Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Malaysia, UK saling memanfaatkan - Najib
- Garis panduan keselamatan pelajar Malaysia di Mesir
- Kadar zakat fitrah di Perlis kekal RM6
Malaysia, UK saling memanfaatkan - Najib Posted: 03 Jul 2013 02:14 AM PDT KUALA LUMPUR 3 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau tidak sabar untuk bertemu rakan sejawatannya dari Britain, David Cameron pada Khamis. Najib yang kini mengadakan lawatan kerja empat hari ke UK, menegaskan bahawa kedua-dua negara telah pun mula memanfaatkan satu sama lain bagi mencari peluang pelaburan dan pertumbuhan perniagaan yang lebih meluas. "...dan kami telah menetapkan sasaran yang mencabar untuk dicapai bersama: hubungan dagang dua hala RM26 bilion menjelang 2016. "Jumlah itu meningkat sekali ganda daripada apa yang kita nikmati ketika ini hasil hubungan dagang yang baik yang diwujudkan bersama," katanya dalam akaun Facebook. Najib berkata, langkah pertama ke arah mencapai matlamat itu adalah pelancaran projek Stesen Janakuasa Battersea, yang dibangunkan secara usahasama oleh SP Setia Bhd, Sime Darby Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. "Saya berkeyakinan perkongsian yang hebat akan menyusul," katanya. - BERNAMA |
Garis panduan keselamatan pelajar Malaysia di Mesir Posted: 03 Jul 2013 02:00 AM PDT KUALA LUMPUR 3 Julai - Para pelajar Malaysia di Mesir dinasihat menghindari kawasan tumpuan perhimpunan dan tunjuk perasaan membantah kepimpinan negara Timur Tengah itu di Kaherah, Iskandariah, Mansoura, Zaqaziq dan tempat lain. Dalam satu kenyataan, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh turut meminta mereka agar tidak melibatkan diri dalam sebarang perhimpunan atau petisyen anjuran masyarakat tempatan sama ada di tempat terbuka atau tertutup, dalam atau luar kampus universiti. Selain itu, pelajar Malaysia digesa tidak mempercayai atau menyebar khabar angin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau laman sosial seperti Facebook, Twitter serta blog dan e-mel. Kenyataan itu juga menyebut demonstrasi dan perhimpunan yang berlaku telah mengakibatkan 16 orang terbunuh dan 781 cedera dalam kalangan warga Mesir. "Education Malaysia Egypt (EME) memperakui tiada kes melibatkan pelajar Malaysia dan ibu bapa tidak perlu risau kerana keadaan terkawal," kata Idris. Idris berkata langkah keselamatan diambil dengan membuka bilik gerakan 24 jam di semua peringkat dan wilayah, di kedutaan Malaysia di Kaherah, Dewan Malaysia Abbasiah, rumah-rumah negeri dan persatuan pelajar. Selain itu, operasi pemantauan turut digerakkan di semua terminal lapangan terbang manakala siri kunjungan pegawai ke premis kediaman pelajar turut dilakukan, begitu juga hebahan melalui media elektronik, Whatsapp dan SMS. Beliau juga menggesa pelajar berkenaan agar mengelak daripada memberi sebarang komen atau ulasan berkaitan politik dalaman Mesir kepada mana-mana individu, organisasi Mesir dan asing, serta menangguhkan aktiviti dan pergerakan ke luar kawasan untuk percutian. "Elakkan dari berjalan-jalan pada waktu malam atau berjalan secara berseorangan, terutama bagi mahasiswi," katanya. Idris berkata pelajar Malaysia di Mesir perlu mematuhi sebarang arahan keselamatan, termasuk perintah berkurung, sekiranya dikeluarkan kerajaan Mesir dan arahan lain oleh pihak kedutaan. "Pelajar harus mengutamakan keselamatan diri dan menyimpan dokumen penting seperti pasport, kad pengenalan dan barang berharga di tempat selamat," katanya. - BERNAMA |
Kadar zakat fitrah di Perlis kekal RM6 Posted: 03 Jul 2013 12:11 AM PDT KANGAR 3 Julai - Kadar bayaran fitrah di Perlis bagi tahun ini kekal RM6, kata Pengerusi Baitulmal Negeri, Datuk Abu Bakar Ahmad. Nilai itu, katanya, diputuskan dalam mesyuarat Baitulmal baru-baru ini yang kemudian dipersetujui mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri. Bercakap kepada Bernama di sini hari ini, beliau berkata, 104 amil dilantik untuk membuat kutipan fitrah itu bermula pertengahan bulan Ramadan tetapi umat Islam boleh membuat bayaran sebaik sahaja masuk bulan Ramadan. Beliau menjangkakan Baitulmal Negeri dapat mengumpul zakat fitrah sehingga RM800,000 tahun ini. Katanya hingga kini, Baitulmal Negeri mengumpul kutipan zakat sebanyak RM48 juta dan matlamat tahun ini untuk mengumpul sehingga RM80 juta hingga akhir tahun ini berbanding RM79 juta tahun lepas. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |