Utusan Online - Jenayah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Jenayah |
Laporan polis secara dalam talian Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR Ayub Yaakob (tengah) bertanyakan sesuatu kepada orang ramai ketika mengadakan 'walkabout' di sekitar kawasan perniagaan Taipan Senawang dekat Seremban, semalam. - UTUSAN/Abd. Razak Aid SEREMBAN 25 Julai - Orang awam kini boleh membuat laporan polis secara dalam talian menerusi sistem rangkaian web Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bakal dilaksanakan seluruh negara mulai hujung September ini. Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ayub Yaakob berkata, sistem baharu yang akan dibangunkan PDRM itu bertujuan memudahkan orang ramai membuat laporan dengan pantas seiring dengan kemajuan teknologi serta kemudahan internet. "Akhir September ini orang ramai di seluruh negara boleh membuat laporan polis secara dalam talian dengan perkara itu memudahkan pengadu membuat laporan tanpa perlu ke balai. "Namun apabila laporan di peringkat siasatan dan laporan kes seperti kemalangan jalan raya, pengadu perlu tampil ke balai untuk memberi kerjasama membantu siasatan terhadap laporan yang dibuat," katanya pada Majlis 'High Profile Policing' bersama penduduk di pasar raya besar Giant Senawang di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh dan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Saiful Azly Kamaruddin. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 27 Disember tahun lalu pernah mengumumkan kemudahan itu akan dilancarkan pada tahun ini. Menurut Khalid, pelaksanaan sistem itu dirangka dan dibangunkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) selaras dengan penggunaan internet yang semakin meluas dalam kalangan masyarakat. Ayub dalam pada itu berkata, menerusi sistem baharu ini, kerja siasatan kes akan segera dilakukan sejurus laporan diterima dan kaedah itu diyakini mampu menjimatkan masa secara efisien. Dalam perkembangan berkaitan, katanya, semakan perkembangan status siasatan kes yang dilaporkan menerusi sistem dalam talian akan dilaksana sepenuhnya hujung tahun ini. "Untuk mengetahui status siasatan kes, polis akan memberi kata laluan kepada pengadu bagi membolehkan mereka mengakses status siasatan mengenai laporan masing-masing. "Bagaimanapun, maklumat status siasatan akan dikemas kini bagi memastikan ia tidak menyalahi Akta Rahsia Rasmi dan tidak menganggu siasatan," jelasnya. Pada majlis itu, Ayub bersama Osman turut mengedar bubur lambuk kepada orang ramai di sekitar kawasan perniagaan Taipan Senawang. |
Polis Marin selamatkan 9 wanita warga asing Posted: 25 Jul 2013 12:06 PM PDT KOTA KINABALU 25 Julai - Tindakan pantas sepasukan anggota Polis Marin daerah Semporna berjaya menyelamatkan sebanyak sembilan wanita warga asing yang dipercayai cuba diseludup masuk ke negeri ini awal pagi ini. Tindakan itu berhasil selepas pasukan tersebut yang terdiri daripada lima anggota menahan sebuah bot panjang di pantai Kampung Panji, Semporna pada pukul 5.30 pagi. Pemangku Komander Polis Marin Wilayah Sabah, Deputi Supritendan Husaini Zainal Abidin berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot yang menggunakan tiga enjin itu mendapati sembilan wanita warga asing berusia antara 24 hingga 33 tahun cuba dibawa masuk ke negeri ini. Menurutnya, bot tersebut telah dikesan semasa hendak mendarat di satu lokasi agak tersorok di Kampung Panji dengan membawa wanita dari negara jiran. "Dalam tangkapan itu, polis turut menahan seorang juragan yang berusia lingkungan 30-an yang tinggal di Kampung Halo, Semporna dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri. "Selain juragan itu, seorang lagi lelaki berusia 42 tahun turut ditahan yang dipercayai warga asing dan bertindak sebagai pembantunya," kata beliau ketika dihubungi hari ini. Menurut Husaini, dalam tangkapan itu pihaknya merampas mata wang Filipina 28,500 Peso serta wang tunai RM2,605 daripada juragan bot terbabit. "Ini merupakan tangkapan pertama melibatkan bot yang menggunakan tiga buah enjin dan tangkapan kedua aktiviti penyeludupan wanita warga asing ke daerah Semporna bagi tempoh tiga bulan ini," katanya. Tambahnya, kesemua mereka yang ditangkap akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk secara tidak sah dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri. Beliau memberitahu, pihaknya akan terus meningkatkan kawalan di perairan negeri ini terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Katanya lagi, maklumat daripada orang ramai sangat dialu-alukan bagi membolehkan pihaknya membanteras aktiviti dan kejadian jenayah di laut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |