Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Tujuh peringatan Sultan Azlan Shah Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST Raja Dr. Nazrin Shah bersama Tunku Zara (kanan), Raja Dihilir Raja Jaafar Raja Muda Musa (dua dari kiri) dan Dr. Zambry Abdul Kadir (kiri) pada Majlis Kesyukuran Sempena 30 Tahun Pemerintahan Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, Perak, semalam. TITAH Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah Sempena Majlis Kesyukuran 30 Tahun Pemerintahan Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak, semalam. MAHA Suci Allah yang di tangan-Nya segala kerajaan; yang memberi kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan mencabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki; Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki; di tangan Engkau segala kebajikan; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. Selawat dan kesejahteraan ke atas Rasul junjungan dan penghulu kami, Nabi Muhammad SAW, semulia-mulia kejadian; kurniakan rahmat ke atas Baginda, demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh kegelapan. Semoga memperoleh ihsan sehingga ke hari kebangkitan. Alhamdulillah, dengan rahmat dan inayat dari Allah SWT, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, hari ini genap 30 tahun bersemayam di atas singgahsana takhta pemerintahan sebagai Sultan, Yang Dipertuan dan raja pemerintah kerajaan negeri Perak Darul Ridzuan. Majlis kesyukuran yang dilangsungkan pada pagi ini, adalah atas titah baginda supaya dapat dizahirkan apresiasi baginda kepada seluruh rakyat yang telah membuktikan kesetiaan dalam tempoh 30 tahun pemerintahan baginda. Baginda bersama Tuanku Permaisuri amat ralat tidak dapat bersama di majlis ini. Baginda berdua menyampaikan salam kepada semua hadirin dan menzahirkan terima kasih di atas perutusan ucap selamat serta doa berterusan daripada rakyat jelata ke atas kesejahteraan baginda berdua. Kesultanan Melayu Perak diasaskan oleh Sultan Muzaffar Shah I pada tahun 1528. Sultan Muzaffar Shah bersemayam selama 21 tahun di takhta pemerintahan. Seramai 34 Sultan bersemayam di takhta pemerintahan dalam tempoh 486 tahun sejarah Kesultanan Melayu Perak. Dengan penentuan Ilahi, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah mula bersemayam di takhta pemerintahan pada 3 Februari 1984. Baginda ialah Sultan Perak kedua paling lama berada di takhta pemerintahan, selepas Sultan Perak ke-11, Sultan Mahmud Iskandar Shah yang bersemayam di takhta Kerajaan selama 67 tahun di antara tahun 1653 sehingga tahun 1720. Setiap Sultan telah menyempurnakan amanah sebagai Amirulmukminin. Ketika kita di majlis ini mengangkat kalimah kesyukuran kepada Ilahi, sempena genapnya 30 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, amatlah wajar untuk kita turut menghargai khidmat bakti yang telah diabadikan kepada negeri dan rakyat oleh 33 Sultan terdahulu. Semoga khidmat bakti kesemua 33 Marhum yang telah kembali ke Rahmatullah, diterima sebagai amal soleh dan diberikan ganjaran sewajarnya kepada roh setiap seorang dari Marhum tersebut. Sama-samalah di Majlis ini, kita menghargai khidmat bakti Marhum-Marhum tersebut dengan membacakan Suratul Fatihah, semoga apa juga ganjaran darinya disampaikan kepada roh Almarhum-almarhum yang telah berada di alam barzakh. Al-Fatihah. Meskipun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ketika ini masih dinasihatkan oleh pakar-pakar perubatan untuk beristirehat, namun baginda tetap mengikuti perkembangan yang sedang berlaku; malah keadaan semasa rakyat jelata senantiasa berada dalam pemikiran baginda. Sempena ulang tahun 30 pemerintahan, baginda telah menitahkan supaya dizahirkan tujuh peringatan berikut: Pertama: Berpegang kepada prinsip ketuhanan, menginsafi kebesaran Yang Maha Mencipta berbanding kedaifan insan bertaraf hamba dengan memperlihatkan sifat-sifat tawaduk, kemanusiaan, serta kasih sayang sesama insan di samping tidak melakukan kezaliman sesama makhluk dan tidak melakukan kemusnahan kepada alam ciptaan Ilahi. Kedua: Menyedari bahawa setiap nikmat adalah anugerah Ilahi; setiap insan wajib mengamalkan sifat bersyukur agar dikurniakan nikmat lebih besar, di samping menerima ujian dengan penuh ketabahan selaras dengan maksud ayat 17 Surah Al AnAam; Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepada mu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri, dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepada mu, maka Dia Maha Kuasa atas setiap sesuatu" Ketiga: Pangkat dan jawatan adalah anugerah Ilahi dan hendaklah dipenuhi dengan penuh amanah, senantiasa mengingati akauntabiliti kepada rakyat begitu juga akauntabiliti ketika diadili di mahkamah Rabbuljalil di Padang Mahsyar selaras dengan peringatan yang terkandung dalam ayat 9 Surah Ali Imran bermaksud; Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia untuk (menerima pembalasan pada) hari yang tak ada keraguan padanya". Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji". Keempat: Negeri Perak dan negara Malaysia telah dilimpahkan dengan nikmat kekayaan sumber dan hendaklah diuruskan secara cekap, jujur, telus lagi berintegriti, menjauhi amalan-amalan rasuah, salah guna kuasa serta pembaziran agar negeri dapat dimakmurkan dan kehidupan majoriti rakyat dapat disejahterakan. Kelima: Perpaduan rakyat hendaklah sentiasa diutamakan dan tidak boleh dikompromikan. Perpaduan rakyat adalah asas kekuatan negara yang telah memungkinkan kemerdekaan dicapai, ancaman komunis dimusnahkan, kemajuan dicipta serta kemerdekaan tanah air dapat dipertahankan. Bahawa rakyat di negara ini terdiri dari pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai agama, berlatar belakangkan pelbagai budaya dan menguasai pelbagai bahasa. Kepelbagaian tersebut adalah aset negara jika rakyat berjaya dibimbing untuk berfikiran rasional, mengamalkan sikap saling memahami - saling menghormati, serta tidak mudah dipengaruhi dengan sentimen yang dicetuskan oleh pihak-pihak yang berfikiran sempit lalu memilih untuk mengadu domba rakyat untuk berkonflik secara mensensasikan isu-isu agama, kaum, budaya dan bahasa. Baginda yakin majoriti rakyat bersifat rasional lagi bertanggungjawab; bahawa majoriti rakyat menghargai suasana hidup yang aman, harmoni lagi rukun. Keenam: Mengamalkan pemerintahan yang berlandaskan undang-undang (rule of law). Undang-undang tidak sahaja perlu digubal tetapi lebih penting untuk dihormati, dikuatkuasakan secara adil - secara saksama, malah dipastikan kelihatan dilaksanakan secara adil - secara saksama, tanpa prejudis - tanpa diskriminasi melalui amalan kehakiman, perundangan dan penguatkuasaan berlandaskan prinsip tanpa gentar - tanpa pilih kasih (without fear or favour). Ketujuh: Takhta pemerintahan menyempurnakan amanah berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan, berfungsi sebagai tonggak kestabilan - sumber keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan. Raja Pemerintah wajib mengamalkan dan mempamerkan sifat tidak memihak - tidak partisan - tidak berkepentingan demi menjamin berlakunya keadilan, membantu keberkesanan mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan institusi-institusi perundangan, eksekutif dan kehakiman, lantas meningkatkan tahap keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan amalan demokrasi - berakarkan doktrin pengasingan kuasa. Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, Mamanda Menteri Besar, kesemua Raja Bergelar, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Negeri, kakitangan perkhidmatan awam, anggota tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, guru-guru, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, para ulama, penghulu, imam dan pegawai Masjid, pihak swasta, badan-badan berkanun, badan-badan bukan kerajaan, badan-badan sukan serta seluruh rakyat baginda yang telah melaksanakan pelbagai peranan untuk membangunkan negeri. Kepada rakyat baginda yang terdiri daripada kaum Cina, baginda bersama Tuanku Permaisuri mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu (Gong Xi Fa Cai) Baginda menyeru agar rakyat terus bersatu, hidup dalam semangat muhibah, rukun dan harmoni, membantu membina sebuah negara Malaysia yang maju lagi makmur, rakyatnya kukuh berpadu dan cekal bersatu. Baginda mendoakan agar terbina sebuah negara dan warga yang mendapat rahmat Ilahi seperti yang digambarkan dalam ayat 15 Sura Saba bermaksud; Sesungguhnya bagi kaum Saba ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka ia itu dua buah kebun di sebelah kanan dan kiri; Makanlah oleh mu rezeki yang (dianugerahkan) Tuhan mu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya! (Negeri mu) adalah negeri yang baik dan (Tuhan mu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun" Sempena Majlis kesyukuran memperingati 30 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Paduka Anakanda, Paduka Ayahanda Raja Di Hilir, sekalian Raja Bergelar, Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar, Ahli Dewan Negara, merafakkan sembah, mengulangi ikrar taat setia, sedia menjunjung titah - sedia melaksanakan perintah Paduka Seri Ayahanda, berlandaskan hukum - bersendikan adat; dan akan sama-sama memelihara kemuliaan dan nama baik institusi kesultanan Melayu Perak demi memastikan tradisi negeri bersultan - rakyat beraja yang merupakan identiti sistem berkerajaan di bumi ini terus mendapat pengiktirafan dan penerimaan rakyat. Ya-Wahid, Ya-Ghaffar, Ya-Latif, Ya-Qayyum, hamba-Mu memanjatkan doa agar Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dan Permaisuri Tuanku Bainun berada dalam kerukunan, dikurniakan keafiatan, dianugerahkan taufik - dilimpahkan hidayah, senantiasa mendapat rahmat dan lindungan Ilahi. |
Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST Oleh Zulkiflee Bakar Ahli Perkasa, Ahmad Zamani Imran bersama wakil penduduk Kajang mengangkat sepanduk Tolak Anwar" selepas membuat laporan polis untuk membantah tindakan ADUN Kajang, Lim Chin Cheh meletak jawatan dan memberi ruang kepada Anwar Ibrahim untuk bertanding di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, baru-baru ini. DALAM usaha menamatkan pertelingkahan politik antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil tindakan drastik dengan meminta ADUN Kajang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi tersebut. Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di situ dan diuar-uarkan akan menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor. Melalui langkah itu, ia diharapkan meredakan perbalahan politik antara Abdul Khalid dan Azmin. Tetapi sudah wujud spekulasi bahawa apa yang berlaku sekadar sandiwara politik untuk menyingkirkan Abdul Khalid secara terhormat dan meletakkan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor. Keadaan inilah yang memungkinkan Abdul Khalid seperti mana dilaporkan oleh akhbar The Star meletakkan syarat hanya akan mengosongkan kerusi Menteri Besar jika Azmin berundur sebagai ADUN. Sebenarnya, apa yang diperkatakan bukanlah satu rahsia. Menurut sumber dalaman PKR, Abdul Khalid sememangnya cukup berhati-hati dengan sebarang langkah politik yang dilakukan oleh Anwar. Bagaimana kalau selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang, Anwar menang tetapi menyerahkan kerusi Menteri Besar kepada Azmin sedangkan ketika itu Abdul Khalid sudah pun meletakkan jawatan? Inilah perkara yang merisaukan penyokong-penyokong Abdul Khalid sebab itulah mereka mahu Abdul Khalid bertegas dengan tidak sewenang-wenangnya menerima pelan damai oleh Anwar, kata sumber itu ketika dihubungi. Turut menjadi perkiraan Abdul Khalid kata sumber itu lagi adalah kemungkinan kalau pun Anwar menjadi Menteri Besar ia tidak lama. Anwar mungkin akan menyerahkan jawatan itu kepada Azmin dengan pelbagai alasan dan ketika itu Abdul Khalid sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Justeru adalah penting bagi Abdul Khalid memastikan Azmin tidak ada dalam barisan wakil rakyat Selangor sebelum beliau meletakkan jawatan, kata sumber itu. Sumber tersebut turut menegaskan, tidak mustahil juga untuk meredakan keadaan buat sementara waktu, Azmin dilantik menduduki Exco Kanan sebelum ditabalkan sebagai Menteri Besar. Semua perkara ini perlu ditimbangkan oleh Abdul Khalid sebab itulah beliau perlu tegas dalam memastikan Azmin tiada laluan untuk berada dalam kepimpinan negeri Selangor, kata sumber itu. Persoalannya, mampukah Abdul Khalid melawan kehendak politik Anwar, apatah lagi Menteri Besar Selangor itu sedang bertarung dengan orang kesayangan Anwar iaitu Azmin. Tambahan pula seperti mana dilaporkan oleh akhbar ini, semalam, Anwar secara terbuka di hadapan penyokong-penyokong PKR di Permatang Pauh seolah-olah memperkecilkan kewibawaan Abdul Khalid dalam menerajui Selangor. Anwar mengakui wujud pelbagai masalah besar di negeri itu yang gagal diselesaikan kerajaan negeri yang diterajui oleh Abdul Khalid. Kerajaan Selangor memang berdepan dengan masalah dalaman tetapi masih terkawal. Saya akui negeri Selangor ditadbir dengan baik dalam bidang ekonomi, tetapi masalah gereja merupakan masalah paling berat di Selangor dan menjadi isu nasional. Jadi, saya perlu tampil membantu untuk selesaikan masalah yang wujud ini. Itu kata Anwar. Tetapi apa yang menimbulkan persoalan, ketika Anwar dilihat meragui kemampuan Abdul Khalid, Ketua Pembangkang itu ketika mengadakan perjumpaan tertutup dengan kepimpinan PKR Kedah pada Ahad lalu menyatakan Abdul Khalid akan menjadi penasihat beliau dan pengarah PRK PKR di Kajang. Keadaan itu menimbulkan persoalan apakah permainan Anwar di sebalik keputusan PKR mengosongkan kerusi DUN Kajang. Atas sebab itulah sudah wujud andaian bahawa jika Abdul Khalid tidak berhati-hati, beliau akan menjadi ibarat bak kata pepatah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Ia memandangkan dalam keadaan apa pun Anwar dilihat tidak akan menyebelahi Menteri Besar Selangor itu, sebaliknya akan memihak kepada Azmin yang dianggap mempunyai pengaruh besar dalam PKR. Abdul Khalid pula dilihat tidak memiliki sokongan yang kuat biar pun Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini dikatakan berada di pihaknya. Namun begitu setakat ini, Wan Azizah hanya diam membisu, beliau seolah-olah menyerahkan segala-galanya kepada Anwar untuk membuat percaturan politik, biar pun orang tahu sejauh mana hubungan Wan Azizah dengan Azmin. Berikutan keadaan itu, ramai penyokong-penyokong PKR begitu yakin bahawa Abdul Khalid akan terkorban dalam permainan politik yang dicaturkan oleh Anwar kecuali beliau bertegas mahukan Azmin berundur. Tetapi persoalannya apakah Azmin akan tunduk kepada kehendak Abdul Khalid dan adakah Anwar akan menyebelahi Abdul Khalid dengan meminta Azmin berundur? Kalau itulah yang diharapkan oleh Abdul Khalid, beliau boleh dianggap bermimpi di siang hari. Ini kerana dalam apa situasi pun, Anwar sama sekali tidak akan mengorbankan Azmin dalam percaturan politiknya, sebaliknya beliau dikatakan bersedia bila-bila masa sahaja untuk memastikan Abdul Khalid berundur daripada jawatan Menteri Besar. Atas sebab itulah, pengundi-pengundi DUN Kajang tidak harus terperangkap dengan agenda politik PKR. Fahamilah pilihan raya kecil yang bakal diadakan bukan terpaksa tetapi sengaja dirancang hanya semata-mata untuk menamatkan konflik dalaman PKR. Selama ini, mereka sudah melihat bagaimana Abdul Khalid memerintah, malah Anwar sendiri mengakui dari segi ekonomi Menteri Besar Selangor itu berjaya, oleh itu kenapakah Abdul Khalid perlu dikorbankan semata-mata kerana bertelingkah dengan Azmin? Bukankah pembangkang juga memuji Abdul Khalid kerana mentadbir negeri itu dengan bersih tanpa ada sebarang unsur penyelewengan, amalan rasuah atau salah guna kuasa? Adakah kerana beliau berbalah dengan Azmin, maka jawatan Menteri Besar perlu dijadikan pertaruhan dan kerusi DUN menjadi perhitungan? Apakah jaminan bahawa apabila Anwar sudah menjadi Menteri Besar, perbalahan politik antara Abdul Khalid dan Azmin akan berakhir? Sampai bilakah rakyat harus dijadikan pertaruhan semata-mata kerana pertelingkahan dalaman PKR? Sememangnya kita bersimpati dengan Abdul Khalid kerana setelah bertungkus lumus menawan Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan kemudian mempertahankannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, kini beliau akan kehilangan kedudukan hanya semata-mata kerana perbalahan politik dengan Azmin. Mungkin kalau beliau bertelingkah dengan pemimpin PKR lain, Abdul Khalid tidak akan berada dalam situasi sekarang. Kini terserahlah kepada Menteri Besar Selangor itu bagaimana hendak memastikan lawan politiknya itu tidak mengaut keuntungan berikutan pengundurannya. Inilah dilema Abdul Khalid. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |