Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Posted: Brazil enggan mendabik dada
RIO DE JANEIRO - Luiz Felipe Scolari menegaskan masih banyak yang perlu diperbaiki Brazil biarpun berjaya mendakap trofi Piala Konfederasi buat kali ketiga berturut-turut dengan menewaskan Sepanyol 3-0, semalam. Dalam aksi di Stadium Maracana itu, gol-gol kemenangan skuad samba dicetak oleh Fred (dua gol) dan juga Neymar. Ketika aksi Piala Dunia hanya tinggal 12 bulan sahaja lagi, Scolari yang memainkan watak penting ketika Brazil kali terakhir mendakap trofi Piala Dunia pada 2002 tidak mahu skuad kendaliannya berasa selesa dengan prestasi semasa mereka ketika ini. "Pasukan kami masih belum lengkap sepenuhnya. "Biarpun memiliki pemain yang hebat di segenap posisi, kami masih perlu meningkatkan keupayaan kami. "Bagi saya, kami berada pada landasan yang betul untuk memberikan cabaran pada Piala Dunia 2014 nanti," kata Scolari. Pada masa sama, Scolari pantas menghadiahkan kemenangan itu kepada penyokong fanatik Brazil. "Sudah tentu ia sesuatu yang mengujakan apabila mendengar jeritan penyokong 'pasukan juara sudah kembali'. "Saya percaya kami lebih dihormati mana-mana pasukan sekarang. "Namun, kami tidak harus berasa selesa, sebaliknya meningkatkan keupayaan kami supaya menjadi satu pasukan yang lebih baik berbanding sekarang. "Yang paling penting, setiap pemain bersatu sebagai satu pasukan dan semangat itu wajar dikekalkan sehingga sepak mula Piala Dunia," kata Scolari. - AFP | |
Posted: Piya pemain serba bolehOleh KHAIRI MOHAMAD JENERAL padang Kelantan, Mohd. Badhri Radzi sepatutnya menyertai skuad kebangsaan sejak lima tahun lalu dan beliau perlu diberi tugas mengemudi jentera tengah Harimau Malaya. Demikian luah legenda bola sepak Kelantan, Dali Omar yang bersetuju dengan pandangan bekas jurulatih The Red Warriors (TRW), Datuk M. Karathu seperti yang dilaporkan Kosmo! semalam yang mahu pemain berusia 31 tahun itu diberi peluang untuk membuktikan kehebatan di pentas antarabangsa. Menurutnya, Mohd. Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya, berjaya meletakkan dirinya dalam kelas yang tersendiri apabila memiliki segala kelebihan yang diperlukan sebagai seorang pemain tengah dalam sesebuah pasukan. "Pemain tengah ini ada pelbagai kategori, ada yang beraksi sebagai pemain tengah hanya untuk melengkapkan kesebelasan utama, ada juga pemain tengah yang disenaraikan dalam pasukan kerana mempunyai kelebihan lain seperti sepakan percuma tetapi tidak mampu untuk memberi impak. "Tetapi, Piya melengkapkan kesemua kriteria yang perlu ada untuk menjadi seorang pemain tengah yang baik. Kawalan bola, hantaran, sepakan percuma, membaca pergerakan rakan sepasukan dan menjaringkan gol adalah aset yang cukup bernilai untuk seorang yang bernama Piya ini," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam. Tambahnya, enam musim beraksi pada perlawanan akhir termasuk membantu Kelantan menjulang kejuaraan trebel musim lalu, serta mempertahan kejuaraan Piala FA untuk musim kedua berturut-turut selain dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir, sudah cukup buat Piya melengkapkan resume untuk dipilih menyertai skuad kebangsaan. Katanya, dalam sesebuah pasukan bola sepak, mencari dan menghasilkan seorang pemain tengah yang baik adalah cukup sukar berbanding pemain di posisi lain kerana posisi tersebut memerlukan pemain berkenaan untuk mengawal keseluruhan pasukan. "Pemain tengah harus mempunyai kemampuan memegang bola, berani membawa masuk bola ke kawasan lawan kerana dalam bola sepak, jika anda mampu untuk memegang bola dan membawa masuk ke kawasan lawan sejauh 20 meter itu adalah sudah cukup baik. "Lihat apa yang dilakukan Piya, dia mampu menggelecek pemain lawan, membawa masuk bola, mampu melakukan hantaran dan membuka gerakan. Apa lagi yang diperlukan oleh seorang jurulatih jika bukan pemain tengah sepertinya. "Perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu menyaksikan Piya menjadi arkitek untuk ketiga-tiga gol yang dihasilkan Kelantan dan malam Sabtu lalu, dia sekali lagi membuktikan betapa Kelantan antara pasukan yang bertuah kerana memiliki pemain sepertinya apabila bola hantarannya disudahkan dengan baik oleh Mohd. Norfarhan Muhammad," ujarnya. Mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa Piya hanyalah seorang 'jaguh kampung' kerana berjaya membuktikan kehebatannya ketika beraksi bersama Kelantan sahaja dan gagal memberikan aksi terbaik di peringkat yang lebih tinggi, Dali menjawab: "Piya 'wajib' diberikan peluang untuk berada dalam pasukan seperti mana pemain regular lain dalam skuad kebangsaan. Jika dia hanya diberi peluang untuk beraksi untuk tempoh 45 minit atau kurang, kemudian anda cuba untuk kritik corak permainannya, itu adalah tidak adil. "Jika dia (Piya) mahu dibandingkan dengan Safiq (Rahim), dia perlu diberi ruang seperti mana yang diperoleh Safiq dan kemudian barulah anda boleh komen atau kritik aksinya. "Harimau Malaya perlu mengekalkan Shakir Shaari dan membawa masuk Piya untuk melihat perubahan dan saya yakin impaknya nanti pasti akan positif. "Soal menang atau kalah adalah perkara yang berbeza tetapi, untuk kita melihat perubahan dalam permainan skuad kebangsaan, senaraikan Piya dalam kesebelasan utama kerana saya fikir dia sudah bersedia untuk menggalas tugas baharu itu," jelasnya. | |
Posted: Pasukan mana bakal juara?Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE LIONS XII kini mendahului carta Liga Super dengan mengutip 40 mata selepas mengharungi 20 perlawanan musim ini. DEBARAN final Piala FA sudah pun berakhir dengan Kelantan berjaya mempertahankan gelaran selepas menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lalu. Kini, perhatian peminat bola sepak tempatan kembali terarah kepada saingan Liga Super yang hanya berbaki dua perlawanan lagi untuk diharungi musim ini. Atas kertas, Lions XII dilihat hanya menunggu masa dinobatkan sebagai juara apabila menerajui liga dengan 40 mata dan dijangka tidak berdepan masalah membenam cabaran Felda United di laman sendiri malam ini. Pada masa sama, dua pencabar terdekat, Johor DT dan Selangor, kedua-duanya kini mengutip 36 mata juga pastinya enggan 'mengibarkan bendera putih' terlalu awal. Skuad Harimau Selatan di bawah kendalian Fandi Ahmad pastinya mahu mengutip tiga mata berharga ketika berdepan pasukan tercorot, Negeri Sembilan di tempat lawan, malam ini sebagai pengubat kekecewaan pada final Piala FA, selain turut memburu kemenangan ketika melayan kunjungan Selangor Sabtu ini jika berhasrat mahu memintas kedudukan Lions XII. Pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim pula lebih bersikap realistik dan menjadikan slot Piala AFC musim depan sebagai keutamaan selepas terkandas di pusingan kedua apabila dikecewakan kelab Maldives, New Radiant FC musim ini. "Berada di tangga kedua Liga Super sudah cukup bagus untuk Selangor dan fokus kami adalah untuk terus memburu slot Piala AFC tahun depan. "Saya tidak tahu sama ada Felda United mampu mengejutkan Lions XII di gelanggang lawan (malam ini) tetapi segala-galanya bakal terjawab pada aksi terakhir Liga Super Sabtu ini," kata Irfan baru-baru ini. Malam ini, skuad Gergasi Merah bakal melayan kunjungan T-Team di Stadium Shah Alam dan tiga mata penting menjadi buruan anak-anak buah Irfan bagi mengelak dipintas Johor DT pada saat-saat akhir. Ini kerana slot Piala AFC musim depan masih berada dalam genggaman Selangor jika muncul naib juara Liga Super musim ini ekoran status Lions XII sebagai pasukan jemputan. Satu lagi slot Piala AFC musim depan pula menjadi milik juara Piala FA 2013, Kelantan. Dalam pada itu, pasukan di tempat keempat liga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini mengutip 34 mata juga dilihat masih 'bernafsu' memberikan cabaran apabila berkunjung ke Stadium Darul Makmur, Kuantan berdepan Pahang malam ini. Skuad kendalian B. Sathianathan dilihat masih berpeluang untuk menamatkan saingan Liga Super selaku naib juara jika berjaya mengutip enam mata maksimum termasuk menewaskan Perak, Sabtu ini dengan syarat Selangor dan Johor DT keciciran mata penting dalam dua perlawanan terakhir. "ATM mesti menamatkan saingan liga musim ini dalam kelompok tiga pasukan teratas," tegas Sathianathan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |