Utusan Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Hiburan |
Posted: 08 Feb 2014 08:11 AM PST Oleh RASDAN AHMAD BERLAGAK diva. Perkara itu bukan sahaja sinonim dengan pelakon Sara Ali malah penulis sendiri mempunyai pengalaman yang sama ketika berhadapan dengannya sewaktu pelakon ini mempromosikan Songlap, filem yang telah melonjakkan namanya di persada seni beberapa tahun lalu. Ketika itu sepatah ditanya, sepatah yang keluar daripada mulutnya. Dan perkara itu diakui sendiri oleh si empunya diri. Namun tegas anak jati Johor ini, sikap buruk itu sudah dibuang jauh-jauh. Tiga tahun meniti perjalanan seninya, Sara atau nama sebenarnya Siti Sarah Hairi Ali kini sudah jauh berubah. Sara Ali hari ini bukan lagi seorang yang sombong, jauh sekali bersikap ego seperti mula-mula dia melangkah ke dunia glamor. Apakah ini jelmaan barunya? Kerana ternyata Sara Ali atau lebih senang disapa Sara ini cukup berbeza jika dibandingkan ketika kali pertama penulis bertentangan mata dengannya. "Saya akui sebelum ini memang saya sedikit ego, orang selalu cop saya diva. Semua itu saya tahu dan perasan tetapi saya tidak menyalahkan sesiapa kerana saya sememangnya begitu sebelum ini. "Tetapi itu dulu. Saya sekarang sudah berbeza," tegasnya. Sangat berterus terang. Menurutnya, beberapa kejadian yang berlaku sebelum ini telah membuatkan dia sedar diri tentang perangai kurang eloknya itu. "Alhamdulillah saya cepat sedar... Beberapa perkara berlaku kepada diri saya - saya pernah mengalami kemalangan jalan raya dan kereta saya rosak teruk. Mujur saya masih hidup. "Kemudian saya dijangkiti pula penyakit radang paru-paru sehingga menyebabkan lebih seminggu terlantar di hospital. "Malah ayah saya sendiri pernah menasihati saya agar tidak terlalu ego. Saya cuba untuk berubah perlahan-lahan. "Kini saya bukan seperti Sara Ali yang dulu. Saya betul-betul sudah berubah," jelasnya. Bagaimanapun kata Sara dia agak terkilan dengan laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang mengatakan dia tidak melayan media pada malam gala filem terbaharu lakonannya, Kami Histeria. Ini kerana katanya, dia tidak menolak pelawaan pihak media untuk menemubual dirinya pada malam berkenaan lebih-lebih lagi kerana berita dirinya sudah lama tidak keluar. "Saya tidak tahu apa masalah wartawan tersebut kerana setahu saya tiada wakil daripada akhbar itu datang untuk menemubual saya. "Sepatutnya dia (wartawan) perlu mengenali dulu saya serta artis-artis lain sebelum buat cerita. "Apa yang saya tengok sekarang, ramai wartawan baru tidak kira daripada media cetak atau elektronik serta bloger-bloger hiburan menulis cerita tanpa menemuramah artis atau selebriti terlebih dahulu. "Jangan hanya syok sendiri untuk menulis berita kerana itu hanya akan merosakkan nama mereka," tegas Sara. Malah dia mengaku sekiranya perkara itu terjadi ketika dia baru bergelar pelakon, dia tidak begitu kisah kerana masih naif dan belajar tentang kehidupan dunia glamor. Namun kini perkara sebegitu menjadi antara yang dielakkan dalam usaha menjaga nama baiknya di dalam bidang seni. Nasihat Khir Rahman Berkisah tentang perubahan sikapnya pada hari ini kata Sara, selain kehendak diri sendiri serta nasihat ayahnya, insan yang turut banyak membuka matanya untuk berubah adalah pelakon serta pengarah berbakat, Khir Rahman. Menurut Sara, Khir banyak memberi nasihat kepadanya terutama apabila dirinya semakin tidak bersemangat untuk meneruskan kerjaya di dalam lakonan. "Abang Khir cukup banyak mengajar saya di dalam selok belok dunia seni ini. Sebelum ini memang saya sudah tidak mahu lagi meneruskan kerjaya bidang lakonan. "Namun disebabkan nasihat dan tunjuk ajarnya saya kembali bersemangat untuk meneruskan perjuangan ini. "Daripada nasihatnya itu timbul pula minat untuk mengarah filem selepas ini. Itu cita-cita saya. Saya mahu hasilkan sebuah filem hebat tidak seperti filem-filem yang ada sekarang. "Saya mahu cabar diri saya untuk menjadi seorang pengarah satu hari nanti," ujarnya. Ditanya mengenai jodoh, tanpa berselindung Sara mengakui bahawa dia sudah berpunya namun pada usia yang baru menjangkau 24 tahun ini, dia tidak mahu terburu-buru untuk menamatkan zaman bujangnya. "Kita tidak boleh hanya menunggu jodoh datang dan tidak perlu juga kita mengejar jodoh itu. "Apa yang penting kita perlu buka hati untuk menerima jodoh kita kerana Dia telah pilih yang terbaik untuk kita. Saya tidak mahu tergesa-gesa di dalam soal ini. "Biarlah saya mengejar cita-cita saya terlebih dahulu. Saya mahu impian untuk jadi pengarah filem tercapai sebelum saya fikirkan soal kahwin. "Dapat mengarah sebuah filem pun dah cukup. Saya memang cukup berminat untuk mengarah filem dan itu adalah impian terbesar saya," ujar Sara. Tiada niat bersaing Setelah lama tidak muncul di layar perak, ramai yang menganggap dia sudah tidak laku namun perkara itu disangkal sekeras-kerasnya oleh Sara. "Memang tahun lepas saya agak jarang muncul sama ada di dalam filem mahupun drama namun itu bukan bermakna saya tidak laku. "Sebenarnya saya banyak menjalani penggambaran filem serta drama tahun lepas dan kebanyakan produk itu akan ditayangkan tahun ini. "Kerana itu nampak seolah-olah saya jarang keluar," katanya yang sebelum ini pernah membintangi beberapa filem antaranya Nur Kasih, Penunggu Istana dan Klip 3GP. Ditanya tentang kemunculan ramai pendatang baru yang boleh menenggelamkan namanya jelas Sara, perkara tersebut tidak pernah timbul dan tidak akan berlaku. "Bagi saya itu rezeki masing-masing. Sekiranya nama artis baru tersebut semakin dikenali, itu rezeki mereka. Tuhan telah menetapkan setakat mana rezeki kita cuma kita mestilah rajin untuk mencari di mana letaknya rezeki tersebut. "Ternyata persaingan memang hebat ketika ini namun perasaan dengki atau ingin bersaing memang tidak pernah saya fikirkan. "Memang sekarang saya lihat ramai artis yang mengejar nama dan mahu bersaing dengan artis-artis lain. Paling penting bagi saya adalah artis baru ataupun lama perlu kerja bersama-sama."Jangan ada niat dengki atau ingin bersaing kerana yang penting adalah kita perlu sama-sama berusaha menaikkan industri filem kita. Jika pelakon sendiri ada sikap itu maka industri kita tidak akan kemana," jelasnya. CABAR DIRI Bercerita mengenai filem terbaharu lakonannya, Kami Histeria yang kini telah ditayangkan jelas Sara, filem ini merupakan filem yang cukup sesuai dengan tahun ini. "Kami Histeria cukup berlainan. Filem ini 'melanggar' konsep filem Melayu yang biasa kita tonton selama ini. "Filem ini untuk semua lapisan masyarakat tidak kira remaja, kanak-kanak serta orang dewasa dan saya pasti semua penonton akan hilang stress apabila menontonnya. "Kalau saya bukan pelakon di dalam filem ini sekali pun saya akan ajak penonton menyaksikan filem ini. Ia mampu memberi makna kepada penonton," jelasnya. Akui Sara, melalui filem ini juga dirinya mula rapat dan berkawan baik dengan para pelakon lain antaranya Fazura, Nad Zainal, Diana Danielle dan Umie Omar. "Sebelum ini memang kami semua sudah kenal antara satu sama lain namun selepas selesai sahaja penggambaran filem ini kami semua bertambah rapat.Kami ibarat sebuah keluarga bahagia," kata Sara. Dalam pada itu Sara turut mengakui melalui filem ini berjaya mencabar dirinya apabila perlu bermain gitar ketika membawakan watak Bad. "Sepanjang hayat saya tidak pernah memegang apalagi bermain gitar. Sebagai Bad, pemain gitar utama kumpulan saya dituntut untuk bermain gitar. "Saya berjaya melakukannya. Daripada tidak tahu apa-apa mengenai gitar sekarang saya boleh bermain alat itu. Walaupun hanya untuk tiga lagu, saya seronok melakukannya," katanya lagi. Foto NOOR AZLINA JAAFAR Solekan Syedewa Busana House of Dolls |
Posted: 08 Feb 2014 08:11 AM PST Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI SEKSI dan gedik merupakan dua perwatakan yang sering dikaitkan dengan dirinya sama ada di alam realiti mahupun lakonan. Namun kini dia enggan terus dikaitkan dengan isu sedemikian malah membuktikan kepelbagaian watak yang mampu dibawanya sejak akhir-akhir ini. "Kalau dulu orang selalu anggap saya hanya boleh membawakan watak sebegitu tapi persepsi mereka sudah berubah," tegas empunya diri, Marsha Milan Londoh. Baginya tiada isu untuk terus mengaitkan dirinya sebagai seorang pelakon yang hanya bersandarkan rupa semata-mata. Malah tuduhan yang dilemparkan sesetengah pihak itu membuatkan dia terkesan. "Bila sebut Marsha orang akan ingat isu seksi tapi saya sebenarnya boleh melakukan banyak perkara lain yang lebih baik untuk mereka kenang. "Tak ada masalah pun isu seksi itu dengan diri saya sebab saya pun bukan orang baru di dalam industri. Asalkan tak menjejaskan periuk nasi saya sudahlah," ujar Marsha. Menyifatkan kerjaya lakonan sebagai sebahagian daripada hidupnya, penyanyi dan pengacara yang dibesarkan di Sabah ini yakin mampu memberikan sesuatu setiap kali terlibat di dalam filem mahu pun drama yang dibintanginya. Malah Marsha mempertahankan adegan panas lakonannya untuk filem Laga yang dianggap sesetengah pihak sebagai keterlaluan. "Saya sedar ramai yang mengata dan cakap macam-macam bila tengok aksi berkemban saya dalam filem berkenaan. Tak ada isu besar pun sebab apa yang dipaparkan adalah realiti. "Kalau tengok masyarakat kampung satu masa dulu pun, mereka mandi atau duduk di rumah hanya berkain batik sahaja. Tapi bila saya bawa watak begitu dikritik pula. "Lainlah kalau babak tersebut tak masuk akal atau melampaui batas. Itu memang wajar untuk mereka marah." katanya. Walaupun Laga kurang mendapat sambutan Marsha tidak patah hati memandangkan sudah memberikan yang terbaik kepada filem berkenaan. Mengikut laporan Perbadanan Kemajuan Filem Negara (Finas) sehingga 3 Februari yang lalu, filem tersebut hanya mampu mengumpul kutipan sebanyak RM130,000 sahaja. Kutipan yang rendah itu tidak mematahkan semangat Marsha meskipun mengakui sedih dengan perkara berkenaan. "Siapa yang tak sedih melihat kutipan tiket sebanyak itu. Kami para pelakon sudah memberikan yang terbaik untuk Laga tetapi peminat enggan ke panggung. "Saya melihat Laga sebagai naskhah yang bagus. Jarang ada filem begini sejak kebelakangan ini tapi orang pula tak mahu memberikan sokongan. "Tapi tak mengapa sebab saya sudah memberikan yang terbaik," tegas pelakon yang bakal muncul dengan filem Jwanita dan Tujuh ini lagi. Fokus Tidak mahu mempersiakan bakat yang ada, pengacara program Propaganza ini tidak mahu memberikan tumpuan lebih kepada mana-mana cabang seni yang disertai. Biarpun komitmen mingguan untuk mengendalikan program hiburan berkenaan banyak mengekang jadual kerja yang namun itu bukan alasan untuk menolak tawaran lain. "Sejujurnya memang banyak kali juga saya menolak tawaran teater atau pun drama-drama bersiri disebabkan oleh kekangan masa. "Tapi saya percaya rezeki ada di mana-mana dan tak perlu nak dirisaukan sangat. Apa yang penting saya berusaha. "Kalau menunggu sahaja alamatnya tak berasap dapur saya," katanya tertawa sambil mengakui bahawa pengacaraan merupakan minatnya. Bercerita tentang kerjaya nyanyian pula kata Marsha, dia baru saja merakamkan lagu duet Cinta Sesungguhnya bersama-sama Sabbi Sadhi. Menganggap bidang nyanyian sebagai keutamaan, Marsha yang sebelum ini popular dengan lagu Jujur Bilang Cinta ini memberitahu bakal menghasilkan album kompilasi tidak lama lagi. Album tersebut mengumpulkan single nyanyiannya sebelum ini termasuk lagu Bebas yang menjadi lagu tema untuk filem Frozen. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |