Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 22 Jul 2013 11:45 PM PDT Walaupun hati teringatkan keluarga di kampung, Juhdi Samsir tetap menjalankan tugasnya sebagai pelayan restoran. INI kerana bukan setiap hari dapat berkumpul bersama ahli keluarga lain untuk menikmati hidangan berbuka bersama. Tradisi ini sememangnya diamalkan oleh kebanyakan keluarga apabila tibanya bulan Ramadan. Namun berbeza pula pengalaman yang dilalui bagi mereka yang hidup merantau mencari rezeki yang halal jauh di negara orang seperti yang dilalui oleh tiga anak muda berasal dari tanah seberang ini. Desakan hidup telah membawa Tuah Riski Husni Tamrin, 18, Juhdi Samsir, 25, dan Suheri Suhaimi, 23, ke Malaysia untuk berkerja sebagai pelayan di Restoran Nasi Ayam Bakar di Shah Alam, Selangor. Sudahlah berjauhan dari keluarga pada bulan mulia, lebih memilukan apabila pekerjaan yang dilakukan menghendaki mereka menghidang dan melayan pelanggan yang rata-rata datang bersama keluarga untuk berbuka puasa. Waktu itu pastinya hanya jasad yang masih di sini sedangkan fikiran dan hati sudah melayang jauh mengenang emak, ayah mahupun adik-beradik di kampung. Pelbagai persoalan bermain di fikiran, apakah juadah yang tersedia untuk mereka berbuka puasa, adakah mencukupi dengan ahli keluarga yang ramai, adakah mengenyangkan, dan sebagainya . Yang pasti, Ramadan tahun ini menjadikan tiga anak perantau ini memendam rasa. Secara jujur mereka memberitahu hati bersedih dan menangis setiap kali melihat gelak tawa pelanggan bersama ahli keluarga masing-masing. Masing-masing yang berasal dari Tanjong Balai, Medan, Indonesia, tidak dapat menyembunyikan perasaan rindu dan risau kepada keluarga di kampung tatkala melayan pelanggan serta menghidangkan menu yang dipesan. Pada masa yang sama, masing-masing juga tidak terlepas daripada memikirkan apakah juadah yang dihidangkan keluarga tercinta ketika berbuka puasa. Menurut Tuah Riski, kedatangan Ramadan kali ini begitu menyentuh hatinya memandangkan ini kali pertama dia berjauhan dengan keluarga. Kedatangannya ke Malaysia semata-mata untuk mencari rezeki halal bagi membantu keluarga memandangkan dia anak sulung daripada tiga beradik. "Saya baharu sembilan bulan di sini. Sudah pasti melihat mereka yang bersama-sama keluarga berbuka puasa di sini hati menjadi sayu mengingatkan keluarga di kampung. "Kami memang orang susah dan setiap kali menjamah makanan saya pasti teringat mereka. Apalah agaknya yang mereka makan sewaktu berbuka puasa. "Saya tahu paling mewah makanan di sana berlaukkan ikan. Untuk makan ayam atau daging amat jarang sekali, berbanding di sini hampir setiap hari dapat menjamah ayam," ujarnya bernada sayu. Berbicara mengenai sambutan hari raya pula, ulas Tuah Riski, dia akan menyambutnya di Malaysia secara ala kadar memandangkan lebih separuh gajinya dikirim kepada keluarga di Medan bagi persiapan menyambut Syawal. Katanya, biarlah keluarga di kampung menyambut Aidilfitri dengan gembira kerana memang niatnya mencari rezeki untuk menyenangkan mereka. Tambahan pula kedua-dua adiknya masih kecil dan pasti mereka ingin bergembira seperti kanak-kanak yang lain apabila tiba hari raya. Bagi Juhdi pula, keluarga di kampung memang sentiasa bermain dalam ingatannya tetapi dia perlu tekadkan hati untuk meneruskan kehidupan di Malaysia semata-mata untuk mencari rezeki. Juadah berbuka tetap menjadi tajuk utama, ini kerana beritahu Juhdi, kehidupannya di Malaysia walaupun susah tetapi apabila tiba waktu makan dia tetap dapat menjamah makanan yang sempurna. "Berbanding di kampung kami hidup ibarat kais pagi makan pagi memandangkan ayah cuma seorang nelayan manakala ibu pula suri rumah. "Disebabkan kesusahan keluarga inilah mendorong saya untuk merantau mencari rezeki. Sudah pasti setiap bulan gaji yang diperoleh tiga perempat daripadanya akan saya poskan kepada keluarga di kampung," ujar Juhdi yang mempunyai tujuh beradik. Dia yang baru sahaja sebulan tiba dari Medan, turut menyatakan bahawa sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini sudah pasti jauh beza apatah lagi tahun ini merupakan kali pertama berjauhan daripada keluarga. Perasaan yang sama turut dialami Suheri meskipun tahun ini merupakan tahun kedua dia menyambut puasa dan hari raya di Malaysia. Katanya, sayu dan rindu tetap dirasai terutama ketika melihat pelanggan restoran kebanyakan datang bersama keluarga. "Walaupun sedih berjauhan dengan keluarga tetapi saya reda kerana saya bertanggungjawab menyara keluarga setelah kematian ayah. "Ibu sememangnya tidak bekerja. Alhamdulillah saya mempunyai dua abang ipar serta kakak yang boleh melihat keluarga di kampung. "Begitupun saya tetap mengirimkan wang untuk perbelanjaan keluarga di sana kerana kami sememangnya orang susah," sambungnya lagi. Begitupun, kesunyian mereka sedikit sebanyak terhibur dengan kehadiran rakan-rakan sekerja yang lain. Tidak pernah sesekali disisihkan, mereka dianggap seperti adik-beradik malah keriuhan itulah sekali gus dapat mengurangkan sedikit kerinduan yang bertandang. Tidak kisah bakal menyambut Syawal bersama rakan-rakan, mereka mengharapkan pengorbanan yang dilakukan sekurang-kurangnya mampu meringankan kesusahan keluarga. "Sedih memang tidak dapat dielak tetapi kami terpaksa berkorban untuk keluarga dan sekurang-kurangnya kami tahu pengorbanan kami berbaloi. "Apa yang kami mahu cuma satu, kesenangan serta kegembiraan ahli keluarga menyambut Ramadan dan Syawal. Walaupun jauh di mata tetapi mereka tetap dekat di hati," kata Suheri mewakili dua lagi rakannya. - MARIATUL QATIAH ZAKARIA |
Posted: 22 Jul 2013 11:45 PM PDT Oleh NOOR FAZRINA KAMAL Rawatan mandi rempah antara yang ditawarkan Nur Mukmin Home Spa di Subang Jaya, Selangor. Tanyalah pada mana-mana wanita, pasti mereka akan berkata lebih selesa bercerita masalah peribadi kepada rakan wanita juga, terutama apabila berkongsi tentang masalah sakit puan. Namun dalam dunia yang penuh keterbukaan dan maklumat ada di hujung jari, ada juga segelintir wanita yang sanggup memendam perasaan, menanggung ketidakselesaan pada bahagian sulit dan akhirnya memberi kemudaratan kepada emosi diri sendiri dan juga suami. Bagi pengamal rawatan alternatif, tradisional dan pemilik Nur Mukmin Home Spa, Sobah Sheikh Abdul Tawab, 45, walau seteruk manapun masalah kesihatan dalaman wanita, pasti ada penyelesaiannya. Satu saja penyelesaiannya ialah berusaha mencari rawatan dan mengikut nasihat yang diberikan. Menurut Sobah, tidak kira sama ada baru melahirkan bayi atau sudah lama, wanita boleh mendapatkan kembali kesegaran dan kesejahteraan setelah menjalani rawatan alternatif perbidanan. "Rawatan alternatif perbidanan ini sebenarnya merawat pelbagai masalah yang kerap dialami wanita seperti keputihan, masalah rahim rendah, sengal-sengal tubuh dan bahagian peranakan, masalah lendir berlebihan dan kelesuan serta lemah-lemah badan dari dalam," ujar Sobah yang ditemui di spa rumahnya yang terletak di USJ 4, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini. Sobah menambah, kebanyakan masalah kesihatan yang dialami wanita berpunca daripada sistem reproduktif wanita yang mula mengalami masalah. "Asas kepada rawatan alternatif perbidanan ini ialah urutan yang berupaya melancarkan perjalanan darah, memulihkan kesakitan sendi, sakit saraf dan bisa tulang. "Ramai juga pelanggan saya yang mengalami masalah pada faraj dan rahim. Saya turut melakukan rawatan urutan yang bersesuaian menjurus kepada masalah yang berkaitan. "Ada pelanggan wanita yang mengalami masalah sukar tidur malam juga mendapat tidur yang lebih lena setelah berurut," ujar Sobah yang telah melibatkan diri secara serius dalam bidang rawatan alternatif sejak empat tahun lalu. Teknik alternatif Teknik yang digunakan Sobah dalam rawatannya merangkumi tiga langkah. Wanita yang hadir perlu memberitahu apa ketidakselesaan yang dialami supaya rawatan yang dipilih lebih bersesuaian untuk masalah yang dialami. "Langkah pertama ialah dengan merendam badan atau mandi rempah. Tujuannya untuk melembutkan urat saraf dan buang toksik. "Selepas berendam selama lebih kurang 30 minit, pelanggan bersedia untuk diurut yang mengambil masa lebih kurang dua jam. "Dalam proses mengurut inilah sentuhan pada bahagian urat saraf menguraikan urat yang tersimpul, mengeluarkan angin sekali gus melancarkan perjalanan darah. "Kadang-kadang wanita sendiri tidak tahu apa masalah yang mereka hadapi hinggalah bila tiba proses mengurut barulah mereka tahu kesakitan atau ketidakselesaan yang dialami sekian lama datang dari satu punca tersebut. "Selesai proses pertama, pelanggan perlu berurut sekali lagi selang sehari atau tidak lebih dari tiga hari dan seterusnya melalui proses bertungku," katanya. Proses bertungku di Nur Mukmin Home Spa mengambil masa satu setengah hingga tiga jam. Ketika bertungku, rahim dinaikkan ke tempat asalnya dan tekanan serta haba panas pada tungku juga menghilangkan sengal-sengal di badan. Bahagian tubuh yang sakit sebelum itu juga dipulihkan dengan resapan haba panas dari batu sungai dan tungku besi yang digunakan. Tungku juga merangkumi seluruh tubuh termasuk pada bahagian tengkok dan tapak tangan bagi memberikan kesan yang maksimum. Proses rawatan terakhir di Nur Mukmin pula mengkhususkan kepada rawatan untuk masalah alat sulit. Dalam proses ini, Sobah akan menggunakan teknik pembetulan vagina sekali gus merungkai masalah berkaitan organ seksual wanita tersebut. Untuk perkhidmatan yang lebih berkualiti, Sobah hanya mengambil tiga pelanggan sehari dan pelanggan boleh membuat temu janji dengan hubungi 011- 2714 4952. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |