Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 08 Feb 2014 08:11 AM PST "SEPANJANG usia saya mencecah hampir30 tahun, sudah dua kali saya gagal bercinta. Saya katakan demikian kerana saya sahaja mencintai lelaki itu, sedangkan lelaki itu tidak cintakan saya. Kata A dia nak kenal hati budi saya lebih dekat, sementara B, dia hanya suka berkawan dengan saya. Ertinya saya seorang saja gila bayang. '' Itu cerita Intan Zahirah dalam e-melnya. "Nak dijadikan cerita, kereta saya terlibat dalam banjir kilat awal tahun lalu, Di situlah saya jumpa Khaz. Kami antara ratusan penghuni kota terperangkap kerana banjir. Kereta kami tersekat tak dapat bergerak. Ada kata tanah runtuh, ada kata banjir, ada pulak kata berlaku kemalangan. Kerana penat menunggu saya keluar lurus kaki sebentar, ketika itu Khaz datang bertanya adakah saya ada simpan air minuman. "Dari perkenalan itulah terjalin persahabatan yang erat. Setiap hari Khaz telefon saya bertanya itu dan ini. Mula-mula memang seronok sangat, tetapi bila sampai mengganggu kerja tentu kita pun tak seronok. Tambahan bila banyak kerja. Saya beritahu Khaz telefon saya waktu malam di rumah. Dua tiga hari dia ikut, lepas tu dia buat balik. "Lepas dua bulan kenal, Khaz ajak bertunang, saya terkejut. Kerana saya belum begitu kenal hati budi Khaz dan keluarganya pun saya tak kenal. Katanya selepas bertunang nanti dia bawa saya bertemu semua keluarganya. Cadangannya baik, tapi saya minta tempoh sebab saya tak tahu dia kerja apa. Saya mula ragu bila dua kali dia beritahu saya kerja yang berbeza. Sekejap bahagian komputer, sekejap bahagian kejuruteraan. Yang mana satu? "Dalam pada itu Khaz desak supaya membawanya bertemu keluarga saya di kampung. Cadangan yang baik, tapi saya rasa terlalu awal, macam ada sesuatu yang tak kena dengan diri Khaz. Pelbagai alasan saya berikan, tujuan saya untuk mengenali Khaz lebih dekat. "Satu hari ketika kami makan malam di sebuah restoran. Khaz beritahu dia hendak berhenti kerja kalau boleh dia minta saya carikan dia kerja di tempat saya. Tujuannya supaya dia boleh dekat dengan saya. Terkejut saya. Apa dia fikir saya pengurus besar senang-senang boleh masukkan dia kerja. "Ketika itu saya tanya Khaz sebenarnya dia kerja apa? Siapa majikannya? Di mana tempat kerjanya. Sekali lagi saya dapat jawapan yang berbeza. Katanya dia kerja dengan syarikat menjual dan baiki komputer terletak di sebuah kompleks beli-belah. Dia pelawa saya ke tempat kerjanya jika tak percaya. Bukan tak percaya tetapi saya mahukan kepastian. "Pada saya perbezaan pekerjaan bukanlah penghalang jika dia jujur jadikan saya isterinya. Setelah pasti, saya bawa dia jumpa keluarga di kampung. Khaz beritahu ayah dia mahu pertunangan kami dilangsungkan dalam masa sebulan. Memikirkan saya telah tahu, maka ayah terima dan terus menetapkan tarikh. "Saya yang diberitahu kemudian terkejut dengan keputusan mereka. Saya tak setuju. Tetapi keluarga mendesak. Kata ayah dia tak pandang kekayaan orang, cukup baik jika dia jujur,dan sedia jadikan saya isterinya. "Majlis pertunangan berjalan serba ringkas, kehadiran keluarga kedua-dua pihak sahaja. Malangnya lepas bertunang Khaz desak supaya perkahwinan kami disegerakan. Alasannya emaknya hendak pergi ke tanah suci, jadi kami patut berkahwin pada bulan raya. Sekali lagi saya terkejut. Kali ini saya minta ayah tangguh setahun lagi. Rasanya saya belum tua sangat kalau tunggu sedikit masa lagi. Lagipun saya hairan mengapa cepat sangat. Tangguh "Satu hari ketika cuti panjang, saya balik ke kampung dan bertemu kakak saya, yang juga balik bercuti sebelum pulang ke rumah mertuanya. Kakak tersenyum, katanya saya tak perlu bimbang tentang perkahwinan kami. Saya perlu siapkan badan, yang lain akan dibereskan. Saya terkejut dengan penjelasannya. Saya desak kakak untuk kepastian. Kakak cuma kata semua benda sudah dibereskan. "Kerana tak puas hati, saya terus desak kakak, apa maksud katanya. Akhirnya kakak beritahu Khaz jumpa suami kakak minta pinjam duit untuk buat hantaran. Kata Khaz, saya yang desak perkahwinan disegerakan sebab kami dah terlanjur. Hampir pitam saya dengar penjelasan kakak. Patutlah waktu saya tiba di rumah ibu dan ayah nampak begitu sugul tak ceria seperti biasa. "Saya menangis sepuas hati, saya ceritakan pada kakak saya akan putuskan pertunangan kami dan tidak akan ada majlis perkahwinan. Kakak terkejut dan hairan. Saya ceritakan, saya dapati Khaz seorang yang suka berbohong. Saya tidak pernah terlanjur dengannya, saya jaga maruah diri saya dan saya tidak pernah desak perkahwinan kami disegerakan. Khaz telah berbohong pada kakak dan suaminya. Tapi saya tak tahu apa sebabnya. "Tangisan saya mengejutkan ibu dan ayah. Ibu bertanya apakah benar cerita yang dia dengar daripada kakak. Saya nafikan dan minta ibu dan ayah putuskan pertunangan kami, saya tidak sudi berkahwin dengan seorang kaki pembohong. Dia berbohong bertujuan menjatuhkan maruah saya juga ibu dan ayah. Saya tak tahu apa lagi pembohongannya selepas ini bila dia tahu saya mahu putuskan pertunangan. "Benar seperti yang diduga, Khaz memburukkan saya pada teman saya di pejabat katanya saya bukan gadis lagi, dan kami pernah terlanjur. Kata Khaz, dia yang putuskan pertunangan kerana tidak mahu tertipu dengan sikap saya. Sakitnya hati Tuhan sahaja yang tahu. Untung kawan yang bercerita ini tidak percaya cerita Khaz, tetapi bagaimana dengan orang lain, tentu ada yang percaya. Saya tak faham apa matlamat Khaz sebenarnya. "Kerana terlalu sakit hati saya minta ayah kembalikan semua hantaran yang tak seberapa yang dihantar oleh Khaz semasa bertunang dulu dan saya minta peristiwa itu dirakamkan sebagai bukti bahawa saya yang putuskan pertunangan bukan Khaz. "Orang yang sering berbohong satu hari nanti akan terbelit dengan pembohongannya, itu nasihat ayah. Kata ibu, nasib saya tak kahwin. Lelaki seperti Khaz jenis cemburu buta, dia sanggup lakukan apa sahaja asalkan hasratnya tercapai. Kalau sudah jadi isterinya, pasti saya jadi habuan kaki dan tangannya. Nasihat ibu, bersabarlah mungkin ada ganjaran yang lebih baik untuk saya nanti. Tetapi kini saya jadi penakut kalau berjalan sendirian.'' Itu pengalaman pahit yang dilalui oleh Intan Zahirah semoga pengalaman yang dilaluinya menjadi iktibar kepada gadis-gadis supaya lebih berhati-hati memilih teman. |
Segar dari ketuhar Sandwich King Posted: 08 Feb 2014 08:11 AM PST Oleh RAJA INTAN DIANNA RAJA AZAHAM MENIKMATI sandwic Crispy Cheezy Turkey Panini di Sandwich King, tidak keterlaluan dinyatakan ia setanding malah mungkin lebih sedap daripada kebanyakan panini yang dihidangkan di restoran francais antarabangsa. Rasa kepingan daging ayam belanda berserta keju mozzarella, salad, bawang, tomato dan lada benggala yang rangup serta segar yang diapit roti focaccia baru keluar dari ketuhar pasti membangkitkan selera sesiapa sahaja. Lebih mengagumkan apabila mengetahui roti focaccia serta pilihan roti lain yang digunakan, diadun sendiri di kafe yang terletak di Bandar Baru Bangi itu. Roti sebegini yang popular di Itali diadun menggunakan pelbagai herba semula jadi seperti daun thyme, oregano lada hitam dan selasih mencipta rasa yang tersendiri. Rasai keenakan pilihan sandwic yang lain seperti SK Scottish Slimmer Tuna yang sesuai untuk mereka yang mahu sesuatu yang sederhana atau SK Bologna Meatball untuk mereka yang sukakan kelainan. Ujar Pengarah Sandwich King, Azilah Akashah, mereka mementingkan kesegaran dan kualiti dalam setiap hidangan yang disediakan dan memperkenalkan gaya masakan a la minute iaitu hidangan yang disediakan apabila dipesan bagi memastikan ia sentiasa segar. "Pelanggan juga boleh membuat sendiri sandwic mereka dengan memilih roti, sayur, sos dan pilihan isinya seperti tuna, ayam cincang, makanan laut, salami daging dan pelbagai lagi. "Sandwic King dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera dan kesemua bahan dan produk yang dihasilkan adalah 100 peratus halal," ujarnya yang turut memiliki francais Tutti Frutti di Alamanda, Putrajaya selain syarikat hartanah, Azilah Properties. Tambahnya, hidangan sandwic sebegini amat sesuai untuk mereka yang inginkan hidangan sihat serta cepat bagi memenuhi gaya hidup penduduk bandar yang semakin sibuk. Terang Azilah, kafe ini yang bakal membuka cawangan kedua di KLIA2 pada bulan Mei serta IOI Mall Putrajaya pada bulan November ini digerakkan oleh dua rakan kongsi yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang katering di Malaysia Airlines System iaitu Yusoff Hussin dan Najib Abu Hassan. Kafe itu juga menghidangkan pelbagai pilihan pai iaitu pie ayam, lembu dan epal serta kek yang kesemuanya disediakan di dapur Sandwich King. Selain itu, Sandwich King turut menyediakan pelbagai pilihan makanan tempatan dan Barat bagi memenuhi permintaan ramai. Antara yang wajib dicuba ialah Fettucini Carbonara Creamy yang sungguh berkrim dan nasi lemak ayam yang menggunakan resipi rahsia Azilah sendiri. Sandwich King turut menyediakan perkhidmatan katering dan tempahan khas seperti kek dan manisan lain bersempena majlis perkahwinan atau sambutan hari lahir. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |