Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Peniaga runcit terancam
- Sasaran KL jadi bandaraya bersih dan selamat dalam tempoh tiga bulan
- 150 penguat kuasa pantau harga di Selangor
Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT Oleh SITI ROHAIZAH ZAINAL Sebahagian ahli Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar) berkumpul sebagai membantah kewujudan pasar mini yang dimiliki pasar raya besar di Seksyen 16 Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi SHAH ALAM 7 Julai - Seramai 150 ahli Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia (Mawar) mengadakan demonstrasi di dua lokasi berasingan di sini hari ini bagi membantah pembukaan rangkaian pasar mini milik pasar raya besar terutama di kawasan perumahan. Penasihat Mawar, Basir Ahmad berkata, demonstrasi itu diadakan susulan memorandum yang dihantar pihaknya kepada kementerian berkaitan sebelum ini mengenai perkara tersebut namun belum ada sebarang tindakan memandangkan pasar mini terbabit masih beroperasi sehingga ke hari ini. Menurutnya, tindakan pembukaan pasar mini milik pasar raya besar itu dilihat akan mengancam para peniaga kedai runcit tradisional yang telah membuka perniagaan sebelum mereka. "Kami tidak menentang kewujudan pasar raya besar tetapi apabila dibina dengan konsep seperti kedai runcit di kawasan perumahan, ia telah menjejaskan punca pendapatan kira-kira 50,000 ahli Mawar di seluruh negara. "Kita akui kedai runcit bukan pesaing kepada pasar raya tersebut, sekiranya kerajaan membiarkan perkara ini berleluasa, bukan sahaja boleh menutup periuk nasi kami tetapi juga akan menyebabkan monopoli perniagaan berlaku," katanya kepada pemberita di Seksyen 16 di sini hari ini selepas mengadakan bantahan di sebuah lagi pasar mini di Seksyen 7 di sini. Yang turut hadir memberikan sokongan berhubung perkara tersebut ialah wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). Sementara itu, aktivis PPIM, Muhammad Zharif Johor berkata, pihaknya melihat persaingan yang berlaku di antara pasar mini yang dimiliki oleh pasar raya besar itu sebagai satu tindakan halus yang boleh mengakibatkan peruncit gulung tikar. "Kerajaan seharusnya memberi peruncit ini peluang untuk memajukan perniagaan mereka terutama dengan adanya program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) yang diperkenalkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. "Kerajaan seharusnya prihatin dengan nasib pekedai runcit tradisional seperti ini. PPIM khuatir peniaga runcit yang ingin mengikuti program Tukar tidak sempat berbuat demikian berikutan perniagaan yang dirancang telah muflis terlebih dahulu," katanya. Pada masa yang sama, Muhammad Zharif memberitahu, pihaknya turut bimbang kewujudan pasar mini itu nanti akan mendedahkan orang Islam kepada penjualan minuman keras terutama di kawasan perumahan yang dihuni penduduk majoriti Melayu. "Pada masa ini hanya kedai serbaneka 7-Eleven yang menjual arak dan kita bimbang penjualan arak akan berleluasa apabila turut dijual di pasar-pasar mini ini," ujarnya. |
Sasaran KL jadi bandaraya bersih dan selamat dalam tempoh tiga bulan Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT KUALA LUMPUR 7 Julai - Kementerian Wilayah Persekutuan mensasarkan ibu kota Kuala Lumpur menjadi bersih dan selamat dalam tempoh tiga bulan lagi. Timbalannya, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, sehubungan itu pelbagai program kebersihan dan keselamatan dipergiatkan melalui kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya. Menurutnya, langkah itu diharap dapat menjamin tahap kebersihan di kawasan itu dikekalkan seiring dengan Local Agenda 21 (LA 21) "Kerjasama semua pihak termasuk warga asing dan pelancong dalam memastikan hasrat itu direalisasikan amat diharapkan. "Dalam masa sama satu pelan tindakan dan program berkaitan akan diadakan secara berterusan demi memastikan kebersihan sentiasa dijaga serta keselamatan orang ramai diutamakan," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Gotong-Royong 'Jom Bersih Bukit Bintang 4' Di Bawah Local Agenda 21 (LA 21) di sini hari ini. Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha kementerian; Datuk Mohd. Jamal Mahassin, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora); Mohd. Zain Hassan dan Pengurus Besar Hotel Federal; Simon Leong. Terdahulu, seramai 850 peserta daripada agensi kerajaan, swasta, NGO dan komuniti setempat mengambil bahagian membersihkan kawasan sekitar Bukit Bintang. Menurut Loga, dari segi keselamatan kerjasama dengan PDRM akan dipertingkatkan dalam memastikan kegiatan jenayah dapat dibendung. "Selain itu, kita juga akan pastikan semua premis makanan sentiasa mengutamakan kebersihan termasuk tandas dan dapur. Jika tidak, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka," jelasnya. Katanya, melalui cara itu juga dapat mendidik golongan peniaga dan penjaja untuk sama-sama menjaga bandaraya Kuala Lumpur sebagai tumpuan pelancong. |
150 penguat kuasa pantau harga di Selangor Posted: 07 Jul 2013 10:23 AM PDT Azizan Ariffin (kanan) beramah mesra dengan para peniaga di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor ketika mengadakan lawatan di pasar berkenaan, semalam. - UTUSAN/TENGKU M FAKHRUDDIN KUALA LUMPUR 7 Julai - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Selangor akan menggerakkan sebanyak 150 anggota penguat kuasa bagi meningkatkan pemantauan harga barangan di pasaran. Pengarahnya, Azizan Ariffin berkata, anggota yang terdiri daripada pasukan petugas khas kawalan harga itu bertujuan menangani isu kenaikan harga barangan keperluan menjelang bulan Ramadan dan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. "Anggota penguat kuasa ini akan memastikan peniaga mempamerkan tanda harga pada barangan jualan mereka dan tidak menjual harga barangan terkawal melebihi harga maksimum seperti yang ditetapkan," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya, dekat sini hari ini. Menurut Azizan, pihaknya ketika ini turut melaksana penempatan kaunter khidmat pengguna dan alat timbang di tujuh pasar utama di seluruh negeri ini bermula 1 Julai lalu. Katanya, pasar tersebut termasuk di Pasar Meru (Shah Alam), Pasar Sri Gombak, Pasar Kajang, Pasar Awam Kuala Kubu Bharu, Pasar Tanjung Karang (Kuala Selangor) dan Pasar Banting (Sepang). Menurut beliau, usaha itu bagi membolehkan pengguna mendapatkan khidmat nasihat mengenai isu berkaitan kepenggunaan serta membuat aduan terus kepada anggota penguat kuasa di kaunter sekiranya terdapat peniaga yang melakukan kesalahan. Selain itu, tambahnya, pengguna juga boleh membuat aduan mengenai peniaga yang tidak mematuhi peraturan menerusi e-mel ke e-aduan@kpdnkk.gov.my atau menghubungi talian bebas tol 1-800-886-800. "Pengguna juga boleh mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) ke 15888 dengan menaip "KPDNKK ADUAN < butiran aduan>" atau membuat laporan terus di pejabat kami," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |