Utusan Online - Agrobiz
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Agrobiz |
MARDI bantu IDB bangunkan sawah Nigeria Posted: 14 Jul 2013 02:00 AM PDT Kaedah menanam padi yang tradisional dan penanaman padi sekali setahun tidak dapat mengeluarkan hasil selaras dengan SSL negara. SEBAGAI penerima anugerah Sains dan Teknologi Bank Pembangunan Islam (IDB) 2011, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah dipilih oleh IDB untuk menjalankan latihan pembangunan Rangka Kerja Kebangsaan bagi Penanaman Padi di negeri Ondo, Nigeria. Program berkenaan sebagai satu sumbangan IDB ke arah pembangunan industri padi di Nigeria yang bermula pada akhir April bertempat di Pusat Penyelidikan Padi MARDI Seberang Perai, Pulau Pinang. Ia melibatkan empat orang pakar iaitu Pembiakbaka Padi, Datuk Dr. Othman Omar, Pembiakbaka Tumbuhan, Dr. Ahmad Zamzam, pakar Agronomi, Abdul Rahman Haron dan pengurusan air, Jamaluddin Jaya. Menurut Dr Othman, kesemua pakar daripada MARDI dan anak syarikat MARDI iaitu Marditech Corporation telah menjalankan penilaian ke atas status penyelidikan dan pembangunan padi di negeri Ondo dengan kerjasama Kementerian Pertanian Nigeria dan Universiti Adenkule Ajasin, Negeri Ondo. "Seramai empat orang peserta telah dipilih daripada Jabatan Pertanian Ondo dan Universiti Adenkule Ajasin bagi menjalankan latihan di MARDI Seberang Jaya. "Mereka sedang menjalani latihan selama empat bulan meliputi teori dan praktikal kaedah menanam padi dan lawatan ke kawasan sawah di Kedah dan Selangor," katanya semasa ditemui di MARDI Seberang Jaya, Pulau Pinang. Dr. Othman berkata, latihan bermula dengan memilih varieti, pembiakbaka, menanam padi, membajak serta cara menggunakan mesin moden. Bagi memudahkan tugasan, mereka diberikan satu petak sawah sebagai latihan hands-on untuk satu musim di Stesen MARDI Seberang Jaya. Dr. Othman berkata, selesai latihan, mereka perlu merangka pelan penyelidikan pembiakbaka padi bagi negeri Ondo dan melaksanakan program latihan bagi pekerja pengembangan bertujuan meningkatkan pengeluaran padi di Ondo serta seluruh Nigeria. "Buat masa ini Nigeria adalah pengimport beras terbesar di benua Afrika. Pada tahun lalu Nigeria dengan penduduk 160 juta mengimport kira-kira 1 trilion Naira beras. "Ini adalah 60 peratus daripada pengeluaran beras memandang tahap sara diri (SSL) hanyalah 40 peratus," katanya. Terdapat potensi besar bagi mereka mengeluarkan 70 peratus SSL. Dr. Othman berkata, tugas empat penyelidik ini adalah untuk memastikan bekalan benih padi berkualiti yang berterusan serta menentukan kawasan jelapang di Ondo. "Selepas tamat latihan mereka perlu melatih pekerja pengembangan bagi menyampaikan teknologi terkini kepada petani. Dan di sini bermula cabaran bagi mereka," katanya. Dr. Othman berkata, bagaimanapun rakyat Nigeria tidak mengambil beras yang sama dengan rakyat Malaysia. "Mereka memakan beras nerica (New Rice for Africa) sejenis beras parboil atau beras rebus. "Walaupun varieti tidak sama tetapi serangga perosak dan penyakit padi adalah sama," katanya. Justeru, semasa berada di Ondo, Nigeria, Dr. Othman berbincang dengan pihak berkuasa mengenai penilaian pantas bagi pembangunan pengeluaran beras di Ondo yang dijalankan oleh Marditech. Kajian berkenaan antaranya mencadangkan 1. peningkatan pengeluaran beras di kawasan sedia ada seperti di Ogbese melalui amalan agronomik yang lebih baik, meningkatkan infrastruktur selain integrasi rantaian bekalan seperti petani, pembekal dan pedagang beras. 2. Meluaskan kawasan selaras dengan amalan perladangan baik 3. Membangunkan perladangan komersial berskala besar di Empangan Owena dan Lembah Sungai Oluwa. Dr. Othman menambah, hasil lawatan ke Ondo mendapati padi ditanam setahun sekali menggunakan sistem moden dan semi tradisional tetapi hanya bergantung kepada air hujan. "Di sana mereka tidak menggunakan sistem pengairan seperti di sini dan kami akan memperkenalkan sistem pengairan bagi membolehkan mereka menanam padi dua kali setahun," katanya. Dr. Gbadamosi A. Emmanual, pensyarah dari Universiti Adekunle Ajasin, Ondo berkata, pihaknya amat tertarik dengan kaedah penanaman padi di Malaysia. "Selama ini kami menanam padi sekali setahun dan hanya bergantung kepada taburan hujan. "Kami berharap dapat membawa teknologi yang dipelajari balik ke negara kami," katanya. Osekita Sundarg dari universiti yang sama juga berkata, sebagai pengimport beras terbesar di benua Afrika, Nigeria perlu mempunyai sawah padi dan mengeluarkan berasnya sendiri. "Jadi inilah peluang untuk kami memperkenalkan teknologi baru tanaman padi kepada petani di negara kami," katanya. Manakala Shuaib Abdul Wasim pula melihat cabaran yang harus ditempuhi apabila kembali ke tanah air. "Sebagai kakitangan di Jabatan Pertanian, ini adalah tugas saya untuk menyampaikan kepada petani mengenai teknologi yang kami pelajari di sini. "Malah saya juga akan memperkenalkan sistem pengairan yang sistematik bagi menanam padi dua kali setahun," katanya. Sementara itu, rakannya di jabatan yang sama, Omolakin Anthony juga menyedari mengenai cabaran yang bakal dihadapi. "Saya perlu membuat plot sendiri dengan infrastruktur lengkap bagi satu musim bagi menunjukkan kepada petani. "Saya perlu meyakinkan petani mengenai penanaman padi dua kali setahun bagi seragamkan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Agrobiz To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |