Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Posted: 09 Jul 2013 11:07 PM PDT Oleh SITI AISHAH YUSOFF Noor Khairunnisa Abd. Rahman ayu mengenakan tudung rekaan sendiri. MATLAMAT perlu kuat diikuti dengan niat yang betul dan keazaman yang tinggi. Itu antara resipi penting untuk seseorang anak muda bergelar usahawan berjaya," tegas Noor Khairunnisa Abd. Rahman. Berbekalkan keazaman yang kuat dan minat yang mendalam dalam bidang perniagaan, gadis berusia 25 tahun ini memulakan langkah pertama untuk berniaga secara sambilan ketika masih berada di menara gading lagi. Tidak hanya berbekalkan minat, malah zaman kanak-kanak dan remajanya diwarnai dengan aktiviti membantu ibunya menjual kuih, bekerja di warung dan menjual kain. Bertitik-tolak daripada pengalaman itu, Noor Khairunnisa memulakan perniagaan menjual selendang dan tudung ketika mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengurusan Maklumat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Langsung tidak timbul perasaan kekok atau malu biarpun pelanggan rata-rata rakan sekuliah termasuk para pensyarahnya. Tekad gadis tinggi lampai ini, adalah untuk mencari wang daripada sumber halal bagi membiayai kehidupan di kampus sekali gus meringankan beban orang tua di kampung. "Pinjaman pengajian cukup sekadar untuk membayar yuran dan selebihnya pandai-pandai cari sendiri. "Namun saya tidak gentar. Saya dibesarkan dalam keluarga yang cukup berdikari. Jika inginkan sesuatu perlu berusaha dan kami tidak diajar untuk hidup meminta-minta," tegasnya. Bermodalkan duit simpanan dan sedikit bantuan keluarga sebanyak RM1,000, Noor Khairunnisa memberanikan diri berjinak-jinak berniaga pelbagai jenis inner dan selendang. Walaupun hanya berniaga secara sampingan, satu kepuasan apabila barangan yang dijual mendapat sambutan baik terutama di kalangan kawan-kawan. Dalam masa sama jika ada peluang dia sering mengikuti pesta jualan yang dianjurkan oleh universiti. Ternyata langkah awal itu menjadikan dirinya kini bergelar usahawan berjaya dalam usia yang masih muda. Hasil titik peluh dan tekad yang tinggi untuk bekerja sendiri dan menceburkan diri dalam bidang perniagaan selepas menamatkan pengajian, dia kini telah membuka butik Ayunar yang diusahakan bersama keluarga yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan. Minatnya dalam rekaan pelbagai jenis hijab turut mendorong anak kelahiran Johor Bahru, Johor, ini berkongsi tutorial pemakaian hijab teruama selendang yang betul dalam laman sosial YouTube yang dikenali sebagai ayunayunar. "Walaupun pada permulaan timbul perasaan malu untuk berkongsi maklumat di YouTube, lama-kelamaan perasaan malu semakin hilang dan seronok melihat banyak pengunjung melihat hasil tutorial yang dimuat turun. "Menggunakan YouTube, saya bukan sahaja berkongsi maklumat dan tutorial dengan peminat serta penggemar selendang, malah dalam masa yang sama turut memperkenalkan produk dan koleksi terbaru tersebut untuk dijual kepada pelanggan," kata Noor Khairunnisa. Ujar wanita ini yang sudah lebih setahun bergelar isteri kepada Muhammad Shafie Sekak, 26, maklumat tentang produk jualannya tidak hanya terhad dalam YouTube, malah melalui blog peribadi ayunayunar.biz dan (blog shop) ayunar.biz. "Dalam blog tersebut pelbagai maklumat cara pemakaian selendang, mengenakan solekan pada wajah dan pelbagai jenis produk jualan turut dimuatkan. "Disebabkan permintaan yang menggalakkan daripada pelanggan, saya telah mengeluarkan inner tudung sendiri di bawah label ayunar menggunakan fabrik yang sesuai dan selesa apabila dipakai. "Penghasilan ini kerana pengalaman sendiri yang tidak selesa memakai inner tudumg yang siap dijual di pasaran," katanya. Tambah Noor Khairunnisa lagi, permintaan yang tinggi terhadap produk jualannya di blog, mendorongnya membuka butik pada tahun lepas dengan sedikit bantuan daripada keluarga. "Lebih daripada 30 jenis inner dengan pelbagai warna menarik rekaan ayunar dijual di sini dengan saiz yang pelbagai dan harga berpatutan. " Produk rekaan ayunar sangat mementingkan keselesaan kepada si pemakai dengan penggunaan fabrik-fabrik seperti jersi lembut dan boleh digayakan dalam pelbagai cara. Selain itu, koleksi selendang dan baju untuk tempahan jahitan baju, manik dan hijab juga terdapat di sini. "Menyedari permintaan dan memenuhi cita rasa pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan, ayunar telah membuka langkah baharu dengan menerima tempahan untuk pakej pengantin termasuk tempahan baju kahwin, solekan dan pelamin. Untuk rekaan baju dan solekan saya yang melakukannya sendiri," katanya sambil tersenyum. Noor Khairunnisa berkata, untuk tempahan baju kahwin dan pelamin mereka sentiasa terbuka untuk menerima cadangan dan permintaan daripada pelanggan mengikut tema serta kehendak majlis impian mereka. "Selalu pelanggan yang ingin mahukan perkhidmatan daripada ayunar akan berbincang terlebih dahulu konsep dan tema baju impian mereka. "Menariknya, setiap tempahan yang dibuat, kami cuba untuk tidak terlalu mengikut rekaan asal pelanggan. Rekaan tersebut juga akan berbeza dengan setiap pelanggan yang menempah di sini," jelasnya. Tambah anak bongsu daripada lima orang adik beradik ini, dia beruntung kerana produknya tidak hanya terhad di Malaysia sahaja malah turut mendapat permintaan dari luar negara melalui laman YouTube. "Ketika ini, selain terkenal di kalangan pelanggan dari Malaysia, kami juga menerima tempahan secara atas talian dari luar negara seperti Brunei, Singapura, Indonesia, United Kingdom dan Sepanyol," katanya. Ditanya tentang kelebihan dan cabaran menguruskan perniagaan bersama-sama keluarga, Noor Khairunnisa mengakui berasa bertuah kerana mereka sentiasa bersepakat untuk menguruskan perniagaan tersebut. "Bekerja dengan keluarga di bawah satu bumbung, diakui mempunyai banyak kelebihan kerana mudah untuk berurusan dan berkomunikasi jika terdapat sebarang masalah. "Setiap orang dalam syarikat mempunyai tanggungjawab dan tugas masing-masing yang perlu dilaksanakan. Di ayunar, saya diberi tanggungjawab mengetuai bahagian pengurusan jualan dan komunikasi. Jika ada permasalahan dalam perniagaan proses dan ruang perbincangan lebih terbuka demi kemajuan dan kejayaan bersama-sama," katanya. Tambah Ayun yang gemar menonton video atas talian di waktu lapangnya, beliau akui wujud persaingan sihat di antara peniaga-peniaga yang baharu menapak sepertinya. "Saya jadikan ia sebagai persaiangan yang sihat dan positif untuk kemajuan syarikat. Tambahan, saya mempercayai setiap orang mempunyai rezeki masing-masing yang telah ditentukan oleh Allah. "Lagipun, dari segi pelanggan dan produk ayunar tiada masalah kerana kami mempunyai pelanggan tetap dari dalam dan luar negara yang sentiasa mendapat sokongan dan tempahan daripada mereka. "Dalam masa terdekat ini, kami merancang untuk membuka cawangan terbaru ayunar dan mempunyai label pakaian siap dipakai oleh ayunar," jelasnya. |
Posted: 09 Jul 2013 11:07 PM PDT Kurung moden daripada fabrik polos jadi pilihan di Bahari Asyek. Selari memartabatkan busana tradisional sebagai persalinan yang tidak akan luput ditelan arus kemodenan, Bahari Asyek iaitu label pakaian yang beroperasi di tiga butik di Shah Alam, Selangor, iaitu Busana Bahari Asyek, Bahari Asyek end of season dan Bahari Asyek Fabrik menampilkan fesyen tradisional untuk sambutan perayaan tahun ini. Pemiliknya, Zahalina Abdul Rahman, berkata, sempena kedatangan bulan Syawal, Busana Bahari Asyek memperkenalkan rekaan fesyen tradisi baharu dengan fabrik yang unik dan selesa. "Rekaan ini dihiasi dengan sulaman serta manik dengan kepelbagaian warna yang menarik dan memikat hati. Selain itu, rekaan ini juga menawarkan pelbagai pilihan fesyen tradisi dan potongan yang menarik menggunakan bahan-bahan fabrik yang dijual di butik kami sendiri. "Busana Bahari Asyek mengetengahkan pelbagai fesyen dan corak busana wanita yang berteraskan kain kapas asli, syifon, sutera, linen dan. Antara koleksi pakaian rekaan kami sempena Syawal ini adalah kurung moden Jeleby, Embroidery, Zarigota dan Mofish Tail. Kecantikan busana ini diserlahkan lagi dengan penggunaan fabrik syifon mentah, syifon dan lining shemose, selain fabrik kain kapas viscose dan rayon yang menggunakan teknik ikat dan celup," katanya. Tambah Zahalina, serlahkan penampilan anggun di pagi hari raya dengan persalinan kurung Pahang Dayang Senandung, kurung Pahang Dayang Salmah, kurung Pahang Siti Zubaidah dan kurung Pahang Mahsuri. "Kesemua rekaan kurung Pahang ini mengggunakan pelbagai jenis fabrik yang berbeza seperti kain kapas kosong, kain kapas Swiss, rayon dwi tona dengan menggunakan teknik ikat dan celup yang menghasilkan corak warna-warna blok dan fabrik syifon renyuk (crinkle chiffon). "Sementara itu, kurung Tun Teja dan Kebaya Cik Siti Wang Kembang turut diketengahkan pada tahun ini. Kurung Tun Teja menggunakan fabrik tenun kapas Bali yang bermotif pua, dan potongan diperbaharui dengan gaya klasik. "Kebaya Cik Siti Wan Kembang pula telah diolah dalam potongan yang sesuai dengan gaya sekarang menggunakan fabrik viscose kosong, tenun kapas Bali dan tenun sutera broked. Harga bagi koleksi ini adalah antara RM75 hingga RM150," ujarnya. Tambah Zahalina lagi, memahami situasi dan tradisi busana Melayu, beliau telah mengolah dan menampilkan pelbagai rekaan fesyen, corak dan potongan yang sesuai agar selesa dengan tema perayaan. "Di Bahari Asyek End of Season pula menampilkan fesyen tradisi yang sama, cuma ia stok berteraskan dan dari koleksi yang baru lepas tetapi mempunyai kualiti sama. "Butik ketiga dengan label Bahari Asyek Fabrik menawarkan pelbagai jenis dan corak kain seperti kain kapas cetak, bersulam dan polos dengan pelbagai warna dan corak. Bagi yang meminati sutera, pilihan sutera syifon, Shantung dan crepe ada dijual di sini," katanya. Ujarnya, untuk menjaga tahap eksklusif, setiap fabrik hanya terdapat sepasang atau paling tinggi empat pasang sahaja yang akan dijual. Fabrik-fabrik bermutu itu diimport dari Dubai, Turki, Mesir dan Pakistan. Kepada yang berminat boleh berkunjung ke butik Bahari Asyek, di tingkat 1, Plaza Masalam ( Plaza Shah Alam). - SITI AISHAH YUSOFF |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |