Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Posted: 17 Jul 2013 12:19 AM PDT Oleh NOOR FAZRINA KAMAL MUSLIHAH anggun dengan teknik solekan dan fotografi yang baik. TIDAK sukar menzahirkan apa yang terniat di hati dengan Muslihah Hassan. Gadis berusia 19 tahun ini seakan bijak 'membaca' fikiran penulis dalam menterjemahkan apa yang dimahukan menerusi liuk lentok gerak gaya persis seorang model profesional. Lalu segala arahan tidak perlu diperincikan kerana dia memahami apa yang dikehendaki jurugambar, Mohd Najib Mohd Nor. Malah dia turut membuktikan bahawa dirinya bukan sekadar model yang ibarat patung membiarkan diri dihias seadanya. Muslihah menyerlahkan lagi kebijaksanaannya dalam meneroka gaya pemakaian selendang dengan caranya tersendiri. Gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, sebenarnya tidak asing dalam dunia peragaan busana muslimah, walau baru melangkah ke dunia fesyen kira-kira dua tahun lalu. Muslihah ternyata mempunyai bakat dan masa depan yang cerah dalam bidang tersebut. Membahasakan diri sebagai Iha, dia cukup berterima kasih kepada pemilik Sesuci Bridal Boutiqe, pasangan isteri yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Aza dan Abang Amer, yang membawanya ke dunia peragaan. "Mereka yang bertanggung jawab membawa Iha ke dunia peragaan . Sudah tentu pertama kali Iha menggayakan pakaian dari butik mereka iaitu. "Perasaan ketika itu sungguh teruja maklum saja baru habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan dapat pula peluang menjadi model. "Kak Aza yang mengenal pasti kebolehan Iha selepas melihat Iha yang ketika itu menolong kakak di sebuah restoran di Johor Bahru. Kami bertukar nombor telefon dan itulah titik permulaan Iha bergelar model. "Memang Iha tak sangka dapat peluang itu kerana sejak kecil suka tengok peragawati bergaya dan suka disolek dan bergambar. Akhirnya tak sangka dunia peragaan menjadi sebahagian daripada diri Iha sekarang," jelasnya panjang lebar. Sejak itu Iha makin dikenali dan sering dijemput untuk memperagakan pakaian atau hijab dari butik-butik terbaru di pasaran. Iha tidak menafikan berasa amat bertuah kerana dapat memberikan yang terbaik buat perniagaan usahawan Melayu sendiri. "Walaupun Iha biasa bergambar, tetap ada cabarannya yang tersendiri apatah lagi jurugambar mempunyai cita rasa mereka masing-masing. " Memang adakalanya penat, namun pengalaman mengajar Iha mengetahui apa yang dimahukan setiap jurugambar yang bekerjasama dengan Iha. Tidak dapat dinafikan, dunia peragaan menyerlahkan lagi keyakinan diri Iha dan menjadikan Iha seorang yang peka dengan perubahan semasa dunia fesyen," katanya. Ramadan orang bujang Sementelah sesi fotografi berlangsung di awal Ramadan, tidak lengkap rasanya temu bual dibuat tanpa menyentuh tentang bulan mulia ini. "Ramadan Iha pada tahun ini bersama rakan-rakan serumah. Seperti biasa kami akan berebut-rebut untuk memasak untuk juadah berbuka," ujar Muslihah penuh teruja. Muslihah juga akan pulang ke rumah kakaknya yang terletak di Gombak, Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu untuk berpuasa bersama kakak dan keluarganya. "Sejujurnya, Iha sangat rindu untuk bersahur dan berbuka bersama mama dan abah di kampung, begitu juga dengan kuih-muih di Kelantan. Sambutan Hari Raya Aidilfitri pula akan di sambut beramai-ramai bersama keluarga di kampung halaman Iha iaitu di Kota Bharu, Kelantan. Semoga sambutan hari raya pada kali ini lebih seronok berbanding sebelum ini," ujar anak keempat daripada lima beradik ini. |
Posted: 17 Jul 2013 12:19 AM PDT Potongan paplum inspirasi daripada gaya fesyen seniwati Saloma. AZURAAZWA juga bijak mengadunkan fesyen dengan penggunaan warna-warna terang, potongan lebih ringkas namun tetap tampak mewah dan menarik. Koleksi istimewa yang diberi nama Saloma Eid '13 telah digayakan oleh barisan selebriti muda tempatan pada satu majlis ringkas di butik Rafflesia, di Kuala Lumpur baru-baru ini. Antara selebriti yang terlibat menyarung koleksi Saloma Eid '13 ini ialah Ruzana Ibrahim, Faezah Ul Haq, Reen Rahim, Fify Natasha, Mimie Ernida dan Nur Risteena. Selain inspirasi Saloma, AzuraAzwa turut melakukan eksperimen bersama Rafflesia dalam menterjemahkan keindahan mutiara pada hasil busananya. Adik beradik, Azura Liyana Azmi, 29, dan Azwa Elena, 26, berkata, setiap potongan mengetengahkan gaya peplum berbeza dengan cetakan yang lebih mewah dan penggunaan warna terang. "Dalam koleksi Saloma Eid '13 ini kami turut memodenkan pakaian Saloma dengan penambahan poket serta potongan kain yang lebih unik. "Begitu pun kami tidak mengabaikan elemen tradisional dengan penggunaan fabrik dari broked, sutera syifon, fabiano dan penambahan renda tampalan untuk rekaan yang lebih menarik," jelas Azura. Pilihan eksklusif Menurut Azura, setiap rekaan mempunyai ceritanya yang tersendiri. Sebagai contoh, koleksi Melati diinspirasikan daripada baju kurung tradisional Terengganu yang dilengkapi poket sama ada di bahagian kiri atau kanan. "Kami menampakkan ciri moden dengan tampalan renda di bahagian poket tersebut," ujar Azwa. Sementara itu bagi Teja pula diinspirasikan daripada kebaya lama yang mempunyai potongan kolar tinggi di bahagian belakang. "Kebaya ini dimodenkan dengan struktur peplum untuk memberikan penampilan yang lebih menawan," jelasnya. Selain Melati dan Teja, AzuraAzwa turut memperkenalkan Juwita, yang menyerlahkan kembali kegemilangan kain batik dipakai oleh wanita era tahun 40-an dan 50-an. Istimewanya untuk Juwita, pasangan adik beradik itu telah menambah ropol di bahagian hadapan untuk rekaan yang lebih mengagumkan. "Ini merupakan koleksi kedua istimewa untuk Hari Raya Aidilfitri. "Kami memperkenalkan koleksi pada musim perayaan kerana yakin ramai yang mahu memiliki dan bergaya pada musim tersebut," ujar Azura yang juga terkenal dengan signatur turban dan perhiasan kepala yang bercirikan adi busana, kata Azura. Koleksi AzuraAzwa Saloma Eid '13 ini terdapat dalam saiz S, M dan L dijual pada harga bermula dari RM300. Ia turut dijual secara dalam talian di www.azuraazwa.com/shop. - NOOR FAZRINA KAMAL |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |