Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Belia sokong haram shisha
- Ayam dijual di bawah harga siling RM7.70
- Larangan iklan ubat berkaitan 20 jenis penyakit
Posted: 21 Jul 2013 10:27 AM PDT Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI KOTA BHARU 21 Julai - Golongan belia di Kelantan menyambut baik keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan penggunaan shisha di negara ini. Rata-rata mereka yang ditemui mengakui keputusan itu adalah tepat memandangkan shisha memberi kemudaratan kepada individu sama seperti rokok serta cerut. Seorang kakitangan awam, Ammar Ali, 24, berkata, sepatutnya Majlis Fatwa Kebangsaan sudah lama mengharamkan penggunaan shisha. "Selain membazirkan wang, penghisap shisha juga berisiko mendapat penyakit kerana saling berkongsi peralatan yang sama untuk menghisapnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Seorang lagi kakitangan awam, Taufiq Ismon, 24, berkata, dia bersetuju shisha diharamkan penggunaanya kerana mendatangkan kemudaratan kepada golongan muda. "Kebanyakan penghisap shisha terdiri daripada golongan belia tidak kira lelaki mahupun perempuan. "Kita tidak pasti apa jenis kandungan yang dimasukkan sehingga menyebabkan penghisap shisha ini mengalami ketagihan," ujarnya. Pandangan Taufiq disokong oleh seorang pekerja swasta, Azuwa Ismail, 23, yang memberitahu, ada peniaga kedai makan menyediakan kemudahan menghisap shisha semata-mata untuk menarik pelanggan dalam kalangan belia. "Walaupun harga untuk menghisap shisha agak mahal tetapi mereka tidak kisah asalkan dapat melepaskan gian. "Selain tidak mendatangkan faedah kepada individu, asap shisha juga mendatangkan ketidakselesaan kepada pelanggan lain yang datang ke kedai makan tersebut," jelasnya. Seorang mahasiswa, Tengku Mohd. Fareez Raja Hamzah, 23, berkata, dia menyokong sepenuhnya keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu. "Kegiatan menghisap shisha ini boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding rokok. Sepatutnya orang ramai terutamanya golongan belia sedar akan kesan dialami apabila menghisap shisha," katanya. Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Muzakarah Khas Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memutuskan shisha adalah haram kerana mendatangkan kemudaratan, membazir dan perbuatan itu perlu dihindari umat Islam. |
Ayam dijual di bawah harga siling RM7.70 Posted: 21 Jul 2013 10:27 AM PDT Seorang peniaga menjual ayam segar di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan, semalam. KOTA BHARU 21 Julai - Harga ayam di Pasar Siti Khadijah di sini masih lagi terkawal apabila rata-rata peniaga menjual bahan mentah itu pada harga RM7.50 sekilogram iaitu 20 sen lebih murah berbanding harga siling RM7.70. Tinjauan Utusan Malaysia turut mendapati, peniaga meletakkan tanda harga bagi memudahkan pembeli membuat pilihan terbaik. Selain ayam, barangan keperluan lain termasuk santan juga masih dijual dengan harga seperti sebelum Ramadan iaitu RM7 sekilogram. Seorang peniaga ayam, Zakaria Deraman, 68, berkata, walaupun harga lebih tinggi berbanding sebelum Ramadan, pelanggan masih tetap membelinya. "Harga ayam naik sedikit berbanding sebelum ini berikutan permintaan tinggi semasa Ramadan dan menjelang Aidilfitri. "Saya berharap harga ayam tidak akan meningkat lagi. Sebagai peniaga, saya turut terkena tempias dengan kenaikan harga ini kerana kekurangan pelanggan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dekat sini hari ini. Seorang lagi peniaga ayam yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Yah, peniaga tidak boleh dipersalahkan berhubung kenaikan harga ayam kerana mereka mendapat bekalan itu dengan harga yang mahal daripada pembekal. "Kami terpaksa menjual ayam dengan harga RM7.50 kepada pelanggan berikutan mendapat harga sudah mahal daripada pembekal. Bagaimana kami mahu menjual dengan harga murah sedangkan kos pengangkutan dan upah pekerja pun tidak mencukupi," katanya. Katanya, pembeli agak berkurangan sekarang dan berkemungkinan mereka membeli ayam di pasar-pasar raya yang dikatakan menjual pada harga lebih rendah berbanding di pasar basah. Sementara itu, seorang pembeli, Siti Bidah Seman, 53, berkata, rata-rata pengguna masih terbeban dengan kenaikan barangan keperluan harian termasuk ayam dan ikan menjelang Hari Raya Aidilfitri. "Setakat ini harga ayam masih lagi sekitar RM7.50 sekilogram dan saya harap pihak berkenaan mengekalkan harga ayam seperti sekarang supaya tidak membebankan golongan berpendapatan rendah," ujarnya. |
Larangan iklan ubat berkaitan 20 jenis penyakit Posted: 21 Jul 2013 10:27 AM PDT KOTA BHARU 21 Julai - Ejen pengiklanan dan pihak penyiaran di negeri ini diminta mematuhi iklan perubatan berhubung produk dan perkhidmatan berbentuk kesihatan dengan tidak membabitkan 20 penyakit ditetapkan Kementerian Kesihatan. Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, 20 jenis penyakit dilarang itu adalah kerosakan buah pinggang, kerosakan jantung, kencing manis, sawan, lumpuh, batuk kering, asma, kusta dan barah. Penyakit lain adalah pekak, ketagihan dadah, hernia, penyakit mata, tekanan darah tinggi, sakit mental, kemandulan frigidity, lemah fungsi seks, AIDS dan penyakit berhubung perhubungan seks turut dilarang daripada diiklankan. Turut dilarang iklan berkaitan amalan kontrasepsi, fungsi buah pinggang dan jantung, keupayaan seksual serta pengguguran anak. Beliau berkata, keputusan berkenaan adalah hasil persetujuan yang dicapai dalam sesi dialog iklan perubatan antara Cawangan Penguat Kuasa Farmasi negeri bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) Kelantan dan pihak pengiklanan produk kesihatan pada 13 Mei lalu. "Semua pengiklan, ejen pengiklan dan pihak penyiaran (RTM Kelantan) perlu memastikan tidak mengiklankan dan menyiarkan iklan yang dilarang itu. Iklan yang dilarang itu adalah sebagaimana yang diperuntukan di bawah Seksyen 3, Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Ahmad Razin berkata, penyiaran iklan penyakit terbabit dan tanpa kelulusan LIU merupakan satu kesalahan di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 dan sabit kesalahan pihak berkenaan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. Katanya, hukuman berkenaan bukan sahaja boleh dikenakan terhadap pengiklan malah di bawah akta tersebut, sesiapa sahaja terlibat dalam penyiaran dan penyebaran iklan berkenaan boleh disabitkan termasuklah agen pengiklanan, agensi penyiar, agensi pencetakan dan lain-lain lagi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |