Kosmo Online - Infiniti
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Infiniti |
Beli barangan dapur dalam talian Posted: Beli barangan dapur dalam talianoleh SUHANA VERU LAZIMNYA Fatihah Mohamed, 29, terpaksa bersesak-sesak baik di parkir atau ketika membeli-belah barangan keperluan rumah di pasar raya Tesco. Menurut anak jati Kuala Lumpur itu, kadangkala dia terpaksa menunggu lama apatah lagi sewaktu musim perayaan dan jualan murah. Mahu ataupun tidak, itulah situasi yang terpaksa ditempuh kerana dia lebih gemar membeli barangan keperluan dapur di Tesco memandangkan harganya yang berpatutan. Namun, baru-baru ini, dia berjinak-jinak menggunakan perkhidmatan pembelian barangan dapur secara dalam talian selepas melihat papan tanda di Tesco Extra Cheras yang tertera tulisan Too heavy? Shop online. We deliver (Terlalu berat? Beli secara online. Kami hantar). "Pada mulanya saya tidak menyedari perkhidmatan itu tetapi selepas melihat papan tanda tersebut, saya pulang ke rumah dan terus melayari laman web Tesco. "Saya terkejut kerana kesemua barangan yang saya beli selama ini ada ditawarkan melalui perkhidmatan itu. Ia bukan sahaja mudah, malah menjimatkan masa," katanya yang merupakan seorang peniaga makanan. Mengulas lanjut, bagaimanapun ibu kepada seorang cahaya mata itu mengakui, pada mulanya dia berasa ragu-ragu untuk membeli secara dalam talian kerana khuatir barangan yang dipilih itu tidak memuaskan hati. Namun, atas dasar ingin mencuba, beliau memberanikan diri dengan mendaftar masuk ke laman web eshop.tesco.com.my menggunakan komputer peribadi serta mengisi alamat e-mel dan kata laluan. Sebaik selesai mengisi kesemua butiran diri, dia membeli dua jenis sayur, cili, tomato, seekor ayam dan udang. "Langkah-langkah penempahan mudah digunakan kerana setiap kategori makanan telah diasingkan seperti makanan segar, minuman, barangan dapur, kesihatan, kecantikan dan barangan pejabat. "Malah terdapat gambar barangan, harga dan kuantiti yang diperlukan membuatkan saya lebih berani membuat pembelian," katanya. Menariknya, Fatihah memberitahu, tidak sampai dua jam kemudian barangan yang ditempah itu sampai di hadapan pintu rumahnya. Akui Fatihah lagi, kesemua barangan itu berada dalam keadaan baik termasuk sayur-sayuran. "Sebelum membuat pembayaran dengan kad kredit, saya meneliti kualiti barangan itu terlebih dahulu kerana takut rosak. Namun ia sememangnya memuaskan hati," tuturnya. PEKERJA Tesco hanya perlu mencari barangan yang ditempah pengguna dengan menggunakan alat pengimbas khas ini. Menurut laman web bisnes Market Watch, pembelian dalam talian barangan runcit tidaklah sepopular pakaian dan barangan elektronik. Namun, penyelidik pelaburan City di Amerika Syarikat (AS), Deborah Weinswig menyatakan, bidang itu masih baharu dan terdapat peningkatan pembelian dalam talian sejak beberapa tahun lalu. Dalam pada itu, berdasarkan satu kajian di AS, hampir 73 peratus pengguna berpuas hati membeli-belah di pasar raya. Pasar raya pertama Peningkatan kesedaran tersebut dibuktikan Tesco (Malaysia) Sdn. Bhd. (Tesco) yang merupakan pasar raya pertama di Malaysia menawarkan perkhidmatan membeli-belah barangan runcit dari rumah. Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Georg Fischer berkata, pada mulanya perkhidmatan itu ditawarkan di Tesco Extra Mutiara Damansara, Selangor pada bulan April lalu. Perkhidmatan tersebut ditawarkan kepada penduduk yang tinggal di kawasan sekitar 20 kilometer dari cawangan berkenaan. Namun, melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada pengguna, pihak Tesco kini menawarkan perkhidmatan yang sama di pasar raya besar Tesco Extra Cheras, Puchong dan Klang. Perkhidmatan baharu itu menawarkan kira-kira 15,000 jenis makanan segar dan beku, barangan runcit dan barangan bukan makanan seperti kesihatan, kecantikan, keperluan bayi dan barangan asas rumah. "Pembeli boleh menikmati kemudahan tersebut tanpa perlu datang ke Tesco, terutamanya bagi pelanggan yang sibuk dengan urusan seharian. "Menerusi perkhidmatan ini, pengguna boleh meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga memandangkan barangan yang dibeli akan dihantar terus ke kediaman mereka," katanya. Pekerja terlatih Sementara itu, Pengurus Beli-Belah Barangan Runcit Rumah, Tesco Extra Cheras, Hazizal Ab. Hamid berkata, pihaknya melatih pekerja-pekerja yang mengendalikan perkhidmatan itu seolah-olah mereka berada di tempat pengguna. "Pekerja yang dilatih akan memastikan barangan yang dipilih itu dalam keadaan baik. Misalnya, sayur dan barangan tin, pekerja akan melihat kesegaran sayur-sayuran dan tarikh luput produk dalam tin berkenaan. "Apa yang pasti, barangan yang ditempah pengguna dipilih dengan baik oleh pekerja kami bagi memastikan produk berkualiti sampai kepada mereka," jelasnya. Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau memberitahu, setakat ini di Tesco berkenaan terdapat lima orang pekerja yang menjalankan kerja-kerja pemilihan barangan. PENGGUNA hanya perlu mengisi keterangan mengenai barangan yang diperlukan menerusi laman web Tesco. Pada kebiasaannya, sebaik sahaja menerima tempahan, pekerja akan menerima kesemua butiran pengguna dan tempahan melalui alat pengimbas yang dikenali sebagai new packing device. Alat tersebut bukan sahaja memaparkan maklumat tempahan, malah turut menyediakan maklumat terperinci seperti lokasi rak barangan dan kuantiti yang dikehendaki pelanggan. "Kesemua butiran itu ada pada alat pengimbas ini. Jadi, pekerja berkenaan hanya perlu merujuk sistem itu untuk mencari lokasi barangan. "Ia mudah kerana pekerja tidak membuang masa memandangkan semua maklumat tertera dalam alat ini. "Malah, jika pekerja itu tersilap mengambil produk, alat itu akan mengeluarkan bunyi selain skrin alat tersebut bertukar menjadi merah dan tertera tulisan incorrect product scanned (Produk yang salah dikesan). Selain alat pengimbas itu, setiap pekerja akan membawa sebuah troli yang mengandungi enam buah bakul. Setiap bakul itu tertera kod pengguna yang berbeza. "Malah, jika barangan yang dikehendaki itu tiada di sini, kami akan menukarkan barangan yang sama cuma jenama yang berlainan dan ia dimasukkan ke dalam plastik biru. "Kemudian, pemandu akan memaklumkan kepada pelanggan dan mengesyorkan barangan jenama lain. Jadi, pembeli boleh membuat pilihan sama ada mahu membeli atau sebaliknya," katanya lagi. Sementara itu, pengguna juga berhak memulangkan produk yang dibeli itu jika tidak berpuas hati. "Kami akan menolak barangan itu daripada senarai dan pembeli hanya perlu membayar barangan yang dibeli," katanya sambil memberitahu, sebarang penukaran barangan boleh dilakukan dalam tempoh 24 jam. Di samping itu, tiada pembelian minimum dan maksimum yang ditetapkan selain harga barangan yang ditawarkan sama seperti di pasar raya. | |
Posted: Q5 harapan baharu BlackBerry
PENGELUAR telefon pintar, BlackBerry memperkenalkan BlackBerry Q5 yang memberikan pengalaman perkomputeran mobil lebih unggul. Papan kekunci QWERTY yang direka semula berlandaskan hukum kejuruteraan tetapi masih lagi klasik dan disertakan skrin sesentuh bersaiz 3.1 inci mengoptimum sistem komunikasi. Teknologi yang terdapat dalam BlackBerry Q5 menjanjikan keseronokan contohnya aplikasi BlackBerry Time Shift membuatkan setiap rakaman foto begitu sempurna. Kemudian, gunakan aplikasi BlackBerry Story Maker bagi berkongsi foto dan cerita melalui rakan di Facebook. Tambah menarik BlackBerry Q5 juga menawarkan BBM video dan Screen Share yang pasti menghangatkan lagi komunikasi anda bersama teman. Selain itu, lebih 120,000 aplikasi lain terdapat dalam storan BlackBerry World yang boleh dipilih pengguna. | |
Posted: Permainan ringkas DeadpoolOleh MOHAMMAD RADZI ZOHRI WATAK Deadpool kini dijadikan salah satu permainan video. DEADPOOL merupakan salah satu watak yang diciptakan oleh penerbit komik, Marvel. Untuk permainan video, Deadpool boleh dimainkan pada platform komputer peribadi (PC), Play Station 3 dan Xbox 360. Ia telah berada di pasaran sejak Jun lalu. Deadpool sememangnya permainan yang menarik bagi mereka yang mencari keseronokan segera kerana ia tidak memerlukan komitmen masa yang serius. Kualiti grafik juga memuaskan manakala kehadiran watak-watak Marvel yang lain turut menjadi daya penarik untuk bermain permainan itu. Kesemua itu pula dipadankan dengan watak humor Deadpool yang kadangkala berjenaka kotor menjadikan permainan itu tidak membosankan. Namun, satu kekurangan yang sangat jelas adalah pada kandungan permainan, mod kempennya sangat pendek dan tidak banyak usaha yang dilakukan untuk mengisi tahap-tahap permainan. Ringkas memang bagus, tetapi jika terlalu ringkas bukan resipi yang selalunya menjadi. Cerita PENGGEMAR komik ataupun peminat Deadpool sudah pasti mengenali kerenah dalam permainan ini sehingga meminta penerbit daripada High Moon Studios untuk mencipta sebuah permainan video yang paling hebat. Pada mulanya Deadpool menerima misi membunuh seorang jutawan media yang korup. Selepas itu pemain akan dibawa bersama jalan ceritanya yang menyaksikan anda menemui watak Marvel lain seperti Wolverine, Rogue, Psylocke, Mr. Sinister dan Cable. Malangnya, pemain hanya boleh mengawal Deadpool. Senjata DEADPOOL menggunakan kedua-dua jenis senjata jarak jauh dan dekat bagi serangan jarak dekat seperti Blades, Sais dan Hammer, manakala jarak jauh pula seperti pistol, senapang patah dan raifal tenaga. Setiap senjata itu boleh dinaik taraf untuk meningkatkan daya pemusnah masing-masing. WATAK Marvel lain seperti Wolverine dan Cable juga akan muncul dalam permainan ini. Ekstra SETIAP kali pemain berjumpa dengan watak Marvel, maklumat mereka akan terpapar dalam ciri Ekstra permainan. Itu boleh dianggap unik walaupun ia hanya biografi seorang watak Marvel. Ia diceritakan secara eksklusif oleh Deadpool menjadikannya lebih menarik dan kelakar kerana perwatakannya. Pembangunan watak dan momentum PEMBANGUNAN watak Deadpool sangat mudah, dengan hanya perlu mengumpulkan Deadpool Points (DP). Pemain juga boleh membeli naik taraf kemampuan Deadpool yang disediakan dalam menu permainan. Antara naik taraf yang boleh dibeli termasuklah Healing, Damage dan Momentum. Deadpool juga memiliki serangan unik iaitu Momentum, sama seperti Limit Break dalam siri Final Fantasy. Momentum dikumpulkan oleh pemain setiap kali diserang musuh dan apabila meter momentum penuh, pemain boleh melakukan serangan momentum balik. Mekanisme KEPADA pemain video tegar, permainan Deadpool akan dirasakan agak mudah kerana ia menggunakan Unreal Engine 3. Secara asasnya, pemain perlu bertempur dengan penjahat sepanjang perjalanan untuk mencapai sesuatu objektif yang telah ditentukan. Dengan paparan Heads Up Display (HUD) yang ringkas tetapi kemas, segala maklumat tentang Deadpool dapat dilihat di skrin utama seperti nyawa dan juga status kuasa Momentum Deadpool. Mod permainan yang ditawarkan adalah Campaign dan Challenges. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Infiniti To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |