{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


Ramadan bawa rezeki anak yatim

Posted: 22 Jul 2013 10:35 AM PDT

Oleh FANSURINA ABDULLAH
utusanpahang@utusan.com.my

PENGHUNI Rumah Kebajikan Ummu Zainab turut menerima sumbangan berbentuk kewangan daripada pihak Hotel MS Garden, Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 22 Julai - Kehadiran bulan penuh berkat, Ramadan sememangnya membawa rahmat yang tidak terhitung khususnya bagi golongan tidak bernasib baik seperti anak-anak yatim.

Ketiadaan ibu bapa dan ahli keluarga tercinta sepanjang sebulan menjalankan ibadat berpuasa sebenarnya terselit seribu hikmah yang dikurniakan oleh Allah SWT kerana mereka dikelilingi dermawan saban kali menjelma Ramadan.

Malah, segala rezeki yang menghujani sepanjang bulan itu bukan sekadar menyembuhkan kesedihan dan kesepian tetapi turut menggembirakan mereka dalam mengharungi cabaran berpuasa setiap tahun.

Pengasas Persatuan Kebajikan Ummu Zainab Raub, Norhisan Mohd. Shaharim berkata, kebiasaannya rumah kebajikan itu menjadi tumpuan dermawan apabila Ramadan tiba, sama ada untuk memberikan sumbangan berbentuk wang ringgit atau barangan keperluan seperti makanan dan pakaian.

Menurutnya, semua bayaran tertunggak oleh rumah anak yatim itu juga mampu dilangsaikan menjelang Ramadan.

"Bulan Ramadan memang membawa rezeki kepada kami khususnya anak-anak yatim di sini dan kalaulah boleh saya mengharapkan Ramadan hadir sepanjang tahun," katanya di sini baru-baru ini.

Rumah kebajikan itu yang beroperasi kira-kira setahun lalu kini mempunyai seramai 20 orang penghuni terdiri daripada anak-anak yatim lelaki dan akan menambah jumlah penghuni dalam kalangan perempuan tidak lama lagi.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Maahad Bahasa dan Ilmu Al-Quran (Mabiq) Pantai Sepat, Jamaluddin Abdul Jabbar berkata, sudah menjadi kelaziman apabila tiba bulan Ramadan seakan-akan menjadi pesta ibadat oleh kebanyakan penderma.

"Pelbagai bentuk bantuan diterima seperti sumbangan bantuan kewangan, pembelian pakaian untuk hari raya dan tajaan berbuka puasa sama ada berbuka di hotel atau di Mabiq sendiri," katanya.

Menurutnya, pernah sumbangan makanan untuk berbuka puasa diterima daripada banyak katerer pada satu-satu masa sehingga pihaknya terpaksa membuat sistem tajaan berbuka berjadual bagi mengelak pembaziran makanan.

"Pihak kami terpaksa membuat satu sistem berjadual bagi mengelak pertindanan sumbangan khususnya makanan untuk berbuka puasa," katanya ketika ditemui di Mabiq Pantai Sepat, di sini baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Jamaluddin berkata, pihaknya terharu dan menghargai setiap sumbangan serta derma yang disumbangkan dan berharap akan berterusan bukan sahaja pada bulan Ramadan malah sepanjang tahun.

"Buat masa ini kami merancang menyediakan kelengkapan komputer kepada pelajar tahfiz di sini dan berharap ada pihak dapat menyumbangkan bantuan sama ada kewangan mahupun keperluan bilik komputer," katanya.

Sementara itu, seorang tenaga pengajar Mabiq yang ditemui, Adieb Abdullah bersyukur kerana kehadiran Ramadan sememangnya menghujani rahmat serta rezeki kepada pelajar di situ.

Adieb berkata, Maahad itu yang menempatkan seramai 50 pelajar tahfiz terdiri daripada golongan anak-anak yatim dan fakir miskin sebelum ini beroperasi di Tanjung Lumpur telah berpindah ke lokasi baharu di Pantai Sepat di sini.

"Semenjak dibuka enam tahun lalu, Mabiq menjadi tumpuan kalangan ibu bapa namun hanya pelajar terpilih daripada kalangan anak yatim dan fakir miskin sahaja diterima untuk belajar di situ.

"Malah, ada antara pelajar tahfiz tersebut menjadi imam jemputan di 28 masjid seluruh Pahang sepanjang Ramadan ini sekali gus dapat membantu mereka dari segi kewangan," ujarnya.

Selain itu, kalangan pelajar Mabiq yang ditemui menyatakan rasa terharu terhadap keprihatinan ditunjukkan orang ramai kepada golongan yang tidak bernasib baik.

Pelajar, Muhammad Anwar Mohd. berkata, kemeriahan berpuasa dan bersahur pada Ramadan kali ini amat berbeza kerana mengharunginya bersama rakan-rakan.

"Kemeriahan semakin terasa tatkala berbuka puasa kerana beraneka juadah disumbangkan oleh ramai penderma," ujarnya.

Rakannya, Abdul Razak Hamzah yang juga pertama kali menunaikan ibadat puasa berjauhan daripada keluarga turut menganggap suasana di Mabiq amat berlainan kerana setiap hari dipenuhi dengan amal ibadat menerusi hafazan al-Quran.

Dalam perkembangan lain, Mabiq turut mengalu-alukan penderma yang ingin melakukan ibadah korban di Kemboja dengan kos serendah RM290 bagi satu bahagian.

Segala bayaran dan sumbangan berkaitan boleh dimasukkan ke akaun Maybank Islamic 556011011889 atau Bank Islam 06019010085483 atas nama Maahad Bahasa dan Ilmu Al- Quran atau boleh terus menghubungi Jamaluddin menerusi 016-9541234 dan Umee, 016-9535699.

Jangan mudah terpedaya amil palsu

Posted: 22 Jul 2013 10:35 AM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Wan Abdul Wahid Wan Hassan menyampaikan sumbangan kepada Syaidatul Zulsyazmi Mohd. Zulkifli (kiri) mewakili ibunya, Nan Sarimah Megat Mansor yang sakit buah pinggang di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN 22 Julai - Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan memastikan hanya membayar zakat fitrah kepada amil yang diberi tauliah oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, orang ramai jangan mudah terpedaya dengan sewenang-wenangnya membayar zakat fitrah kepada individu yang mendakwa wakil yang dilantik Yayasan Wakaf bagi tujuan mengutip zakat.

"Walaupun setakat ini tidak ada kes amil palsu dilaporkan di negeri ini, orang ramai diminta tidak membayar fitrah kepada orang yang mendakwa sebagai amil tanpa menunjukkan surat tauliah.

"Ini kerana perbuatan tersebut bukan sahaja salah kepada penerima tetapi juga kepada pembayar kerana membayar zakat pada bukan yang hak," katanya kepada pemberita selepas hadir dalam program Ziarah Prihatin Pesakit di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hari ini.

Sebanyak 250 pesakit di hospital berkenaan menerima sumbangan kuih raya dan kerepek serta duit raya sempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurut Wan Abdul Wahid, jika didapati bersalah individu yang menyamar sebagai amil boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 173 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

"Bagi mereka yang tidak membayar zakat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya mengikut Seksyen 171 enakmen yang sama," jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, Muip hanya meluluskan kebenaran mengutip derma kepada 10 individu atau pertubuhan untuk membina surau dan masjid sepanjang bulan Ramadan ini.

"Selain daripada itu, kita minta orang ramai lebih berhati-hati dengan bantuan seperti pembinaan maahad tahfiz kerana bimbang mereka hanya mengambil kesempatan dalam bulan puasa.

"Tindakan individu tidak bertanggungjawab ini adalah salah daripada segi undang-undang dan mereka boleh didakwa," jelasnya.

Pemuda Orang Asli maut, 3 parah nahas motosikal

Posted: 22 Jul 2013 10:35 AM PDT

KUANTAN 22 Julai - Seorang pemuda Orang Asli maut manakala tiga lagi parah selepas dua buah motosikal yang dinaiki mereka bertembung sesama sendiri gara-gara mahu mengelak seekor lembu di Kilometer 15, Jalan Kuantan-Cherok Paloh dekat Pantai Sepat di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, mangsa yang terbunuh ialah Yus Kamarul Kadir, 19, dari Perkampungan Orang Asli di Kilometer 14, Jalan Pekan-Kuantan sementara rakan sekampungnya yang membonceng motosikal terbabit, Amri Manan, 17, cedera parah.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, turut cedera parah ialah penunggang dan pembonceng motosikal jenis Kriss iaitu Shahrul Izwandy Redzuan, 23, dan rakannya, Mazura Ahmad, 21.

Menurutnya, kejadian itu berlaku semasa Yus Kamarul dan rakannya yang menaiki motosikal jenis Honda dalam perjalanan dari arah Cherok Paloh menuju bandar Kuantan.

"Setibanya di tempat kejadian, dipercayai mangsa cuba mengelak seekor lembu yang berada di atas jalan menyebabkan motosikalnya terbabas masuk laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lagi motosikal di hadapannya.

"Selepas bertembung dengan motosikal berkenaan mangsa turut merempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva yang berada di laluan tersebut," katanya di sini hari ini.

Kata beliau, akibat pertembungan itu mangsa cedera parah di kepala dan disahkan mati di tempat kejadian sementara mereka yang parah kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

"Pemandu Perodua Viva terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat