Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Posted: 05 Jul 2013 05:57 AM PDT HAMPIR dua tahun menanti, filem drama aksi terhebat, KL Gangster 2 sudah siap sepenuhnya dan hanya menantikan tayangan umum sekitar Oktober ini. Perkara ini disahkan produser Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam, ketika ditemui di makmal Siam Film Development Co Ltd (SFD) di Bangplad, Bangkok, Thailand baru-baru ini. Yusof berkata, filem arahan anaknya, Syamsul Yusof itu baru selesai menjalani proses pos-produksi di makmal berkenaan dan pihaknya sangat berpuas hati melihat hasil arahan serta garapan terbaru Syamsul. "Alhamdulillah segala proses akhir ke atas KL Gangster 2 berjaya dilaksanakan oleh Syamsul dan dia kini sedang menyiapkan trailer untuk filem ini sepanjang dua minit.
"Walaupun belum lagi siap, pihak pawagam sudah bertanyakan mengenai filem ini dan kalau tiada aral melintang, ia akan ditayangkan di 100 pawagam seluruh Malaysia dan Singapura sekitar Oktober ini," kata Yusof. Apa yang membanggakan, Pengurus Pemasaran SFD, Pakin Maliwan atau Chartchai, berkata beliau sendiri cukup kagum melihat hasil arahan Syamsul dan menganggap KL Gangster 2 adalah filem aksi terbaik arahan pengarah itu dan lebih menggegarkan. "Ia setaraf filem aksi antarabangsa lain yang pernah saya tonton dan diproses di makmal kami. Saya kagum melihat mutu lakonan, penampilan babak aksi dan gaya suntingan Syamsul yang semakin mantap. Saya yakin sesiapa saja akan terhibur menonton filem ini, selain mudah difahami," kata Chartchai kepada RAP. Antara proses yang dilakukan ke atas filem ke-29 terbitan Skop Productions itu di SFD termasuklah kesan khas (special-effects), imej janaan berkomputer (CGI), kesan bunyi, gred warna, penataan bunyi Dolby Digital 5.1 serta adunan (mixing). Seperti KL Gangster yang pertama, prekuel kali ini masih ditunjangi ramai bintang hebat seperti Aaron Aziz, Adi Putra, Ridzuan Hashim, Zizan Razak, Sofi Jikan, Corrie Abdullah, Sheera Iskandar serta Syamsul sendiri. Buat pertama kalinya juga, bintang handalan Rosyam Nor muncul dengan watak gangster psiko dan ganas bernama Tailong. Daripada sedutan babak yang dipertontonkan kepada penulis di SFD, jelas kemunculan Rosyam begitu meninggalkan impak dan bakal menjadi bualan peminat kelak. Syamsul tabik Rosyam Bagi Syamsul sendiri, tugas yang sangat besar terpaut ke bahunya dalam menghasilkan filem yang kelapan itu kerana dia bukan saja berlakon watak penting, malah terus duduk di kerusi pengarah. "Saya tak nafikan, saya rasai tekanan tiga kali ganda apabila menghasilkan filem ini berbanding KL Gangster yang pertama dulu. Saya sedar saya mesti berikan yang lebih baik untuk kepuasan penonton dan sebab itulah saya mengambil masa yang lebih lama untuk menyiapkan KL Gangster 2. Memang kali ini semuanya lebih istimewa dari segi skrip, pelakon, lokasi dan juga suntingan. "Saya lega kerana semua pelakon memberikan komitmen yang terbaik dan cukup terharu apabila Abang Rosyam akhirnya dapat berlakon filem saya. Dia memang pelakon yang hebat, rajin banyak 'homework' dan tidak lokek memberikan idea kepada kami. "Saya sangat berpuas hati dengan lakonan Abang Rosyam malah dia membuat sendiri semua babak aksi dan 'stunts'. Memang dia pelakon contoh kepada mereka yang baru," kata Syamsul yang menghargai sepenuh kepercayaan yang diberikan ayahnya kepada filem itu. Beliau berkata, walaupun KL Gangster 2 filem aksi, dia tetap menitikberatkan elemen drama dan dramatik kerana menyedari semua filem antarabangsa juga mementingkan jalan cerita. "Berbanding KL Gangster pertama, kali ini saya tonjolkan lebih banyak drama. Ini bukan filem percintaan antara kekasih sebaliknya ikatan kasih sayang kekeluargaan. "Namun terus terang saya tak pernah anggap filem saya filem terbaik. Kalau filem saya disukai, saya anggap ia rezeki yang membakar semangat saya untuk terus mengarah lagi," kata Syamsul yang teringin menghasilkan filem aksi bercorak patriotisme pula selepas ini. Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05 |
Posted: 05 Jul 2013 05:50 AM PDT Debaran program pencarian selebriti terunggul Gadis M2 (GM2) sampai ke kemuncaknya dengan menyaksikan lima peserta akhir bersaing untuk memburu gelaran juara esok. Ia akan berlangsung di Pusat Konvensyen SP Setia, Shah Alam, jam 10 malam esok. Lima peserta Top 5 yang berjaya melangkah ke peringkat akhir Gadis M2 adalah Siti Nursyahirah Nabila (She), 23, Subang Jaya, Selangor; Alia Afiqah Abden (Lia) 21,Tawau, Sabah; Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf (Sarah) 22, Ampang, Selangor; Nur Afiqah Mohd Azmi (Fify), 22, Subang Jaya, Selangor dan Atira Remimurni Mohamed Ali (Tyra) 21, Setapak, Kuala Lumpur.
Berbanding minggu sebelumnya, persaingan minggu akhir Gadis M2 lebih sengit kerana peserta bakal berdepan dengan dua cabaran untuk menyerlahkan lagi kehebatan dan ketrampilan mereka sebelum layak dinobatkan sebagai juara. Kejutan minggu akhir bermula apabila peserta dikejutkan oleh 'Big Sister', Dynas Mokhtar seawal jam 2 pagi. Cabaran pertama peserta perlu menyiapkan tugasan bertemakan 'avant garde' dengan menggayakan rekaan dari pereka terkenal Faizal Hamid dan sentuhan dari Snips.
Selain menimba pengalaman berjalan di pentas 'catwalk' bersama barisan selebriti terkenal tanah air, mereka turut menjadi tumpuan lensa jurugambar media cetak dan elektronik yang membuat liputan majlis berkenaan. Terdahulu, barisan peserta Gadis M2 sudah pun melalui cabaran dari segi solekan, fesyen, peragaan, Cover Girl dan lakonan. Barisan juri yang mengadili minggu akhir Gadis M2, juri tetap Datin Sofia Jane, Zaihani dan juri jemputan Bill Bora. Rancangan yang dihoskan oleh Awal Ashaari selama sejam ini bakal menobatkan seorang selebriti terunggul yang akan membawa pulang kontrak artis lumayan bernilai RM100,000. Selain itu, pemenang juga bakal membawa pulang barangan Rafflesia bernilai RM30,000, dua tiket penerbangan pergi balik ke Paris tajaan AirFrance dan tajaan pembiayaan dari Snips of Creative Art sebanyak RM20,000. Tidak ketinggalan, juara Gadis M2 berpeluang menghiasi enam muka surat majalah In-Trend. Rancangan terbitan I Like Entertainment Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Sedania ini turut mendapat tajaan lokasi daripada Setia City Convention Centre dan Local Sim Kad. Siapakah dari lima finalis yang bakal dinobatkan sebagai juara Gadis M2? Semuanya akan terjawab pada episod terakhir Gadis M2 yang bersiaran di saluran Astro Ria 104, malam esok (Ahad) mulai 10 malam. Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |