Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Biasiswa: Tiada unsur pilih kasih
- Produk inovasi perlu segera dikomersialkan
- 29 premis makanan diarah tutup
Biasiswa: Tiada unsur pilih kasih Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF Adnan Yaakob bersama penerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang, Ayisy Amirul Afti Bakhtiar Afendy (depan, dua kiri) sambil diperhatikan oleh para penerima lain dalam Majlis Kecemerlangan Pendidikan Negeri Pahang 2013 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, semalam. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN KUANTAN 10 Julai - Yayasan Pahang (YP) tidak mengira fahaman politik dan kaum dalam menyalurkan pinjaman atau biasiswa pelajaran kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, tidak dinafikan terdapat kalangan ibu bapa yang menyokong pembangkang turut menerima bantuan berkenaan bagi membolehkan anak mereka melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada di dalam dan luar negara. "Yayasan tidak memilih bulu dalam menyalurkan bantuan berkenaan asalkan mereka memenuhi syarat dan layak menerimanya. "Pemberian tersebut bukan sahaja kepada orang Melayu tetapi meliputi semua kaum yang menunjukkan yayasan ini mengamalkan semangat 1Malaysia," katanya ketika berucap dalam Majlis kecemerlangan Pendidikan Pahang, di sini semalam. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman dan Pengurus Besar YP, Datuk Saariah Saad. Dalam majlis itu, seramai lima pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lalu menerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar. Menurut Adnan, sejak ditubuhkan 30 tahun lalu, sebanyak RM757 juta disalurkan bagi membantu 740,000 anak negeri ini melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang. Tambahnya, tidak semua yayasan di negara ini menyamai cara pengurusan YP kerana pelaksanaannya dibuat dengan telus serta tidak memilih kaum. "Ini boleh disahkan dengan perbandingan yayasan seumpamanya di negeri-negeri lain. Kita tidak menetapkan sebarang kuota asalkan seseorang pemohon itu layak dan mempunyai keperluan melanjutkan pengajian mereka," ujarnya. |
Produk inovasi perlu segera dikomersialkan Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT Abu Bakar Mohamad (tengah) berjabat tangan dengan Suhaimi Sulong (dua dari kanan) pada majlis Menandatangani Perjanjian Pengkomersialan Produk Inovasi di Kuantan, kelmarin. Turut serta Mazalan Khamis (kanan), Ketua Pegawai Eksekutif Teknologi Park Malaysia, Mohd. Azman Shahidin (kiri) dan Ahli Majlis MPK, Mahassan Hussin (dua kiri). KUANTAN 10 Julai - Produk-produk baharu yang dihasilkan melalui inovasi perlu dikomersialkan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara pembekal teknologi baru menjelang 2020. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, kerajaan menyasarkan sebanyak 65 produk inovasi dikomersialkan setiap tahun. Menurut beliau, kerajaan juga telah menyediakan dana penyelidikan berjumlah RM2 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi membantu merancakkan lagi perkembangan inovasi di negara ini. "Perkembangan inovasi yang boleh dikomersialkan memang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selama ini dalam usaha membawa Malaysia ke status negara maju dan berpendapatan tinggi. "Oleh itu, kerajaan menyediakan peruntukan besar setiap tahun bagi memastikan perancangan ini dapat dicapai. Sebenarnya, kita mempunyai banyak produk hasil inovasi anak tempatan, cuma yang menjadi masalah ialah untuk mengkomersialkan produk-produk itu sahaja," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian pengkomersialan produk inovasi Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Transit Killer Rat dengan KIK CnaG Sdn. Bhd. di sini semalam. Perjanjian itu ditandatangani oleh Ahli Majlis MPK, Datuk Suhaimi Sulong manakala KIK CnaG diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hussein Mohd. Ariff. Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia, Dr. Mazlan Kamis dan Timbalan Presiden Technology Park Malaysia (TPM), Shahazman Abu Samah. Sementara itu Abu Bakar berkata, MPK merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang berjaya mengkomersialkan produk inovasinya. "Usaha ini perlu dicontohi oleh PBT dan agensi kerajaan yang lain. Saya berasa kagum dengan daya usaha MPK di dalam memajukan program-program yang berasaskan inovasi," katanya. Melalui perjanjian itu, syarikat berkenaan akan membayar pendahuluan RM300,000 kepada MPK bagi memperoleh hak ke atas produk Transit Killer Rat dan mengkomersialkan produk berkenaan untuk dipasarkan. Produk hasil ciptaan kakitangan MPK itu dapat mengurangkan ancaman tikus yang sering membawa pelbagai jenis penyakit yang berbahaya kepada manusia. |
29 premis makanan diarah tutup Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT Seorang pegawai penguat kuasa menampal notis perintah penutupan premis di sebuah restoran ketika operasi di Tanjung Lumpur, Kuantan, kelmarin. KUANTAN 10 Julai - Sebanyak 29 premis makanan di negeri ini diarahkan tutup selama 14 hari berikutan gagal mencapai tahap kebersihan seperti yang ditetapkan mengikut Akta Makanan 1983. Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Norhizan Ismail berkata, daripada 134 premis yang diperiksa oleh sepasukan anggota sempena Operasi Kebersihan Makanan, sebanyak 29 premis didapati melanggar syarat yang diperuntukan mengikut Seksyen 11. "Premis terbabit seperti di Kuantan, Temerloh, Rompin, Jerantut, Lipis, Bentong dan Maran diarahkan tutup dengan serta-merta bagi melakukan kerja-kerja pembersihan. "Bagaimanapun, bagi daerah Raub, Bera, Pekan dan Cameron Highlands tiada sebarang penutupan dilakukan kerana mematuhi syarat," katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan premis makanan di Tanjung Lumpur di sini kelmarin. Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman. Menurut Norhizan, di Kuantan, pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah mengeluarkan 37 kompaun daripada 28 premis yang diperiksa. "Daripada beberapa premis makanan yang terkenal dengan sajian ikan bakar, terdapat sebuah premis yang pernah diarahkan tutup sebanyak dua kali iaitu pada 2007 dan 2009. "Premis berkenaan juga turut menggajikan pekerja dari Thailand tanpa menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk tidak mendapat suntikan vaksin pelalian anti tifoid iaitu bagi mencegah penyakit bawaan air," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |