reedha buah hati Lia Zalee Oleh NURUL IZZA ROSLY KELAHIRAN cahaya mata kedua yang merupakan seorang puteri, sembilan tahun lalu melengkapkan hidup wanita pemilik nama Lia Zalee Ahmad, 38, bersama suami tercinta selepas kelahiran putera sulung mereka. Walaupun bayi perempuan itu dilahirkan ketika usia kehamilannya hampir enam bulan dengan fizikal bayi yang terlalu kecil iaitu seberat 750 gram, anak kelahiran Labis, Johor itu reda dengan ketentuanNya. "Saya letakkan namanya Reedha. Apa pun yang terjadi pada bayi itu, saya reda andai itu takdirnya. "Reedha atau nama penuhnya Amy Reedha Adriana Razalee dilahirkan sempurna fizikalnya, cuma tidak cukup bulan," kata anak ke-10 daripada 11 beradik itu. Sama seperti bayi normal yang lain, Reedha menjalani fasa tumbesaran yang normal, cuma perkembangannya sedikit lambat, tetapi itu sesuatu yang biasa bagi bayi yang lahir tidak cukup bulan. Kebiasaannya, anak kecil sudah pun bertatih untuk berjalan pada usia setahun, namun Reedha tidak menunjukkan perkembangan yang sama. "Saya langsung tidak mengesyaki apa-apa kerana kita sedia maklum bayi yang lahir tidak cukup bulan sememangnya lambat berjalan. "Apabila Reedha mencapai usia satu tahun setengah, dia masih tidak boleh berjalan, kakinya terjingkit dan tidak boleh berdiri dengan betul. Kami terus rujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL)," ujarnya yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Mohd. Reezwan Shah Razalee yang kini berusia 16 tahun. Dua kali pembedahan Alangkah terkejutnya dia apabila doktor memberitahu bahawa anaknya mempunyai masalah palsi serebrum iaitu keabnormalan perkembangan otak tertentu yang menyebabkan kelemahan dan ketiadaan koordinasi pada anggota-anggota tubuh. "Kami terpinga-pinga kerana tidak pernah dengar dan tidak pernah tahu apa itu palsi serebrum, namun kami reda dengan pemberian Allah. "Apa yang ada dalam fikiran kami suami isteri pada masa itu adalah mahu membesarkannya supaya dia boleh jaga dirinya sendiri kelak," katanya yang menyorot kembali saat puteri kesayangannya itu didiagnosis menghidap palsi serebrum. TIADA apa yang menggembirakan hati ibu ini selain melihat senyuman yang terukir di bibir Reedha. Tanpa berlengah, Lia Zalee melakukan pelbagai terapi yang terbaik buat anaknya kerana segala usaha untuk membolehkan puterinya berjalan perlu dilakukan segera ketika tulang masih lembut. Lia Zalee dan suami membuat 'kerja rumah' dengan merujuk pelbagai bahan bacaan selain meminta pendapat dalam kalangan mereka yang berpengalaman termasuk ibu bapa yang mempunyai anak senasib dengan mereka. "Seratus peratus respons yang diterima menggalakkan kami melakukan pembedahan kerana itu merupakan jalan terbaik. "Alhamdulillah, pembedahan pertama pada usia empat tahun pada kedua-dua kaki Reedha membuahkan hasil. Jingkit pada kakinya sudah kurang 40 peratus dan pembedahan kali kedua dilakukan pada usianya tujuh tahun," ujarnya sambil memberitahu, kedua-dua pembedahan tersebut dilakukan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di Kuala Lumpur. Selepas pembedahan kedua, jingkit kaki Reedha bertambah baik dan dia mampu berjalan walaupun kadangkala kestabilannya goyah. Ibu mana yang tidak sedih dan tersentuh hati apabila buah hati pengarang jantungnya itu terpaksa melalui kesakitan pada usia yang terlalu muda. Namun semua kesedihan itu ditelan Lia Zalee demi mahu melihat anaknya berjalan. Sungguhpun tidak boleh pulih sepenuhnya, melihat satu-satunya puterinya itu berjalan sudah cukup buat Lia Zalee. Sama seperti kanak-kanak lain, Reedha tidak ketinggalan memasuki alam persekolahan. Malah, atas permintaan Reedha, Lia Zalee berjaya menempatkan anaknya itu di sekolah biasa walaupun pada mulanya banyak sekolah yang menolak permohonan itu. Anak yang pintar Sudah menjadi rutin Lia Zalee menghantar, menjemput, memakaikan lampin pakai buang dan menjenguk puteri kesayangannya itu pada waktu rehat di sekolah. "Walaupun Reedha mempunyai sedikit kekurangan dari segi fizikal, ia tidak sedikit pun menghalangnya untuk tampil cemerlang dalam bidang akademik. "Dia tidak berhadapan dengan masalah pembelajaran dan merupakan salah seorang pelajar pintar di Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju Seksyen 1, Kuala Lumpur," katanya sambil mengusap lembut pipi puterinya itu yang berusia sembilan tahun.
Kini berada dalam darjah tiga, Reedha mempunyai keinginan untuk berjalan seperti rakan-rakannya. Bagi memenuhi hasrat anaknya itu, Lia Zalee membeli alat bantuan bergerak untuk memudahkan Reedha berjalan kerana anaknya itu tidak mahu menggunakan kerusi roda. "Adakalanya Reedha mengadu tentang kekurangan pada dirinya, namun selaku ibu saya harus bijak memujuknya. "Saya katakan padanya: 'Walaupun adik ada kekurangan, mami sayang adik. Adik kena buktikan pada orang bahawa adik boleh berjaya dan adik perlu bersyukur kerana adik tetap cantik'," ujarnya sambil menitipkan pesan buat ibu bapa yang mempunyai anak palsi serebrum supaya tidak malu dengan keadaan anak mereka. Walaupun Reedha punya kekurangan, puteri kesayangan Lia Zalee itu amat menyejukkan hatinya. Baru-baru ini sempena Hari Ibu, Reedha membuat dua keping kad hari ibu buat ibunya. Satu kad daripadanya dan satu lagi daripada abangnya yang tinggal di asrama, sedangkan tulisan yang tertera pada kad yang konon-kononnya daripada abangnya itu adalah milik Reedha. "Bagi ibu bapa yang mempunyai anak seperti Reedha, terimalah dengan hati terbuka kerana ia merupakan ujian daripada Allah dan amanah yang perlu dijaga," katanya sambil memberitahu Reedha yang bercita-cita mahu menjadi seorang profesor mudah menghafal dan sudah pandai membaca seawal usia empat tahun. | |
Timba ilmu dengan legenda bola sepak EPL Posted: Timba ilmu dengan legenda bola sepak EPL Oleh NURUL IZZA ROSLY KEHADIRAN legenda bola sepak EPL sangat mengujakan para peserta klinik bola sepak yang berlangsung di ISN baru-baru ini. BERCERITA mengenai dunia bola sepak, pastinya peminat tegar sukan itu memasang impian untuk bertemu mata dengan pemain-pemain daripada kelab-kelab bola sepak terkemuka seperti Liverpool, Arsenal, Bayern Munich, Manchester United, Barcelona dan Real Madrid. Bagai mimpi menjadi kenyataan, 60 pelajar bertuah daripada Sekolah Menengah Pendidikan Khas Cacat Penglihatan, Setapak dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lai Meng, Jalan Ampang, Kuala Lumpur bukan sahaja dapat bertemu secara langsung dengan pemain legenda bola sepak Liga Perdana England (EPL), malah berpeluang berkongsi padang dengan mereka. Antara pemain legenda EPL yang turun padang memeriahkan program Pembangunan Pengenalan Bakat Standard Chartered di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil baru-baru ini ialah Stephane Henchoz, Bjorn Tore Kvarme, Jerzy Dudek dan Dietmar Hamann. Ketika menunggu kehadiran para pemain kesayangan masing-masing, para peserta klinik bola sepak kelihatan begitu bersemangat dan teruja membuat latihan tendangan penalti. Sebelum melakukan tendangan penalti, peserta melakukan senaman pemanas badan dengan bimbingan instruktor daripada ISN bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk berdepan dengan pemain bertaraf dunia. Pelbagai keletah Oleh kerana 40 daripada 60 peserta merupakan pelajar pendidikan khas yang mempunyai masalah penglihatan, setiap pelajar istimewa itu ditemani seorang buddy. Sebelum melakukan sepakan penalti, para pelajar pendidikan khas mendengar arahan buddy masing-masing dengan teliti. PEMAIN cilik ini menunjukkan kemahirannya membuat sepakan ke gawang gol. Setiap kali sepakan penalti dilakukan, kedengaran tepukan gemuruh terutamanya ketika para pelajar berjaya menjaringkan gol. Malah, pelbagai keletah mereka turut menghiburkan, sebagai contoh apabila kasut salah seorang peserta melayang bersama bola yang ditendang. Selepas melakukan latihan tendangan penalti, latihan menggelecek bola dilakukan bagi menguji kemahiran mengawal bola menggunakan kedua-dua belah kaki. Tepat pukul 4.40 petang, selepas hampir satu jam menunggu, kelihatan kelibat beberapa pemain legenda bola sepak EPL diiringi dengan sorakan serta tepukan gemuruh daripada para peminat cilik. Tanpa membuang banyak masa, bintang bola sepak yang hadir melakukan demonstrasi skil menimbang bola, menggelecek dan menangkap bola yang ditendang ke gawang gol. Selesai sesi demonstrasi, tiba masanya para peserta melakukan tendangan ke gawang gol yang dikawal secara bergilir-gilir oleh Henchoz, Tore Kvarme, Dudek dan Hamann. Walaupun mengalami masalah penglihatan, ada antara tendangan peserta daripada sekolah pendidikan khas membolosi gawang gol yang dikawal Dudek. Kenangan terindah Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Shapawi Ismail menyifatkan penganjuran klinik bola sepak sedemikian mampu menggilap bakat para pelajar dalam sukan bola sepak. "Pelbagai program dilakukan di negeri-negeri untuk mencari bakat-bakat sukan bukan sahaja di bandar-bandar, tetapi juga di kampung-kampung. "Saya percaya, pengalaman yang diraih oleh 60 pelajar yang hadir pada program ini akan menjadi kenangan yang tidak dapat mereka lupakan," katanya. Dalam pada itu, bekas pemain tengah Liverpool, Tore Kvarme yang bersara pada bulan Jun 2008 begitu seronok dapat meluangkan masa bersama peserta klinik bola sepak itu terutamanya dari sekolah pendidikan khas. PARA peserta klinik bola sepak begitu tekun melihat demonstrasi menimbang bola oleh legenda bola sepak EPL kesayangan mereka. "Walaupun ada kekurangan, mereka sangat yakin, bersemangat dan berbakat," ujarnya. Ketua Pegawai Eksekutif Scope International Malaysia, Kwan Chee Sun memberitahu, pihaknya sangat gembira kerana dapat memberikan peluang kepada para pelajar kelainan upaya dan pelajar yang berbakat dalam sukan bola sepak bertemu dengan pemain-pemain legenda bola sepak EPL. "Diharapkan dengan pendedahan sebegini dapat memberikan perubahan positif terhadap sukan bola sepak negara pada masa akan datang. "Apa yang pasti, usaha sebegini tidak akan terhenti dan ia akan dilakukan secara berterusan dengan mengadakan banyak lagi aktiviti sepanjang tahun," katanya yang akan mengenal pasti pemain-pemain legenda bola sepak lain pada tahun depan. | |
Posted: Mendidik si kecil berpuasaBERBUKA puasa bersama-sama membuatkan si anak seronok untuk berpuasa. - Gambar hiasan BEBERAPA hari sahaja lagi, umat Islam akan menyambut bulan Ramadan yang sinonim dengan puasa. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." Apa erti puasa? Ramai sudah maklum, puasa ertinya menahan diri daripada makan, minum dan melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Bukannya lama sangat, lebih kurang 12 jam tetapi percayalah, masih ramai yang payah hendak berpuasa. Persoalan iman memang tidak boleh disangkal malah tidak mampu berpuasa sebenarnya juga berpunca daripada ketidakbiasaan yang wujud di dalam diri. Lantaran, sebagai ibu dan bapa, anda sewajarnya mendidik anak anda berpuasa sejak kecil lagi. Mulakan secara berperingkat Mungkin ada yang bertanya, pada umur berapa tahun sebaiknya si anak diajar berpuasa? Realitinya, tidak ada dalil khusus dalam syariat yang menekankan mengenai mendidik anak berpuasa, berbeza dengan solat. Rasulullah SAW menekankan agar ibu bapa menyuruh anak belajar solat ketika berusia tujuh tahun dan sekiranya ketika berusia 10 tahun si anak tadi enggan solat maka si anak boleh dihukum dengan pukulan sekadar untuk mengajar atau menakutkan. Mengambil kira syarat berpuasa, diwajibkan kepada yang baligh iaitu bermula usia sembilan tahun. Namun, jika tidak biasa dan hanya diminta si anak berpuasa ketika telah diwajibkan, pasti ia akan memberikan dugaan dan cabaran besar buat si anak. Lantas, sebaiknya si anak diajar berpuasa seawal usia empat atau lima tahun iaitu ketika dia telah mampu untuk meluahkan isi hati mengenai dirinya. Ajarkan si anak berpuasa secara bertempoh. Boleh mulakan dengan bersahur kemudian tidak mengambil sarapan dan berbuka ketika waktu makan tengah hari. Janjikan ganjaran Seterusnya biasakan dengan tempoh yang lebih lama, mungkin berbuka ketika azan waktu solat Asar dan akhirnya cukup sehari dengan berbuka ketika masuknya waktu solat Maghrib.
Membiasakan diri sebegini akan dapat memberikan kekuatan kepada si anak untuk berpuasa penuh dan tidak terlalu sakit ketika menghadapi puasa yang sebenar. Paling penting, si anak yang telah biasa berpuasa akan rasa ralat jika sengaja meninggalkannya. Tidak salah jika ibu bapa menjanjikan suatu ganjaran buat si anak sekiranya berpuasa. Sebagai contoh, jika si anak baru belajar berpuasa, boleh dijanjikan RM10 jika dapat berpuasa penuh sehari dan RM5 jika dapat berpuasa separuh hari. Jika anak telah berusia tujuh tahun, disiplin diri sewajibnya ditekankan menurut syariat iaitu mengambil kira perintah solat. Jika si anak berpuasa penuh janjikan ganjaran, sebaliknya tidak akan memperoleh sebarang ganjaran jika berpuasa separuh hari. Selain ganjaran berbentuk wang, si anak yang berpuasa boleh dijanjikan dengan ganjaran mengikut kehendak hatinya. Mungkin si anak berminat untuk menikmati hidangan tertentu atau memperoleh sesuatu, maka cabarlah si anak untuk berpuasa penuh dan kehendak hatinya akan dipenuhi. Namun, ganjaran hanya sesuai untuk anak yang baru belajar berpuasa dan di bawah umur baligh. Jika si anak telah baligh, perlu bertegas menyuruh si anak berpuasa bagi melaksanakan perintah Allah dan bukan demi ganjaran semata-mata. Ketika si anak berusia sembilan tahun, tidak perlu dijanjikan sebarang ganjaran, namun boleh diwujudkan ganjaran tersebut sebagai kejutan saat akhir iaitu diserahkan tanpa si anak maklum terlebih dahulu ketika hari raya. Wujudkan persaingan Ia sebagai pendidikan bahawa berpuasa merupakan perintah Allah yang wajib ditunaikan dan sebagai ibu bapa, ganjaran itu diberikan kerana anda berbangga dengan prestasi si anak dalam usaha menjadi anak yang soleh dan solehah. Selain ganjaran, ibu bapa juga boleh wujudkan persaingan sihat antara anak-anak, jika memiliki lebih daripada seorang anak. Malah, andai memiliki hanya seorang anak yang boleh dilatih berpuasa, masih boleh wujudkan persaingan antara si anak dengan sepupunya dan boleh juga wujudkan persaingan dengan diri anda sendiri. Contohnya, anda boleh ceritakan kepada anak anda mengenai kisah anda belajar berpuasa ketika kecil dahulu, tetapi pastikan si anak mendapat manfaat dan semangat, bukan menjadikan si anak tidak minat berpuasa. BERIKAN semangat kepada anak untuk berpuasa dengan memasak atau membeli juadah kegemaran mereka ketika waktu berbuka. Mungkin boleh ceritakan mengenai anda terpaksa tidur hampir seharian kerana mahu mempertahankan puasa dan pada masa yang sama yakinkan anak anda bahawa mereka lebih bersemangat dan mampu melakukan yang lebih baik berbanding anda. Secara tidak langsung, si anak akan rasa tercabar untuk menandingi kehebatan anda ketika kecil seterusnya akan menjadikan anda berbangga dengan dirinya. Berikan pujian Bagi seorang kanak-kanak, alat permainan atau wang yang diberikan sebagai ganjaran berpuasa tidaklah sehebat mana jika dibandingkan dengan pujian dan perhatian yang diperolehnya daripada anda sebagai ibu atau bapa. Lantas, dalam kekalutan anda bekerja dan kepenatan berpuasa, pastikan anda tetap memberikan perhatian kepada anak anda. Anda boleh ambil tahu mengenai perasaannya selepas berjaya berpuasa, boleh juga ambil tahu hidangan yang diidamkan untuk dinikmati ketika berbuka, boleh juga tanyakan menu kegemaran untuk menambah selera ketika bersahur. Perhatian yang anda berikan akan menambah semangat si anak untuk berpuasa kerana yakin, susah payahnya berpuasa anda hargai. Ingat! Anak-anak kecil masih belum faham konsep pahala dijanjikan Allah, lantas sebagai ibu bapa, biasakan dengan ganjaran dunia ketika si kecil belajar berpuasa tetapi tetap masukkan dalam minda mereka, puasa mereka dinilai oleh Allah sebagai pahala untuk kehidupan abadi di syurga. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |