Berita Harian: Mutakhir
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Mutakhir |
100,000 unit rumah dirancang dibawah PPA1M - KSN Posted: 07 Jul 2013 02:04 AM PDT KUALA LUMPUR: Sebanyak 100,000 unit rumah dirancang dibina di bawah Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini. Beliau berkata kerajaan akan mengenal pasti kawasan-kawasan strategik termasuk di bandar-bandar dan ibu kota untuk memperluas program itu.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival PIBG, bangunan pentadbiran dan kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama di sini. Dr Ali berkata jumlah itu termasuk program PPA1M membabitkan pembinaan sebanyak 10,366 unit rumah di Putrajaya yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, April lepas. Harga seunit rumah yang ditawarkan di bawah skim PPA1M adalah antara RM150,000 hingga RM300,000 dan keluasannya pula adalah antara 1,000 hingga 1,500 kaki persegi. Beliau mengulas permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) agar kerajaan pusat serta kerajaan negeri menyegerakan pembinaan perumahan kos sederhana di bawah RM250,000 kepada golongan penjawat awam.
Program PPA1M membabitkan kerjasama antara kerajaan dan swasta iaitu pembeli yang ditawarkan PPA1M tidak perlu membayar rumah mereka mengikut kemajuan pembangunan tetapi selepas projek siap sepenuhnya. Pada majlis itu, Yayasan Usima menyumbangkan pembinaan bangunan pejabat pentadbiran dan kantin sekolah, Syarikat Rafulin Holdings Sdn Bhd yang melengkapkan bangunan kantin baru dengan kerusi dan meja makan manakala Cypark Resources Bhd menyumbangkan sebanyak 20 panel solar bagi projek solar sekolah. Turut hadir, isteri beliau, Puan Sri Rohani Abdullah; Yang Dipertua PIBG, Datuk Zainal Abidin Sakom; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Abd. Shukor Ibrahim; Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud; dan Pengetua SMK Damansara Utama Zulaika A. Rahman. - BERNAMA |
Daun ketum di bawah Akta Dadah Berbahaya jika ada unsur penagihan berulang - Zahid Posted: 07 Jul 2013 01:48 AM PDT PUTRAJAYA: Daun ketum atau yang sama jenis dengannya boleh diletakkan di bawah Akta Dadah Berbahaya jika terbukti mempunyai unsur dadah yang menyebabkan penagihan berulang, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata pihaknya sedang meneliti laporan daripada Kementerian Kesihatan dan berbincang mengenai perkara itu. "Jika akta yang ada sekarang ini mencukupi untuk meletakkan daun ketum sebagai satu unsur dadah berbahaya, tentu ia boleh dilakukan dari segi pentadbiran untuk menguatkuasakannya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari AntiDadah Antarabangsa di sini hari ini. Khamis lepas seorang Ahli Parlimen mengulangi gesaan agar undang-undang berkaitan penyalahgunaan daun ketum diletak di bawah Akta Dadah Berbahaya berbanding Akta Racun 1952. Datuk Mohd Johari Baharom (BN-Kubang Pasu) berkata gesaan itu berikutan masalah ketagihan daun ketum dalam kalangan anak muda di negara ini, terutama di kawasan utara, semakin serius sehingga melibatkan pelajar sekolah. Sementara itu, Zahid berkata sehingga tengah malam tadi skuad khas bagi membanteras dadah yang baru ditubuhkan kementerian menahan 200 pengedar dadah dengan kebanyakan tangkapan dibuat di Kuala Lumpur dan Selangor. "Tetapi kita bekerjasama dengan Interpol mengenai sindiket dadah. Skuad khas ini hanya untuk kegiatan dadah Malaysia. Jika ia melibatkan sindiket antarabangsa memang kita akan sentiasa bekerjasama dengan Interpol," katanya. Terdahulu dalam ucapannya Zahid berkata 67 peratus penagih dadah yang dikesan tahun lepas adalah remaja dan belia berusia antara 19 hingga 39 tahun. Dengan penubuhan Skuad 1Malaysia iaitu sukarelawan antidadah di kalangan remaja dan belia yang kini mencecah 255,256 orang, Zahid berharap ia akan membantu memberi kesedaran mengenai bahaya dadah. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |