{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Pendidikan akar penyatuan nasional

Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT

Oleh Khairuddin Mohd. Zain

GUNAKANLAH apa sahaja terminologi, penyatuan nasional, konsensus nasional, kesepakatan nasional - pokok pangkalnya rakyat sedang mengharapkan amalan dan tingkah politik yang lebih positif, pasca PRU-13 yang lalu. Kepada penulis, Perdana Menteri punya jiwa besar untuk menawarkan idea penyatuan nasional ini.

Menyusur sejarah, penulis terjumpa ucapan lama Almarhum Tun Razak sewaktu merasmikan Majlis Perpaduan Negara sekitar tahun 1971. Ucapan Tun Razak ini punya aura luar biasa. Terkesan dengan apa yang berlaku pada 13 Mei 1969, negara amat-amat memerlukan sifir politik yang baru.

Kejayaan Majlis ini bergantung kepada keikhlasan hati dan kesediaan saudara-saudara menyatakan pendapat secara jujur dan berterus terang dengan memandang semata-mata untuk kepentingan dan faedah negara keseluruhannya. Hanya dengan kita dapat mengadakan perbincangan dengan jujur dan memberi pandangan-pandangan yang objektif, kita boleh memberikan makna penuh kepada Majlis Perpaduan Negara ini."

Ada beberapa kata kunci dalam bait ucapan Tun Razak ini. Keikhlasan, kesediaan, jujur, berterus terang, kepentingan dan faedah negara - adalah antara yang dapat jelas dicerna. Soalnya, rentak penyatuan nasional mesti ada sauh dan asasnya. Kepada penulis, pendidikan adalah asas yang paling wajar dijadikan prioriti.

Kepentingan pendidikan di dalam arus pembangunan negara ini jelas, apabila titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sewaktu Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen awal minggu lalu menyentuh perkara sama. Titah Tuanku, menggaris harapan agar agenda transformasi pendidikan dapat dijayakan dengan sepenuhnya oleh kerajaan, sejajar dengan niat dan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Mungkin di atas semangat yang sama, antara soalan-soalan awal yang ditanya pada Sidang Parlimen 2013 adalah berkenaan isu pendidikan. Soalan daripada Ahli Parlimen Lenggong (rujuk Hansard Parlimen, 26 Jun 2013), Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu (rujuk hansard Parlimen, 27 Jun 2013) dan banyak lagi soalan berkait isu pendidikan.

Di Parlimen juga, idea dan matlamat Sekolah Wawasan dibangkitkan semula oleh Ahli Parlimen Langkawi. Garis masa transformasi Tingkatan 6, dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas. Isu pendidikan dalam kalangan kumpulan miskin bandar diangkat juga oleh Ahli Parlimen Setiawangsa. Untuk berlaku adil, wakil rakyat Bukit Katil dan Pandan juga ada menyentuh isu pendidikan.

Ternampak jelas, isu pendidikan ini sudah meruntuh sempadan ideologi dan ego politik. Kebanyakan wakil rakyat mahu ia ditangani dengan baik, sekali gus meletakkan mutu pendidikan Malaysia di tahapnya yang terbaik.

Penulis melihat ini suatu ruang yang sangat strategik untuk dijadikan asas kepada penyatuan nasional. Mungkin, kalangan pihak berkepentingan, seperti Majlis Profesor Negara, NGO berteraskan pendidikan seperti Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) untuk menjemput kalangan Ahli Parlimen mengadakan diskusi meja bulat yang ikhlas.

NGO Melayu yang berorientasi dan berteraskan pendidikan tidak boleh bergerak dengan model lama. Konvensyen dengan resolusi panjang berjela, akhirnya tinggal menjadi hebat di atas kertas dan tidak diterjemah dalam bentuk pragmatisme dasar dan polisi.

Kalangan Ahli Parlimen wajar dirapati, bagi mencambahkan idea mereka yang kadangkalanya punya asas dan wajar dijayakan oleh kerajaan. Sebagai misal, Ahli Parlimen Limbang sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat (4 Julai 2013), mempunyai idea yang sangat bernas dalam memastikan bidang sains dan teknologi serta kejuruteraan diberikan tumpuan yang lebih bersungguh.

Cadangan ini ada akar kajian akademiknya. Kajian yang dilakukan Direktorat Sains, Teknologi dan Industri OECD, menggariskan beberapa kelemahan Malaysia dalam membangun ekonomi berteraskan inovasi. Antara kelemahan ketara - kualiti sistem pendidikan, kekurangan tenaga pakar dan kurangnya linkage antara penyelidikan awam dan industri.

Isu ini perlu teliti secara jujur dan strategik. Yang pasti, ia tidak lagi boleh berlegar di atas kertas resolusi yang panjang berjela. Strateginya apa? Garis masa? Apa bidang tumpuan? Usaha yang sedemikian besar, sudah memerlukan usaha rentas kementerian dan bukan lagi di atas bahu Kementerian Pendidikan semata-mata.

Dalam kajian OECD yang sama, antara ancaman terbesar kepada Malaysia adalah kemajuan berganda negara Asia lain dalam bidang sains, teknologi, inovasi dan industri kreatif.

Penubuhan Singapore University of Technology and Design (SUTD), dengan kerjasama Massachusetts Institute of Technology (MIT) dan Zhejiang University diangkat oleh kajian OECD sebagai model masa hadapan yang perlu dihambat oleh negara lain.

MIT institusi pendidikan ulung di dunia. Zhejiang University berada dalam Liga C9 (C9 League - sembilan universiti terhebat di China) dan berada kedudukan ketiga dalam Sina Ranking tahun 2009. Kerjasama ini amat dipuji oleh kajian OECD.

Debat pendidikan kita, baik di dalam media perdana mahupun alternatif, masih menjurus kepada soal keperluan sekolah vernakular, pengwujudan semula sekolah aliran Inggeris dan sebagainya. Negara lain, sudah mula jauh melangkah ke hadapan dengan model pendidikan nasional yang tidak boleh diperdebatkan.

Ada juga soalan di Parlimen yang menjurus kepada usaha meliberalisasi bidang pendidikan secara total. Wakil Rakyat Ayer Hitam ada bertanya tentang status pengiktirafan ijazah di 820 buah universiti di Republik Rakyat China dan 157 buah universiti di Taiwan.

Itu belum lagi diambil kira pendirian NGO pendidikan Cina, Jiao Zong, yang sama sekali menentang cadangan penambahan masa mengajar Bahasa Malaysia daripada 180 kepada 270 minit seminggu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina. Penentangan seperti ini merencatkan semangat pelan strategik pendidikan yang dicadangkan oleh kerajaan.

Bila agaknya NGO Melayu berteraskan pendidikan, mampu duduk semeja dengan Dong Zong, Jiao Zong, Hindu Sangam dan sebagainya - dan mula berdialog sebagai bangsa Malaysia sebenar dalam merencana isu pendidikan.

Pendidikan tidak boleh menjadi permainan bersifat zero-sum. Menang semua. Kalah semua. Jalan hadapan mestilah bersifat sederhana dan mendahulukan fikrah dan ideal negara. Kerajaan, kementerian tidak wajar ditekan-tekan dengan isu dan permasalahan sama.

Dialog dan pandang balas sememangnya boleh dan dibenarkan. Namun, ia juga mesti ada had dan limitasinya. Jika semua yang dicadang oleh kerajaan, walaupun setelah mendapat pandangan umum, kemudiannya ditolak semula oleh swadaya pendidikan, kita tidak akan bergerak ke mana.

Negara memerlukan kalangan NGO berteras pendidikan yang mempunyai fokus, program yang baik, keterbukaan dalam berdialog, akar hujah yang tuntas dan bersederhana dalam mempertahan pendirian dan prinsip. Mengemukakan pandangan politik mungkin dibolehkan, namun perlulah selektif.

NGO berteraskan pendidikan perlu lari daripada imej membuat laporan polis dan lebih fokus dalam usaha mempengaruhi polisi.

Hijrah ini rasanya tidak mudah, ketika mana aktif atau tidaknya NGO diukur dengan berapa laporan polis yang telah dibuat untuk tahun itu. Selagi polis mendahului polisi, mungkin perjalanan kita jauh.

PENULIS ialah penganalisis politik dan sosial.

Strategi politik kaum Cina

Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT

Oleh Dr.AliasMohamed

DI Malaysia, peranan yang dimainkan oleh akhbar dan majalah berbahasa Cina untuk menyebar pengaruh seperti bahasa, budaya dan kepentingan-kepentingan kaum mereka, ekonomi dan khususnya politik tidak boleh dinafikan sama sekali.

Selaras dengan kaum mereka yang bilangannya sedang meningkat, di samping kepentingan ekonomi dan suara politik mereka yang semakin nyaring, kaum Cina terus merancang dan mengeksploit saluran-saluran kuasa dan instrumen demokrasi untuk memantap dan memperkukuhkan apa yang telah mereka kumpulkan untuk kaum mereka selama ini.

Bermula dengan kerakyatan pada 1948 dan 1957 yang hakikatnya dipermudahkan oleh UMNO dan Raja-Raja Melayu sendiri, orang Cina terus mengorak selangkah demi selangkah untuk menapak pada mulanya dalam ekonomi Tanah Melayu/Malaysia sehingga bilangan penduduk mereka telah menjana 29 peratus. Kini sasaran agenda baru mereka tertumpu besar dalam politik.

Sebenarnya cerdik pandai Cina pada 1940-an dan 1950-an sedar sistem demokrasi yang diasaskan oleh pemimpin-pemimpin Melayu di negara ini pada tahun-tahun tersebut akhirnya menjadi satu platform yang ideal untuk kaum mereka berkembang secara penyertaan aktif dalam politik.

Pada hakikatnya pertubuhan-pertubuhan politik Cina sudah lama berakar-umbi di Tanah Melayu. Kongsi-kongsi gelap memain peranan penting dalam melahirkan pemimpin-pemimpin Cina yang pada mulanya sober dan konservatif dan bekerjasama rapat dengan British.

MCA yang ditubuhkan pada 1949 kemudian menumpu sasaran kepada isu kerakyatan. Mereka sedar bahawa parti mereka bukan hanya satu-satunya pelobi, malah pemimpin Cina seperti Tun Tan Cheng Lock disokong kuat oleh pentadbir-pentadbir British tertentu.

Walaupun telah ada Parti Komunis Malaya (PKM) dan Kuomintang (KMT) sebelum ini, namun parti-parti politik ini meninggalkan kesan legasi atau warisan China dan Taiwan yang akhirnya ditolak oleh orang Cina konservatif sendiri yang berikrar untuk mengkiblatkan Malaya sebagai tanah tumpah darah mereka, sementelah PKM merupakan sebuah parti berteraskan ideologi komunis yang berpaksikan kekerasan dan kezaliman.

Untuk berfungsi secara demokratik dalam sebuah negeri Melayu yang konservatif yang berasaskan pentadbiran British, pada mulanya orang Cina berpuas hati menggunakan saluran MCA untuk mencapai matlamat mereka yang lebih besar.

Namun, selepas mendapat kerakyatan dan kemudian kuasa ekonomi yang dominan, orang Cina menganggap apa yang diberi oleh orang Melayu tidak mencukupi. Seperti orang Cina di negara-negara lain yang bilangannya dominan seperti di Singapura, hakikatnya mereka ingin menentukan destini mereka sendiri.

Pokoknya mereka menolak orang Melayu menguasai mereka, menentang DEB, Perlembagaan Persekutuan, agama Islam dan Raja-raja Melayu. Penguasaan mereka terhadap ekonomi secara amat dominan di Malaysia, adalah pendorong utama yang menggerakkan gerabak politik orang Cina untuk menguasai negara ini.

Walaupun bilangan mereka kurang daripada 30 peratus, namun sokongan padu daripada PKR dan Pas menawarkan peluang keemasan kepada kaum mereka dalam PRU-13.

Mereka pernah memulakan percubaan nekad untuk merebut kuasa daripada orang Melayu pada tahun 1969. Di zaman Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri yang beberapa kali sebelum itu didesak memberi konsesi dan kelonggaran, termasuk memberi kerusi pilihan raya yang lebih kepada kaum mereka.

Mereka sedar menerusi kerusi-kerusi pilihan raya inilah perjuangan politik kaum mereka dapat direalisasikan. Masalah yang serupa dialami oleh tiga orang Perdana Menteri selepas Tunku yang didesak supaya kaum Cina diberi universiti dan memerdekakan bahasa Cina.

Dalam 1960-an, akibat taktik politik yang disemai dan dimainkan Lee Kuan Yew, bekas Perdana Menteri Singapura, sekumpulan orang Cina di Malaysia keluar dari arus perdana politik orang Cina MCA untuk menubuhkan Democratic Action Party (DAP) yang serta-merta mewarisi perjuangan ideologi politik sama rata Kuan Yew.

Mereka juga sedar kekuatan mereka bergantung di bandar-bandar. Oleh itu menggunakan propaganda Malaysian Malaysia untuk mengadu-dombakan doktrin kesamarataan equality dalam masyarakat walaupun Malaysia dibina atas asas sejarah pribumi dan sistem politik serta komposisi kaum yang berbeza dengan Singapura.

Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan panjang lebar hujah-hujah Kuan Yew dalam buku beliau yang masyhur, Dilema Melayu dan baru-baru ini dalam buku terbarunya The Doctor in the House.

Slogan kaum Cina ini berjaya memenangi dan menarik minat dan sentimen orang Cina. Pada pilihan raya 2008, atas propaganda yang sama dan dengan kerjasama PKR dan DAP, mereka berjaya menawan Pulau Pinang dan buat sementara waktu, negeri Perak.

Dengan modus operandi yang sama, mereka bergabung dengan PKR dan Pas untuk memerintah Selangor. DAP juga memenangi kawasan-kawasan pilihan raya Wilayah Persekutuan. Kecuali Perak, dalam PRU-13 mereka mengulangi kemenangan di Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan iaitu di mana bilangan orang Cina dominan.

Pada umumnya undi orang Melayu daripada Pas berpindah kepada BN. Sungguhpun parti itu kembali menguasai Kelantan dan hampir merampas Terengganu, pengaruhnya di Kelantan semakin merosot. Pada PRU-13 Pas mengorbankan Kedah kepada BN yang dimenanginya sejak PRU-12.

Orang Cina sedar mereka tidak akan berjaya menguasai negara ini dalam jangka masa yang singkat, khususnya tanpa sokongan parti-parti pembangkang Melayu lain, seperti Pas dan PKR.

Malah, mengikut pengakuan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, sebelum PRU-13, partinya berpuas hati sekiranya memperoleh 100 buah kerusi daripada jumlah 222 kerusi Parlimen. Dengan kedudukan ini, beliau berharap akan berlaku kucar-kacir dalam UMNO dan Barisan Nasional yang menjurus ke arah perubahan dalam komposisi kerusi di Parlimen. (The Star, Mac, 2012)

Dalam konteks ini, DAP membuat perhitungan bahawa mereka akan meraih kuasa melalui dua cara: Pertama, dalam jangka pendek parti itu berharap kuasa akan jatuh ke tangan mereka setelah berlaku huru-hara atau kucar-kacir di Parlimen yang menyebabkan Ahli-ahli Parlimen BN ataupun parti-parti lain melompat ke rakit DAP.

Kedua, dalam jangka panjang mereka berharap akan berlaku perubahan besar dalam demografi penduduk akibat kealpaan pemimpin-pemimpin Melayu dalam parti pemerintah yang terus memperhebatkan pembangunan bandar dan luar bandar yang sekali gus menggalakkan penjanaan dan peningkatan serta perpindahan penduduk Cina ke kawasan-kawasan berkenaan.

Orang Cina tidak ada cara lain untuk merebut kuasa daripada orang Melayu kecuali menerusi sistem demokrasi berparlimen yang disedia dan di susun-atur sendiri oleh pemimpin-pemimpin Melayu sejak Perang Dunia Kedua.

Mereka berharap akan terbuka peluang untuk memerintah setelah pintu demokrasi dibuka kepada mereka untuk merebut peluang tersebut, sama ada menerusi perubahan demografi, peluang yang dibuka melalui kelemahan dalam sistem demokrasi ataupun menerusi pakatan dengan parti-parti pembangkang Melayu dan bukan Melayu.

Strategi licik orang Cina inilah yang dibimbangi ramai pemimpin Melayu kerana pada suatu masa kelak kealpaan dan tolak ansur mereka akhirnya mempercepatkan kehilangan kuasa Melayu.

PENULIS ialah Presiden Pertubuhan Kebangsaan Wartawan dan Penulis

Melayu Malaysia.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat