{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Agrobiz

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Agrobiz


Ternak belangkas elak pupus

Posted: 03 Feb 2014 06:40 AM PST

NAMUN, setelah melihat hasil tangkapan semakin berkurangan berbanding 30 tahun dahulu timbul kesedaran dalam diri Ahmad agar taburan haiwan laut tersebut perlu dipertingkatkan.

"Sebelum ini sebagai nelayan belangkas kami hanya menangkap haiwan ini untuk dijual namun sejak akhir-akhir ini belangkas semakin berkurangan.

"Hasil daripada jualan juga semakin hari semakin merosot kerana sejak dari dahulu saya sendiri tidak pernah terfikir untuk memulihara belangkas agar haiwan ini dapat terus membiak dengan baik," katanya ketika ditemui dalam program Kembara Media Perikanan 2013 anjuran Jabatan Perikanan baru-baru ini.

Bagaimanapun usaha menternak belangkas bukanlah sesuatu yang mudah, banyak usaha serta kos perlu dikeluarkan.

Usaha Ahmad yang bersungguh-sungguh memulihara taburan belangkas telah mendapat perhatian pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan agensi tersebut telah mengeluarkan dana sebanyak RM35,000 untuk membina bilik penetasan belangkas untuknya.

Menerusi kemudahan tersebut, Ahmad kini mampu menetaskan hampir 100,000 ekor anak belangkas setiap tahun dan dilepaskan ke laut.

Anak belangkas yang baharu menetas memiliki saiz lebih kecil daripada syiling 10 sen dan tumbesarannya amat perlahan.

Untuk mencapai saiz syiling 10 sen, belangkas memerlukan jangka masa selama dua tahun.

Di pusat penetasan miliknya, Ahmad menjaga anak belangkas tersebut sehingga berumur dua tahun sebelum dilepaskan ke laut.

Tujuannya untuk memastikan kelangsungan hidup anak belangkas berada pada tahap yang tertinggi.

Bagaimanapun Ahmad tidak berkemampuan memelihara haiwan laut tersebut sehingga dewasa berikutan kekangan kewangan dan cara yang terbaik adalah melepaskan anak-anak belangkas kembali ke laut.

Pada masa yang sama Ahmad tetap meneruskan tangkapan belangkas untuk dieksport ke negara jiran, Thailand.

Akui Ahmad, usahanya menetas dan melepaskan kembali anak belangkas ke laut berbaloi apabila hasil tangkapan kini semakin meningkat.

"Jika kena pada musimnya iaitu pada bulan November sehingga Februari, hasil tangkapan mampu mencecah 1,000 ekor sebulan.

"Malah di Johor dan Melaka pernah dicatatkan hasil tangkapan mencecah lima hingga enam ribu ekor sebulan," katanya.

Ujar Ahmad, belangkas kebiasaannya mengambil masa hampir 15 tahun untuk matang, namun bagi belangkas betina apabila menginjak usia ke sembilan tahun, haiwan marin tersebut mula menghasilkan telur untuk disenyawa.

Saiz belangkas dewasa tidak menentu namun boleh dikategorikan antara berat 700 gram (g) sehingga satu kilogram (g) seekor.

Kini menerusi usaha tersebut, belangkas mampu membiak dengan lebih baik namun berapa ramaikah nelayan yang sanggup untuk melaksanakan usaha seperti Ahmad di negara ini dalam menyelamatkan haiwan prasejarah tersebut daripada diancam kepupusan.

Belangkas merupakan haiwan bercengkerang dan hidup di kawasan berair tetapi dalam keadaan tertentu, akan naik ke darat untuk tujuan bertelur.

Kuasa penyubur tanaman

Posted: 03 Feb 2014 06:40 AM PST

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
agro@utusan.com.my

Tony Peng (empat dari kanan) menunjukan contoh baja yang dihasilkan sambil diperhatikan oleh kakitangan syarikatnya.

BAJA yang dihasilkan daripada 100 peratus bahan kimia mungkin memberikan kesan yang negatif terhadap tumbuhan mahupun pengguna.

Biarpun baja jenis itu lebih mudah untuk dihasilkan serta murah, namun kesan negatif yang akan ditanggung menyebabkan kebanyakan daripada kita akan berfikir dua kali untuk membeli produk pertanian yang menggunakan baja tersebut.

Bagi mengelakkan masalah tersebut, All Cosmos Industries Sdn. Bhd. tampil memperkenalkan baja biokimia untuk penyelesaian masalah pertumbuhan tanaman.

Menggunakan jenama RealStrong, syarikat tersebut memanfatakan teknologi yang diadaptasi dari Taiwan bagi menghasilkan baja khas untuk kegunaan ladang kelapa sawit, getah, padi, buah-buahan serta bunga-bungaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tony Peng, syarikat itu ditubuhkan pada tahun 1999 di negara ini bagi memasarkan produk serta melaksanakan kajian serta perkembangan (R&D) agar produk yang dihasilkan sesuai dengan keadaan cuaca di negara ini.

Ujarnya, selain Malaysia, pihaknya juga memiliki kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Taiwan, China Amerika Syarikat dan Vietnam.

"Di sini kami menggunakan teknologi bio untuk menghasilkan baja biokimia.

"Penggunaan teknologi tersebut adalah untuk mengurangkan kadar bahan kimia di dalam baja, menaikan keberkesanan serta memperbaiki fungsnya," katanya ketika di temui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Tony, penggunaan teknologi bio dalam pengasilan baja bukan sahaja dapat mengurangkan kos pengeluaran, malah turut menambah keberkesanan fungsi baja dalam menyuburkan tanah, membantu tumbesaran produk pertanian dengan lebih pantas dan pelbagai lagi.

"Menerusi penggunaan baja RealStrong, pengguna dapat menjimatkan kos pembajaan kerana baja ini hanya perlu ditabur tiga hingga empat kali sahaja setahun berbanding baja biasa iaitu enam hingga tujuh kali.

"Malah menerusi rekaan baharu iaitu, baja pintar (smart fertilizer) dapat mengurangkan serangan penyakit seperti serangan kulat Ganoderma sp. kepada tanaman kelapa sawit," katanya.

Sebagai contoh, syarikat tersebut telah menghasilkan baja baharu yang diinovasi khas untuk kegunaan tanaman kelapa sawit iaitu MPOB F4.

MPOB F4 merupakan baja bio kimia hasil kerjasama All Cosmos Sdn. Bhd. dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang mana memiliki nutrien kimia yang seimbang , dilitupi oleh bahan organik berasaskan tumbuhan dan organisma mikro.

Baja tersebut juga merupakan kombinasi baja tiga dalam satu yang lengkap serta mesra alam.

Seperti mana yang kita ketahui, kelapa sawit merupakan antara tanaman yang pesat berkembang dan sesuai dengan iklim tropika dan dikategorikan sebagai tanaman kontan negara.

Kelapa sawit memiliki pelbagai kegunaan iaitu sebagai bahan makanan, bahan asas industri dan sumber tenaga dan sehingga kini masih tiada tanaman lain dapat menggantikan fungsi serta kelebihannya.

Justeru, permintaan terhadap tanaman itu amat tinggi dan hanya beberapa negara sahaja yang memiliki kelebihan tanah serta cuaca yang sesuai untuk pertumbuhan kelapa sawit.

Malaysia memiliki ladang kelapa sawit yang besar, justeru penggunaan baja merupakan antara faktor penting dalam menentukan kestabilan hasil komoditi tersebut sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara yang baik.

Apa yang terdapat dalam baja RealStrong? Baja yang dihasilkan oleh syarikat tersebut terdiri daripada bahan kimia (N, P, K, Mg, B, TE) yang digabungkan bersama bahan organik berasaskan tumbuhan dan mikrob untuk menghasil tanaman berkualiti dalam jangkamasa panjang.

Malah, mereka turut menggunakan bahan yang mengandungi organisma mikro bermanfaat (EM) yang berperanan mengikat nitrogen daripada udara dan tanah, menguraikan fosfat dan potasium serta memecahkan bahan organik kepada bentuk yang boleh diserap oleh tumbuhan (akar).

Dalam pada itu, integrasi kimia dan bahan organik dilihat dapat mempertingkatkan pH tanah sekali gus menambah kecekapan penyerapan nutrien oleh tumbuhan serta merangsan bahan tersebut yang sedia ada di dalam tanah bagi kegunaan jangka masa panjang.

Kehadiran EM dalam baja tersebut menggalakkan pertumbuhan akar, pembentukan buah dan pengeluaran pucuk baru.

Malah, hasil daripada penggunaan organik semulajadi, baja bio kimia RealStrong membantu meningkatkan nutrien serta daya pegangan air di dalam tanah serta kelebihan penyerapan nutrien seperti zink, magnesium, kalsium, dan mangan.

Dihasilkan berdasar kajian saintifik ke atas tanah dan tanaman, baja bio kimia itu juga berkesan untuk membaiki struktur tanah yang bermasalah disebabkan penggunaan baja kimia yang berlebihan dalam jangka masa lama.

Jenama RealStrong menggunakan tiga sistem sinergi seperti yang dinyatakan sebelum ini iaitu bahan kimia, bahan organik dan organisma mikro bermanfaat (EM).

Antara produk yang terdapat dalam EM yang diperkenalkan menerusi baja bio kimia RealStrong adalah lapan jenis organisma mikro yang bertindak sebagai pengikat N (Natrium) dan penguraian unsur P (Pottasium) dan K (Kalium).

Namun bagi penyakit reput pangkal batang yang disebabkan Ganoderma boninense, terdapat sejenis fungi (kulat) yang digunakan untuk mengawalnya namun masih di peringkat kajian.

Kreativiti syarikat tersebut memanfaatkan teknologi bio telah mendapat perhatian kerajaan sekali gus telah menganugerahkan status syarikat BioNexus oleh Malaysia Biotechnology Corporation (BiotechCorp).

Jelas Tony, pengiktirafan tersebut menunjukkan kerajaan peka serta menyokong sepenuhnya usaha mempertingkatkan penggunaan teknologi bio di pihak industri.

"Apa yang pihak kami harapkan adalah sokongan yang berterusan dari kerajaan serta semua pihak dalam penggunaan teknologi bio kerana teknologi ini merupakan penyelesaian terbaik terhadap penghasilan tenaga, makanan, kesihatan, alam sekitar dan pelbagai lagi," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat