Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman Ibrahim Mahmood (dua dari kiri) melihat barangan yang dijual di Pasar Komuniti dan Karavan di Bera, Pahang, kelmarin. BERA 3 Feb. - Semua barangan terkawal yang dijual di pasar-pasar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di negeri ini dijamin mengikut harga kawalan yang ditetapkan. Pengarah FAMA negeri, Ibrahim Mahmood berkata, selain memantau harga barang kawalan, pihaknya juga sentiasa memastikan barangan lain di pasar milik agensi itu dijual pada harga berpatutan. "Kita sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan peniaga mengikut peraturan ditetapkan selain dijual dengan harga lebih murah. "Mana-mana peniaga yang didapati menjual pada harga mahal atau melanggar peraturan, kita akan kenakan tindakan termasuk tidak dibenarkan berniaga di pasar FAMA lagi," katanya selepas melawat Pasar Komuniti dan Karavan (Pakar) Bera di sini semalam. Yang turut hadir, Pegawai Daerah Bera, Datuk A. Rahman Hamzah dan Pegawai FAMA Bera, Mohd. Khair Abu Bakar. Menurut Ibrahim, pihaknya sentiasa membuat pemantauan berterusan di pasar-pasar milik agensi itu seperti Pasar Pakar dan Pasar Tani serta melakukan tindakan segera ke atas aduan yang dibuat oleh pengguna. Tambahnya, selain memastikan harga berpatutan, pihaknya juga sentiasa memastikan peniaga sentiasa mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan demi keselamatan pengguna. "Bagi memberi keselesaan kepada peniaga dan pengguna kita juga sentiasa memastikan susun atur sistematik dan menyediakan infrastruktur yang sesuai," katanya. Dalam pada itu, beliau berkata, ketika ini terdapat tiga Pakar beroperasi di negeri ini iaitu Jengka, Bera dan Pekan dengan mempunyai 265 peniaga. Katanya, berdasarkan sambutan yang diterima, pihaknya merancang untuk membuka lebih banyak Pasar Pakar di seluruh negeri pada masa akan datang. "Kita masih dalam perbincangan dengan pelbagai pihak bagi menambah bilangan Pakar di seluruh negeri secara berperingkat-peringkat untuk memberi kemudahan kepada penduduk setempat," katanya. |
Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST Zainal Dahalan (dua dari kanan) menyampaikan bantuan mangsa banjir kepada salah seorang ahli Koperasi Niaga Pegawai Pegawai LPP Berhad di Kuantan, Pahang, baru-baru ini. KUANTAN 3 Feb. - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri menyelar sikap segelintir pihak yang menyalahkan kerajaan apabila ditimpa musibah tetapi berdiam diri selepas sesuatu masalah itu berjaya diselesaikan. Pengerusinya, Datuk Zainal Dahalan berkata, turun naik sesuatu harga barang itu bergantung kepada penawaran dan jika barangan tersebut banyak harga ditawarkan adalah murah dan sebaliknya. Menurutnya, cadangan menubuhkan Pasar Peladang merupakan salah satu usaha pihaknya untuk menambah hasil pertanian yang diusahakan oleh golongan petani di luar bandar. "Walaupun konsep pasar tersebut hampir sama dengan pasar tani anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), pengguna mempunyai satu lagi pilihan untuk berbelanja sekali gus mengurangkan pergantungan petani kepada orang tengah untuk memasarkan hasil pertanian," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan mangsa banjir kepada 34 ahli Koperasi Niaga Pegawai Pegawai LPP Berhad (KNB) dan Majlis Kebajikan Sukan, Rekreasi LPP (MKSR) berjumlah RM20,300 di pejabat LPP Pahang, di sini baru-baru ini. Menurut Zainal, LPP akan meningkatkan hasil keluaran melalui bantuan pelbagai projek yang diusahakan ahli peladang dan akan melaksanakan konsep jual terus di Pasar Peladang selain meningkatkan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan berkaitan. Katanya, program Pasar Peladang yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini merupakan salah satu usaha pihaknya dalam memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barang keperluan yang dijual terus oleh pengusaha tanpa melibatkan orang tengah. "Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) diminta menyediakan tapak niaga di ruang bangunan pejabat mereka untuk petani, penternak dan pengusaha ikan kolam dalam memasarkan hasil keluaran mereka terus kepada orang ramai dan dijual dengan harga lebih murah," katanya. |
Angkasa tumpu tubuh koperasi baharu Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST KUANTAN 3 Feb. - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan memberi tumpuan dalam menarik lebih banyak penyertaan koperasi di luar bandar, masjid dan sekolah menjadi ahli koperasi itu untuk meningkatkan pendapatan menerusi perniagaan tertentu. Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, mereka yang mahu membuka koperasi tersebut akan diminta mengikuti kursus pengurusan asas koperasi dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Menurutnya, langkah itu bertujuan memantapkan pentadbiran dan pengurusan modal saham ahli dengan betul supaya mampu bersaing dengan syarikat kerjasama lain. "Prinsip koperasi sememangnya amat mudah, iaitu menjadikan 'koperasi dari kita untuk kita' yang berbentuk pengurusan secara sukarela dan terbuka kepada semua ahli untuk menggunakan perkhidmatannya (koperasi) bagi tujuan perniagaan serta kegiatan keusahawanan lain. "Malah koperasi dikawal oleh anggotanya secara proaktif dengan membuat keputusan secara kolektif, matang dan bijak antara cerminan pentadbiran yang berjaya serta menguruskan pengumpulan modal bagi tujuan perniagaan dan keusahawanan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutup Kursus Induksi Koperasi Anggota Baharu Angkasa Zon Timur di sini baru-baru ini. Sementara itu, Wakil Koperasi Rahmat Bersatu Jerantut Berhad (KRBJB), Mahyuddin Idris berkata, penyertaannya dalam kursus berkenaan memberi pengetahuan dan kemahiran berguna dalam aspek pengurusan asas sebuah koperasi. "Pengetahuan yang diberikan oleh Angkasa ini amat relevan dalam melaksanakan pengurusan koperasi dengan lebih cekap dan dapat disebarkan kepada ahli lain sebagai tanggungjawab mengaktifkan kegiatan koperasi," ujarnya. Katanya, pembabitan KRBJB di bawah Angkasa memberi kesan berguna menerusi penyertaan projek ekonomi berskala besar di luar bandar yang boleh memberi perolehan pendapatan kepada ahli yang rata-ratanya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |