{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Arca pasir semakin diminati di Malaysia

Posted:

Arca pasir semakin diminati di Malaysia

Arca pasir semakin diminati di Malaysia

MEMBUAT istana pasir pastinya menjadi aktiviti yang amat dinanti-nanti oleh kanak-kanak apabila mereka bermain di pantai.

Istana itu dibina dengan menggunakan peralatan seperti pisau, perata tanah, pen, berus dan straw minuman.

Sekali pandang, aktiviti itu sangat senang untuk dilakukan. Namun, membina sebuah istana pasir tidaklah semudah yang disangkakan kebanyakan orang.

Kuantiti air dan pasir merupakan faktor utama dalam pembinaan istana pasir. Jika tersilap percaturan, ia pasti tidak menjadi.

Hobi membina istana pasir hakikatnya mempunyai pengikut yang ramai di seluruh dunia. Berbagai-bagai pertandingan membina arca pasir diadakan.

Tahun lalu, Kejohanan Arca Pasir Nasional 2012 yang diadakan di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan mendapat sambutan menggalakkan.

September ini, syarikat Xtreme Out Bound (XOB) sekali lagi akan menganjurkan sukan yang jarang dilihat oleh orang ramai di negara ini itu, kata pemilik XOB, Zuraidah Md. Hashim.

"Idea untuk mengetengahkan pertandingan membuat arca pasir ini tercetus ketika melihat seorang rakan menyenaraikan maklumat jenis sukan yang sudah terkenal di negara seperti India, Amerika Syarikat (AS), Singapura, Australia dan United Kingdom.

"Saya juga pernah mempelajari mata pelajaran lukisan kejuruteraan untuk menjadi arkitek di Sekolah Menengah Teknik Tunku Jaafar, Seremban pada tahun 1992 tetapi, apabila diminta membuat (mereka bentuk) bangunan, saya takut walaupun saya sememangnya amat meminati bidang seni bina.

"Apabila ada rakan yang memberi maklumat mengenai aktiviti ini, saya mula membuat sedikit kajian mengenainya dan mendapati sukan ini sebenarnya amat menyeronokkan tetapi tidak pernah dianjurkan di Malaysia.

"Malaysia mempunyai pantai yang cantik, sayangnya tiada aktiviti dilakukan bagi menarik orang ramai berkunjung ke pantai pada hari-hari biasa melainkan pada hujung minggu dan cuti umum.


SEBUAH arca pasir yang cantik memerlukan gabungan kuantiti pasir dan air supaya binaan yang dihasilkan itu dapat bertahan lama.


"Di AS, sukan itu akan berlangsung selama dua atau tiga hari di kawasan pantai dan para peserta akan meninggalkan hasil rekaan mereka untuk tontonan umum.

"Ada juga yang sanggup membeli sebidang tanah di pantai yang dikhaskan bagi membina arca pasir untuk tatapan khalayak," kata Zuraidah.

Pasir sungai

Wanita itu berkata, kepuasan yang tidak terhingga akan diperoleh apabila seseorang itu dapat menyiapkan sesebuah arca pasir.

"Apabila berbicara mengenai seni arca pasir, ramai yang tidak dapat membayangkan bagaimana aktiviti ini dilakukan tetapi apabila diberitahu ia seperti membina istana pasir, ramai pula yang mengetahuinya.

"Sebenarnya mereka tidak didedahkan dengan seni arca pasir yang sebenar. Ada pula yang tidak menyangka ia boleh dijadikan sebagai kerjaya," jelasnya.

Zuraidah memberitahu, sebanyak 12 tan pasir diperlukan bagi membentuk sebuah arca setinggi tiga meter.

Ujarnya, air laut kurang sesuai untuk dicampurkan dengan pasir bagi menghasilkan arca tetapi disebabkan kekangan dan mahu mengekalkan penggunaan bahan semula jadi sedia ada, ia terpaksa digunakan.

"Sebanyak 568 liter air diperlukan untuk menghasilkan sebuah arca pasir. Pemilihan lokasi di Pantai Saujana, Port Dickson dibuat atas faktor pasir pantainya sudah matang dan tidak terlalu halus atau kasar.

"Kami dapati pasir pantai di kawasan lain terlalu lembut dan menyukarkan peserta untuk membina arca pasir masing-masing.

"Peserta perlu membuat arca pasir dengan ketinggian minimum tiga meter. Sebenarnya, pasir sungai lebih tahan lama," tambahnya.

Zuraidah memberitahu, apa yang menarik mengenai aktiviti itu ialah ia dapat memberi motivasi kepada seseorang.

"Bukan semua orang boleh bina istana pasir. Jadi apabila peserta berjaya melakukannya, ia sekali gus menyuntik keyakinan dalam diri mereka.

"Sukan ini juga amat mencabar dan memerlukan ketekunan untuk menyiapkan rekaan yang dirancang.

"Ada juga peserta yang sudah berputus asa walaupun baru pertama kali mencuba khususnya apabila arca yang dibina tiba-tiba runtuh disebabkan kesilapan mengadun kuantiti pasir dan air," katanya.


MEMBINA arca pasir tidak semudah seperti yang disangka kebanyakan orang.


Kuantiti air

Mengulas lanjut, Zuraidah menjelaskan, peserta akan diberi latihan teori dan praktikal sebelum mereka menghasilkan arca pasir.

"Kami akan mengadakan bengkel untuk mengajar peserta cara membuat arca pasir menggunakan teknik yang betul.

"Mereka akan diajar mengenai teori, rekaan, teknik acuan dan latihan praktikal (rekaan tiga dimensi) sebelum mereka pergi ke pantai untuk menghasilkan arca tersebut," tambahnya.

Zuraidah memberitahu, acuan untuk arca yang bakal dibina itu perlu dilakukan terlebih dahulu. Selepas itu, pasir dimampatkan ke dalam acuan tersebut.

"Pada peringkat itu, kami sudah boleh menentukan berapa banyak air yang akan digunakan. Para peserta pula perlu bijak menggabungkan air dengan kuantiti pasir supaya binaan itu tidak runtuh.

"Kekurangan air menyebabkan risiko untuk binaan pasir itu runtuh amat tinggi berbanding jika air digunakan dalam kuantiti yang banyak," beritahunya yang mempelajari seni arca pasir menerusi internet daripada pakar-pakar bidang tersebut di AS.

Zuraidah menjelaskan bahawa kuantiti air yang banyak dapat mengukuhkan binaan walaupun kerja melorek mengikut rekaan yang diinginkan agak sukar dilakukan.

"Peserta turut diajar cara untuk membuat lorekan pada pasir dan mereka disarankan menghasilkan arca yang mempunyai maksud tersirat.

"Masa minimum yang diperuntukkan ialah selama empat jam," katanya yang menjadikan artis seni arca pasir dari Singapura yang juga jurulatih XOB, Jooheng Tan sebagai idolanya.

Semakin lama masa yang diambil, ukiran pasir itu akan menjadi lebih cantik, jelasnya.

"Daya kreativiti peserta dapat dilihat menerusi binaan arca yang tidak roboh dan tahan lama," tambah Zuraidah.

Menurutnya, ketika menghasilkan arca pasir, pengarca tidak boleh berada dalam keadaan tertekan.

Sebaliknya, kata Zuraidah, mereka harus bertenang dan sentiasa memastikan arca berada dalam keadaan baik serta berkualiti.

"Kualiti yang ditonjolkan dalam binaan arca pasir ini dapat dilihat menerusi tema yang ditetapkan misalnya watak kartun, anggota badan manusia dan logo," ceritanya.


ZURAIDAH mendapat nasihat dan tunjuk ajar daripada pakar pembuat arca pasir di luar negara menerusi internet.


Asah minda

Sementara itu, pelajar jurusan seni bina di Politeknik Port Dickson, Mohamad Azam Mohamad Subri, 22, memberitahu, dia berjinak-jinak dalam seni arca pasir bagi mengisi masa lapang.

"Saya mula didedahkan kepada aktiviti ini tahun lalu. Membina arca menjadi mudah sekiranya kita mengikut teknik yang betul.

"Rekaan yang dihasilkan juga perlulah mencerminkan idea sendiri bagi menjamin ketulenan rekaan itu.

"Pada kebiasaannya, saya akan menggambarkan rekaan yang ingin dibuat terlebih dahulu sebelum melakarkannya di atas kertas mengikut tema yang dikehendaki," ujarnya yang menghasilkan rekaan berbentuk ketam dalam kejohanan arca pasir tahun lalu.

Seorang lagi pemuda yang meminati bidang itu, Muhammad Yahaya, 21, berkata, penglibatannya dalam aktiviti arca pasir bermula secara tidak sengaja.

"Pada mulanya saya hanya mahu membantu seorang rakan yang menyertai kejohanan arca pasir itu. Bermula dari situ, saya meminatinya kerana ia merupakan aktiviti baharu yang tidak ramai orang melakukannya.

"Saya seronok untuk mendalaminya dengan lebih jauh lagi," tambahnya.

Muhamad Dinie Azri Nor Azman, 21, pula berpendapat penganjuran kejohanan berkaitan seni arca pasir memberi peluang kepadanya untuk meneroka salah satu daripada cabang seni bina yang dipelajarinya.

"Selain dapat mengasah minda peserta untuk membuat rekaan, ia juga secara tidak langsung mengeratkan silaturahim sesama mereka.

"Kita dapat melihat karakter para peserta semasa menghasilkan ukiran pasir. Ada yang tertekan, marah dan kecewa apabila melihat rekaan yang dibina runtuh disebabkan kesilapan teknik yang digunakan," jelasnya.

Rawatan pelik spa

Posted:

Rawatan pelik spa

Rawatan pelik spa


URUTAN ular yang ditawarkan di sebuah spa di Israel dapat melegakan tekanan.


SIPUT telah lama dikenali sebagai haiwan perosak yang boleh menjejaskan hasil tanaman. Namun, di sebalik reputasi haiwan itu, siput sebenarnya boleh menjadi rakan baik apabila bercakap mengenai antipenuaan.

Di Jepun, satu penemuan baharu yang melibatkan beberapa ekor siput hidup diletakkan di muka telah menjadi kaedah untuk rawatan kecantikan.

Lendir siput itu dikatakan membantu menaikkan seri wajah.

Ia membantu kulit mengekalkan kelembapan, melegakan keradangan dan menyingkirkan sel kulit mati.

Ketika menjalani rawatan selama 60 minit yang ditawarkan di sebuah salun di Tokyo, muka para pelanggan wanita dibersihkan terlebih dahulu sebelum beberapa ekor siput diletakkan di pipi serta dahi mereka.

Haiwan-haiwan itu kemudian bergerak ke bahagian lain muka pelanggan.

Rawatan itu ditawarkan pada harga AS$110 (RM351.28) menerusi pakej rawatan kecantikan.

Sesi menggunakan siput itu melibatkan tempoh sehingga lima minit.

"Lendir siput boleh membantu sel-sel kulit menjalani pemulihan di muka.

"Justeru, kita mengharapkan siput ini dapat membantu menyembuhkan kulit yang rosak.

"Kami juga berminat dengan fakta bahawa siput mempunyai fungsi yang boleh membantu menyembuhkan kulit yang rosak disebabkan oleh sinaran ultraungu," kata pengurus jualan di salun tersebut, Yoko Miniami.

Bekalan siput-siput tersebut diperoleh daripada penternak haiwan tersebut di Jepun.

Pihak salun itu membeli haiwan tersebut daripada penternak siput organik.

Para kakitangan salun itu juga memastikan siput tersebut dibersihkan terlebih dahulu dan berada dalam keadaan sihat sebelum diletakkan di atas muka pelanggan.

Seorang pelanggan yang hanya dikenali sebagai Sayaka Ito berkata, dia berasa seperti bersantai semasa menjalani rawatan kecantikan itu.

"Anda boleh berasa siput-siput itu bergerak di muka.

"Muka saya kemudian terasa lembap," katanya yang juga menyatakan dia hampir tertidur semasa menjalani rawatan tersebut.


RAWATAN muka menggunakan telur ikan dianggap dapat mencerahkan kulit.


Rawatan telur ikan

Rawatan muka menggunakan telur ikan pula merupakan salah satu rawatan kulit yang popular sekali gus dapat memudakan dan memberikan nutrisi kepada kulit.

Rawatan tersebut dapat menyerap sehingga ke bahagian dalam kulit.

Mineral yang terkandung di dalam telur ikan itu dapat menembusi kulit dan hasilnya tidak hanya membuat kulit menjadi lebih mulus, ia juga dapat menghaluskan, meremajakan, melembapkan serta mencerahkan kulit.

Muka pelanggan akan dibersihkan dengan pembersih susu dan sabun sebelum telur ikan itu diletakkan.

Rawatan itu melibatkan masa selama satu jam.

Di Israel pula, ular-ular di sebuah spa di Talmei Elazar mempunyai fungsi lain iaitu mengurut manusia.

Ular-ular yang tidak berbisa akan bergerak-gerak di seluruh tubuh dan muka pelanggan.

Reptilia itu sangat bagus untuk meredakan sakit kepala.

Bayaran untuk rawatan itu ialah AS$250 (RM798.37).

Pelanggan boleh melalui pengalaman bersentuhan fizikal dengan ular kerana ia boleh melegakan tekanan.

Saiz ular bergantung kepada jenis urutan kerana ia memainkan fungsi tersendiri untuk mengurangkan ketegangan otot.

Terdapat enam ekor ular yang tidak berbisa digunakan untuk mengurut badan manusia.

Dalam pada itu, di Itali, kaedah terapi spa yang menggunakan jerami untuk 'membungkus' badan telah wujud sejak tahun 1903.

Jerami itu dipercayai boleh menarik keluar racun, merangsang metabolisme dan menguatkan sistem kekebalan tubuh.

Jerami itu dituai dari padang rumput Alpe di Siusi, Itali pada waktu pagi.

Bayaran yang dikenakan untuk rawatan itu ialah AS$42 (RM134.12).

Kubur puntianak ditemui di Poland

Posted:

Kubur puntianak ditemui di Poland

Kubur puntianak ditemui di Poland

Oleh SYALMIZI HAMID


GAMBAR dari YouTube menunjukkan rangka yang dipercayai puntianak di Gliwice, Poland baru-baru ini.


DI sekitar Nusantara, hantu wanita berambut panjang mengurai sambil berpakaian serba putih dikenali sebagai puntianak. Cerita yang berlegar-legar di Malaysia dan Indonesia itu mendakwa puntianak sebagai jelmaan hantu wanita yang mati ketika hamil.

Puntianak yang berkuku panjang itu dikatakan muncul pada waktu malam. Terdapat kisah yang mendakwa hantu yang gemar menghisap darah manusia itu akan berada di celah-celah pokok pisang pada waktu siang sebagai tempat tinggalnya.

Namun, bagi masyarakat Barat, puntianak atau dikenali sebagai vampire dikatakan jelmaan seorang lelaki atau wanita. Ia turut menghisap darah sebagai makanan.

Kisah puntianak turut difilemkan di Amerika Syarikat menerusi empat siri filem Twilight yang mendapat sambutan hangat di seluruh dunia. Kali terakhir filem itu disiarkan adalah pada tahun lalu. Kisah fantasi percintaan puntianak itu diadaptasi daripada novel karya Stephenie Meyer.

Pada minggu lalu pula, media Barat melaporkan sekumpulan ahli arkeologi mendakwa mereka menemui sebuah kubur di tepi jalan raya di tapak pembinaan di Gliwice, Poland.

Sebanyak empat rangka manusia ditemui dalam kubur itu.

Anehnya semua empat tengkorak ditemui berada di celah tulang kaki.

Spekulasi kemudian tersebar luas bahawa rangka yang ditemui itu ialah puntianak kerana tengkorak tersebut diletakkan di celah kaki.

"Amat sukar untuk menyatakan bila pengebumian itu dilakukan," kata seorang ahli arkeologi, Dr. Jacek Pierzak kepada akhbar Dziennik Zachodni baru-baru ini.

Masyarakat Barat pada zaman pertengahan percaya dengan amalan memancung kepala si mangsa yang dipercayai puntianak dan meletakkannya di celah kaki sebelum dikebumikan.

Tujuan cara pengebumian itu dilakukan adalah untuk mengelakkan si mati hidup kembali.

Para pengkaji sejarah menganggarkan bahawa pemilik tulang tersebut mati pada sekitar abad ke-16.

Kisah itu merancakkan lagi kajian tentang kepercayaan mengenai kewujudan puntianak di Barat.

Sebelum ini, ahli-ahli arkeologi di Bulgaria juga menemui dua rangka manusia di sebuah lubang dekat sebuah biara di bandar Sozopol pada tahun lalu.

Batang besi ditemui pada tulang dada rangka tersebut, sekali gus menunjukkan ia mungkin mayat puntianak.

Masyarakat pada zaman pertengahan Eropah percaya, jika batang besi ditusuk di dada, mayat si mangsa tidak akan bangkit semula untuk menjadi puntianak.

Kedua-dua rangka manusia itu dianggarkan berusia 800 tahun.

Menurut Ketua Muzium Bulgaria, Bozidhar Dimitroz, kira-kira 100 mayat 'puntianak' telah ditemui di sekitar negara itu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Mulut tengkorak wanita disumbat dengan batu di PulauLazzaretto Nuovo, Ital pada tahun 2006.


Ramai penduduk kampung di beberapa kawasan pedalaman Eropah Timur masih percaya dengan cerita puntianak. Mereka akan membawa bawang putih bersama lambang salib bagi mengelakkan diserang hantu jahat tersebut.

Pakar-pakar arkeologi turut menemui kira-kira 3,000 kubur misteri di Republik Czech apabila setiap mayat ditindih dengan batu.

Para pengkaji percaya bahawa masyarakat dahulu amat bimbang jika mayat akan bangkit dari kubur dan menyerang mereka.

Puntianak dikatakan akan menunggu di jalan-jalan bagi menghisap darah manusia dan haiwan untuk terus hidup.

Pada tahun 2006, satu rangka wanita pada abad ke-16 ditemui di Pulau Lazzaretto Nuovo, Itali.

Terdapat seketul batu diletakkan di dalam mulut si mangsa yang merupakan kepercayaan masyarakat pertengahan Eropah bagi mengelakkannya bangkit menjadi puntianak.

Pada tahun lalu, sebahagian penduduk di kampung Zarozje, Serbia membawa bawang putih bagi mengelak mereka diserang puntianak.

Terdapat juga cerita popular di Scotland yang berlaku pada abad ke-12 mengenai seorang paderi yang telah mati tetapi bangkit dari kubur untuk menghisap darah.

Paderi di Melrose itu bangkit menjadi puntianak kerana semasa hidupnya, dia terlibat dengan perbuatan maksiat.

Beberapa penduduk tempatan ketika itu mendakwa menemui kelibat paderi tersebut di sekitar sebuah biara beberapa hari selepas dia dikebumikan.

Dalam pada itu, seorang pengamal perubatan Islam dan pendakwah bebas, Datuk Shamsuri Shafei menjelaskan bahawa penemuan-penemuan di Barat itu tidak boleh menjadi bukti tentang kewujudan puntianak.

"Tidak boleh sewenang-wenangnya menyatakan bahawa rangka-rangka mayat itu merupakan puntianak.

"Penduduk zaman dahulu membuat andaian tentang puntianak kerana ketakutan mereka dengan cerita-cerita (hantu) yang berlegar ketika itu.

"Namun, kita juga tidak boleh menolak tentang upacara-upacara pemujaan yang dibuat masyarakat Barat kerana dipercayai bahawa amalan perbomohan dalam kalangan masyarakat Nusantara turut dipengaruhi budaya Barat sejak zaman lampau," katanya.

Shamsuri memberitahu, kisah gangguan puntianak masih lagi ditakuti penduduk di sebahagian kawasan di Indonesia sehingga mereka berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengelak diserang hantu itu.

"Cerita-cerita mengenai puntianak yang merupakan jelmaan daripada amalan pemujaan terhadap mayat wanita hamil tujuh hingga lapan bulan yang mati dibunuh pada suatu ketika dahulu telah menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat (di Indonesia).

"Ada juga dalam kalangan masyarakat di pedalaman Pulau Jawa yang akan mengunci pintu pada waktu malam kerana khuatir diganggu puntianak," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat