Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Bubur lambuk Kg. Baru di Kuantan
- Harga ayam cecah RM9 sekilogram
- MBOR iktiraf Nasuha pendaki termuda
Bubur lambuk Kg. Baru di Kuantan Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT Oleh SHAHRINNAHAR LATIB Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan Pahang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin (kiri) mengagihkan bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur kepada orang ramai secara percuma di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN KUANTAN 17 Julai - Setiap tahun apabila bulan Ramadan, bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur pasti menjadi pilihan warga kota walaupun terpaksa beratur panjang untuk mendapatkannya. Juadah yang dimasak menggunakan resipi turun-temurun ini turut dikenali sebagai bubur lambuk 'agung' kerana keenakannya yang tidak dapat ditandingi serta berjaya menggamit ribuan peminat untuk memperolehnya saban hari sepanjang bulan Ramadan. Bagi masyarakat luar termasuk penduduk negeri ini, mereka hanya mampu mendengar tentang keenakan dan keunikan rasa bubur berkenaan kerana mustahil untuk menikmatinya berikutan jarak yang jauh. Namun baru-baru ini, warga Kuantan yang menggemari bubur lambuk berpeluang merasai sendiri bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru, yang sering menjadi buah mulut warga kota kerana keenakannya. Matlamat iu tercapai apabila kerajaan negeri Pahang dengan kerjasama pengurusan masjid berkenaan mengadakan Program Bubur Lambuk Masjid Jamek Kampung Baru di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1 di sini. Program selama tiga hari bermula Ahad lalu itu adalah salah satu program pengisian Ramadan oleh kerajaan negeri untuk memberikan peluang kepada orang ramai bagi merasai keenakan bubur lambuk Kampung Baru. Sebanyak lima kawah bubur dimasak oleh skuad memasak, didatangkan khas dari Kampung Baru yang kemudiannya diagih-agihkan kepada orang ramai yang turut berpeluang melihat sendiri cara penyediaannya, seterusnya menikmati bubur berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, program julung-julung kali itu dibuat atas permintaan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang mahukan bubur lambuk tersebut diagihkan kepada penduduk di Kuantan. Beliau memberitahu, bubur lambuk tersebut dimasak sendiri oleh ahli jawatankuasa Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur yang diketuai imam masjid itu sendiri, Abdul Ahad Abu Bakar. "Sebanyak 2,000 bungkus bubur lambuk diedarkan setiap hari selama tiga hari kepada pengunjung yang melalui kawasan ini. Setiap hari sebanyak lima kawah bubur lambuk dimasak oleh mereka," katanya. Menurut beliau, dalam program itu juga, sebanyak 10 orang chef dari Kolej Antarabangsa IKIP diajar cara untuk memasak bubur lambuk yang popular ini. "Chef ini akan diajar cara yang betul memasak bubur lambuk ini. Mungkin pada tahun depan kita akan buat program yang seperti ini tetapi menggunakan khidmat chef daripada IKIP," katanya. Sementara itu, seorang peminat bubur lambuk, Masitah Ibrahim, 21, berkata, ini kali pertama dia merasai sendiri bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru yang popular ini. "Saya selalu baca dalam akhbar orang kata bubur lambuk ini sedap. Saya rasa bertuah sangat sebab dapat merasai keenakan bubur lambuk ini. "Rasa enak bubur ini yang membuatkan orang ramai tertarik untuk menikmatinya dan merupakan resipi tradisi turun-temurun," katanya. Bagi Diana Saidi, 21, dia tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan bubur tersebut ketika melalui kawasan berkenaan, "Bubur lambuk ini mempunyai rasa yang istimewa berbanding tempat-tempat lain. Saya teringin untuk mencubanya selepas diberitahu tentang keenakan bubur ini daripada akhbar. "Terima kasih kepada mereka yang bergotong-royong menyediakan bubur ini dan semoga mereka mendapat keberkatan, selain dapat beramal jariah kepada orang ramai," katanya. Sementara itu, Mustafa Saad, 69, berkata, suasana program ini begitu meriah yang mana ramai pengunjung beratur untuk mendapatkan bubur lambuk secara percuma. "Pengunjung yang ramai dan kerjasama para petugas membuatkan saya tertarik untuk datang ke sini. Saya juga ingin merasai keenakan rasa bubur lambuk ini. "Sudah lama saya dengar tentang bubur lambuk Kampung baru, Kuala Lumpur ini tetapi ini kali pertama ada di Kuantan, jadi saya ambil peluang ini untuk merasai sendiri keenakannya," katanya. |
Harga ayam cecah RM9 sekilogram Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA KUANTAN 17 Julai - Hasil pemantauan di 21 lokasi pasar basah di negeri ini mendapati purata harga ayam standard ialah RM8.70 sekilogram dengan harga tertinggi RM9 sekilogram di Raub, Rompin, Bentong dan Cameron Highlands. Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Mohd. A. Aruwan Ab.Aziz berkata, daerah yang mencatatkan harga ayam terendah ialah di Jerantut dengan RM8 sekilogram. "Hasil pemantauan ke atas 45 pasar raya di negeri ini pula mendapati purata harga ayam standard ialah RM7.70 sekilogram dengan harga tertinggi RM8.70 sekilogram di Pasar Raya Aktif, Bera. "Pasar Raya The Store, Bentong didapati menjual ayam pada harga terendah iaitu RM6.80 sekilogram," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Berhubung harga ayam yang naik di negeri ini, Aruwan berkata, pihaknya dan jabatan berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kenaikan tersebut. "Kita sedang siasat maklum balas daripada penjual bahawa mereka membeli dengan harga tinggi daripada pembekal, begitu juga maklum balas pembekal bahawa harga makanan ayam yang naik menyebabkan mereka menjual ayam pada harga tinggi. "Kita siasat sama ada maklum balas ini benar atau tidak. Betul atau tidak harga makanan ayam seperti dedak naik, jika tidak benar, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan di bawah akta sedia ada. "Proses siasatan ini bagaimanapun mengambil sedikit masa untuk kita mengenal pasti segala permasalahan yang berlaku," katanya. Mengenai kekeliruan pengguna tentang harga siling ayam, beliau berkata, pada masa ini perkara itu belum ditetapkan. "Biasanya harga syiling ini ditetapkan dalam seminggu atau 10 hari sebelum hari perayaan, pada masa itu akan jadi barang kawalan. Sekarang, harganya ikut pasaran," katanya. Sementara itu, Pegawai Pemeriksaan Veterinar negeri, Mohd. Yunos Mohammad berkata, bekalan ayam daripada 34 syarikat yang diberikan permit import berkuat kuasa serta merta oleh kerajaan telah mula memasuki negeri ini. Mengenai statistik penyembelihan ayam di negeri ini, beliau berkata, dalam sehari, jumlah ayam yang disembelih adalah antara 90,000 hingga 120,000 ekor. Bagaimanapun katanya, bukan semua untuk pasaran di negeri ini kerana ia turut dibekalkan ke Terengganu dan Kelantan. |
MBOR iktiraf Nasuha pendaki termuda Posted: 17 Jul 2013 11:02 AM PDT Zuhairi Md. Zain (tengah) menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Mohd. Nasuha Shamsudin (dua dari kanan) sebagai pendaki Gunung Everest termuda di UiTM Jengka, Maran, baru-baru ini. MARAN 17 Julai - Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Mohd. Nasuha Shamsudin diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pendaki Gunung Everest termuda negara. Mohd. Nasuha, 21, generasi baharu Felda Tersang 3, Raub, Pahang merupakan penuntut di Fakulti Sains dan Rekreasi. Majlis penyerahan sijil berlangsung di Kampus UiTM Cawangan Pahang di sini, yang disempurnakan wakil MBOR, Zuhairi Md. Zain kepada Mohd. Nasuha baru-baru ini. Yang hadir sama, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Pahang, Mustaffa Kamal Mat dan Ketua Pusat Pengajian Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Pahang, Mohd. Sopian Mohd. Zaki. Sementara itu, Mustaffa Kamal berkata, kejayaan Mohd. Nasuha muncul antara lima anak peneroka Felda yang berjaya mencipta sejarah menawan Gunung Everest pada Mei lalu cukup membanggakan. Apatah lagi, katanya, dalam misi itu, Mohd. Nasuha berjaya mengatasi rekod Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin yang berjaya menawan Gunung Everest pada 2004 ketika berusia 22 tahun. Menurut Mustaffa Kamal, Mohd. Nasuha juga merupakan mahasiswa yang aktif selepas terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk fasilitator aktiviti luar serta atlet jarak jauh dan menyertai banyak kejohanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. "Banyak lagi penglibatan beliau dengan aktiviti luar, namun semua itu tidak menyebabkan beliau mengabaikan tanggungjawab sebagai mahasiswa di UiTM Pahang," katanya. Menurut beliau, kejayaan menawan puncak Everest yang dikenali sebagai bumbung dunia memerlukan ketahanan diri yang tinggi dan kejayaan Mohd. Nasuha menjadi inspirasi kepada seluruh warga UiTM Pahang. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |