{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Pilih kepemimpinan menara gading

Posted: 19 Jul 2013 10:25 AM PDT

Oleh PROF. DR. SHAHNOR BASRI
PENULIS ialah Profesor Kanan dalam bidang Kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang dan Felo Akademi Sains Malaysia.

MENELAAH buku tulisan Dr. Judith McLaughlin dan Dr. David Riesman (1990) bertajuk Choosing a College President: Opportunity and Constraints menimbulkan persoalan kepada penulis mengenai pemilihan peneraju utama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam negara kita. Ini termasuklah dari sudut integriti, kepimpinan, kriteria dan proses pemilihan.

Penulis buku ini, Dr. McLaughlin adalah ahli akademik kanan di Sekolah Pengajian Siswazah Pendidikan, Universiti Harvard manakala Dr. Riesman ialah Profesor Sains Sosial di universiti yang sama. Dr. Riesman juga pemegang Kursi Kersarjanaan Henry Ford II yang pertama di universiti yang sama.

Tulisan mereka membahaskan secara panjang lebar mengenai kepentingan proses pencarian dan pemilihan Naib Canselor atau Presiden sesebuah universiti dari sudut ketelusan, keterbukaan, kriteria calon yang cemerlang dan keperluan mendapat pandangan warga universiti mengenai kepimpinan yang mereka mahukan.

Walaupun Kementerian Pendidikan sejak beberapa tahun lalu membentuk pasukan pencarian setiap kali berlaku kekosongan Naib Canselor mahupun Timbalan Naib Canselor IPTA, namun prosesnya masih menjadi persoalan dari sudut ketelusan, calon pilihan serta kriteria pemilihan.

Tulisan Dr. McLaughlin dan Dr. Riesman telah membahaskan isu-isu yang turut menjadi perbahasan malah kerap kali menimbulkan kontroversi dalam kalangan sarjana Amerika Syarikat (AS) mengenai kepimpinan universiti. Dalam Bab Pertama buku itu, bertajuk Do Searches Matters?, pengarang merumuskan bahawa proses pemilihan yang telus berasaskan kesarjanaan, integriti dan kepimpinan merupakan keperluan mandatori bagi sesebuah institusi pengajian tinggi.

Naib Canselor, Rektor atau Presiden merupakan tonggak utama yang akan menentukan hala tuju dan masa depan generasi keilmuan sesebuah negara. Pengarang telah mengambil contoh ketika Kenneth Keller mengambil alih kepimpinan Universiti Minnesota pada 1985, akibat kesilapan dalam pemilihan Keller yang gagal mengetengahkan polisi akademik yang cemerlang.

Malah kemudian didedahkan telah menghabiskan lebih satu juta dolar Amerika untuk pengubahsuaian pejabat dan kediaman rasmi presiden universiti. Kesilapan dalam penentuan calon berakhir dengan 'tragedi' yang pada ketika itu meruntuhkan imej Universiti Minnesota dan menyebabkan ahli lembaga universiti berkenaan menetapkan kriteria dan saringan yang lebih ketat terhadap pengganti Keller. Maka, proses pemilihan adalah satu yang mesti dilakukan secara serius dan begitu juga dengan hasil daripadanya.

Di AS keterbukaan pemilihan ini begitu ketara sekali. Hinggakan pada 1983 apabila ahli Lembaga Pencarian dan Pemilih Presiden Universiti Florida membawa calon-calon finalis presiden melawat kampus, ramai ahli akademik mempersoalkan pula mengapa mereka tidak diberi peluang untuk mengadakan perjumpaan khas dengan calon tersebut.

Mereka ingin berkongsi visi, harapan dan melihat ketokohan calon dalam menghadapai survival akademik di institusi berkenaan. Akhirnya sesi perbahasan terbuka turut diadakan dengan calon-calon ini dengan disertai oleh ahli akademik dan pimpinan mahasiswa yang turut memberikan sedikit pengaruh kepada keputusan Lembaga Pencarian dan Pemilih Presiden universiti berkenaan.

Jika kita meneliti pula pengalaman Universiti Rice sebuah universiti swasta tersohor di AS, di mana pada satu ketika berlaku kesukaran untuk mencari pengganti Prof. Norman Hackerman yang telah 15 tahun sebagai presiden. Sepanjang perkhidmatannya Hackerman bukan sahaja sebagai presiden universiti berprestij tersebut tetapi beliau masih mengekalkan aktiviti kesarjanaannya di dalam makmal penyelidikan dan masih terlibat penulisan dan penerbitan ilmiah. Sebagai presiden, beliau menjadi role model di universiti itu. Beliau tidak menghabiskan masanya untuk menandatangani puluhan memorandum persefahaman (MOU) sahaja tetapi sebagai pemikir yang terbuka, pemimpin yang disenangi, penyelidik yang agresif. Beliau membina hubungan strategik dengan pelbagai industri ternama AS di samping menjadi seorang sarjana contoh yang menjulang Universiti Rice sebagai universiti penyelidikan.

Apabila Prof. Richard Levin mengumumkan persaraan beliau sebagai Presiden Universiti Yale, Lembaga Pengarah universiti berkenaan mendapati sukar mencari tokoh setanding dengannya. Sepanjang 20 tahun perkhidmatannya, Prof. Levin dikenali sebagai peneraju yang amat berjaya.

Dalam kesukaran mencari pengganti Levin, ahli-ahli komuniti Yale telah menetapkan piawaian yang tinggi bagi pengganti Richard Levin; antaranya memiliki etika dan moral yang tinggi dalam tadbir urus dan kepimpinan, presiden mestilah seorang sarjana yang dihormati dan mempunyai nilai integriti kesarjanaan, mampu mengekalkan Yale sebagai rakan strategik kepada komuniti New Haven serta dapat meluncurkan Yale dengan pantas di persada antarabangsa. Oleh itu, pengganti Richard Levin hendaklah mentadbir secara efektif, menolak sama sekali amalan kronisme dalam pelantikan mana-mana ahli fakulti terutamanya dalam proses kenaikan pangkat. Komuniti Yale mahukan juga presiden baru mesti merupakan pimpinan kepada inovasi pendidikan, presiden mestilah pendukung kuat kepada nilai pendidikan tinggi dan penyelidikan, dan beberapa nilai kegemilangan lagi yang diharapkan oleh komuniti Yale.

Begitulah nilai dan kriteria utama yang menjadi pengharapan bagi institusi pengajian tinggi dunia demi menjaga integriti institusi dan kepimpinannya serta kesinambungan universiti sebagai menara keilmuan dan kesarjanaan.Dari sisi lain pula, jika kita meneliti bagaimana pula calon presiden atau naib canselor universiti ternama apabila mereka dinamakan, kita akan mendapati bahawa mereka amat serius menerima amanah tersebut dan menyatakan dengan penuh tekat visi dan misi mereka.

Perhatikan kenyataan Rebecca Blank yang pada satu ketika merupakan Pemangku Setiausaha Negara bagi Hal-Ehwal Perdagangan AS yang dicalonkan sebagai Canselor Universiti Wisconsin menyatakan: "Universiti merupakan sebahagian penting kepada masa depan ekonomi negara dan mestilah menjadi rakan kongsi strategik dalam usaha untuk menstimulasi perkembangan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan baru".

Maka, bagi negara kita terutama dalam usaha meningkatkan penarafan dan kedudukan IPTA dan IPTS maka persoalan kepimpinan harus tidak dipandang mudah. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya di Pekan pada 12 Mac 2011 pernah menyuarakan keresahan beliau dengan meminta supaya warga akademik mengurangkan 'politiking' dalam perebutan jawatan naib canselor (Utusan Online, 13 Mac 2011). Beliau sendiri menekankan proses pemilihan naib canselor hendaklah melalui proses pencarian dan pemilihan.

Cuma persoalan besar adalah sama ada Jawatankuasa Pencarian dan Pemilih ini merupakan satu realiti dan berfungsi sepenuhnya. Namun, masih ramai yang mempersoalkan fungsi dan kewujudannya.

Sudah sampai masanya, kita melakukan satu lonjakan besar dalam dunia pendidikan negara. Negara memerlukan juga transformasi dalam soal kepimpinan pendidikan tinggi demi melonjakkan penarafan dan kedudukan universiti dalam negara ini agar setanding dengan Oxford, Yale dan MIT. Maka, kepimpinan yang kita mahukan juga harus yang setanding dari sudut kriteria dan proses pemilihannya.

Kita mahukan kepimpinan IPT yang berdaya fikir inovatif, dalam kalangan akademia terpilih, mempunyai semangat keusahawanan, memiliki integriti kepimpinan yang tinggi dan mampu melonjakkan negara ini sebagai hub pendidikan utama dunia. Dasarnya sudah ada dan infrastrukturnya sudah tersedia, maka kita perlulah serius mengenainya. Maka, pembentukan Jawatankuasa Pencarian dan Pemilih yang terdiri dalam kalangan ahli akademik kanan, usahawan, warga dalaman universiti, wakil industri dan ahli akademik tersohor antarabangsa perlulah direalisasikan. Proses pencarian dan pemilihan juga hendaklah telus, kriteria yang dikemukakan hendaklah jelas dan terlaksana ketika proses pemilihan dan pengiklanan terbuka juga hendaklah dilakukan.

Jika ini dapat dilaksanakan dengan penuh keadilan dan integriti, maka ia akan menjadi salah satu pemangkin peningkatan institusi pengajian tinggi yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

Bertindak tegas dengan undang-undang sedia ada

Posted: 19 Jul 2013 10:25 AM PDT

Oleh Fauziah Arof

DALAM tempoh 36 hari bermula semalam, pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Leemenjalani kehidupan - tidur, makan dan minum di dalam penjara bersama banduan-banduan lain. Seorang di penjara Sungai Buloh dan seorang lagi di penjara Kajang sementara menunggu kes mereka disebut semula pada 23 Ogos depan.

Pasangan yang didakwa atas tiga pertuduhan mempersendakan umat Islam dan Ramadan serta mempamerkan gambar-gambar lucah dalam blog mereka tidak dibenarkan diikat jamin selepas mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tersebut.

Mahkamah Sesyen tidak membenarkan ikat jamin itu atas sebab kepentingan awam. Pasangan muda yang berusia 25 dan 24 tahun iniberkecenderungan untuk memuat naik kandungan yang boleh menaikkan kemarahan orang ramai lagi.Apatah lagi, kes culik dan pukul seorang pemuda di sebuah restoran di Taman Sri Muda, Shah Alam, baru-baru ini, ada kaitannya dengan tindakan pasangan kontroversi ini.

Kes-kes penghinaan terhadap agama Islam dan Melayu serta perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan negara sebelum ini, sememangnya telah lama menaikkan rasa marah yang membuak-buak umat Islam di negara ini, tetapi mereka hanyamenahan sabar selama ini.

Rasa marah itu cuba diredakan dengan bertindak tanpa mengetepikan undang-undang. Justeru, pelbagai pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan Melayu mengasak pihak berkuasa supaya mengenakan tindakan tegas kepada individu atau kelompok yang terlibat. Pengacau dan individu yang biadab ini perlu diberi pengajaran secukup-cukupnya.

Banyak sudah desakan demi desakan dibuatdi sana sinidan satu demi satu laporan polis dilakukan di seluruh pelosok tanah air ini. Bagaimanapun setelah jaminan diberikan bahawa perlakuan biadab yang melampau-lampau itu akan disiasat, kes berkenaan akhirnya senyap begitu sahaja.

Dan lebih menyakitkan hati, setelah pihak yang mengeluarkan kenyataan atau apa sahaja terbitan yang biadab itu melalui laman sosial termasuk YouTube, memohon maaf, itupun setelah banyak desakan dibuat, kebiadapan itu pun terus didiamkan begitu sahaja.

Begitulah selama ini, perlakuan dan kenyataan yang mengguris hati umat Islam dan yang menghina Perlembagaan di negara ini kebiasaannya dilupakan dan ditangani hanya sekadar dengan memohon maaf. Ini menyebabkan orang yang sama, berani melakukannya berulang kali. Pada masa sama, ia bagaikan memberikan galakkan kepada yang lain pula untuk melakukan perkara yang serupa.

Ini kerana mereka merasa pasti akan terlepas daripada sebarang tindakan. Sekadar mendapat cemuhan dan kutukan daripada orang ramai apalah sangat bagi orang seperti ini. Memang itu pun mereka mahu. Mahu menjadi popular. Paling tidak pun hanya disuruh memberi keterangan.

Apatah lagi, orang seperti ini mendapat sokongan daripada golongan liberal dan yang menganggap apa saja yangmembangkang kerajaan adalah sesuatu yang cukup cool. Sepatutnya, mereka yang turut menurunkan komen-komen menyokong tindakan biadab di laman-laman sosial ini turut dikenakan tindakan undang-undang. Dalam pada itu, ulama-ulama yang sepatutnya membela agama, turut diam membisu apabila timbul isu sebegini.

Jika di negara-negara lain tindakan dan perlakuan yang mencetuskan ketegangan kaum dan keharmonian dalam negara, sudah lama dikenakan tindakan undang-undang. Tetapi di negara ini masih ada tolak-ansur dan budi bicaranya lagi. Itupun ramai pihakmenyatakan negara ini tidak cukup demokrasinya.

Sudah tentunya, dalam menghadapi isu-isu yang membabitkan keharmonian dan keamanan dalam sesebuah negara, perlu ditangani dengan peruntukan undang-undang. Gunakanlah undang-undang yang sedia ada itu.

Mengutuk, memberi amaran keras berulang kali, memberi jaminan siasatan sedang dijalankan tetapi akhirnya senyap begitu sahaja tidak dapat membantumewujudkan suasana harmoni dalam negara majmuk ini jika kes-kes seperti ini timbul.Selama mana pihak yang dihina dan agamanya dipersenda akan terus bertahan dengan kesabaran. Jika perkara yang sama berlaku kepada mana-mana agama di negara ini, tindakan undang-undang juga dituntut supaya pelakunya menerima hukuman yang setimpal.

Maka pendakwaan terhadap Alvin dan Vivian sudah pasti disambut dengan rasa lega oleh rakyat di negara ini. Ini keranakerajaan dilihat benar-benar bertegas terhadap mana-mana pihak yang berani mempersenda dan memperlekeh hal-hal membabitkan setiap agama dan kaum dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Jangan diberi muka dan ruang kepada pengacau yang sememangnya berniat menghasut dan melaga-lagakan rakyat pelbagai kaum ini.

Semoga dengan tindakan tegas ini, akan memberi pengajaran dan keinsafan kepada yang terlibat serta iktibar kepada orang ramai terutamanya kepada golongan muda.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat