{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Mahu lahirkan calon tokoh agama

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
rodelio.taucan@utusan.com.my

Sebahagian daripada penduduk kampung yang hadir dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Ahli Parlimen Jeli di Bukit Nangka, Jeli, Kelantan, malam semalam.

JELI 14 Julai - UMNO Kelantan menggunakan Ramadan ini sebagai permulaan kepada usaha parti itu melahirkan lebih ramai tokoh agama yang terlibat dalam politik dan akan ditampilkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, arahan telah dikeluarkan supaya semua bahagian mencungkil bakat tokoh agama di kawasan masing-masing untuk terlibat dalam program tadarus sepanjang bulan mulia ini dan akan berterusan selepas itu.

Jelas beliau, pilihan utama adalah tokoh agama muda dan yang terlibat dalam bahagian selepas menyedari kekurangan sokongan pengundi muda menjadi salah satu punca kekalahan BN di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu.

"Kita perlu mantapkan lagi program ini. Kita tahu Perhubungan UMNO Kelantan selama ini adakan program agama tetapi kali ini akan tampilkan pemimpin UMNO sebagai pendakwah dan semoga menjelang pilihan raya akan datang, kita ada satu barisan yang kukuh.

"Kita sedar pada pilihan raya umum lalu golongan muda adalah penentu di kebanyakan kawasan, bukan di semua lokasi, kekurangan sokongan kepada BN menjadi punca kekalahan kita," kata Mustapa.

Tambahnya, beliau sudah keluarkan arahan mahu tokoh agama yang dicungkil bakatnya ini mestilah yang terlibat dalam bahagian.

"Situasi sekarang sangat kurang jadi seboleh-bolehnya ahli jawatankuasa bahagian atau di peringkat Pemuda atau Puteri," ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa Parlimen Jeli di Bukit Nangka di sini malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata, Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan bersetuju melantik beberapa tokoh agama untuk menjalankan aktiviti dakwah dan tadarus sepanjang bulan tersebut.

Bercakap mengenai penglibatan UMNO Kelantan dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Besut di Terengganu, beliau berkata, pihaknya memberi tumpuan untuk mendekati pengundi muda bagi memastikan sokongan golongan itu kekal kepada BN sepanjang masa.

"Kita ada pengalaman di Kelantan, jadi kita telah menghantar pasukan Pemuda dan Puteri ke sana sejak awal lagi dan secara rasminya selepas penamaan calon untuk menjaga satu pusat daerah mengundi," katanya.

Harga: Pemantauan menyeluruh diperlukan

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

KOTA BHARU 14 Julai - Pihak berkuasa di negeri ini diminta membuat pemantauan secara menyeluruh bagi mengatasi krisis kenaikan harga barangan keperluan termasuk bahan mentah terutama di kawasan luar bandar.

Permintaan itu dibuat oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan bagi mengelak pengguna terpaksa menanggung beban kenaikan kos yang semakin tinggi menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

Ketua aktivis PPIM Kelantan, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada pengguna mengenai kenaikan secara mendadak barangan keperluan seperti daging, ayam dan bahan mentah lain.

Beliau berkata, peniaga termasuk pembekal, pemborong dan peruncit sepatutnya mematuhi piawaian harga yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa, bukannya menaikkan harga barangan keperluan dengan sesuka hati.

"Kita difahamkan harga daging meningkat daripada RM22 kepada RM24 sekilogram, begitu juga dengan harga ayam yang turut meningkat.

"Pihak berkuasa wajar mengoptimumkan tindakan serta hukuman berdasarkan undang-undang yang ada bagi memastikan golongan terbabit lebih berhemah ketika menjalankan aktiviti perniagaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas krisis kenaikan harga barangan keperluan terutama ayam di negeri ini sehingga meresahkan pengguna.

Mengulas lanjut, Mohd. Fared berkata, selain daging dan ayam, PPIM Kelantan turut menerima rungutan pengguna tentang kenaikan harga bekalan bahan mentah lain seperti sayur-sayuran di pasaran.

Sebagai contoh katanya, perbezaan harga timun dan cili merah mencecah antara RM2 hingga RM3 sekilogram berbanding harga sebelum ini.

"Kenaikan secara mendadak ini jelas menunjukkan golongan berkenaan cuba mencuri kesempatan dan membebankan pengguna," katanya.

Amaran kepada peniaga bazar Ramadan

Posted: 14 Jul 2013 11:10 AM PDT

KOTA BHARU 14 Julai - Jabatan Kesihatan negeri memberi amaran kepada semua peniaga terutama di bazar Ramadan supaya memastikan kebersihan dan keselamatan produk bagi mengelak berlaku keracunan makanan dan penyakit berjangkit.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir (gambar) berkata, peniaga yang didapati gagal menjaga kualiti keselamatan makanan yang dijual akan diarah menutup premis dan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Makanan 1985.

Tegas beliau, jabatannya perlu bertegas terhadap masalah itu kerana pengalaman lalu mendapati banyak kes penyakit berjangkit akibat bawaan makanan dan air berlaku setiap kali bulan Ramadan kerana makanan yang dijual tidak selamat.

Jelasnya, kumpulan makanan yang paling berisiko ialah makanan yang banyak proses penyediaan dan tidak dimasak sepenuhnya seperti kerabu perut, kerabu sotong, rojak mi, rojak buah dan nasi kerabu.

"Air minuman perahan iaitu air tebu dan kacang soya serta kuih muih menggunakan kelapa parut seperti onde-onde dan ulat bulu perlu sentiasa dipastikan tahap kebersihannya kerana terlalu mudah tercemar.

"Begitu juga air minuman bancuhan seperti air bandung, laici kang dan air jagung. Selain itu, minuman yang menggunakan santan kelapa mentah juga mudah terdedah terutama cendol dan ais kacang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Razin berkata, pada Ramadan tahun lalu, jabatannya telah mengambil sejumlah 250 sampel pelbagai jenis makanan dan air minuman untuk dianalisis dan didapati sebanyak 130 daripadanya atau 52 peratus tercemar dengan bakteria e-coli, staphylococcus aureus, bacillus cereus dan salmonella iaitu virus-virus yang boleh menyebabkan keracunan makanan.

Beliau turut menasihatkan semua peniaga makanan dan minuman mengambil suntikan pelalian typhoid di mana-mana pejabat kesihatan untuk memastikan mereka sendiri bebas penyakit.

Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai yang gemar membeli juadah berbuka puasa supaya mengambil langkah bijak dengan memilih premis yang bersih serta mempunyai penjual yang berpakaian kemas.

"Apabila membeli makanan, pastikan penjual itu mengamalkan cara-cara pengendalian makanan yang bersih malah turut menjaga kebersihan diri sendiri seperti memakai apron dan penutup kepala serta menggunakan penyepit dan menjaga kebersihan semua peralatan yang digunakan.

"Pengguna juga kena pastikan membeli makanan yang dijual dalam keadaan bertutup dan cuba elak membeli makanan atau kuih muih yang dijual dalam keadaan terdedah atau tidak ditutup dengan sempurna.

"Pengguna juga dinasihatkan supaya sebaiknya memanaskan semula makanan yang dibeli sebelum dimakan," jelas beliau.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat