Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT Oleh NIZAM YATIM CUKUP mengejutkan! Itulah reaksi banyak pihak apabila membaca laporan akhbar baru-baru ini mengenai seorang remaja berusia 15 tahun yang ditahan polis kerana disyaki memiliki serta terlibat dalam kegiatan mengedar dan menyewa senjata api. Dengan tertangkapnya suspek dan seorang lagi rakannya berusia 29 tahun dalam serbuan di Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan, polis yakin dapat menyelesaikan beberapa kes tembak yang berlaku di negeri itu dipercayai dengan menggunakan pistol yang disewa mereka dengan bayaran sekitar RM500 hingga RM1,000. Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memberitahu, hasil pemeriksaan rapi di kawasan rumah dan sebuah setor berhampiran tempat serbuan, polis telah menemukan tiga pucuk pistol termasuk sepucuk pistol buatan sendiri, alat renjatan elektrik dan satu peket plastik berisi tiga biji pil dipercayai pil kuda. Beliau berkata, remaja terbabit yang sudah tidak bersekolah dan rakannya seorang penganggur disahkan positif dadah. Beberapa tahun lalu, turut berlaku kes seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang tergamak mengajak tiga rakannya untuk merompak rumah ibunya sendiri di Taman Tanjung Indah, Batu Pahat, Johor. Remaja yang tidak bersekolah dan telah lari dari rumah sebelum ini bersama-sama rakannya telah memecah masuk kediaman mangsa yang berstatus ibu tunggal dan melarikan wang tunai RM5,000 dan sebuah komputer riba. Kes berkenaan adalah sebahagian daripada kejadian jenayah melibatkan remaja yang masih berada di tahap membimbangkan dengan perangkaan pada 2010 menunjukkan golongan itu terlibat dengan 5,165 kes jenayah. Jenayah-jenayah yang dilakukan juga cukup serius termasuk rogol, ragut, samun berkumpulan dan bersenjata serta jenayah kekerasan. Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Shamsuri Arshad yang diminta mengulas kes terbaharu itu menyifatkan ia sebagai sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah berlaku ketika beliau menerajui pasukan itu. Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia (YPM) berkata, jenayah yang dilakukan golongan remaja sebelum ini banyak melibatkan kes pergaduhan dan peras ugut sahaja. Kes mengedar dan menyewa senjata api, ini adalah kali pertama saya dengar dan satu tindakan serius perlu dibuat bagi memastikan kes seperti ini tidak terus berleluasa," ujarnya. Beliau berkata, trend terbaharu tersebut harus menjadi peringatan kepada pihak polis dan agensi-agensi lain untuk meningkatkan pengawasan terutama di kawasan sempadan negara. Semua sudah sedia maklum bahawa penjenayah cenderung mendapatkan senjata api dengan cara menyeludupnya masuk dari negara jiran, Thailand. Pihak berkuasa tidak boleh bersikap leka dan membiarkan golongan remaja bebas melintasi sempadan negara kita dengan alasan mereka masih budak," katanya. Beliau berkata, perkara lain yang cukup penting adalah didikan dan pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa harus memerhatikan setiap gerak-geri anak-anak dan mesti sanggup meluangkan masa untuk mengetahui dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka. Mereka perlu mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak berkawan dengan golongan yang mempunyai akhlak baik," katanya. Bagi Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye yang sudah banyak kali membangkitkan isu berkenaan, beliau bersetuju dengan pandangan Shamsuri bahawa kesibukan ibu bapa mencari rezeki sehingga tidak meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak adalah antara punca menyebabkan jenayah di kalangan remaja meningkat. Beliau berkata, remaja mengalami masalah keruntuhan akhlak dan moral kerana ibu bapa yang sibuk bekerja tidak lagi memberi penekanan untuk menyemai nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka. Remaja atau kanak-kanak ini merujuk kepada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah dan jenayah melibatkan golongan ini memang semakin membimbangkan berdasarkan banyak aduan yang diterima oleh MCPF. Kes melibatkan remaja menyewa senjata api adalah jenayah yang dilaporkan kepada pihak polis sedangkan banyak lagi kes yang melibatkan juvana seperti mencuri dan bergaduh tidak dilaporkan. Baru-baru ini kita juga menerima aduan peningkatan kes remaja mencuri wang daripada ibu bapa semata-mata untuk berjudi melalui Internet di kafe siber," ujarnya. Tegas beliau, jenayah melibatkan golongan remaja dijangka berterusan sekiranya tidak berlaku kebangkitan kesedaran di kalangan ibu bapa untuk berubah. Dalam pada itu, beliau berkata, faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan jenayah remaja adalah berpunca daripada kegagalan pihak sekolah menguatkuasakan disiplin yang ketat di kalangan pelajar. Setiap kes yang melibatkan soal disiplin harus diberi perhatian berat oleh pihak sekolah dan pelajar terlibat perlulah diberikan kaunseling. Sekiranya kaedah kaunseling ini gagal membuatkan pelajar berubah, pihak sekolah tiada pilihan lain kecuali mengenakan hukuman rotan walaupun ramai ibu bapa sebelum ini menentang kaedah ini yang dianggap mereka sebagai zalim," katanya. Menurutnya, tindakan memecat daripada sekolah harus dielakkan kerana ia tidak akan menginsafkan pelajar terbabit sebaliknya akan menyebabkan mereka lebih mudah terjerumus dengan jenayah lebih berat. Tambah beliau, sikap masyarakat yang tidak mengambil berat dan tidak mahu menegur apabila melihat remaja melakukan perbuatan tidak betul juga menyumbang kepada peningkatan jenayah di kalangan golongan berkenaan. Sementara itu, dalam membincangkan isu jenayah melibatkan golongan remaja, kita juga tidak boleh melupakan untuk mengkaji fenomena kanak-kanak indigo yang mungkin agak asing di Malaysia tetapi sudah lama diperdebatkan di Barat sejak 1980-an. Fenomena berkenaan yang turut dikaji kerajaan Singapura dan Indonesia mendapati ramai kanak-kanak yang dilahirkan sejak tiga dekad lalu mempunyai simptom psikologi kanak-kanak indigo. Antara ciri-ciri kanak-kanak terbabit adalah suka menyendiri, mahu dilayan seperti orang dewasa, mudah memberontak dan akan bertindak ganas jika mendapati ibu bapa dan sistem pendidikan cuba mengongkong mereka. Jika masalah psikologi ini tidak dibendung, kanak-kanak terbabit apabila mencapai usia remaja akan mudah terlibat dengan penyalahgunaan dadah, pembunuhan, jenayah kekerasan dan membunuh diri. |
Patuhi fatwa pengharaman shisha Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON SUSULAN pengharaman shisha oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 17 Julai 2013 lalu, masyarakat Islam yang terlibat diseru berhenti daripada terus membinasakan diri sendiri dan berdegil untuk tidak mengendahkan fatwa yang telah dikeluarkan. Usahlah terpedaya dengan keseronokan yang sementara sedangkan individu yang terlibat akan menanggung sengsara dan menderita dengan pelbagai penyakit kronik di kemudian hari. Keputusan ini dibuat berdasarkan penjelasan pakar perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan bersandarkan bukti-bukti perubatan dan saintifik yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudaratan shisha terhadap kesihatan, pembangunan ekonomi serta generasi akan datang. Malah larangan ini turut diperluaskan kepada penyedia perkhidmatan shisha yang turut menyumbang kepada berkembangnya amalan yang tidak bermanfaat ini. Pengharaman ini dilihat amat bertepatan dengan prinsip maqasid syariah dalam memelihara kesucian agama, jiwa, akal, keturunan dan harta daripada sebarang bentuk pembaziran wang ringgit, masa dan usia selain jelas memudaratkan kesihatan serta dikategorikan sebagai satu perkara buruk atau keji. Justeru masyarakat Islam yang terlibat diseru memuhasabah diri sambil merenung maksud firman Allah SWT yang berbunyi, "Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya". (Surah al-Baqarah: 195). Umat Islam diseru membelanjakan harta kurniaan Ilahi kepada jalan-jalan kebajikan yang dituntut oleh syarak bukan membazirkannya pada perkara yang tidak bermanfaat. Menurut sumber Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Shisha mengandungi lebih daripada 100 bahan kimia berbahaya antaranya tar, nikotin dan karbon monoksida dalam kepekatan yang tinggi. Shisha juga dikatakan lebih berbahaya berbanding rokok kerana seseorang akan menyedut sebanyak 50 - 200 kali sedutan yang bersamaan dengan 0.15 - 1.0 liter asap selama 20 - 80 minit. Malah golongan ini turut terdedah menghisap nitrogen oksida dan plumbum daripada sisa asap kenderaan yang lalu lalang serta habuk berbahaya apatah lagi jika berada di premis terbuka dan berhampiran jalan raya. Selain itu dengan tempoh menghisap shisha yang agak lama, pelakunya turut membazirkan masa kepada perkara yang tidak berfaedah yang dilarang di sisi agama. Malah jika difikirkan, masa yang ada untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara terlalu sedikit jika dibandingkan dengan umur dunia yang semakin tua dan hampir ke penghujungnya. Aktiviti penguatkuasaan daripada pihak berwajib juga diperlukan untuk membendung ia daripada terus merebak dalam masyarakat. Menghisap shisha seolah-olah trend baharu yang begitu popular dan semakin diminati. Tanpa mengira jantina dan bangsa, golongan ini seronok melepak berjam-jam lamanya sambil bertukar-tukar peralatan shisha sesama mereka yang dikhuatiri menyebabkan mereka terdedah pula kepada penyakit berjangkit seperti HIV yang tersebar melalui air liur penghidapnya. Kelihatan ia sangat menjijikkan namun bagi yang seronok dan ketagih menghisap pelbagai perisa shisha ia tidak diendahkan, dalam masa yang sama peniaga terlibat terus mengaut keuntungan daripada kealpaan orang lain. Pihak kerajaan juga dicadangkan menyekat kemasukan peralatan shisha ke negara ini sambil mengkategorikannya sebagai barangan kawalan selari dengan fatwa yang dikeluarkan untuk membendung aktiviti negatif ini daripada terus berkembang. Namun pastinya ia bukan sesuatu yang mudah kerana mungkin ada yang berpendapat aktiviti pelancongan akan turut terjejas. Realitinya tanpa shisha, pelancong asing tetap teruja bertandang ke sini bagi merasai sendiri pengalaman berada di sebuah negara Islam yang aman damai dengan penduduk berbilang bangsa sambil mempelajari budaya dan masyarakat setempat. Di sudut lain, golongan perokok juga dinasihatkan mengambil kesempatan berpuasa di siang hari Ramadan untuk sedikit demi sedikit berusaha berhenti merokok buat selama-lamanya. Berbanding shisha fatwa pengharaman rokok sudah lama dikeluarkan di Malaysia namun ia kurang memberi kesan kepada golongan terlibat. Malah pihak berwajib juga dicadangkan memperluaskan fatwa tersebut kepada rokok elektrik yang mudah diperoleh di mana-mana. Kajian mengenai mudaratnya kepada kesihatan juga hendaklah dilakukan sebagai usaha berterusan memastikan rakyat Malaysia bebas daripada asap rokok. Ia kelihatan semarak dilakukan di mana-mana, sehingga terdapat golongan yang tanpa segan silu merokok dalam bulan puasa yang mulia. Perokok wanita juga semakin ramai walaupun sedar implikasinya yang buruk kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekeliling. Larangan merokok di tempat awam turut tidak diendahkan seolah-olah mereka khayal dek ketagihan merokok yang membelenggu diri. Lebih buruk lagi apabila ada umat Islam yang berbuka puasa dengan menghisap rokok berbanding memakan kurma yang disunahkan. Sehubungan itu, usah menegakkan benang yang basah kerana diri sendiri yang akan merana. Isteri dan anak-anak akan turut merasai keperitannya apabila suami sebagai ketua keluarga menghidap pelbagai penyakit kronik seperti bronkitis, kanser kerongkong dan penyakit jantung akibat tabiat buruk merokok yang berpanjangan. Bersempena bulan yang penuh keberkatan ini masyarakat Islam khususnya diseru berusaha bersungguh-sungguh untuk berhenti daripada segala perbuatan buruk yang membelenggu diri. Sesuatu perkara tidak diharamkan di sisi agama melainkan ia memberi implikasi yang negatif dan selayaknya dijauhi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |