Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Harimau masih mampu asah taring Posted: Harimau masih mampu asah taringOleh NOR AZIRAN YUNUS
"RAMAI tidak sedar perlawanan persahabatan dengan Chonburi FC pada 16 Julai ini merupakan satu aksi berkelas tinggi." Demikian tegas pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal ketika diminta mengulas kegagalan pasukannya mengadakan aksi persahabatan kelas A sehingga menjejaskan kedudukan mereka dalam ranking dunia. Mengulas pertemuan menentang Chonburi FC, Rajagobal menganggap aksi tersebut mampu menampilkan 'kelas tinggi' disebabkan kelab Thailand tersebut dibarisi enam pemain Brazil. "Pasukan Chonburi FC dibarisi enam pemain import dari Brazil dan selebihnya pemain-pemain kebangsaan Thailand. "Jadi saya lihat Chonburi FC sebagai sebuah kelab yang sangat hebat dan perlawanan dengan kelab itu sesuai untuk kita membuat persiapan menentang Chelsea serta Barcelona nanti," kata Rajagobal. Rajagonal berkata demikian selepas mengendali sesi latihan pertama skuad Harimau Malaya di padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam. Rajagobal turut melahirkan rasa terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) yang telah menjemput Harimau Malaya untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan tiga kelab Jepun bermula 25 hingga 31 Julai ini. "Ini juga satu perkembangan sangat baik dan ia (perlawanan menentang tiga kelab Jepun) juga merupakan satu aksi kelas tinggi yang tidak seharusnya kita lepaskan," katanya. Dalam pada itu, seramai 27 pemain termasuk dua muka baharu telah melaporkan diri bagi mengikuti kem latihan Harimau Malaya di Wisma FAM semalam. Dua muka baharu yang pertama kali dipanggil menyertai sesi latihan Harimau Malaya kali ini ialah pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Christie Jayaseelan dan Putera Nadher Amarhan Maderner atau Junior Eldstal dari Sarawak. Dua pemain terbabit dipanggil bagi menggantikan tempat pemain Pahang, Azamuddin Mohd. Akil yang patah tangan serta kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi (hamstring). Dua pemain bintang Johor Darul Takzim (Johor DT), Safiq Rahim serta Mohd. Safee Sali pula masih dipantau perkembangan mereka kerana turut dibelenggu masalah kecederaan. "Badhri masih berpeluang menyertai skuad negara kerana saya akan terus memantau keadaannya dan dia akan melaporkan diri esok (hari ini). "Ini kali kedua dia cedera ketika saya memanggilnya menyertai skuad negara. "Saya akan sentiasa memanggil mana-mana pemain yang menunjukkan aksi terbaik dan saya tidak pernah menutup pintu buat mana-mana pemain," tegas Rajagobal. | |
Posted: Jang tidak mahu mendabik dadaOleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR NAZRIN (dua dari kanan) menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakan sepasukannya selepas meledak gol kedua Negeri Sembilan ketika menentang Sabah malam kelmarin. PENGENDALI sementara Negeri Sembilan, Ridzuan Abu Shah enggan mendabik dada atas kejayaan membelasah Sabah 4-0 pada aksi playoff Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam kelmarin. Ridzuan berkata, kemenangan itu dianggap satu permulaan dan cabaran sebenar skuad Hoben Jang Hoben sebelum undian peringkat kumpulan dilangsungkan pada 27 Julai depan. "Sudah pasti saya ada sasaran peribadi. Begitu juga dengan para pemain, tetapi masih terlalu awal untuk bercakap mengenai sasaran. "Sasaran kami hanya akan bermula selepas undian dilakukan nanti. Buat masa ini, sasaran utama saya adalah untuk memperbaiki setiap kelemahan yang ada. "Kami perlu bersedia sepenuhnya bagi menghadapi kempen Piala Malaysia tahun ini," kata Ridzuan kepada Kosmo! semalam. Mengulas mengenai kejayaan menewaskan Sabah, Ridzuan berkata, dua gol yang diperoleh dalam tempoh 15 minit babak pertama menjadi detik kebangkitan skuad kendaliannya itu. Pemain sayap, Nazrin Nawi meletakkan Negeri Sembilan di depan seawal minit ke-10 sebelum menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua berselang lima minit kemudian. Penyerang import, Fabio Leandro Barbosa dari Brazil menjaringkan gol ketiga Negeri Sembilan pada minit ke-51 sebelum Nazrin melengkapkan hatriknya lima minit sebelum perlawanan tamat. "Kejayaan memperoleh dua gol dalam tempoh 15 minit pertama menjadi faktor utama kejayaan itu. "Sudah tentu, kemenangan ini sangat bermakna. Selain membuka laluan untuk kami merampas semula Piala Malaysia, ia juga dapat mengubat kekecewaan kami pada saingan Liga Super musim ini," kata Ridzuan. Negeri Sembilan melengkapkan senarai 16 pasukan yang akan beraksi pada kempen Piala Malaysia musim ini bersama Lions XII, Selangor, Johor Darul Takzim, Kelantan, Pahang, ATM, PKNS, Perak, Terengganu, T-Team, Sarawak, Sime Darby, Johor, Kedah dan Felda United. Undian peringkat kumpulan akan dilakukan pada 27 Julai, manakala saingan sebenar Piala Malaysia bakal bermula 17 Ogos depan. | |
Posted: Ujian rambang breath analyzerKEMENTERIAN Belia dan Sukan akan mewajibkan setiap atlet menjalani ujian breath analyzer secara rambang bagi memastikan mereka bebas daripada pengambilan minuman beralkohol semasa menyertai temasya sukan di negara ini. Menterinya, Khairy Jamaluddin (gambar) berkata, beliau akan meminta Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) menjalankan ujian breath analyzer (mengesan kandungan alkohol dalam badan) serta doping secara rambang ke atas setiap atlet. "Kita akan meminta Adamas mengemukakan protokol baharu bagi memastikan temasya sukan negara bebas daripada penggunaan dadah dan alkohol," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) berkaitan dakwaan kes rogol pada Sukan Malaysia (Sukma) 2013 yang berakhir Ahad lalu dan soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) mengenai tahap keselamatan atlet. Khairy berkata, ujian secara rambang itu bagi memastikan insiden dakwaan rogol yang berlaku semasa Sukma 2013 di Perkampungan Sukan di Universiti Putra Malaysia (UPM), yang dikaitkan dengan pengambilan minuman alkohol oleh atlet tidak berulang. Di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, tiga atlet baling bola, Adib Ismail, 18, Megat Farzeril Faiz Megat Razali dan Mohammad Shaizzad Md. Shafie, masing-masing, 19, mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol seorang pegawai pengiring berusia 20 tahun, Khamis lalu. Khairy berkata, beliau juga telah meminta Majlis Sukan Negeri melihat semula usia pegawai pengiring atlet bagi mengelak risiko berulangnya insiden seperti itu. "Kita ada Sukma di Perlis tahun depan. Saya sendiri akan panggil semua Majlis Sukan Negeri supaya ada jaminan bahawa tahap keselamatan dapat ditingkatkan supaya kontinjen mereka dapat dihantar dengan selesa," katanya. Menurut Khairy, beliau memandang serius insiden itu dan sedang menunggu laporan penuh mengenai hal tersebut daripada Majlis Sukan Negara (MSN). Khairy menegaskan, beliau akan melantik pihak ketiga iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan untuk menjalankan siasatan sekiranya beliau tidak berpuas hati dengan laporan siasatan oleh MSN. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |